Sains dan agama: kawan atau lawan?

Jalanan-LOGO-02-300x166

Sains bukan sekadar satu matapelajaran wajib lulus. Sains memainkan peranan besar dalam pembentukan sesebuah masyarakat dalam memahami bagaimana politik, sosial dan ekonomi saling berkait. Ia bermain peranan penting sebagai dasar ilmu Humanisme. Di dalam episod kali ini, kami bersama sama dengan Saudara Zurairi AR dari Unscientific Malaysia untuk membincang mengenai sains sebagai satu falsafah dan cara hudup. Turut ditelaah adalah kaitan antara sains dan humanisme dan sekularisme. Secara keseluruhannya, panel Dialog Jalanan minggu ini  akan merenung tentang bagaimana sains dapat  membentuk sebuah masyarakat manusiawi yang skeptik dan rasional tetapi masih adil dan aman. Antara persoalan yang dipertimbangkan adalah: bagaimanakah kita boleh membudayakan sudut pandang skeptisisme supaya mematangkan lagi wacana politik dan kemasyarakatan negara? Apakah cabaran sains ke amalan tahyul yang makin lama makin menjadi-jadi? Apakah hubungan di antara agama dan semangat persoalan saintifik? Adakah sains dan agama itu patut bercanggah? Bolehkah kita berlaku adil, tanpa kepercayaan kepada tuhan? Selain itu, dikongsi juga lagu dari kugiran Plague of Happiness dengan lagunya, Konspirasi. Mengenai Dialog Jalanan: Dialog Jalanan merupakan satu podcast yang bertujuan untuk meluaskan wacana kritis melalui renungan mengenai isu-isu semasa, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan hal hubungan antara budaya dan agama di negara Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Niat asas kami hanyalah untuk mendalamkan pemahaman kami terhadap isu-isu yang biasanya digelar sensitif dengan cara yang berpaksikan nilai kemanusiaan. Niat dan matlamat kami bukan untuk menyebar mana-mana ideologi atau agama. Podcast ini diterbitkan dengan kerjasama Buku Jalanan. Buku Jalanan ialah sebuah gerakan perpustakaan jalanan yang berkonsepkan peminjaman buku secara percuma, tanpa birokrasi dan seiringan dengan aktiviti seni serta kebudayaan. Ianya bermula di Shah Alam pada tahun 2011 dan kini telah berkembang kepada lebih dari 30 buah perpustakaan – semuanya bergerak dengan autonomi penuh dan dicorakkan oleh keadaan dan agenda tempatan masing-masing. Yang menyatukan kesemua Buku Jalanan ialah sebuah aktivisme untuk membawa kesusasteraan dan kebudayaan ke masyararakat umum dengan menggunakan ruang awam di setiap kota yang mereka diami. ]]>