The Malay Rulers: Regression or Reform? (2013) adalah edisi yang dikemas kini daripada buku Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan (1993). [caption id="attachment_2694" align="alignleft" width="300"] Majlis pelancaran “The Malay Rulers” berlangsung di Petaling Jaya.[/caption] Buku setebal 86 halaman ini terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan dijangka kurang mendapat “perhatian” puak ultra kiasu memandangkan buku ini ditulis dalam “bahasa asing”. Syed Husin sudah menulis dan menyelenggarakan sekitar 20 buku dan buku terbaru ini dilancarkan di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya pada 3 November 2013. Saya berpeluang hadir kerana kebetulan menemani Datuk A. Samad Said dan isterinya sempena Deepavali. Harus saya akui bahawa sepanjang ucapan pelancaran oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta ulasan buku oleh Profesor Tunku Shamsul Bahrin dan Profesor Aziz Bari, saya lebih tekun membaca The Malay Rulers: Regression or Reform? kerana kandungannya amat mempersonakan. Baru-baru ini, saya menulis sebuah makalah pendek berjudul “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Saya menerima segala kritikan dan pandangan itu dengan penuh terbuka demi percambahan minda dan dialog positif. Dalam buku Syed Husin, beliau turut menyentuh beberapa perkara “sensitif” yang menimbulkan kemarahan sesetengah pihak apabila saya menyebut mengenainya dalam makalah saya. Maka buku ini wajar dijadikan bacaan wajib supaya mendapat pencerahan minda. Buku ini terbahagi kepada enam bab dan disusun secara kemas bagi memudahkan pembacaan dan pemahaman. Saya akan memetik serta mengulas beberapa bahagian yang mencuri tumpuan saya semasa membacanya. Terjemahan kesemua petikan adalah oleh saya sendiri dan jika timbul sebarang pertikaian – sebagaimana dalam Perlembagaan Malaysia – maka versi asal Bahasa Inggeris adalah rujukan yang sah. Bab satu dimulakan dengan asal-usul Raja-raja Melayu. Dinyatakan bahawa walaupun Iskandar Zulkarnain dinyatakan dalam Quran, tidak diketahui jika individu itu sama dengan King Alexander the Great “yang hidup, memerintah dan menakluk lebih 2,300 tahun dahulu”. Asal-usul Raja-raja Melayu Syed Husin memetik kisah daripada Sejarah Melayu di mana dinyatakan bahawa raja Melayu pertama di Alam Melayu ialah Seri Teri Buana. “Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Seri Teri Buana merupakan keturunan Alexander,” kata Syed Husin dalam bukunya. Perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana juga dihuraikan dalam buku ini. Antara perkara penting dalam perjanjian itu adalah bahawa orang Melayu tidak akan menderhaka terhadap raja. [caption id="attachment_2693" align="alignleft" width="265"] Teks “Sejarah Melayu” merakamkan pelbagai perkara penting berkaitan Raja-raja Melayu.[/caption] Sesudah dan selepas kedatangan Islam, pengaruh Hindu amat kuat dalam sistem beraja di negara kita; sebagaimana turut terakam dalam Sejarah Melayu serta dapat pula dilihat sendiri sehingga hari ini. Seperti kata Syed Husin, ajaran Hindu dan Islam sama-sama menekankan konsep “raja yang adil” (Just King). Bagaimanapun, dalam sejarah ketamadunan Islam, terdapat beberapa contoh pemerintah (raja/sultan) yang kejam dan kurang bijak (cruel and foolish). Dalam sejarah Kesultanan Melayu juga tidak kurang contoh pemerintah yang memiliki kualiti buruk seperti itu. Pada pandangan Syed Husin, hal ini menunjukkan bahawa ciri-ciri pemerintah seperti digariskan dalam Islam tidak semestinya wujud dalam realiti. Semasa membicarakan sistem feudal, penulis menyebut bahawa salah satu ciri utama yang tampak jelas adalah “minda abdi” (slave psychology) dalam kalangan orang Melayu; dan diperkuatkan pula menerusi konsep “setia” dan “derhaka”. “Konsep ‘derhaka’ ada makna penting dalam budaya Melayu. Dalam Sejarah Melayu, apabila Seri Teri Buana meletakan syarat bahawa rakyat tidak akan menderhaka kepada raja, jelas ada pengaruh tradisi Hindu,” kata bekas tahanan ISA (1974-80) ini. Di Malaysia, pada penelitian Syed Husin, beberapa perkataan/frasa yang digunakan orang/rakyat semasa menghadap raja/sultan berciri menghina diri sendiri (self-denigrating). Contoh yang dikemukakan adalah “patik”, “duli” dan “sembah”. Krisis Perlembagaan 1983 dan 1993 “Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja? “Kata ‘duli’ pula membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’ dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya, dalam Islam, hanya Allah layak disembah,” Syed Husin menegaskan. Perubahan yang berlaku dalam Kesultanan Melayu sejak British menguasai Pulau Pinang turut dihuraikan dengan mengkhususkan beberapa insiden penting dan sensitif di Perak, Johor dan Terengganu. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa antara motif utama penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah demi memastikan Raja-raja Melayu tidak kehilangan kuasa. Malah, atas dasar itulah juga Umno (lama/asal) ditubuhkan pada 11 Mei 1946. [caption id="attachment_2692" align="alignleft" width="300"] Umno ditubuhkan antara lain bagi mempertahankan kuasa raja-raja.[/caption] Atas sebab itu, tentulah amat menarik untuk meneliti konflik yang muncul antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah” (Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan. Krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 tentu sahaja tidak akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed Husin menghuraikan dengan jelas tindakan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan yang mula mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya “terpaksa” dilakukan oleh Mahathir sebelum Sultan Johor “yang sukar dikawal” (difficult to control) menjadi Agong. Akibat bantahan daripada Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mahathir terpaksa membatalkan usaha “murni” itu. Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu! Delegasi Umno yang terdiri daripada Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad, Sanusi Junid, Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz bertemu beberapa raja/sultan pada tahun 1991 untuk menyerahkan memorandum dan draf Kod Etika bagi Raja-raja Melayu. Umno ganti peranan Raja-raja Melayu? Parlimen mencatatkan sejarah pada 10 Disember 1992 apabila Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan resolusi berkaitan kejadian Douglas Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Kolej Sultan Abu Bakar “dipukul dan dicederakan” (beaten and injured) oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992. Pendedahan yang dilakukan oleh Syed Husin menerusi buku ini mengenai Raja-raja Melayu dan keluarga mereka pasti membuatkan pembaca hampir tidak percaya. Misalnya, sebelum insiden Istana Bukit Serene, pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor, Tengku Abdul Majid khabarnya memukul dan mencederakan penjaga gol pasukan hoki Perak, Mohamed Jaafar Mohamed Vello. Kisah lanjut dan terperinci boleh dibaca dalam buku ini. Kisah bagaimana Tengku Mahmud Iskandar Shah terpaksa melepaskan jawatan Tengku Mahkota pada 1972 tetapi kemudian berjaya mendapatkan tandatangan ayahnya, Sultan Ismail, serta menjadi “sultan yang tidak ditabalkan” sangat mengujakan; bagaikan membaca kisah dalam hikayat dan epik klasik. Dalam isu berhubung kekebalan Raja-raja Melayu, Mahathir membuat keputusan membentangkan usul di Parlimen pada 18-19 Januari 1993. Suasana pada waktu itu amat genting. [caption id="attachment_2695" align="alignleft" width="300"] Buku ini wajib dibaca bagi memahami isu sebenar seputar Raja-raja Melayu.[/caption] Pindaan yang dicadangkan Mahathir melibatkan Perkara 181 (2) dan akan membuatkan raja/sultan kehilangan banyak kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca raja/sultan kehilangan imuniti? Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang Melayu,” Syed Husin menghuraikan. Bab empat buku ini meneliti beberapa perkembangan terkini yang melibatkan Raja-raja Melayu, Umno-BN, serta konflik di Perlis, Terengganu, Perak dan Selangor. Dalam bab kelima, kes-kes di England, Perancis, Jepun, Indonesia, India dan Iran dikemukakan bagi membantu pembaca lebih memahami – serta membuat perbandingan – peristiwa perebutan kuasa melibatkan golongan raja/sultan dan kerajaan/rakyat. Buku ini amat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang berminat memahami realiti dan masa depan Raja-raja Melayu. Sekurang-kurangnya kita akan tahu siapa sebenanya yang sedang cuba menghapuskan (membunuh?) institusi diraja. Malah, kita akan tahu siapa sebenarnya yang “mempertahankan” kekebalan Raja-raja Melayu pada 1993 dan mengapa mereka berbuat demikian.
]]>