Projek Dialog

Menganuti dua agama sekali: Meninjau fenomena keluarga majmuk agama

Penterjemahan tidak rasmi “What’s it like ‘being both?’ A conversation with interfaith family pioneer, author, Susan Katz Miller” yang, disiarkan di Chron pada 28/08/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal. Bagaimana rasa identiti dua agama sekaligus? Perbualan bersama perintis keluarga beragama majmuk dan penulis, Susan Katz Miller.  Setiap hari, rakyat Amerika kian berinteraksi dengan manusia dari pelbagai agama. Dari jiran-jiran Mormon, rakan sekerja Hindu, dan rakan-rakan yang tidak beragama, tidak hairanlah bahawa perkahwinan antara agama kini semakin banyak di Amerika Syarikat. Naomi Schaeffer Riley melaporkan bahawa hampir setengah (42%) daripada perkahwinan di Amerika Syarikat merupakan perkahwinan antara agama. Peningkatan ini tidak mengira lokasi, jantina, status pendidikan, mahupun tahap pendapatan. Buku Susan Katz Miller, Being Both: Embracing Two Religions in One Interfaith Family (Penterjemahan literal: Menjadi Kedua-duanya: Menghayati Dua Agama Dalam Satu Keluarga) – sebuah buku yang dikatakan sebagai “bukti indah dan inspirasi tentang kuasa cinta….” oleh Reza Aslan, seorang penulis terkenal dan perintis pengajian antara agama – telah ditulis berdasarkan perkembangan demografi ini, dan kesannya terhadap institusi keluarga sekarang. Ia juga menarik pada sesiapa yang berada dalam hubungan seagama ataupun tidak beragama. Bagi mereka yang dalam perkahwinan seagama, “Being Both” memperkenalkan satu dunia lain yang sering dihakimi, dan diketepikan, oleh orang keagamaan yang memandang rendah terhadap penyatuan berbeza agama. Barangkali, walaupun anda berkahwin dengan seseorang yang seagama, anda mempunyai saudara ataupun kenalan yang mempunyai latar belakang agama majmuk, dan mungkin anda berminat tentang dinamik keluarganya, atau ingin mengetahui bagaimana anda boleh mendekatkan diri dengan cara yang terbaik dan sesuai. Buku ini merupakan satu peluang mudah untuk memahami kelebihan, dan cabaran dalam sebuah keluarga yang beragama majmuk. Untuk pemimpin-pemimpin agama, seperti pastor, imam, rabbi, dan sebagainya, ia mencabar mereka untuk mempertimbangkan “teologi pastoral” bagi keluarga yang beragama majmuk. Bagi ahli akademik, ia membuka ruang untuk penyelidikan selanjutnya. Walaupun Miller telah menjalankan tinjauannya sendiri, beliau menyarankan bahawa sudah tiba masanya untuk bidang ini dikaji dengan lebih mendalam secara kuantitatif dan kualitatif. Miller menulis dari pengalaman agama-majmuknya sendiri, dan dengan itu mengekalkan nada yang positif sepanjang buku tersebut. Pakar kemajmukan agama itu merangkumi perbincangan yang luas, daripada komuniti keluarga beragama majmuk, kepada upacara perayaan kematangan / baligh kanak-kanak dalam keluarga majmuk, dan akhirnya pandangan agama mereka apabila dewasa. Buku ini memberi tumpuan khas kepada hubungan Yahudi-Kristian dan terhad dalam perbincangannya mengenai perkahwinan majmuk agama lain seperti Islam, Buddha, Sikh, yang tidak beragama, atau kepercayaan-kepercayaan yang lain. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Miller sendiri, beliau mengalu-alukan penerbitan buku-buku yang mampu meneroka kepelbagaian jenis keluarga beragama majmuk yang lain. Saya berpeluang untuk mengutarakan beberapa pertanyaan susulan kepada Miller mengenai kelenturan sifat agama, meneruskan lagi perbincangan mengenai keluarga beragama majmuk, dan masa depan masyarakat beragama majmuk di Amerika Syarikat. Jawapan beliau sangat wajar untuk direnungkan bersama: Chron: Anda menyatakan bahawa, “Kanak-kanak, sama ada mereka beragama majmuk ataupun tidak, akan keluar ke dunia ini dan membuat pilihan agama mereka sendiri.” Ini membimbangkan sesetengah pihak, mengapa anda fikirkan bahawa mereka tidak seharusnya risau? Susan Katz Miller: Warga Amerika kian bertukar mazhab dan agama, dan meninggalkan kepercayaan formal untuk menjadi “spiritual tetapi tidak beragama,” menurut Pew Research. Inilah realiti keagamaan kita yang fleksibel, di dalam sebuah negara yang mempunyai kebebasan beragama. Jika anda mahukan anak-anak anda mempunyai identiti agama tertentu, strategi terbaik anda ialah untuk membesarkan anak-anak anda dengan identiti tunggal tersebut. Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju untuk membesarkan anak-anak mereka dengan satu agama, silakan. Tetapi jika anda mempunyai dua agama dalam keluarga tersebut, ataupun satu pandangan alam beragama dan satu lagi sekular, pada saya anda tidak boleh mengabaikan pandangan alternatif itu. Kanak-kanak ini membesar dengan mengenali dan menyayangi keluarga daripada dua amalan berlainan, dua sistem kepercayaan. Saya percaya bahawa ini membuatkan mereka cenderung kepada universalisme, membina silaturrahim [bridge-building], dan menyemai kedamaian, yang saya lihat sebagai satu kelebihan dalam hidup, dan baik untuk dunia. Dunia kompleks kita kini saling berhubung melalui media dan internet, dan menyusutkan keupayaan kita untuk berinteraksi dalam dunia sebenar. Kanak-kanak yang menjangkaui sempadan budaya, etnik, kaum dan agama tradisional mempunyai satu kelebihan sebagai penghubung budaya dan diplomat yang boleh membantu kita menjadikan dunia yang kompleks ini suatu dunia yang aman. Bagaimanakan sambutan terhadap buku ini? Tahun ini dipenuhi dengan perbincangan yang menguja. Saya telah berucap di hadapan kalangan ibu bapa, mahasiswa, kumpulan-kumpulan dialog antara agama, dan di hadapan hampir 50 rabbi. Saya berdialog dengan menteri dan paderi, orang Islam dan Hindu. Jika berpeluang, saya ingin melawat setiap seminari di Amerika, kerana golongan paderi perlu bersedia untuk memberikan kaunseling kepada keluarga-keluarga beragama majmuk yang kian semakin banyak. Dan paderi kolej, khususnya, kini mencari kaedah untuk membantu pelajar dengan identiti agama yang kompleks, ataupun yang berada dalam hubungan antara agama yang kompleks. Saya boleh membantu dengan kaedah ini. Terutamanya sekali, saya amat terharu dengan masyarakat Yahudi yang kini mula mempertimbangkan kembali strategi mereka yang mengabaikan 25% daripada perkahwinan bersama pasangan bukan Yahudi, di mana anak-anak mereka dibesarkan “sebahagian Yahudi dan sebahagiannya yang lain.” Mereka ini bukanlah keluarga yang menolak agama Yahudi: mereka masih mahu mengekalkan hubungan keagamaan ini. Contohnya tahun ini, akhbar yang dihormati, Jewish Daily Forward telah menjemput saya sebagai pakar nasihat untuk keluarga beragama majmuk, iaitu satu ruangan baru bagi mereka, di samping pandangan-pandangan yang lebih konservatif. Bagaimanakah seseorang yang tiada pengalaman dalam hubungan antara agama boleh berinteraksi dengan komuniti beragama majmuk dengan lebih baik dan mewujudkan suasana yang tidak meminggirkan mereka? Nasihat saya, ialah cuba melihat bahawa manusia, keseluruhannya termasuklah kita, mempunyai identiti agama yang kompleks. Tiada seorang pun yang dapat dilabelkan dalam satu kotak tertentu dengan mudah. Walaupun kamu sangat berpegang kepada sebuah kepercayaan, misalnya Presbyterian, kamu masih mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah kepercayaan atau amalan jiran seagama anda. Setiap seorang daripada kita membina identiti keagamaan dan kerohanian (ataupun humanis) daripada latar belakang keluarga, pertembungan kita dengan alam, sastera, kitab-kitab agama, dan dengan orang lain. Orang-orang daripada keluarga beragama majmuk tidaklah berbeza dalam hal ini. Kami hanya bermula dengan pengaruh kekeluargaan yang lebih meluas. Apakah langkah pertama bagi keluarga beragama majmuk yang ingin lebih menjadi proaktif? Pasangan yang berkahwin bermula di atas dasar kasih sayang dan hormat-menghormati, dan secara idealnya mereka telah mempunyai perbualan yang mendalam dan persefahaman tentang kehidupan keagamaan dan spiritual keluarga mereka pada masa akan datang. Malangnya, seringkali ianya keluarga dan saudara-mara lain, yang mungkin mempunyai pengalaman yang kurang intim dengan orang-orang beragama lain, yang memberi tekanan terhadap perkahwinan tersebut, tentang pendidikan dan identiti anak-anak mereka pada masa depan dan seterusnya. Semua orang dalam keadaan ini perlu bekerja keras untuk terus berhadapan antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang, dan bukannya kebimbangan mahupun sikap mempertahankan diri. Sebaik-baiknya, daripada berundur ataupun mengelak satu sama lain, luangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara, bercuti dan menyambut perayaan bersama-sama dan melibatkan diri dalam ritual agama, tanpa mendesak sesiapa untuk menukar agama atau memilih masa depan tertentu untuk anak-anak mereka. Apakah potensi, dan juga cabaran terbesar, yang dihadapi oleh keluarga beragama majmuk pada masa kini? Sebagai keluarga beragama majmuk, kami adalah bukti kebebasan beragama dan keupayaan untuk menjangkaui sempadan sosial di Amerika hari ini. Ini sekaligus merupakan potensi dan cabaran. Pengalaman saya sendiri, daripada keluarga tiga-generasi yang bahagia, adalah sangat positif. Cabaran utama saya ialah menjelaskan kebahagiaan ini kepada orang ramai, terutamanya generasi “baby boomers” dan golongan yang lebih tua, yang mengatakan “tidak boleh begitu.” Saya mendapati bahawa anak-anak muda, generasi Millennial dan khususnya “Generasi Z” yang lebih baru, seringkali mempunyai latar belakang keluarga yang kompleks, dan mempunyai pemahaman yang lebih intuitif mengenai kerumitan beragama. Ada sesetengah yang mungkin menyangkal, “bukankah mengatakan bahawa seseorang itu beragama majmuk sama seperti menimbulkan suatu agama baru, yang kini menghargai nilai-nilai pluralisme, toleransi, sinkretisme dan seakan menyembah suatu penggabungan politeistik tuhan? Bukankah mengatakan sesuatu itu ‘kedua-duanya sekali’ hanya satu bentuk keagamaan secara bufet, yang sewenang-wenangnya dipilih-pilih? Apakah respons anda? Keagamaan majmuk bukanlah suatu agama yang lain: ia tidak mempunyai teologi tersendiri, mahupun amalan-amalan yang ditentukan. Kemajmukan agama adalah satu keadaan yang terhasil daripada perkahwinan, ataupun kelahiran, ke dalam keluarga yang beragama majmuk. Masyarakat yang menyokong keluarga beragama majmuk memberikan ruang bagi mereka untuk mengekalkan hubungan dengan kedua-dua agama, mengajar anak-anak mereka tentang sejarah dan teks kedua-duanya, dan memberikan mereka peluang untuk mengalami ritual agama, di mana mereka mungkin tidak diterima atau tidak selesa di rumah ibadat yang lebih tradisional. Komuniti seperti ini juga memberi ruang kepada keluarga-keluarga ini untuk menghayati kemajmukan agama mereka secara positif, dan tidak berasa terpinggir. Sebahagian besar daripada buku anda tertumpu kepada keluarga-keluarga beragama Yahudi-Kristian. Anda mengatakan bahawa anda mengalu-alukan buku-buku lain yang dapat membincangkan gabungan agama majmuk yang lain, tetapi anda juga mengatakan bahawa, “setiap penggabungan agama mewujudkan cabaran dan keserasian yang unik.” Boleh anda terangkan? Saya juga menemu bual pasangan-pasangan beragama majmuk yang lain seperti Islam, Hindu dan Buddha, maka di dalam buku saya anda dapat melihat secara ringkas bagaimana cara hidup keluarga-keluarga ini. Persamaan di dalam semua ini ialah peranan penting sikap hormat-meghormati, pendidikan antara satu sama lain dan penglibatan bersama dalam upacara agama, dan juga usaha untuk mengekalkan hubungan positif dengan keluarga dan saudara-mara. Saya boleh menyarankan tiga buku yang telahpun diterbitkan. The Book of Mormon Girl oleh Joanna Brooks tentang keluarga Yahudi-Mormon, Saffron Cross oleh J. Dana Trent mengenai sebuah keluarga Hindu-Kristian, dan juga sebuah buku baru, In Faith and In Doubt oleh Dale McGowan, mengenai keluarga-keluarga Kristian dan humanis sekular. Apakah langkah seterusnya dalam bidang penyelidikan keluarga dan masyarakat beragama majmuk? Buku saya adalah yang pertama untuk meninjau dan menemu bual kanak-kanak beragama majmuk yang telah dibesarkan dengan pendidikan agama majmuk. Pada saya, hasilnya memberangsangkan, dan memberi harapan dengan menyangkal idea bahawa kanak-kanak beragama majmuk yang dibesarkan sebagai “kedua-duanya sekali” akan kekeliruan. Tetapi saya benar-benar berharap bahawa ahli akademik kini akan menyusul dengan kajian yang lebih meluas tentang perjalanan spiritual dan keagamaan bagi kanak-kanak ini. Bagi ramai pembaca, ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam konsep komuniti beragama majmuk. Boleh anda simpulkan wawasan utama komuniti beragama majmuk kepada tiga? Komuniti keluarga beragama majmuk:

  1. Memberikan “ruang ketiga” di mana seseorang itu bukanlah “tetamu”, dan pasangan ini boleh mendalamkan pemahaman dan perasaan hormat mereka terhadap kedua-dua agama.
  2. Memberi pendidikan kepada kanak-kanak beragama majmuk, supaya mereka boleh mempelajari sejarah, teks, kepercayaan dan amalan kedua-dua agama dalam program dikendalikan oleh seorang guru Yahudi dan Kristian di dalam setiap bilik darjah.
  3. Memberi ruang kepada keluarga beragama majmuk untuk meraikan cuti bersama-sama, membincangkan pengalaman mereka, dan menerapkan sikap positif dalam kanak-kanak dari keluarga yang beragama majmuk.
Anda menyentuh tentang potensi ” identiti dan amalan agama majmuk” bagi seseorang individu, dan permasalahan institusi agama. Sila terangkan. Banyak institusi keagamaan di Amerika sedang berusaha untuk mengekalkan keahlian dan hubungan mereka dengan masyarakat, dalam satu era di mana orang kian memilih untuk menjadi spiritual tetapi tidak beragama, ataupun yang tidak berpegang kepada konsep kerohanian sama sekali. Sebaik-baiknya, keluarga yang membesarkan anak-anak mereka dengan ajaran agama majmuk dapat mengekalkan hubungan dengan kedua-dua institusi agama, misalnya sebuah rumah ibadat Yahudi dan gereja, di dalam komuniti keluarga beragama majmuk, tanpa merasa bahawa mereka tidak diterima. Ianya terpulang kepada institusi-institusi agama ini untuk memutuskan sama ada mereka bersedia untuk menerima kanak-kanak yang beragama majmuk. Apabila keluarga-keluarga ini diterima, maka manfaatnya adalah untuk pasangan tersebut, anak-anak mereka, dan juga institusi tersebut dengan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti ibadat, dan berhadapan dengan realiti kemajmukan agama di dalam dunia abad ke-21 ini.   ]]>

Share your thoughts!

More Articles