Mitos Pemerintahan Khalifah

Caliphate Terjemahan “The Myth of the Caliphate“, tulisan Nick Danforth yang diterbitkan oleh Foreign Affairs pada 19 November 2014. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Sejarah Politik Sebuah Idea Pada tahun 1924, pemimpin Turki Kemal Ataturk secara rasmi memansuhkan khilafah Uthmaniyyah. Hari ini, kebanyakan perbincangan Barat tentang ISIS bermula dengan merujuk peristiwa ini kononnya sebagai satu titik perubahan besar dalam sejarah Islam. Beberapa Islamis kontemporari juga sama pemikirannya. Misalnya, ada sebab mengapa Lion Cub, penerbitan bahan kanak-kanak Ikhwan Muslimin, pernah beberapa kali menganugerahkan Ataturk, si “pengkhianat Yahudi”, tempat pertama dalam pertandingan “Kenalilah Musuh Agama Anda”. Walaupun Islamis hari ini merujuk kepada pemerintahan Uthmaniyyah, namun sebahagian besar daripada mereka lebih tertumpu kepada usaha mewujudkan semula khilafah-khilafah sebelumnya:

  • Era keempat-empat Khulafa Ar-Rasyidin, yang memerintah sebaik selepas kewafatan Muhammad pada abad ketujuh, contohnya, atau
  • Khilafah Abbasiyah, yang wujud dalam berbagai bentuk dari abad kesembilan hingga ketiga belas (sebelum dimansuhkan secara rasmi oleh puak Mongol)
Dengan mencampurkan kerajaan Uthmaniyyah pada abad kesembilan belas dengan khilafah-khilafah alaf lalu, penganalisis politik Barat dan pemikir Islam nostalgik kedua-duanya telah membina naratif khilafah sebagai sebuah institusi yang berkekalan, yang dilihat sebagai teras kepada Islam dan pemikiran Islam antara abad ketujuh dan kedua belas. Namun, khilafah merupakan idea politik atau agama yang kerelevanannya berubah mengikut keadaan. Sejarah khilafah yang lebih baru di bawah pemerintahan Uthmaniyyah menunjukkan mengapa institusi tersebut lebih sesuai difikirkan sebagai fantasi politik. Ia idea yang masih samar, sama seperti idea “pemerintahan proletariat”. Dalam konsep khilafah, Islamis kontemporari menciptanya mengikut keadaan zaman itu. (Jika tidak, masakan ISIS begitu mudah menyamakan istilah khilafah bagi rejim kezaliman dan pertumpahan darah mereka, dengan sistem pemerintahan demokratik dunia Islam yang selalu dibayangkan para peniaga Muslim British.) Lebih daripada itu, kisah khilafah Uthmaniyyah juga menunjukkan bahawa usaha untuk merealisasikan mana-mana versi fantasi ini mungkin berdepan dengan pertembungan sama yang menghancurkan zaman Uthmaniyyah seabad lalu. Penjenamaan Semula Uthmaniyyah Apabila Empayar Uthmaniyyah menakluki Mesir dan Semenanjung Arab pada tahun 1517, Sultan Selim (Si Bengis) secara rasminya menggunakan gelaran khalifah untuk dirinya serta warisnya. Selain daripada menguasai kota Mekah dan Madinah, Selim mengukuhkan kedudukannya dengan membawa koleksi pakaian dan bulu janggut Nabi kembali ke Istanbul. Berabad kemudian, empayar Uthmaniyyah memutuskan bahawa mereka perlu membuatkan keseluruhan proses tersebut kelihatan lebih bermartabat. Maka sejarawan diraja mula menegaskan bahawa waris terakhir khilafah Abbasiyah, yang dihalau ke Kaherah berabad setelah kehilangan takhta, telah dengan sukarelanya mengurniakan gelaran beliau kepada Selim. Secara lebih praktikal, empayar Uthmaniyyah mengukuhkan tuntutan mereka sebagai tampuk kepimpinan Islam dengan menjadi pelindung haji dan menghantar kiswah bersepuh emas untuk menyelubungi Kaabah setiap tahun. Untuk memberi perspektif tentang rebutan gelaran ini, apabila pemerintah Uthmaniyyah, Sultan Mehmed II menakluki ibu negara Byzantine, iaitu Constantinople (kini Istanbul) 64 tahun sebelum Selim menawan Mesir, beliau telah menuntut gelaran Caesar Rom untuk keturunannya. Sejauh mana pengaruh gelaran khalifah berbanding dengan Caesar di empayar Uthmaniyyah lewat abad kesembilan belas, sebahagian besarnya hasil daripada kempen politik Sultan Abdulhamid II untuk menyemarakkan semangat antikolonial dan menguatkan kedudukan beliau di sana. Teknik beliau termasuklah mengarahkan namanya dibaca ketika solat Jumaat dan mengirimkan Quran ke seluruh dunia Islam, dari Afrika ke Indonesia. Tiada keraguan bahawa ramai umat Islam, ketika berdepan dengan penjajahan Eropah di negara masing-masing, semakin terinspirasi dengan idea seorang pemimpin warak dan berkuasa seperti Sultan Uthmaniyyah yang menentang imperialisme Barat bagi seluruh dunia Islam. Tentunya, pegawai-pegawai British dan Perancis meluahkan kebimbangan tentang potensi kekuasaanya ke atas kawasan jajahan Islam di Afrika Utara dan India. Walaupun beliau ingin mengambil kesempatan terhadap ketakutan itu, namun Abdulhamid sendiri meragui kekuatan pengaruh beliau hasil usahanya di negara-negara jauh. Perkara yang amat membimbangkan beliau adalah hakikat bahawa bukan semua menerima tuntutan beliau sebagai khalifah. Berbeza dengan mereka yang menyokong Abdulhamid kerana perpaduan agama, ada juga yang didorong nasionalisme Arab atau tidak berpuas hati dengan kezaliman Abdulhamid, yang mempersoalkan asas keagamaan pemerintahannya. Pemikir sebegitu, termasuklah Rashid Rida di suatu ketika, menyokong penciptaan khilafah Arab baru, dengan memetik kata-kata Muhammad bahawa khalifah sebenar perlulah dari keturunan suku kaum Nabi, iaitu Quraisy. (Warga Uthmaniyyah, nampaknya, menerima kesahihan hadis ini namun mempunyai tafsiran tersendiri tentangnya, di mana Nabi sebenarnya memaksudkan bahawa khalifah tidak perlu berketurunan Quraisy.) Walau apapun, keganasan politik di awal abad kedua puluh pantas melebihi kesahihan teologi. Walau dengan usaha terbaik beliau dengan gelaran pembela agama, Abdulhamid semakin kehilangan wilayah dan kuasa politik kepada imperialis-imperalis Kristian. Ini membantu pemimpin sekular gerakan Turk Muda seperti Enver Pasha, meminggirkan sultan dan mengambil alih kekuasaan pada malam sebelum Perang Dunia I. Apabila Empayar Uthmaniyyah menikmati secebis kejayaan militer, apabila ia bertahan dengan sendirinya di Perang Kedua Balkan, Enver menjadi inspirasi kepada dunia Islam. Malah, senarai bayi yang dinamakan sempena beliau ketika itu termasuklah Enver Hoxha, yang bakal memimpin Albania, dan Anwar al-Sadat, bakal pemimpin Mesir. [caption id="" align="aligncenter" width="480"] Enver Pasha[/caption] Pewaris Arab Namun pasti, kemasyhuran Enver sendiri juga akan pudar, dengan kekalahan Uthmaniyyah di pengakhiran Perang Dunia I. Ataturk lantas muncul sebagai hero baru, pemimpin yang berjaya menghalau tentera Perancis, Itali, British, dan Yunani keluar daripada Anatolia di empayar Uthmaniyyah. Masyarakat politik umat Islam yang sebelum ini menyokong khilafah anti-imperialis Abdulhamid, kini pantas sekali mengagumi perjuangan bersenjata Ataturk menentang kekuatan Eropah. Di Palestin, contohnya, umat Islam yang sebelum ini bergantung kepada perlindungan khilafah Uthmaniyyah terhadap penceroboh Zionis dan penjajahan British mula bersorak untuk Ataturk. Ini mencetus kebimbangan pegawai British bahawa tokoh Turki ini telah menjadi “penyelamat baru Islam.” Pada masa yang sama, kejatuhan kuasa Uthmaniyyah sebelum, semasa dan selepas Perang Dunia I menguatkan idea untuk kewujudan khilafah baru, yang bukan Uthmaniyyah di dunia Arab. Namun ia tidak pernah jelas siapakah khalifah Arab yang baru itu. Maka, apabila Ataturk akhirnya memansuhkan institusi khilafah pada tahun 1924, tiada bantahan kuat mahupun menyeluruh timbul dari dunia Islam secara keseluruhannya. Ramai umat Islam, khususnya di India yang amat mementingkan simbol pan-Islam seperti khilafah sebagai antikolonialisme, telah membantah. Yang lain lebih berminat menuntut gelaran tersebut untuk diri mereka sendiri. [caption id="" align="aligncenter" width="491"] Husain bin Ali[/caption] Paling terkenal adalah Husain bin Ali, pemimipin Mekah, yang dikenali para peminat Lawrence of Arabia kerana peranan utamanya dalam Pemberontakan Arab. Sebagai pemimpin tempatan yang menguasai Mekah dan Madinah – dan kononnya waris jelas dari keturunan suku Nabi – Husain mempercayai bahawa selepas menghalau Uthmaniyyah daripada Timur Tengah, beliau boleh menjadi seorang raja Arab. Dan gelaran ini dipercayai membawa sekali dengannya segala kuasa agama dan duniawi yang dipegang oleh seorang khalifah. Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, apabila Ataturk membuang sultan Uthmaniyyah, Husain menjemput beliau ke Mekah. (Sultan tersebut tidak lama kemudian memutuskan bahawa beliau lebih menyukai Riviera Itali.) Beberapa tahun selepas itu, anak lelaki Husain, yakni Abdullah – pengasas kerajaan Jordan – mengisytiharkan bahawa, dengan menamatkan sistem khilafah, Turki telah “melaksanakan kebajikan yang paling besar untuk orang Arab.” Dan ini menyebabkan beliau ingin “menghantar telegram mengucapkan terima kasih kepada Mustafa Kemal.” Tentu sekali, rancangan Husain tidak menjadi seperti yang diharapkan. Walaupun beliau mendapat sokongan British di awal peperangan, hubungan tersebut meruncing akibat perselisihan faham tentang Perjanjian Sykes-Picot. Perancis menghalau anaknya keluar dari Syria, dan tidak lama kemudian, Arab Saudi menghalaunya keluar dari Semenanjung Arab. Apabila Husain akhirnya mengisytiharkan diri secara rasmi sebagai khalifah, kononnya atas desakan sekumpulan pemimpin Islam terpilih, kuasa beliau telah jatuh merosot sehinggakan ia kelihatan sebagai satu tindakan terdesak. Sementara itu, Kerajaan Mesir juga mengutarakan tuntutan mereka sendiri. [caption id="" align="aligncenter" width="403"] Raja Fuad, Mesir[/caption] Walaupun berhubungan rapat dengan British, dan berketurunan Sirkasia Albania tanpa sebarang pertalian kepada keluarga Nabi, Raja Fuad dalam diam mengemukakan dirinya sebagai pengganti Uthmaniyyah. Menurut seorang sarjana Islam, Mesir lebih sesuai sebagai khilafah berbanding dengan, misalnya, seorang pengembara padang pasir seperti Husain “kerana ia mendahului dari segi pendidikan agama dan mempunyai sebilangan besar umat Islam yang terpelajar dan bijak pandai.” Raja Idris I dari Libya juga nampaknya mempertimbangkan pergelutan kuasa tersebut, namun, seperti Fuad, akhirnya memutuskan bahawa sokongan terhadap beliau terlalu lemah untuk bertanding secara rasmi. [caption id="" align="alignleft" width="250"] Raja Abdulaziz Ibn Saud[/caption] Raja Saud dari Arab Saudi, walaupun akhirnya merampas Tanah Suci daripada Husain, merupakan salah seorang pemimpin yang tidak pernah mengemukakan tuntutan sebagai khalifah, walaupun ia sudah pastinya dibincangkan. Saud menyebelahi gerakan Wahhabi, yang timbul sebagai pemberontakan terhadap “keruntuhan moral” kerajaan Uthmaniyyah pada abad kelapan belas. Ironinya, walaupun penentangan beliau terhadap khilafah acuan Uthmaniyyah turut dikongsi oleh warga Arab lain, aliran keagamaan beliau terlalu radikal untuk benar-benar mempertimbangkan peluang beliau sendiri sebagai khalifah. Akhirnya, perbincangan mengenai khilafah terkubur selama beberapa dekad, salah satu sebabnya bagi mengelakkan imej buruk daripada perbalahan politik sebegini. Akibat pemansuhan khilafah, ramai umat Islam telah membalas dengan menggandakan usaha mereka untuk membina kerajaan berperlembagaan sekular di negara masing-masing. Tentunya, antara pembangkang terkuat menentang aspirasi khalifah raja Mesir, adalah dari kalangan liberal Mesir yang membantah apa-apa yang mungkin meningkatkan kuasa monarki. Sarjana Mesir Ali Abd al-Raziq, dalam kritikan kontroversi terkenalnya mengenai idea khilafah itu sendiri, mendakwa bahawa Al-Quran “tidak mengandungi sebarang rujukan tentang khilafah yang diseru umat Islam.” Ini merupakan zaman di mana kumpulan pemikir, golongan sekular dan Muslim warak juga, mula membincangkan kemungkinan bahawa khalifah seharusnya menjadi tokoh agama semata-mata. Ia seperti “Paus Islam,” yang tidak terbeban dengan sebarang kuasa duniawi.   Harapan & Doa Silap untuk kita memikirkan bahawa gerakan-gerakan Islam abad kedua puluh satu yang cuba membangunkan sistem khilafah melakukannya atas nama mandat Islam yang jelas dan terperinci. Sebaliknya, mereka hanyalah pemain baru dalam perdebatan berabad lamanya mengenai konsep yang hanya kadangkala menjadi relevan secara meluas di dunia Islam. Kesan peninggalan sejarah awal hujah ini masih dapat dirasai hingga ke hari ini. Tidak hairanlah bahawa, sebagai inspirasi bersejarah, khilafah Uthmaniyyah paling berpengaruh di kalangan Islamis Turki. Nostalgia mereka lebih merupakan akibat pengagungan nasionalis Turki tentang empayar tersebut berbanding dengan ketakwaan sultan. [caption id="" align="alignleft" width="276"] Ibn Abd al-Wahhab, pengasas Wahhabi[/caption] Sebaliknya, warisan keagamaan yang wujud akibat kritikan abad kelapan belas Abd al-Wahhab mengenai kerajaan Uthmaniyyah, digabungkan dengan warisan politik nasionalisme Arab anti-Uthmaniyyah yang lebih baru, memberikan banyak sebab untuk gerakan-gerakan Islamis bukan Turki menyebelahi contoh sistem khilafah Arab. Dengan menganggap Khilafah Uthmaniyyah sebagai titik rujukan sejarah terakhir untuk aspirasi umat Islam terkini, penganalisis politik Barat mengelirukan dua perkara berbeza. Pertama, impian umat Islam kontemporari untuk pemimpin Islam yang kuat dan dihormati serata dunia. Kedua, impian sultan Uthmaniyyah untuk menjadi seorang khalifah, yang akhirnya gagal. Keadaan yang menyatukan impian ini – yakni daya tarikan sebuah idea untuk kekuasaan agama yang mampu menghadapi kuasa politik, ketenteraan dan ekonomi Barat – mungkin sama. Namun begitu juga cabarannya. Pihak kontemporari yang menuntut gelaran khalifah bakal lantas menghadapi masalah yang sama seperti khalifah-khalifah Uthmaniyyah. Kejayaan politik atau tentera, bukan sejarah atau teologi, mampu membawa kekuasaan yang singkat, namun kegagalan dalam mana-mana aspek ini akan membawa pesaing baru untuk kekuasaan. ]]>