Projek Dialog

Muftiya Malaysia

Oleh Afiq M. Noor Dari Ibn Abbas RA berkata: Umar bin Khattab RA berkata: “Dahulu kami, pada masa Jahiliyah, tidak mempedulikan perempuan sama sekali. Kemudian setelah Islam datang dan Allah mengakui keberadaan mereka, barulah kami sedar mereka juga memiliki hak yang sama ke atas kami”. – Sahih Al Bukhari [Hadith No. 5904] Wacana Islam dan perempuan boleh dikatakan sebagai satu wacana yang agak kontroversial di mana-mana belahan dunia tidak terkecuali Malaysia. Kata orang, perempuan, yang membentuk lebih dari separuh populasi dunia seringkali di anggap sahabat yang sering dimusuhi oleh agama. Benarkah begitu? Jauh sebelum kedatangan Islam ke semenanjung tanah arab, perempuan sudah (terlalu) lama dimusuhi. Adat dan kebudayaan arab sebelum kedatangan Islam telah menempatkan perempuan pada posisi yang paling tidak manusiawi. Perempuan tidak dianggap sebagai manusia selayaknya lelaki, bahkan mereka dianggap seperti barang dagangan yang dimiliki lelaki dan digunakan semahunya. Perempuan dimarginalkan bukan hanya di ruang awam bahkan di ruang domestik, mereka dianggap membawa sial dalam keluarga dan masyarakat serta boleh diwariskan seperti barang. Masyarakat arab juga sangat terkenal dengan praktik ‘wa’dul banat’ atau menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut kecelakaan dek kerana perempuan. Kemudian Allah S.W.T mengutuskan Muhammad S.A.W untuk mereformasikan adat dan budaya yang telah lama berakar di dalam masyarakat arab. WAWASAN EGALITARIAN QURANI Gagasan Al Quran dalam mereformasikan budaya dan sikap masyarakat arab dilakukan secara gradual (bi al tadrij). Perempuan mula diletakkan pada posisi yang sepatutnya dan diberikan hak-haknya sedikit demi sedikit. Dalam masa yang sama wawasan Al Quran yang egalitarian untuk memposisikan kesetaraan di antara perempuan dengan lelaki, hamba dengan merdeka mula di perkenalkan lewat firman-firman tuhan seperti – “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah saksi yang adil kerana Allah dan janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kelompok menghalang kamu dari berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat dengan taqwa” [Quran 5:8] dan banyak lagi pesan-pesan universal sebagai acuan reformasi bagi memperbetulkan hubungan sosial-kemasyarakatan, ekonomi dan politik masyarakat arab yang sudah lama rosak. Tidak dapat dinafikan bahawa konsep Tauhid sebagaimana yang telah di singgung oleh ramai intelektual Muslim merupakan permulaan kepada konsep egalitarian yang cuba diperkenalkan oleh Al Quran. Semua makhluk – perempuan, lelaki, hamba, merdeka, arab atau a’jam (non-arab) adalah sama pada pandangan Allah dan yang membezakan nilai antara kita adalah taqwa atau lebih senang saya ertikan sebagai yang punya nilai kemanusiaan. Ini setarikan nafas dengan apa yang dikatakan oleh Ibn Qayyim – “Sesungguhnya syariah itu dibangun atas dasar kebijaksanaan dan kemaslahatan manusia kini dan akan datang. Semua hukum-hukum syariah seharusnya bersifat adil, rahmat, maslahah dan bijak. Maka setiap persoalan atau tafsiran hukum yang menyimpang dari dasar-dasar yang disebutkan di atas, bukanlah bahagian dari syariah…” [I’lam Al Muwaqi’in, Vol 3, hal.3] PEREMPUAN DALAM TIMBANGAN SYARIAH Perjuangan Islam dalam memposisikan kesetaraan perempuan dengan lelaki bukanlah satu tugas yang mudah. Sudah pastilah terdapat resistensi dalam masyarakat yang umumnya sangat patriakal (maaf, saya masih menggunakan istilah ini walaupun ia dibenci oleh segelintir Islamis). Justeru Islam harus berkompromi dan memberikan akomodasi dengan struktur sosial, politik dan budaya masyarakat arab ketika itu. Sebagai contoh, isu kesaksian perempuan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah Al Baqarah ayat 282 – “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki diantara kamu, dan jika tidak ada dua orang lelaki maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika salah seorang diantara mereka (saksi perempuan) lupa maka seorang lagi mengingatkannya..” Perempuan yang sebelum kedatangan Islam tidak dianggap sebagai manusia bahkan lebih teruk layanannya dari seekor unta merah dan tidak diberikan ruang ditempat awam termasuk memiliki harta kini diberikan hak untuk menjadi saksi dalam urusan hutang piutang. Maka rasional Al Quran untuk menyamakan dua orang perempuan dengan satu lelaki dalam ayat di atas kerana ia bukan kebiasaan bagi perempuan-perempuan arab sebelum kedatangan Islam untuk memiliki harta dan terlibat dalam urusan awam. Sedangkan dalam ayat-ayat yang lain Al Quran tidak membezakan kesaksian lelaki dan perempuan, misalnya didalam masalah li’an (suami yang menuduh isterinya berzina) – “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, padahal mereka tidak dapat mendatangkan saksi-saksi lain selain dari diri mereka sendiri hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali dengan nama Allah bahawa dia adalah orang yang benar” [Quran 24:6] Nah, ternyata kesaksian seorang isteri dinilai sama dengan kesaksian seorang suami dalam hal yang cukup berat membabitkan kehormatan dan keturunan. Tetapi sayang wawasan egalitarian Al Quran dalam menempatkan lelaki dan perempuan pada kedudukan yang setara tidak diteruskan oleh ulama klasik dan kebanyakan dari ulama kontemporari. Pengetahuan kepada struktur sosial dan sejarah politik masyarakat arab pra-penurunan Al Quran dan sewaktu Al Quran diturunkan adalah satu keperluan asas kepada ulama yang ingin menekuni teks-teks sacral agama. Al Syatibi di dalam Al Muwafaqat menyatakan – “..Sesiapa yang hendak mempelajari Al Quran dan Sunnah hendaklah memahami tradisi dan adat bangsa arab sewaktu Al Quran diturunkan dan ketika Nabi S.A.W menerangkannya kepada masyarakat. Mengabaikan tradisi dan budaya masyarakat arab ini akan menimbulkan kesulitan di dalam memahami misi besar Islam..” Saya kira, kita dapat bersetuju bahawa kebanyakkan hukum-hakam fiqh seputar isu-isu perempuan masih berada di takuk lama. Perempuan masih lagi diposisikan sebagai kelas kedua atau lebih rendah dari lelaki walaupun realitinya, bilangan perempuan jauh lebih banyak di insitusi-institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara, mereka menyelesaikan universiti dengan nilai yang lebih baik dari kebanyakkan pelajar lelaki. Perempuan juga mengisi posisi-posisi penting di bidang pekerjaan, pembuat dasar dan polisi negara bahkan tidak keterlaluan saya katakan ‘overall performance’ perempuan lebih baik berbanding lelaki. Tetapi dari sudut keagamaan mereka dianggap “complimentary” kepada lelaki. Adilkah begitu? Pada akhirnya, kita dengan berat hati terpaksa bersetuju bahawa perempuan yang melahirkan semua manusia (lelaki dan perempuan), menyusukan dan membesarkan kita semua dan membentuk lebih dari separuh populasi dunia terpasung kebebasannya di dalam pasungan agama. Benarlah, perempuan yang menjadi rakan baik agama sering dimusuhi oleh rakan baiknya sendiri dengan tafsiran-tafsiran agama yang menyudutkan perempuan di ruang yang tidak selayaknya. Saya tidak menyalahkan Islam, tetapi individu-individu yang merasakan mereka punya legitimasi bercakap bagi pihak Tuhan dan mengabsahkan penindasan berstruktur kepada perempuan. MUFTIYA (MUFTI PEREMPUAN) UNTUK MALAYSIA Saya cuba mengambil sikap pertengahan terhadap polemik yang timbul di antara ulama progresif dan ulama tradisional (maaf, bukan niat saya ingin mempromosikan istilah ini tetapi sebagai pemahaman mudah para pembaca) dalam isu-isu yang melibatkan perempuan dan syariah. Saya tidak bersetuju sekiranya kita bermudah-mudah dalam mentafsirkan nas-nas syariah semahunya tanpa pedoman dan hanya bergantung kepada kritik budaya masyarakat arab jahilyyah semata-mata dan dalam masa yang sama, saya juga tidak bersetuju sekiranya kita terlalu kaku, rigid dan takut untuk meluaskan dan mengkritik aturan-aturan yang ditetapkan oleh ulama klasik. Menurut saya, para ulama, selain keperluan menguasai ilmu-ilmu alat dan perbahasan klasik, mereka perlu cakna dengan globalisasi, perubahan masyarakat dan ilmu-ilmu kontemporari supaya wawasan egalitarian Al Quran dapat dijelmakan dalam fatwa-fatwa dan hukum-hukum yang mereka keluarkan. Dr Ahmad Al Raysuni menyatakan – “..tidak diragui lagi, seorang mujtahid harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kebijakan kontemporari yang perlu dia gunakan untuk mengeluarkan fatwa dan berijtihad” [Al Ijtihad: Al Nash, Al Waqi’, Al Maslahah hal. 59] Perempuan di Malaysia telah menjawat pelbagai jawatan-jawatan penting termasuk menteri bahkan tidak canggung kalau saya katakan para mufti, hakim, ulama yang ada sekarang turut terhutang budi dengan guru-guru perempuan yang kerana-nya mereka menjawat jawatan penting dan mengurus umat ini. Kita sudah punya hakim-hakim perempuan baik di mahkamah sivil mahupun syariah. Saya kira sudah sampai masanya Malaysia melantik Muftiya (Mufti Perempuan) kerana saya percaya ramai ilmuan perempuan di Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi jawatan ini. Perlantikan Muftiya di Malaysia bukanlah sesuatu yang mustahil dan tidak ada halangan dari segi perundangan negara mahupun hukum fiqh. Imam Al Nawawi di dalam magnum opusnya Al Majmu’ Syarh Al Muhazzab yang menjadi panutan bermazhab di Malaysia tidak mensyaratkan mufti itu haruslah seorang lelaki. Intinya seorang mufti hendaklah seorang muslim atau muslimah yang mukallaf dan tsiqah (terpercaya), faqih serta berhati-hati dalam membuat keputusan. Nadiyah Al Umari dalam Al Ijtihad fil Islam menyatakan bahawa menjadi lelaki bukanlah syarat utama bagi menjadi mufti kerana sejarah Islam menunjukkan kepada kita para sahabat lelaki dan perempuan mengambil ilmu dan fatwa dari Aishah RH. Bahkan Muhammad Khairat di dalam Markaz Al Mar’ah Fil Islam menyatakan tidak menjadi masalah sekiranya seorang mufti itu adalah seorang hamba perempuan yang hitam dan bisu asalkan dia berupaya menerangkan fatwanya kepada mustafiy (orang yang meminta fatwa) dengan baik. Satu penelitian akademik telah dilakukan oleh sekumpulan ahli akademik dari Universiti Islam Malaysia (USIM) tentang perlantikan mufti perempuan di Malaysia. Dalam penelitian ini mereka telah menjalankan kajian lapangan dengan mewawancara responden-responden dari Jabatan Mufti Negeri Selangor. Dapatan dari penelitian mereka sangat menarik. Secara asasnya tidak ada halangan dari sudut perundangan dan fiqh bagi perempuan di lantik sebagai mufti dan menasihati Sultan atau Yang Di Pertuan Agong dalam urusan keagamaan, tetapi menurut mereka tugas sebagai mufti mengkehendaki lebih dari urusan fatwa, seperti mengiringi Sultan atau Yang Di Pertuan Agong ke luar negara, berbicara empat mata dengan Sultan dan urusan-urusan di ranah publik yang akan menimbulkan fitnah kepada perempuan sekiranya dilantik sebagai muftia. Menurut mereka lagi, terdapatnya keharusan melantik perempuan sebagai mufti tetapi jawatan mufti secara ‘uruf telah sinonim dengan lelaki, sekiranya peluang ingin diberikan kepada perempuan, mungkin lebih sesuai sekiranya mereka di lantik sebagai timbalan mufti. [The Appointment of Female Mufti in Malaysia: An Analysis on The Views of Fatwa Members, Journal of Fatwa Management & Research]. Mungkin di lain kesempatan, kita boleh meneliti secara kritis fenomena ‘fitnah’ perempuan ini sebagaimana yang difahami dalam teks-teks fiqh klasik dan adakah ruang untuk rekonstruksi makna ‘fitnah’ yang dilihat tidak menindas dan mematikan peran perempuan di ruang publik. Namun, maudhu’ perlantikan muftiya atau mufti perempuan di Malaysia bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, suka saya mengingatkan diri saya dan setiap lelaki di dunia ini, walau apa pun pangkatnya pasti dia tidak lebih baik dan mulia dari ibunya sendiri yang kerana-nya lah dia ada di dunia ini. Bahkan Ibn Hazm Al Andalusi menyatakan sekiranya sorang lelaki itu merasakan dirinya lebih baik dari Maryam, Aisyah atau Fatimah kerana dia lelaki sedangkan mereka perempuan, samada dia seorang yang bodoh atau bahkan kafir. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari perempuan antarabangsa untuk semua perempuan di luar sana dan kepada bakal Muftiya Malaysia.]]>

Share your thoughts!

More Articles