Projek Dialog

Pengalaman meneroka falsafah barat

“All I know is that I do not know anything” ― Socrates

Saya, sepertimana juga manusia-manusia yang lain, pastinya ingin menjalani kehidupan yang bahagia dan harmoni dengan semua unit-unit kehidupan yang berada dalam dunia ini. Namun, matlamat kehidupan setiap seorang daripada kita pasti berbeza. Ada insan mencapai bahagia dengan cinta. Ada insan mencapai bahagia dengan kekayaan. Ada juga mencapai bahagia dengan status sosial. Ada insan lain pula mencapai bahagia dengan macam-macam cara dan upaya. Untuk saya, dan juga kebanyakan mereka yang lain juga, sebelum mencapai bahagia itu, saya perlu tahu apakah tujuan kehidupan ini? Apa yang membuat saya berbeza dengan sekalian unit-unit alam semesta yang lain? Kenapa saya berada disini? Bagi saya, kebahagiaan itu perlu dicari dengan perjalanan merentasi segala persoalan-persoalan rumit untuk mencapai suatu kebenaran. Ya, kebenaran tentang kewujudan saya. Kebenaran itu pula hanya dapat dicapai dengan hikmah. Sebab itulah falsafah membawa maksud “love of wisdom”. Dalam menelurusi perjalanan ini, tidak kurang juga rakan-rakan yang bertanya, “Mengapa suka falsafah?”, “Apa gunanya falsafah ni?”, “Falsafah ini bukan boleh menyelesaikan masalah pun” dan pelbagai lagi kerunsingan dan kehairanan. Kepentingan Falsafah Jika anda mengambil waktu sedikit dari hari-hari anda yang sibuk itu dan mula untuk bertanya tentang apa-apa sahaja tentang dunia ini, anda tidak dapat lari dari menyentuh persoalan falsafah. Falsafah ini di peringkat individu mudahnya ialah apa-apa sahaja yang anda ingin tahu tentang hakikat atau realiti kehidupan ini dan perkaitannya dengan pengalaman anda seharian. Jika diperingkat sosial pula ialah segala persoalan berkait rapat hubungan anda secara individu dengan masyarakat dan alam. Semua persoalan-persoalan ini pula membentuk teori-teori politik, ekonomi, sosial , malah menjadi asas kepada perkembangan sains dan teknologi yang kita kecapi hari ini dari segala cabang sains yang kita maklum seperti biologi, astronomi, fizik dan sebagainya. Falsafah juga mendorong perkembangan ilmu matematik. Falsafah juga bukan sahaja mencari realiti di dunia, malah mencari realiti di sebalik dunia. Ia digunakan untuk mencari Tuhan dan segala hikmah penciptaannya. Inilah sebabnya digunakan dalam merungkai pelbagai konsep-konsep abstrak seperti “cinta” , “takut” , “bahagia”, “mati” dan sebagainya.  Asasnya ia menjadi alat ataupun proses untuk mencari jawapan terhadap semua perkara. Maka lebih baiklah saya bertanya kembali:  “Apakah lagi alasan untuk tidak meneroka falsafah?” Kenapa falsafah barat? Jika anda seorang yang beragama, pastinya agama seolah memberi semua jawapan terhadap segala persoalan diatas. Sebagai Muslim “by birth”, saya bertekad untuk bermula dari “kosong”. Saya bertekad untuk menjadi pengembara atau musafir. Umumnya, seorang musafir menjelajah dari suatu tempat ke tempat yang lain dan dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain. Ia mungkin memerlukan sedikit kewangan dan bekalan untuk memulakan perjalanan. Bagi saya yang tidak mempunyai kapasiti itu, saya menjumpai jalan lain untuk mengembara. Dan jalannya ialah melalui falsafah. Ya, mengembara melalui minda-minda manusia. Pastinya, tafsiran manusia terhadap agama yang mendakwa mempunyai jawapan terhadap segalanya tidak menarik minat saya. Malah, selalu sahaja jawapan itu berbentuk dogma dan tidak mempunyai apa-apa bukti pun. Ia hanyalah dalil-dalil dalam kitab suci dan perbahasan-perbahasan itu dan ini yang hasilnya ialah pendapat manusia terhadap agama. Ia tidak punya kepastian malah ia bukan memberi jawapan bahkan menimbulkan lebih banyak persoalan. Falsafah barat hanyalah salah satu dari jalan yang sedang saya tempuhi dalam pengembaraan ini. Falsafah Timur pula mungkin bakal menjadi jalan yang akan saya tempuhi kemudiannya. Untuk makalah ini khasnya, ada beberapa perkara yang membuat saya tertarik dengan perbahasan falsafah barat. Pertama, menelusuri falsafah barat bermula dengan sikap ragu dan ketidakpastian. Ia memulakan kembara dengan meneliti kejadian alam dan membuat interpretasi keatasnya. Contohnya ahli-ahli falsafah zaman pra-Socrates cuba mencari jawapan dengan persoalan sekitar alam semulajadi. Socrates pula membuat “turning” dengan membincangkan morality manusia sebagai subjek falsafah. Secara ringkasnya, dari situ ia berkembang pula dari perdebatan mencari epistemologi “certainty” (keyakinan) yang memberi nyawa kepada zaman pencerahan yang menggantikan agama dengan akal sebagai dogma baru, kemudiannya kepada aliran pascamoden yang menolak langsung nilai-nilai universal yang digali dari akal/rasional, dan memberi penekanan terhadap penghayatan hidup dalam dunia yang bersifat relatif. Kedua, dari sifat ragu ini pula, menyebabkan seluruh sejarah falsafah mereka tidak statik dan sentiasa berkembang kerana adanya persoalan-persoalan berterusan dan wacana cabar mencabar. Ini membuka ruang akal manusia seluas-luasnya untuk disangkal dengan pemerhatian dan tafsiran tentang realiti yang baru. Ketiga, bukan sekadar itu, ia tidak lagi mempunyai sikap yang membawa kepada pertuduhan-pertuduhan kufur, malah lebih malang lagi, memberi pertuduhan sesat dan keliru kepada mereka yang tidak sependapat. Walaupun memang ada aliran fikrah yang konservatif dalam wacana falsafah barat, secara keseluruhannya ia tidak lagi terjerat dengan kerisauan tentang perbezaan isu-isu akidah, sehingga timbulnya natijah hukuman yang berat malah dalam masyarakat yang ekstrim, sedasyat hukuman mati. Keempat, secara amnya sarjana-sarjana barat sedaya upaya mencari jawapan terhadap kesemua persoalan kehidupan ini dengan hujah berbalas hujah. Walaupun beragama, mereka masih sama-sama menggunakan wacan soal-jawab kritis untuk menggali jawapan dan memberi interpretasi terhadap apa-apa yang terkandung di dalam lingkungan pengalaman dan pemerhatian mereka. Ini menjelaskan kenapa wacana-wacana yang terhasil melalui falsafah barat tidak puas dengan sandaran kebenaran mutlak dari Tuhan, yakni mereka tidak terlalu bergantung atau terikat kepada sumber “divine revelation” semata-mata untuk mencapai kebenaran. Jika pun mereka percaya kepada kebenaran mutlak, ia mesti berlandaskan metafizik yang mereka yakini ada berdasarkan hujah, yang mana failasuf agung seperti Socrates juga dalam pengembaraannya akhirnya mengakui yang “I know that I know nothing”. Jika kebenaran itu dicapai dengan hikmah, maka itulah hikmahnya yakni mengetahui yang kita tidak tahu apa-apa pun. Hakikatnya, kita tidak mempunyai cukup  bukti dalam satu-satu masa untuk membuat justifikasi atas kebenaran mutlak, yang boleh diapplikasikan ke semua zaman dan konteks. Oleh itu, perspektif-perspektif yang terhasil sepanjang perdebatan falsafah barat mencerminkan suatu pengembaraan yang luar biasa. Akhir sekali, falsafah barat itu bukan muncul kerana suatu konspirasi untuk memerangi mana-mana agama, khususnya Islam, akan tetapi ia datang dari konteks masyarakat yang bergelut untuk berkembang dan melepaskan diri dari dogma yang membelenggu bukan hanya kehidupan fizikal mereka, tetapi juga akal mereka. Persoalan mengatasi jawapan Saya selalu dihujani hujah yang mengatakan bahawa falsafah barat ini terlalu carca marba dan penuh kekeliruan kerana mereka tidak menerima sumber dari wahyu. Dan mereka yang membuat dakwaan ini pula terus-terusan mendakwa ajaran agama itu benar dan tidak boleh dipersoalkan lagi kerana di dalam Islam misalnya, tidak wujud apa-apa keraguan dan kekeliruan, kerana agama mengajarkan untuk yakin dengan mutlak atas wahyu Tuhan dan kebenaran utusan-Nya. Apa pun dakwaan yang dibuat, dengan kebolehan akal sebagai manusia,kita perlu bersikap adil terhadap diri sendiri mahupun dakwaan yang dibuat terhadap orang lain. Jika kita menggunakan logik yang sama untuk menolak agama lain, kita juga seharusnya menggunakan logik yang sama untuk diuji keatas agama sendiri. Begitu juga dengan kisah-kisah mitos yang kita anggap rekaan manusia kerana tiada bukti, seperti  itu juga kita perlu kritikal terhadap penceritaan-penceritaan di dalam teks suci kita. Bersikap kritikal secara konsisten ini memerlukan disiplin dan kerja keras setiap individu dalam membuat dakwaan terhadap apa yang dipercayainya. Begitu juga dalam membuat sebarang spekulasi dan interpretasi terhadap realiti kehidupan. Sepanjang pengembaraan saya meneroka falsafah barat, secara individu, mahupun secara berkumpulan di dalam kelas formal mahupun tidak, saya menjumpai lebih banyak persoalan mengatasi jawapan yang saya inginkan. Terlalu banyak perkara yang begitu sukar untuk mendapat suatu kepastian yang semua orang boleh bersetuju dengannya. Mungkin Sartre benar dengan mengatakan yang manusia ini dalam negation di mana kita sentiasa membina, meroboh  dan membina kembali pemahaman kita tentang realiti yang mana proses ini sentiasa berterusan, dalam satu keadaan resah, sepanjang hayat kita. Kesimpulan Kita kena berhenti menanggapi falsafah barat sebagai suatu yang asing dalam masyarakat kita dan perlu cuba menjelajah sedalamnya walaupun kita bermula dengan perlahan. Ini juga tidak bermaksud bahawa kita patut berhenti mempelajari falsafah Islam, falsafah Melayu, falsafah Timur (Confucianism, Zen Buddhism, Taoism dll.) dan juga mana-mana falsafah dari benua apa pun. Ini adalah suatu pengembaraan minda yang bermakna dan satu penjelajahan yang hujungnya hanya kematian. Mempelajari dan memahaminya bukanlah boleh merosakkan akidah akan tetapi memperkukuhnnya jika yang kita imani selama ini benar. Kita juga patut berhenti dengan menganggap perbincangan falsafah ini adalah sesuatu yang “elit” dan tidak berguna untuk rakyat kebanyakan. Falsafah mencari asas supaya ideologi, polisi malah teori apa pun yang dibentuk tidak berulang kali melakukan kesilapan yang sama. Walaupun begitu, tidaklah pula falsafah dijamin memberi jawapan yang kita inginkan dalam hidup. Falsafah adalah suatu proses pengembaraan. Ia suatu penjiwaan kita dalam memahami makna dan erti hidup. Akhir kata, pengalaman ini adalah kepunyaan dan milik saya yang membuat renungan keatasnya. Realiti anda pula, pasti berbeza. Teruskan perjalanan!       unnamed ]]>

Share your thoughts!

More Articles