Tanah Itu Kehidupan
Kes Bato Bagi v. Kerajaan Negeri Sarawak1merupakan kes mengenai Orang Asal Sarawak yang mana tanah adat mereka telah ditenggelami oleh empangan Bakun. Dan kemusnahan tanah adat mereka melanggar hak mereka untuk hidup2 dan hak untuk berharta3. Orang Asal kalah dalam kes ini, dan bekas Ketua Hakim negara Zaki Azmi mengatakan bahawa hanya NGO yang inginkan Orang Asal tinggal di hutan, dan Orang Asal harus di bawa keluar dari hutan untuk menikmati pembangunan seperti rakyat Malaysia yang lain. Kenyataan beliau menunjukkan bahawa terdapat ketidakfahaman akan budaya orang asal yang menganggap hutan, tanah, sungai dan segala ciptaan merangkumi seluruh kehidupan, identiti, spiritualiti orang asal.
Semasa kami membuat lawatan ke empangan Bakun, kami berpeluang untuk melihat empangan itu sebelum ia dipenuhi air. Ketika berdiri diatas tembok pemisah empangan, saya terkejut melihat pemandangan kawasan di dalam empangan tersebut yang hijau, berbukit bukau, dan tidak percaya bahawa kawasan itu bakal ditenggelami oleh empangan sebesar saiz Singapura. Pada mulanya, saya tidak dapat membuat hubungan antara pembinaan empangan tersebut dengan kesan kepada kehidupan, sehinggalah kami sampai ke perkampungan Orang Ulu Kenyah Badeng di tengah-tengah kawasan pedalaman Bintulu yang bernama Long Lawen.
Saya terkejut apabila tahu di tengah-tengah hutan belantara terdapat sekumpulan manusia yang hidup serasi dan secara intim dengan alam. Mereka bagaikan tidak kelihatan kerana mereka memang pun sebahagian daripada hutan belantara itu. Kami mendapati bahawa komuniti ini enggan untuk berpindah ke lokasi penempatan semula yang diberikan oleh kerajaan, dan mereka memilih untuk berpindah ke tanah nenek moyang mereka kerana tanah lama mereka telah dibanjiri oleh pembinaan empangan Bakun. Empangan Bakun itu memang satu neraka bagi orang asal tersebut, kerana ia telah memecahkan komuniti, mencipta kemusnahan, mencuri kehidupan, memori, budaya, dan identiti mereka.
Cerita yang sama juga berlaku di Kg. Tampasak apabila mereka dipindahkan untuk memberi jalan kepada empangan Babagon. Masalah yang timbul seperti, perubahan dalam penggunaan tanah dan sumber yang menyebabkan kehilangan kawalan tanah, penurunan nilai-nilai tradisional, perubahan struktur komuniti, ramai wanita menjadi pekerja kilang, warga tua duduk diam di rumah sahaja kerana tiada tempat menanam, perbezaan hubungan jantina menjadi ketara, anak muda kurang pengetahuan tradisi dan banyak lagi. Selepas 10 tahun tinggal di tempat pemindahan penduduk kampung, mereka menjadi tidak tentu arah dan takut untuk masuk ke kampung asal untuk bertani, maka alkohol menjadi penenang jiwa dan membawa pergaduhan, kemiskinan melanda, kecurian bertambah, kematian akibat jenayah pun ada. Selepas 10 tahun lagi orang mula berani masuk walaupun ada tanda larangan, kerana mereka percaya mereka masih ada hak atas tanah dikawasan tadahan itu. Dan amalan nenek moyang mereka tidak memudaratkan alam sekitar malahan menjaganya.4
Pertempuran dengan Alam adalah Pertempuran dengan Manusia
Pada minggu lalu saya berpeluang untuk mengikut Persidangan Kebangsaan Alam Sekitar yang dianjurkan oleh Transparency International. Melalui persidangan itu, banyak perkongsian dibuat dari NGO dan aktivis alam sekitar dan semua perkongsian itu mempunyai satu corak yang sama. Iaitu pencerobohan, eksploitasi, kemusnahan, menggugat keharmonian, dan ancaman. Corak itu memberi kesan kepada orang asal, alam sekitar dan menyebabkan kemiskinan dan perpecahan.
Bercakap mengenai ancaman, aktivis SADIA5, Tambi Geram dan Matek Maxi Geram ditangkap oleh polis dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Mukah pada awal tahun ini. Kesalahan mereka adalah menghentikan pembalakan haram di tanah mereka sendiri dan mempertahankan tanah dan alam sekitar. Matek dikenali sebagai pembela hak Tanah Adat Orang Asal (NCR). Taktik intimidasi sebegini adalah sistem yang digunakan untuk melenyapkan suara-suara yang menentang ‘pembangunan’, dan menakutkan yang lain agar tidak cuba untuk menentang syarikat-syarikat yang pentingkan keuntungan semata-mata.
Contohnya, Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Empangan Kaiduan, Nousi Giun pernah diekori oleh dua orang yang tidak dikenali.6 Pekerja syarikat perusahaan kelapa sawit diiringi oleh gangster bersenjatakan pedang samurai, batang besi, kayu dan parang datang dan menakutkan komuniti di desa.7 “Kes Rogol Wanita Penan’, di mana pekerja-pekerja syarikat mengeksploitasi dan mengambil kesempatan terhadap wanita Penan.8 Kelesau Naan, tuai rumah sebuah perkampungan Penan, Long Kerong yang hilang dipercayai dibunuh kerana mempertahankan orang kampungnya dan tanah adat mereka.9 Dan, Bruno Manser, seorang aktivis alam sekitar asal Swiss yang terkenal dengan pemeliharaan hutan hujan tropika dan perlindungan orang asal juga hilang dan akhirnya dianggap mati.10 Pada awal tahun ini juga kita melihat kesedihan yang menimpa Sabah akibat kematian 14 gajah Pygmy Borneo akibat daripada pencerobohan kepada habitat mereka oleh syarikat kelapa sawit.
Di atas merupakan contoh-contoh pencerobohan alam sekitar yang telah banyak diperkatakan, tetapi realitinya pencerobohan ini adalah sangat sukar untuk memisahkan pertempuran alam sekitar dari segala-galanya. Pertempuran alam sekitar adalah pertempuran kehidupan kerana setiap asas kepada setiap aktiviti ekonomi ialah sungai, tanah hutan dan kepelbagaian diversiti. Dan penglibatan pertempuran boleh dilihat dari petani, sehingga ke kerajaan, syarikat multi nasional dan kuasa-kuasa lain.
Kita Adalah Bumi
Tubuh manusia bergantung tidak hanya pada bumi, tapi juga seluruh alam semesta seperti yang dikatakan oleh Judy Cannato,
“Air dalam tubuh anda mengandungi hidrogen yang sedia ada terbentuk di saat pertama fenomena Big Bang. Atom Karbon yang membentuk anda datang bersama-sama selepas letupan supernova. Kepekatan garam dalam badan anda sepadan dengan kepekatan garam dalam laut purba. Sel-sel anda adalah keturunan secara langsung dari organisma yang berkembang berbilion-bilion tahun lalu. Ada boleh melihat kerana molekul klorofil bermutasi, sehingga seperti daun tumbuhan, mata anda boleh menangkap cahaya dari matahari. Dan di dalam rahim ibu anda tubuh kecil anda mengulangi seluruh proses kehidupan pelbagai selular di bumi, bermula dengan satu sel, dan kemudian mengembangkan kompleksiti yang lebih besar.”
Oleh itu, bumi adalah sebahagian daripada lanjutan tubuh badan kita. Penindasan kepada bumi bermaksud penindasan kepada manusia dan segala makhluk hidup di bumi. Kita telah dilatih untuk berfikir bahawa empayar manusia lebih berkuasa daripada makhluk lain (i.e. hutan, sungai, binatang) dan dengan bahasa itulah yang telah digunakan untuk mengeksploitasi bumi, membunuh hutan dan mengambil tanah daripada orang asal. Itu adalah pemikiran anthropocentric, bermaksud segala-galanya adalah berpusatkan kepada manusia dan makhluk lain tidak dipedulikan. Pemikiran anthropocentric secara langsung menyebabkan eksploitasi bumi, pemikiran ini juga menyumbang kepada kemusnahan bumi dan kemusnahan ini dinamakan sebagai pembangunan dan kemajuan. Saya hairan mengapa setiap kali ada bangunan seperti kompleks membeli belah kita panggil ia pembangunan dan kemajuan. Dan orang asal yang tinggal di hutan dilabelkan sebagai mundur, kotor dan tidak bertamadun. Doktrinasi ini sangat kuat sehingga ramai anak Sabah Sarawak yang malu jika dikatakan tinggal di atas pokok, dan bangga mempunyai kompleks membeli belah. Pemahaman asas tentang identiti kita telah dipertaruhkan.
Kita mewarisi pemikiran kolot berbentuk patriaki yang bersifat kapitalis, dan memberi kita andaian pertama bahawa alam adalah mati apabila ia sebenarnya hidup. Keduanya, pemikiran ini memaksa kita mengisytiharkan bahawa alam itu mati untuk mengisytiharkan empayar manusia ke atas alam semula jadi. Ini bermakna semua spesis boleh dihancurkan dan manusia boleh ditindas. Ini merupakan pandangan dunia yang mekanistik kerana tidak dapat melihat hubungan bahawa kitaran hidupan manusia dan alam sekitar adalah berkaitan. Dan pemikiran mekanistik ini telah menjadi buta kepada kepelbagaian diversiti dan sifat kemanusiaan yang saling melengkapi.
Kehendak Kuasa Patriarki
Peranan pusat kuasa patriarki masih mendominasikan landskap manusia. Kebanyakan bentuk kerajaan politik, sistem ekonomi semasa, institusi agama, dan struktur asas sosial budaya (iaitu keluarga) masih bersifat patriarki. Pendekatan yang digunakan adalah dari atas ke bawah, dan orang yang berada di atas cenderung untuk menjadi lelaki yang dominan. Dan kebanyakkan wanita juga ditarik oleh pemikiran patriaki yang mempunyai keinginan untuk berkuasa, menakluk dan mengawal.
Struktur politik, seperti konsep negara bangsa (nation state) dan syarikat-syarikat mega sangat penting untuk tugas patriaki supaya terus mengamalkan konsep pecah dan perintah. Jika dilihat sejarah, sains politik telah mula disediakan sejak zaman Yunani klasik, terutamanya oleh Plato dan Aristotle. Kota Yunani (Greek polis) melambangkan badan yang memperkumpulkan warga rakyat yang terkemuka untuk membantu untuk mengawal dan mengatur kehidupan sosial bagi pihak rakyat. Di tengah-tengah organisasi ini adalah Raja, yang mana bukan sekadar pemerintah empayar duniawi, tetapi juga diakui secara meluas sebagai wakil utama Tuhan di bumi yang memerintah dari atas langit.
Politik, dalam asal-usul kuno, adalah buatan agama. Ia dipimpin oleh Tuhan yang sama iaitu Tuhan bersifatkan patriaki. Perbezaan antara suci dan sekular, antara Gereja dan Negara, adalah tidak kelihatan sebelum era Kristian. Dan semua masyarakat patriarki dicirikan oleh sistem kekeluargaan lelaki di mana lelaki dikira sebagai kaum kerabat kerana mereka adalah keturunan dari nenek moyang lelaki yang sama. Kuasa bapa (paternal authority) adalah prinsip yang memerintah susunan sosial, di mana bapa sering dilihat sebagai lambang pihak berkuasa dan penguakuasaan bapa dan pemimpin politik adalah sangat berkait rapat.
Negara Bangsa
Hari ini, tadbir urus manusia, yang masih berkonsepkan patriaki, dipermudahkan secara rasmi melalui Negara Bangsa, sebuah unit politik yang digambarkan pada zaman Yunani purba, dan dipromosikan pada zaman Roman, tetapi struktur ini tidak mempunyai kepentingan sehingga abad ke-17 di Eropah – selepas Perdamaian Westphalia pada tahun 1648. Hari ini sering diperkatakan bahawa asal-usul negara boleh didapati dalam pembangunan dan perkembangan seni peperangan. Komuniti politik moden berhutang budi keatas peperangan yang berjaya kerana melalui peperanganlah mereka wujud. Akibatnya negeri-negeri yang baru, dipaksa untuk mengatur pada prinsip-prinsip ketenteraan.
Hari ini, terdapat andaian bahawa negara bangsa merupakan alat urus tadbir yang paling effektif dan boleh dipercayai. Tetapi terdapat jutaan ramai orang yang langsung tidak sedar bahawa latar belakang keganasan tentera yang membawa kepada pembentukan negara moden, dan juga mencipta sempadan tiruan yang menyebabkan banyak masalah mengelilingi kebanyakkan negara. Negara bangsa merupakan institusi yang bermasalah besar dan telah membuktikan banyak ketidakpuashatian dan konflik. Ia berkembang berdasarkan kekuasaan dan pengaruhnya dikekalkan oleh sekumpulan minoriti yang berkuasa di mana majoritinya didominasikan oleh lelaki.
Satu lagi keterbatasan Negara Bangsa adalah pandangan anthropocentric nya yang berat sebelah. Negara berminat dalam kebajikan rakyatnya, ia wujud kononnya untuk berkhidmat kepada keperluan rakyat. Dan hal ini bercanggah dengan pandangan bahawa ciptaan material adalah untuk manfaat semua manusia, dan bersetuju bahawa wujud kemusnahan alam. Dan kerana Negara Bangsa (dengan pandangan anthropocentric nya yang berat sebelah ) hanya memberi prioriti kepada manusia dan keperluannya. Dengan peredaran masa, ini diterjemah kepada hanya memberi prioriti kepada yang berkuasa dan yang kaya, oleh itu mengkhianati keinginan umat manusia secara keseluruhannya.
Walaupun terdapat berjuta-juta manusia masih lagi mengidentifikasikan diri dengan identiti kebangsaan, sifat patriotik ini adalah sebahagian besar sisa-sisa daripada kesedaran imperialis sebelumnya. Ia memperkuatkan perasaan anthropocentric untuk berada dalam kawalan, yang bersifat tipu dan destruktif untuk jaringan kehidupan yang luas ini.
Kebuntuan Lahad Datu mempunyai kebuntuan lebih besar
Dengan banyaknya sudah berita mengenai Lahad Datu di internet, saya tidak akan menambah lagi versi versi apa yang sebenarnya berlaku di Lahad Datu. Tetapi saya ingin menggunakan sudut lain untuk membicarakan tentang isu ini. Bagi pendapat saya, kebuntuan ini adalah satu lagi contoh sikap patriaki yang ingin berkuasa, mengawal dan mendominasikan. Tidak kira penjajahan dari zaman Kesultanan Brunei ke Kesultanan Sulu, lalu British dan kini Malaysia. Ini semua adalah dominasi yang melihat kumpulan dominan lelaki berkuasa ke atas subjeknya. Ideologi ini merujuk kepada struktur yang melahirkan dominasi dan eksploitasi ke atas yang lemah dan tidak berkuasa, perpecahan, ketidakpercayaan, dan keganasan. Dan inilah kuasa imperial yang bersifat patriaki mempengaruhi kelahiran Negara Bangsa yang ada sekarang.
Walaupun terdapat banyak spekulasi terhadap tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah, tetapi jika dilihat secara keseluruhan, ianya melibatkan tuntutan sebuah tanah yang kaya dengan sumber alam. Sekali lagi kita melihat dominasi terhadap alam yang juga memberi kesan terhadap manusia. Dominasi alam atau pertempuran alam ini secara langsung membawa maksud kepada dominasi manusia, kerana seperti saya katakan di atas alam dengan manusia adalah satu.
Dominasi alam ini menyebabkan kematian sia-sia terhadap manusia tidak kira dia orang Malaysia atau Filipina. Dominasi alam ini menyebabkan kebencian diantara kebanyakkan rakyat Malaysia dan Filipina. Dominasi alam ini menyebabkan kemanusiaan sekarang saling tidak mempercayai. Ini kerana, kewarganegaraan mereka telah dicipta oleh struktur patriaki yang membentuk sempadan tiruan. Suka atau tidak, kita semua adalah bumi, kerana sebagai manusia kita dilahirkan dari bumi, disuburkan oleh Bumi, disembuhkan oleh Bumi. Konsep ini tidak asing bagi orang asal seluruh dunia yang sangat interaktif dengan kesucian purba ini.
Dan pemisahan ini berlaku apabila terdapat falsafah rasional baru yang mengutuk atau menuduh bahawa manusia terjerat dalam ciptaan bumi duniawi, dan falsafah ini mendorong mereka untuk membuat perbezaan ke dalam makhluk yang berasingan, mempunyai autonomi dan diletakkan dibawah satu pemerintahan Tuhan patriaki dari langit. Dan Negara Bangsa juga memainkan peranan yang penting untuk mengubah mengubah masyarakat agama pada zaman pertengahan ke sistem sekular. Dengan kemunculan negeri-negeri autonomi, identiti manusia bertukar dari manusia satu dengan bumi, beralih kepada hamba, dan lalu menjadi subjek, dan akhirnya menjadi warganegara.
Berbaik-baik dengan kekeliruan
Tidak dapat dinafikan pergolakan dan huru-hara di negara kita sekarang. Ia semakin jelas bahawa banyak perkara yang telah jatuh dan terdedah. Seperti orang-orang yang diamanahkan dalam urus tadbir, di mana jutaan telah menanamkan kepercayaan yang begitu banyak, bersama dengan kuasa dan wang yang banyak. Pada masa yang sama, kuasa-kuasa lain yang melibatkan politik, ekonomi, sosial, dan bahkan agama juga mulai terlibat dalam kekacauan. Dan ini mencipta kekeliruan dan perpecahan yang lebih besar daripada apa yang sudah berlaku.
Kekeliruan dan kekecewaan yang dibuat semakin teruk dengan penafian-penafian yang diberikan kepada kita. Penafian ini adalah sengit dilindungi oleh mereka yang berkuasa. Inilah masanya untuk kita mempergunakan kekeliruan dan huru-hara ini untuk bangkit terhadap kebenaran yang menyakitkan akan apa yang berlaku di belakang tabir. Perpecahan yang berlaku disekeliling kita dan semakin ia terdedah, institusi utama akan cuba untuk memastikan ia tidak kelihatan manakala menawarkan bahawa keadaan semuanya terkawal. Ini merupakan helah yang kejam untuk melumpuhkan kreativi kita untuk berimaginasi.
Evolusi mempunyai dua ciri-ciri, pertama ialah keadaan huru hara yang menyakitkan dan kematian akan apa yang kita kenali, sayangi dan hargai. Dan keduanya ialah rasa bersemangat tetapi tidak jelas akan apa yang akan kita hadapi, atas jangkaan yang radikal dan mempunyai keterbukaan yang baru untuk masa depan. Dan pada saat ini, kita barada di antara ruang yang terbatas ditandai dengan campuran kekeliruan dan kreativiti.
Saya mencadangkan agar kita berbaik-baik dengan kekeliruan ini secara proaktif dan kreatif. Dan kita belajar untuk membiarkan pergi sekuriti lama tidak lagi berguna untuk kemunculan evolusi kita. Oleh itu, kita bebas untuk menjadi terbuka kepada yang baru, dan lebih mencabar dan berani dalam meneroka masa depan yang mana kehidupan telah menjemput kita.
Sebagai contoh, solidariti komuniti online yang menukar gambar ‘pray for Sabah’ menunjukkan bahawa ada yang inginkan keamanan.11 Tetapi harap-harap doa keamanan ini bukan sahaja di profile picture tetapi boleh dilanjutkan kepada aksi positif untuk bertindak seiring dengan tuntutan kemanusiaan. Seperti usaha rakyat Sabah yang prihatin bertindak untuk menggubal pestisyen “Sabahans Reject Sulu & Philippines Claim on Sabah”. Tindakan belia di #OccupyDPM dan #IdleNoMore untuk mengembalikan kuasa bersuara kepada bukan sahaja ahli politik tapi juga orang biasa. Kerana kegagalan untuk ramai yang bersuara secara konkrit (bukan di FB sahaja) adalah apa yang kurang dalam komuniti kita yang menyebabkan kita mempunyai kebergantungan yang sia-sia terhadap pada kepimpinan negara.
Mungkin boleh juga melakukan aksi aksi positif yang bertemakan keamanan, persahatan, kemanusiaan. Contohnya, mewujudkan FB page atau video projek dengan kawan-kawan Filipino.12 Mungkin boleh mengambil gambar dengan makcik, pakcik, migran dan post mesej keamanan dan kongsikan kepada komuniti online untuk mendorong yang lain juga berbuat sama. Sekarang bukan masanya untuk membenci, tapi menghulurkan tangan dan mencapai semua manusia. Terdapat satu perkongsian yang mengharukan oleh Christine Gamoza yang dilahirkan di Filipina dan membesar di Sabah.13 Seharusnya banyak lagi perkongsian ini diketengahkan untuk mendekatkan jurang identiti kita sebagai manusia.
Tarikan Masa Depan
Dengan insiden ini, ramai yang kini sedar bahawa kita juga tidak bebas dari sempadan konflik bersenjata. Konflik yang mempunyai asal usul dari pemikiran ingin mendominasi, mengawal dan memecah belahkan. Dan apabila ramai yang bising akan pencerobohan ini, mengapa diam atas pencerobohan minda rakyat dengan media berat sebelah. Mengapa diam apabila rakyat dipukul dan mati didalam penjara. Mengapa diam terhadap pencerobohan tanah adat orang asal yang banyak berlaku di Sabah, Sarawak dan kaum Orang Asli.
Kita harus ingat bahawa kita juga mempunyai konflik dalaman. Salah satu contoh yang saya berikan di atas, melihat sahaja intelektual yang menyatakan bahawa hanya NGO inginkan orang terus tinggal di hutan. Ternyata selama 49 tahun, masih terdapat ketidafsefahaman antara pemikiran Malaysia Timur dan Barat. Pencerobohan dan rampasan sumber asli di Malaysia Timur melalui projek-projek bangunan mega jika diteruskan, ini membentuk asas bagi Sabah dan Sarawak, untuk membuat usaha hak penentuan diri dari Malaysia Barat.
Dari segi sosio-ekonomi, polisi-polisi yang berakar dalam sistem menyebabkan peminggiran bahagian Malaysia Timur. Hampir semua projek perindustrian dan pelaburan utama infrastruktur dan pembangunan pergi ke Malaysia Barat. Institusi politik dan pendidikan di Malaysia barat menerima tumpuan besar, pendidikan yang membunuh pengetahuan asal, bahasa ibunda dan sejarah orang asal. Permintaan Malaysia Timur untuk perlindungan terhadap dominasi barat tidak dikembalikan, seperti perkara 18/20.
Kita sudah menjadi biasa dengan wang politik, propaganda, yang mempunyai asal usul patriaki, dan dengan kebetulan pula negara kita juga kekurangan pemimpin wanita, jika ada pun sudah didoktrinasikan oleh sifat patriaki yang menjatuhkan. Aspirasi dan kepentingan rakyat Malaysia Timur yang tidak diutamakan. Nilai nationalisme dan integrasi kebangsaan telah disamakan dengan pengIslaman, yang mempunyai satu bahasa dan satu agama. Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi bagi semua aktiviti kerajaan, di mana orang asal sudah hilang identiti dan bahasa ibunda dianggap mundur.
Kita sudah menjadi biasa dengan wang politik, propaganda, yang mempunyai asal usul patriaki, dan dengan kebetulan pula negara kita juga kekurangan pemimpin wanita, jika ada pun sudah didoktrinasikan oleh sifat patriaki yang menjatuhkan. Aspirasi dan kepentingan rakyat Malaysia Timur yang tidak diutamakan. Nilai nasionalisme dan integrasi kebangsaan telah disamakan dengan pengIslaman, yang mempunyai satu bahasa dan satu agama. Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi bagi semua aktiviti kerajaan, di mana orang asal sudah hilang identiti dan bahasa ibunda dianggap mundur.
Mengambil kira pencabulan yang berulang terhadap prinsip-prinsip demokrasi ini, serta terdapat sejarah panjang penindasan dan peminggiran sosio-ekonomi, politik dan budaya. Alasan ini jelas dan mampu untuk Malaysia Timur membuat tuntutan untuk penentuan sendiri. Seperti yang dinyatakan dalam Artikel 3 UNDRIP menyatakan bahawa Orang Asal (Indigenous People) mempunyai hak penentuan diri (Self-Determination), ini bermaksud orang asal ada hak untuk bebas menentukan status politik mereka dan bebas mengejar pembagunan ekonomi, sosial dan budaya mereka. Dan Artikel 4 yang mengatakan bahawa orang asal mempunyai hak ke atas pemerintahan sendiri.
Saya tidak menggolongkan bahawa kemodenan itu satu kesilapan, tapi akan mengadvokasikan pengembalian bentuk identiti politik dan sosial yang lokal dan mempunyai kesatuan kemanusiaan dengan alam yang lebih bersifat matriaki. Masyarakat matriaki tidak ganas seperti masyarakat patriaki, dan mempunyai kasih kepada bumi sebagai mother nature, kerana masyarakat ini tahu ibu yang memberi kehidupan di dunia.
Akhirnya, sejarah ditulis oleh pemenang, tidak kiralah semasa Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, British, Malaysia. Sejarah mereka mungkin agung dan bergaya, tetapi siapakah yang akan menulis sejarah majoriti yang hidup di bawah mereka. Dan sedangkan sejarah 16 September 1963 juga kita tidak tahu sama ada benar-benarkah suara seluruh Sabah Sarawak didengar.
RUJUKAN: