Projek Dialog

Melayu: kaum terasing

“Man is condemned to be free: condemned, because he did not create himself, yet nonetheless free, because once cast into the world, he is responsible for everything he does.” – Jean Paul Sartre

Masyarakat Melayu suka dikenali sebagai masyarakat yang mewarisi budaya sopan santun yang tinggi, menghormati orang yang lebih tua, menjaga tatasusila, memiliki kesetiaan yang tinggi terhadap autoriti, mempunyai sikap kejiranan yang baik, menjaga keluarganya, menyantuni pelbagai bangsa dan agama dan sebagainya.

Kita juga terkenal dengan kesantunan dalam mengkritik dan menegur dengan pantun-pantun, sajak-sajak, puisi-puisi dalam menyatakan pendirian. Kita malah tidak biasa menerima kritikan secara terbuka dan lebih memilih pendekatan yang lebih beradab dan hikmah. Walaubagaimanapun, sikap-sikap ideal ini menyebabkan “side-effect” tersendiri yakni takut bercakap benar dan bersikap jujur agar menjaga hati supaya tidak terluka jika perkara yang dilontarkan itu pahit untuk diterima. Kita adalah masyarakat yang lebih mementingkan adab berbandingkan sifat bertanya dan cabar mencabar secara kritis. Kita juga sering kali mengangkat nilai kekeluargaan , persahabatan terlalu tinggi sehingga membutakan mata terhadap kezaliman, ketidakadilan, korupsi dan segala negativiti yang dibawa oleh ahli keluarga sendiri dan orang-orang terdekat yang kita sayangi. Kita juga suatu masyarakat yang sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam mendepani sesuatu perkara. Kita takut untuk mengambil risiko akan perubahan yang ingin dibuat. Kita terlalu takut mengorbankan stabiliti  yang dipunyai untuk mencapai keadaan yang lebih baik. Segala perubahan yang cuba dibawa oleh  orang-orang yang mempunyai pemikiran yang berlainan dianggap suatu ancaman malah terasing dari nilai-nilai dari tradisi yang mereka pegang. Fenomena-fenomena ini melahirkan masyarakat kita yang susah untuk berubah, pasif terhadap pembaharuan, budaya suka mengampu asalkan punya keselamatan ekonomi, kronisme keluarga dalam pentadbiran, ketidakadilan yang diserahkan kepada takdir, penyerahan daya fikir kepada autoriti-autoriti kepada ilmu, kesetiaan membuta tuli kepada institusi masyarakat seperti keluarga dan raja,  ketaksuban terhadap tradisi dan merasa superioriti, penyerapan segala pemikiran dari luar secara total tanpa mengikut konteks yang akhirnya terperangkap antara mendukung status quo dan memberi alternatif yang juga terbuka untuk dipersoalkan. Keterasingan dalam konteks Melayu Semua ini juga bertitik tolak dari sikap keterasingan masyarakat kita dari mendepani realiti. Keinginan untuk menjadi diri sendiri dimusnahkan dengan persepsi masyarakat dan norma-norma sedia ada yang mengekang dirinya untuk memanifestasikan potensi diri yang sebenar. Meluahkan pendapat dan diri sebenar mereka merupakan suatu pantang larang dan dosa besar jika ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat. Kesannya mereka lebih rela menjadi hipokrit dan menyerah diri kepada nilai-nilai yang telah ditetapkan tanpa membuat pilihan yang bertanggungjawab. Masyarakat pula lebih suka melihat kestabilan yang kosmetik dan keamanan yang palsu  tanpa mendepani dan mengakui perbezaan yang wujud dalam setiap individu-individu yang berbeza dari sistem nilai mereka. Sebagai contoh, seorang melayu yang menjadi muslim secara keturunan, yang mana pada akhirnya memilih untuk keluar dari sistem nilai Islam dan menjadi atheist, pastinya dia akan dikecam dan disisihkan dari keluarga dan masyarakat kerana dianggap sesat dan menyeleweng. Keterasingan: individu dan masyarakat Keterasingan ini berlaku kepada kedua-dua pihak yakni pada individu tersebut dan masyarakat. Individu yang cuba melawan atau keluar dari sistem nilai itu akan memilih sama ada untuk kekal berada dalam agama walaupun sudah tidak mempercayainya kerana takut disisihkan. Jikapun dia mengikuti agamanya, tetapi bukan dengan pilihannya sendiri, sebarang kerosakan dan kepincangan yang berlaku atas kapasiti dirinya akan terpalit kepada agama yang dianuti tanpa pilihannya itu. Mereka juga akan cuba memulihkan akidah mereka tanpa mempedulikan fikiran dan kejujuran hati mereka sendiri untuk membuat pilihan. Untuk masyarakat pula, keterasingan dari mendepani realiti bahawa setiap individu itu berbeza fikrah dan pegangannya walaupun anak mereka sendiri, menyebabkan mereka tidak dapat menerima hakikat wujudnya perbezaan, ketidaksetujuan dan perubahan dalam tradisi yang mereka pegang selama ini. Hasilnya, mereka lebih suka melihat masyarakatnya yang seragam dan bersetuju sahaja dengan tradisi zaman berzaman dan pegangan akidah yang sama secara luaran tanpa mengiktiraf terdapatnya perbezaan yang boleh sama-sama kita hormati, atau perubahan yang mendalam sepanjang aliran zaman. Melihat berbondong-bondong orang pergi ke masjid lima waktu sehari semalam , berbuat pesta zikir besar-besaran , dan memberi khutbah-khutbah setiap jumaat dan ditadahkan kepada telinga penganut-penganutnya itu seperti sudah cukup menjadikan mereka beriman dan beramal soleh tanpa mengambil kira konteks masyarakat moden yang terdedah kepada teknologi maklumat yang menyebabkan pemikiran penganutnya dipengaruhi idea-idea dari pelbagai saluran. Kesan terhadap keterasingan ini ialah, masyarakat melayu secara umumnya, lebih suka melihat “biah solehah” mahupun keamanan sosial yakni keamanan dari fikrah songsang (baca: berbeza) dan berada dalam keadaan selesa tanpa bersiap sedia dengan segala kemungkinan berlakunya perbezaan yang datang dari luar mahupun kesedaran individu-individu dalam masyarakat  tersebut. Ketidaksediaan ini menyebabkan mereka terasing dengan sendirinya dengan hanya mempelajari dogma dan nilai-nilai tradisi masing-masing tanpa melihat dalam konteks masyarakat yang lebih luas yang dipenuhi dengan kepelbagaian. Mereka akan cepat merasa sensitif dan beraksi dengan ekstrim apabila nilai-nilai mereka diganggu gugat. Masyarakat juga akan menyimpan mereka-mereka yang hipokrit dalam agama mereka dan buih-buih yang sentiasa memburukkan imej dan ajaran agama yang indah itu. Mereka akan merasa ralat dengan keterbukaan dan harmoni yang cuba dibawa dalam proses interaksi dengan kepelbagaiaan dan perubahan. Perbezaan dan perubahan bukan lagi suatu rahmat, malah menjadi malapetaka yang tidak sanggup dihadapi. Kebebasan dalam konteks Melayu? Penyelesaian terhadap keterasingan ialah kebebasan. Tetapi apakah maksud kebebasan ini? Semua orang menceritakan tentang kebebasan dan menjuarainya. Namun kebebasan mempunyai banyak penakrifan yang berbeza. Tambahan pula, dalam masyarakat melayu yang berpegang kepada tradisinya, rempuhan pemodenan yang membawa aliran-aliran yang membawa konsep kebebasan individu yang digali dari rasionaliti tentu sekali memberi cabaran kepada masyarakat melayu Islam yang juga masih bergelut dengan variasi-variasi aliran akidah yang pelbagai. Georg Wilhelm Friedrich Hegel, seorang tokoh falsafah German yang Masyhur, bagi saya, tepat dalam soal kebebasan ini. Pada beliau pertembungan antara pelopor kebebasan individu dan pendukung tradisi masyarakat yang bukanlah suatu yang negatif. Beliau benar dalam mengatakan bahawa “The history of the world is none other than the progress of the conciousness of freedom.” Kebebasan sepanjang sejarah adalah pertembungan (struggle) untuk mencapai kebebasan. Sehingga ke hari ini, persoalan kebebasan bergema di merata tempat. Ia memberi kesan yang baik kepada proses kebebasan yang lebih segar dan baru. Melalui kaca mata Hegel, kebebasan bukan suatu nilai mutlak yang kekal dan tidak berubah akan tetapi sentiasa berkembang setelah pertembungan dan pergelutan itu berjaya diatasi. Ini jelas berbeza dengan konsep individualiti abstrak yang mana kebebasan itu merupakan hak asasi manusia yang ada sejak azali. Apa yang Hegel tunjukkan ialah, kebebasan bukanlah sewenang-wenang bagi sesuatu individu atau komuniti berbuat sesuka hati dan tidak mahu diganggu. Non-interference penting, tetapi ia tidak mencukupi untuk memberi maksud yang lebih lengkap dan menyeluruh kepada kebebasan. Kebebasan bagi Hegel suatu proses pergelutan berpanjangan. Seperti mana juga tradisi perlu difikir-kaji, begitu jugalah kebebasan liberal perlu diuji-cabar agar dialektik yang berterusan akan menumbuhkan kebebasan bentuk baru yang lebih mengambil sisi-sisi tradisi dan konteks secara konkrit dan digabungkan dengan konsep kebebasan individu yang akhirnya membentuk sintesis yang menggabungkan tradisi dan kebebasan. Tradisi di sini bukan sesuatu benda monolitik dan statik yang mesti disanjung dan diterima secara total dan buta tuli. Ia sudah memadai untuk dianggap sebagai sesuatu landasan yang tidak boleh dielakkan kerana kita hanya boleh bermula daripada keadaan yang sedia ada. Penolakan secara total terhadap tradisi dan pengambilan secara total konsep kebebasan individualist liberal juga adalah suatu bentuk kelampauaan yang tidak mengambil kira nilai-nilai masyarakat setempat. Tetapi ini bukan setakat menerima realiti semata-mata. Hegel akur kepada hakikat manusia sebagai makhluk yang mempunyai idealnya tersendiri. Cuma pencapaian ideal itu harus berlaku dalam dunia, dalam arus dan liku-liku realiti secara konkrit. Jika kita inginkan kebebesan itu sebagai suatu hakikat, jadi non-interference itu tidak mencukupi. Kebebesan harus dizahirkan sebagai satu cara hidup, di mana ia tidak terbatas dalam rangka apa yang dibayangkan dalam imaginasi kita, tetapi direalisasikan secara konkrit. Di sinilah pergelutan itu penting. Dalam pergelutan antara ideal dan realiti, apa yang ada sekarang dan impian kebebasan yang ingin dicapai boleh dizahirkan: keunikan setap individu akan dihargai. Pada masa yang sama, individu tersebut tidak memahami dirinya sebagai satu entiti yang tercerai dari masyarakat, tetapi dia memahami bagaimana potensi dan depth dirinya boleh dikenali dengan lebih mendalam dan bermakna setelah berhadapan dengan dunia secara langsung. Masyarakat pula melihat bagaimana pengiktirfan terbuka terhadap keunikan setiap individu membolehkan perkembangan dan kesuburan wacana dan budaya yang membawa kepada evolusi dalam penghayatan terhadap makna dan dimensi-dimensi kebebesan. Proses itu bukan satu yang mudah, atau singkat, tetapi itulah realiti yang harus diterima: kebebasan bermakna dan berharga kerana kemuncaknya boleh dirasa, maknanya difaham, apabila ia terhasil dan dirasa dalam pergelutan. Kesimpulan Anak-anak melayu yang ingin bebas dari kekangan masyarakatnya perlulah bersedia untuk berhadapan dengan penolakan dan penyisihan. Kebebasan tidak lagi sewenangnya diberi sebagai hak akan tetapi perlu dituntut dan diperjuangkan sehingga diterima oleh masyarakat. Pergelutan yang berlaku janganlah dianggap sebagai suatu permusuhan akan tetapi suatu pergelutan yang perlu bagi mendapatkan “recognition” dari masyarakat terhadap individu yang ingin menjadi diri sendiri. Mereka harus bertanggungjawab atas kebebasan yang dituntut itu. Masyarakat pula, perlu lah bersedia dengan sebarang tuntutan kebebasan dan mendepaninya dengan hujah dan cuba mengatasinya tanpa manipulasi undang-undang dan paksaan. Masyarakat perlu sedia keluar dari zon selesa mereka dan cuba menelaah mengapakah kebebasan begitu menggiurkan di zaman ini dan bagaimana menyuai padan kebebasan individu yang pelbagai untuk diadaptasi supaya nilai-nilai tradisi dapat menerima perubahan zaman untuk hidup bersama secara harmoni.         unnamed ]]>

Share your thoughts!

More Articles

The Post-Wawasan Malaysia We Got

by Yvonne Tan We end the year 2021 in Malaysia with disastrous flash floods amidst a pandemic and rising food prices. All this came on

Can we spread hate speech through literature?

by Faisal Tehrani (Translated from “Bolehkah Menyebarkan Kebencian Menerusi Sastera?”)   I recently read ‘Hate Speech: An Infographic’ on Projek Dialog’s website. It’s interesting because