Perjanjian antarabangsa tentang Hak-hak Awam dan Politik Antarabangsa (ICCPR): Apa lagi yang masih kita tunggukan?

ICCPR memberi ruang kebebasan untuk kumpulan minoriti agama dan ia akan membenarkan hak kebebasan menukar beragama. ICCPR telah ditandatangani oleh 167 buah negara. Ketika sidang UPR Malaysia pada 24 Oktober lalu, Palestin (sebuah wilayah Islam) telah bertindak menyuarakan pandangan supaya Malaysia segera memeterai perjanjian antarabangsa ini. Tindakan Palestin ini sememangnya terpuji. Selain Palestin, negara lain yang mendesak Malaysia menandatangani ICCPR adalah Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland dan Sierra Leone. Apakah yang ditakuti oleh NGO Muslim denganĀ  ICCPR? Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Iran, Maghribi, Lubnan, Sudan, Syria, Turki, Algeria, Pakistan, Indonesia, Yaman dan Afghanistan adalah antara negara Islam yang telah menandatangani ICCPR. Antara negara Islam yang tidak menandatangani ICCPR adalah Arab Saudi dan Qatar. Sebagai sebuah negara Islam yang bercita-cita kelihatan moderat di peringkat antarabangsa, keraguan untuk menandatangani ICCPR tidak mencerminkan hasrat wasatiyyah pimpinan negara ini. Apakah yang Malaysia tunggu lagi? Perjanjian ini akan melindungi hak-hak minoriti agama. Ini merupakan satu tindakan paling waras untuk dilakukan oleh Malaysia bagi mengimbangi kepelbagaian agama, dan mazhab yang wujud di negara ini. Sikap angkuh penindas yang menafikan hak kaum marjinal dan terpinggir adalah tidak Islamik dan bertentangan dengan ajaran Islam asal yang dibawa oleh Rasulullah saw. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad melindungi kaum buruh, pro wanita, menjaga hak minoriti Yahudi, menjalinkan hubungan mesra dengan Nasrani (seperti yang ditunjukkan ketika hijrah pertama ke Habsyah) dan tidak bersifat menghukum. Apabila Rasulullah saw membuka kota Mekah dan menjadi kuasa majoriti, kaum musyrikin yang jatuh menjadi minoriti tidak dikerasi, bahkan diampun. Dua artikel berkaitan iaitu Artikel 18 dan 20 dari Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik ini sudah pasti akan dapat menghentikan pemomokan pihak berkuasa agama, khutbah Jumaat sarat kebencian, fenomena media mengarang cerita palsu dan serbuan ganas Jabatan Agama terhadap komuniti Syiah. Malaysia wajar memenuhi tuntutan antarabangsa supaya menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti.

]]>