Projek Dialog

Navaratri: Meraikan emansipasi wanita

Navaratri atau Maha Navaratri dalam kalangan penganut ajaran Hindu adalah pada bulan Purattasi (September-Oktober) mengikut kalendar Tamil. Perkataan “nava” bermakna “sembilan” dan “ratri” bermakna “malam”. Seperti yang dapat diagak, sambutan Navaratri adalah selama sembilan malam berturut-turut. Sambutannya berlangsung dari 25 September hingga 3 Oktober 2014 khusus bagi meraikan Sakthi Devi yang dimanifetasikan sebagai dewi-dewi dalam sembilan inkarnasi yang penuh variasi. Walaupun Hinduisme adalah agama tauhid pertama dan tertua di dunia, konsep trimurti (tiga dewa) memang diketahui umum; sesuai dengan konsep Ekan Anekan di mana Tuhan adalah Maha Esa tetapi berada di mana-mana dan dalam segala rupa. Tuhan dalam ajaran Hinduisme dimanifestasikan menerusi trimurti iaitu Brahma (Pencipta), Vishnu (Pemelihara) dan Shiva (Pemusnah; Pengakhir). Bagi melaksanakan tugas sebagai pencipta, pemelihara dan pemusnah (dengan erti kata menguasai segala-galanya di mayapada), maka Brahma, Vishnu dan Shiva mendapat sakti (Sakthi; kuasa) daripada pasangan masing-masing iaitu Durga, Laksmi dan Saraswati. Ketiga-tiga dewi ini masing-masing mewakili keberanian/kekuatan, kemewahan/harta dan ilmu/pengetahuan. Sebelum timbul sebarang kekeliruan dan salah tafsir, harus ditekankan bahawa Tuhan dalam ajaran Hindu adalah Maha Esa. Bagaimanapun, bagi menggambarkan segala sifat yang dimiliki-Nya, penganut Hindu dibenarkan mevisualkan rupa Tuhan yang pelbagai mengikut kemampuan masing-masing. Berbalik kepada sambutan Navaratri selama sembilan hari serta kehadiran tiga dewi, masing-masing diraikan selama tiga hari. Durga pada hari pertama, kedua dan ketiga; diikuti Laksmi selama tiga hari; dan Saraswati pada tiga hari terakhir. Upacara serta sambutan Navaratri boleh dibuat di rumah atau di kuil. Bagaimanapun, bagi memudahkan urusan serta bagi melibatkan lebih ramai orang, maka upacara khas biasanya diadakan di kuil. Boleh diraikan mengikut pemahaman masing-masing Dalam Markandey Purana, dinyatakan bahawa inkarnasi Sakthi ialah sebagai Shailputri, Brahmacharni, Chandraghanta, Kushmanda, Skandamata, Katyayani, Kalratri, Mahagauri dan Siddhidatri. [caption id="attachment_4041" align="alignleft" width="300"]Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri. Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri.[/caption] Inkarnasi Sakthi Devi juga disebut dalam Shiva Purana dan sering menjadi rujukan dalam kalangan orang Hindu yang meraikan Navaratri. Bagaimanapun, terpulang kepada setiap individu untuk memilih sembilan inkarnasi yang mahu diraikan. Harus diakui bahawa ajaran Hinduisme iaitu Sanatana Dharma (“agama yang abadi”) amat kompleks dan mungkin sukar difahami orang luar yang kurang pengetahuan mendalam mengenai agama tauhid pertama dan tertua ini. Apa-apa maklumat yang dikongsikan di sini adalah secara amat mudah dan amat ringkas demi membantu pemahaman agar masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh saling menghormati. Antara inkarnasi Sakthi Devi (Mother Goddess) ialah Durga, Bhadrakali (Kali), Ambal, Annapoorna, Sarvamangala, Lalita dan Moogambikai. Patung dewi-dewi ini biasanya disusun pada rak bertangga khas yang dibuat bagi majlis “kolu” sepanjang sambutan Navaratri. Ada warna khas yang dipilih dan ditetapkan bagi setiap hari. Misalnya, bagi tahun ini, warna-warna yang ditetapkan (mengikut urutan hari) adalah kuning, hijau, kelabu, jingga, putih, merah, biru, merah jambu dan ungu. Sambutan Navaratri bukanlah suatu acara yang rigid dan terlalu formal. Sebaliknya setiap individu diberikan kekebasan untuk menyambutnya mengikut pilihan masing-masing. Hal ini penting kerana setiap individu yang berbeza umur, pengetahuan, tahap ketakwaan, pendidikan, latar belakang dan sebagainya pasti memiliki kemampuan yang berbeza untuk meraikan dan menghayati mana-mana sambutan dalam Hinduisme. Semasa berkongsi kisah menerusi Facebook baru-baru ini, Chitra Alagan yang lahir di Taiping, Perak dan kini bekerja di Pulau Pinang terkenang akan pelbagai juadah nabati (sayur-sayuran) yang dihidangkan sepanjang Navaratri. Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor pula mengimbas pengalaman menyanyikan lagu-lagu keagamaan memuji Amman (Mariamman). “Sepanjang sembilan malam, lagu-lagu pujaan dinyanyikan di kuil. Satu lagi pengalaman Navaratri yang tidak boleh saya lupakan adalah sambutan Saraswati Pooja di mana buku-buku diletakkan di bilik sembahyang dan semua ahli keluarga bersembahyang bersama dan berdoa demi kemajuan dalam pelajaran,” kata guru kelahiran Klang itu. Saraswati Pooja dan Ayudha Pooja Saraswati Pooja disambut pada hari kelapan (2 Oktober 2014) khusus bagi Saraswati iaitu dewi yang dikaitkan dengan ilmu, pengetahuan, seni dan sastera. Upacara sambutan ini sangat terkenal di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) demi memohon restu bagi murid-murid. Buku-buku pelajaran akan diletakkan di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu. Akan tetapi, harus dinyatakan dan diingatkan bahawa Saraswati Pooja bukan hanya bagi bahan bacaan seperti buku. Sebaliknya turut melibatkan apa-apa barangan yang digunakan orang untuk sama ada menimba ilmu atau menyara diri. Maknanya, seorang ahli muzik mungkin meletakkan alat muzik miliknya di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu, anugraham (anugerah) dan memohon dimurahkan rezeki. Seorang penulis mungkin meletakkan alat tulis, buku nota atau komputer riba semasa Saraswati Pooja dijalankan. Seorang petani mungkin meletakkan cangkul dan sabit untuk memenuhi hajat di hati. Bercakap mengenai cangkul, sabit dan pelbagai peralatan lain mungkin mengingatkan penganut Hindu kepada Ayudha Pooja pada hari kesembilan. Perkataan “ayudha” atau “ayudham” membawa makna “senjata”. Akan tetapi, tidak pula bermakna bahawa senjata seperti parang, pisau, tombak, pistol, senapang, kayu pemukul, rantai dan sebagainya dipuja pada hari berkenaan. Sebaliknya peralatan yang membantu kita dalam berjuang meneruskan kehidupan dengan membuat kerja-kerja yang halal dikenang pada hari tersebut. Restu Tuhan juga diminta menerusi upacara sembahyang atau puja khas. Selama sembilan hari sepanjang Navaratri, pelbagai acara seni dan kebudayaan diadakan di kuil. Mereka yang berbakat dalam seni tari tradisional seperti bharatanatyam akan membuat persembahan khas untuk menonjolkan keunikan setiap dewi yang diraikan pada hari berkenaan. Individu yang pandai membuat kolem menggunakan beras, bijirin dan bunga pula menghasilkan lukisan seni yang penuh warna-warni untuk menonjolkan bakat kesenian serta meraikan sifat-sifat keindahan dan kesenian yang dikaitkan dengan dewi-dewi yang diraikan. Nyanyian lagu-lagu thevaram serta upacara pooja (puja) khas di kuil memang menjadi kebiasaan. Bunga pelbagai warna, buah-buahan dan manisan dipersembahkan di hadapan berhala sebelum diagih-agihkan kepada orang ramai. Makna simbolik yang mungkin dilupakan [caption id="attachment_4040" align="alignleft" width="300"]Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita. Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita.[/caption] Seperti yang dinyatakan tadi, sambutan Navaratri bukanlah suatu upacara yang rigid atau diwajibkan. Sebaliknya Sanatana Dharma memberikan kekebasan kepada orang ramai untuk meraikan kebesaran Tuhan Yang Maha Esa menerusi cara dan pilihan masing-masing mengikut kemampuan serta tahap ketakwaan. Selepas sambutan selama sembilan hari (Navaratri), maka hari kesepuluh (4 Oktober 2014) adalah Vijayadasami iaitu hari meraikan kemenangan atau kejayaan (wijaya). Sambutan itu diraikan secara simbolik dengan mengangkat Durga yang dikatakan berjaya memusnahkan syaitan berkepala kerbau, Mahishasura. Secara mudah ia menandakan kejayaan kebaikan menghancurkan kejahatan. Durga digambarkan sebagai dewi yang memegang senjata dengan lima pasang tangan serta duduk di atas seekor singa. Gelaran lain yang diberikan kepada dewi berkenaan ialah Mahishasura Mardhani. Salah satu mesej tidak tertulis yang diraikan menerusi Navaratri adalah kehebatan, kuasa, kekuatan, jati diri, kekentalan, keberanian dan semangat juang yang dimiliki oleh golongan wanita dalam kehidupan seharian. Maka sambutan Navaratri bukan sekadar meraikan dan memuja dewi-dewi dalam bentuk berhala. Sebaliknya untuk memperkasa, memotivasi dan menjana kekuatan dalam diri golongan wanita itu sendiri. Atas dasar dan kesedaran itulah juga beberapa filem Tamil dan Hindi bertema emansipasi wanita mengangkat dewi-dewi seperti Kali, Durga dan Amman untuk memberikan semangat juang kepada watak dalam filem. Pada masa sama, Navaratri juga seharusnya berperanan mengingatkan orang ramai (khususnya lelaki) betapa pentingnya kehadiran golongan wanita dalam kehidupan kita. Seperti kata watak seorang ayah dalam cerpen “Doa Tahun Baru” (Kisah dari Siru Kambam): “Awaklah Lakshmi dalam rumah ini. … Awaklah yang memberikan nafas pada rumah tangga ini.” Apa gunanya meraikan Navaratri jika golongan wanita masih merasakan diri mereka serba lemah dan terpaksa bergantung kepada orang lain (lelaki)? Dan apa gunanya meraikan kehebatan dewi-dewi jika golongan lelaki masih memperhambakan wanita? unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles