Neraka haiwan-haiwan kita

Penterjemahan tidak rasmi Our Animal Hell oleh Robert Pogue Harrison, terbitan ‘The New York Review of Books’. Diterjemah oleh Yana Rizal. Sama ada kita percaya atau tidak bahawa Tuhan Yahudi-Kristian wujud, banyak yang dapat dicungkil daripada kata-kata Paus Francis kepada seorang kanak-kanak yang sedih kematian anjingnya. Menurut The New York Times, Francis memberi jaminan bahawa kanak-kanak tersebut akan bersatu semula dengan haiwan kesayangannya “dalam keabadian Kristus” dan – sesuai dengan jawatan beliau sebagai Paus – mengisytiharkan bahawa “Syurga adalah terbuka kepada semua makhluk Tuhan.” *Memandangkan masyarakat kita yang menyayangi anjing sepertimana kita menyayangi Tuhan, media Amerika menumpukan hampir keseluruh perhatian terhadap implikasi kenyataan ini kepada pemeliharaan anjing; namun, satu pengertian yang lebih luas dan jauh lebih gelap terselindung dibawah kata-kata Paus itu. Paus ini tidak memaksudkan anjing semata-mata tetapi semua makhluk Tuhan. Jadi bagaimana mana pula kedudukan manusia? Mengatakan bahawa kita hanyalah satu spesies antara lain adalah benar tetapi kurang tepat, kerana sama ada melalui ketentuan Ilahi atau kerambangan semulajadi, spesies Homo Sapien telah mengembangkan kuasanya ke atas segala makhluk lain yang berjalan, merangkak, berenang, atau terbang. Ini membuatkan kita sejenis makhluk yang tunggal, tidak seperti yang lain. Dari kepupusan yang disebabkan oleh kita, kepada perubahan dan kemusnahan habitat haiwan, dan penyembelihan harian secara besar-besaran untuk menyodok nafsu raksasa kita terhadap daging, ayam, dan ikan, spesies kita mengganasi dunia haiwan dengan cara yang bukan sahaja menyinggung, namun mampu mengundang kemarahan Tuhan yang cukup mengasihi ciptaannya untuk membuka harapan syurga buat mereka. Sama ada secara sengaja atau tidak, pengisytiharan Paus tersebut mengingatkan kita kepada hakikat yang memberati kemanusiaan. Kebiasaannya kita sudah mahir menangkis perasaan “kebersalahan spesies ” ini daripada memakan diri, menurut saya. Lagipun, bukankah kita lebih berperikemanusiaan daripada nenek moyang kita? Bukankah kita lebih menyayangi haiwan? Bukankah kita mempunyai undang-undang terhadap kekejaman haiwan? Ya, kita melakukan semua itu. Namun seperti yang dinyatakan Nicholas Kristof dalam recana terbarunya di The New York Times: “Seksa seekor ayam dan anda mungkin ditangkap. Penderaan ratus ribuan ayam sepanjang hayat mereka? Itulah industri penternakan.” Dengan erti kata lain, itulah yang membekalkan pasar raya kita dengan ayam-ayam “tanpa sangkar” yang ceria. Kita ingin menganggap diri kita sebagai khalifah, bahkan penyelamat alam, namun hakikatnya, untuk dunia haiwan secara amnya, umat manusia tidak kurang daripada malapetaka alam. Ianya benar untuk semua makhluk, sama ada yang dibenarkan “meliar” di kawasan hutan simpan, kepada haiwan yang disumbat sesak dalam ladang penternakan ayam; daripada beruang tarian di Anatolia kepada helang di Alaska, dengan kolar penjejakan mereka; daripada haiwan yang dijadikan bahan uji kimia kosmetik kita, kepada jerung yang siripnya dirobek dari lautan untuk sup majlis perkahwinan kita. Kesemua makhluk adalah tanggungan kita; dan semuanya, termasuklah kuda, anjing, kucing, dan kenari kesayangan kita, tertakluk kepada penganiayaan manusia dalam satu cara atau yang lain. Dari segi kuantitatif, kebersalahan spesis kita lebih teruk dari yang masa lalu, apabila Plutarch atau Pythagoras menyeru terhadap pembunuhan dan pemakanan daging haiwan. Bak kata ahli falsafah dan biologi Perancis, Jean Rostand, “Sains telah menjadikan kita tuhan, sedangkan kita belum lagi layak menjadi manusia.” Walaupun kadar kematian haiwan telah meningkat dengan pesat, namun isu utama hari ini bukan lagi kematian, namun pembiakan paksaan dan kehidupan dalam situasi kenerakaan yang disebabkan oleh eksploitasi organik. Perindustrian penternakan hari ini, dengan manipulasinya terhadap proses-proses biologi seperti genesis, pertumbuhan, dan pembiakan, memaksa haiwan seperti lembu, anak lembu, ayam belanda, khinzir, itik, dan angsa ke arah kehidupan tiruan, yang tidak mampu ditahani. Lebih daripada kejahatan pembunuhan dan pengorbanan haiwan masa lalu, perendahan martabat haiwan kepada hanya satu rizab stok pemakanan, mengurangkan “nyawa” mereka kepada satu kehidupan yang kurang bermakna, hanyalah semata-mata suatu proses mekanikal dalam pengeluaran daging. Dalam surat beliau kepada Rom, Santo Paul telah menulis tentang kesakitan bumi: “keseluruhan ciptaan telah mengerang kesakitan seperti melahirkan anak, sehinggalah ke saat ini.” Rintihan makhluk semakin kuat kebelakangan ini, dan jika Tuhan benar-benar mengasihi makhlukNya untuk membuka syurga kepada mereka, barangkali, haiwan-haiwan kesayangan kita apabila tiba di syurga, akan keseorangan. Friedrich Nietzsche mengutarakan kegilaan ini dalam bukunya ‘On the Genealogy of Morals’ apabila beliau menulis: “Saya tidak ragu-ragu bahawa penderitaan semua haiwan secara kolektif yang tertakluk di bawah pisau demi kepentingan saintifik, sama sekali mampu diabaikan berbanding dengan kesakitan satu malam seorang bluestocking yang histeria.” (bluestocking ialah wanita berpendidikan yang sering mengunjungi kelab intelektual atau salon pada abad ke-18 dan 19.) Apakah yang Nietzsche, seorang manusia, tahu tentang kesakitan haiwan? Apa juga yang dia tahu tentang penderitaan seorang bluestocking, sebenarnya? Berkenaan Nietzsche, kita harus ingat bahawa pada 3 Januari 1889, beliau mengalami keruntuhan mental apabila melihat seekor kuda dilibas penunggang kereta kudanya di Turin. Beliau memeluk leher kuda tersebut dan menangis teresak-esak tanpa kawalan. Saat penghayatan yang begitu jelas terhadap penyeksaan haiwan menandakan berakhirnya kewarasan beliau. Namun Nietzsche tepat dalam hal ini: manusia mampu menanggung penderitaan yang hampir tidak terhad. Dari mana datangnya kebolehan ini adalah misteri. Memandangkan kebanyakan penderitaan kita disebabkan oleh diri kita sendiri, mungkin sebenarnya di jiwa keseluruhan ini adalah sejenis kebersalahan spesies. Kita diberitahu dalam kitab Kejadian [Genesis] bahawa Tuhan menciptakan dunia dan mengisytiharkannya baik, tetapi kemudian, apabila Dia sedar bahawa makhluk kesayanganNya telah menjadi korup, ganas, dan zalim, Dia berubah hati: kerana “kesal manciptakan manusia di bumi,” Tuhan memutuskan untuk “menghapuskan dari muka bumi” kesemua makhlukNya, “manusia dengan haiwan dan hidupan liar serta burung-burung di udara” (6.6). Mungkin kerana ketidakadilan kemusnahan kolektif tersebut, ataupun kerana Dia mahu menyelamatkan makhlukNya yang lain, Tuhan memerintahkan Nabi Nuh untuk membina sebuah bahtera dan mengisinya dengan sepasang dari segala jenis kehidupan, dan daripada itu Dia mencipta semula dunia semulajadi selepas banjir tersebut. Sekurang-kurangnya, kisah menakjubkan tentang penyahciptaan dan penciptaan semula alam ini menimbulkan idea bahawa nasib alam semulajadi terikat kepada salah satu daripada spesiesnya. Setelah banjir tersebut, entah mengapa Tuhan memilih untuk berjanji tanpa syarat kepada Nabi Nuh dan keturunannya, serta “segala makhluk yang hidup”: bahawa Dia takkan lagi memusnahkan bumi dengan banjir. Ia kedua-duanya berita baik dan buruk, kerana ia bermakna bahawa kita tidak perlu takut terhadap sebarang hukuman Ilahi yang akan mengasingkan kita daripada biosfera ajaib yang wajib untuk kehidupan di atas bumi ini. Namun tiada apa di dalam Perjanjian Nuh tersebut yang menghalang manusia daripada membinasakan bumi ini sendiri, meskipun tiada hujan selama empat puluh hari empat puluh malam, tetapi dengan cara lain, seperti perubahan iklim. Kesimpulannya, dunia di tangan kita untuk memeliharanya atau kehilangannya. Paus Francis mengatakan pintu syurga terbuka kepada semua makhluk Tuhan, tetapi syurga jenis apa yang mampu mengalu-alukan kesemua kejadian alam ini? Sudah pastinya bukan syurga di angkasa, di mana roh-roh yang tercerai daripada jasad akan bercahaya seperti disuluh, dalam karya Paradiso tulisan Dante. Ataupun syurga Taman Firdaus, jika yang dimaksudkan ialah taman jinak tanpa sebarang haiwan liar atau serangga berbisa atau perjuangan untuk hidup. Satu-satunya kemungkinan syurga yang terbuka kepada semua spesies di bumi ialah bumi itu sendiri, dengan denyutannya yang jelas berpotensi untuk kegemilangan. Syurga adalah di sekeliling kita dalam keberadaan potensinya – terbenam di dalam tanah, di langit, laut, dan spesies bumi – tetapi kita seolah-olah tidak mampu memaafkannya kerana ia hanya wujud buat sementara dan bukan sesuatu yang kekal abadi. Spesies lain tidak bergelut dengan hakikat kehidupan seperti kita. Mereka mempunyai masalah yang lebih mendesak untuk dihadapi. Untuk kebanyakan “jiran liar” kita, seperti yang dipanggil Thoreau, syurga bermula apabila neraka yang diciptakan manusia untuk mereka berakhir. *Kenyataan kepada anak kecil itu, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Itali dan Amerika, sebenarnya dinyatakan oleh Paus Paul VI dan bukan Paus Francis. Apa yang dikatakan Francis, ketika berucap di khalayak ramai di Vatican, ialah “Kitab Suci mengajar kita bahawa memenuhi keindahan alam ini juga memberikan kesan terhadap semua di sekeliling kita.”  

]]>