Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian 1)

Khilafiah dalam Aqidah         Perkara khilaf ini berlaku ekoran sifat nas Al-Quran dan Al-Hadis itu sendiri hadir dalam bentuk yang tidak jelas, makanya memerlukan kepada tafsiran yang diistilahkan sebagai ijtihad. Menurut al-Qaradawi, ijtihad itu terhasil berpuncakan kepada tiga perkara, iaitu dalam perkara yang ada nas yang punyai tafsiran yang banyak, atau nas yang banyak dilihat bertembung maksudnya dari sudut pemahaman dari kalangan ulama, dan kewujudan isu disamping tiada nas. (Fatawa Maasarah, jld 2, hlmn 649) Kekhilafan juga boleh berlaku ekoran manhaj pemahaman nas yang berlaku di kalangan para ulama mujtahid. Antaranya adalah seperti mazhab Hanafi yang meletakkan bahawa hadis ahad tidak boleh mengtakhsiskan umum al-Quran, sedangkan dalam mazhab selain Hanafi, perkara ini dibenarkan. Kekhilafan dalam memahami nas ini, bukan sekadar berlaku dalam perkara fiqh, tetapi berlaku juga dalam perkara aqidah. Dari sisi Sunni sendiri, perkara aqidah itu dilihat melalui dua kategori, iaitu perkara dharuri dan perkara nazari. Perkara dharuri adalah perkara yang tidak berlaku khilaf langsung, seperti tiada khilaf dalam menentukan kewujudan Tuhan, tiada khilaf dalam menentukan keesaan Tuhan, tiada khilaf bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penutup segala nabi,  dan sebagainya. Jika wujud mereka yang menyalahi perkara ini, maka ia sudah pasti bukan dari kalangan muslim. Ada satu sudut lagi adalah dalam perkara yang disebut sebagai nazari, iaitu perkara aqidah yang perlu kepada penilikan dan pemerhatian nas yang mendalam. Perkara nazari ini berlaku kerana melihat cara penurunan nas al-Quran dan al-Hadis itu sendiri tertakluk dengan tafsiran, atau disebut sebagai pendalilan secara sangkaan atau dalam sebutan pengajian usul al-Fiqh Zanniy al-Dilalah. Di kalangan ulama Sunni, mereka tidak sepakat dalam menentukan status bapa Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah sebagai ahli neraka atau tidak. Ini kerana, terdapat satu Hadis yang apabila sahabat bertanya kepada Baginda Nabi SAW tentang keadaan bapa-bapa mereka di akhirat kelak, Nabi Muhammad SAW menjawab bahawa bapa mereka dan bapa Baginda SAW juga turut dalam neraka. (Hadis riwayat Muslim, hadis no : 302) Merujuk kepada aliran literalis dalam sunni dan seangkatan dengan mereka, bapa Nabi muhammad SAW itu dikira sebagai ahli neraka berdasarkan hadis saheh tersebut. Pendapat aliran kedua pula menyatakan bahawa Bapa Nabi Muhammad SAW tidak boleh dikatakan sebagai ahli neraka. Ini kerana, hadis sandaran neraka bapa Nabi Muhammad SAW itu adalah ahad, sedangkan ia bercanggah dengan umum al-Quran yang menyatakan bahawa Allah SWT menyatakan dalam surah al-Isra’, ayat 15 yang mana Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum kecuali Allah SWT datangkan Rasul terlebih dahulu. Dalam kupasan al-Syaikh Muhammad al-Ghazali yang dinukilkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa bapa Nabi Muhammad SAW adalah ahli syurga berdasarkan kepada umum al-Quran ini. Sedangkan hadis yang mengatakan bapa nabi masuk syurga itu adalah merujuk kepada bapa saudara baginda, bukan merujuk kepada bapa Nabi Muhammad SAW, iaitu Abdullah bin Abd al-Muttalib. (Kaifa Nata’amalu Ma’a al-Sunnah, hlmn 118) Khilaf juga berlaku di kalangan ulama-ulama usul al-Din dalam menentukan status Khaidir AS, apakah baginda seorang Nabi ataupun sekadar seorang lelaki soleh. Khilafiah Salafi – Khalaf         Dalam aliran sunni sendiri, terdapat dua aliran aqidah yang sering bertelagah yang kadangkala kelihatan seperti tidak ada jalan untuk mencari titik kesamaan. Perdebatan atas tajuk sifatiyah atau penentuan sifat Allah SWT yang melahirkan perdebatan panjang antara aliran Muktazilah dengan Hanabilah. Aliran Hanabilah ini kemudiannya dikenali sebagai salafi setelah hadir satu lagi aliran yang mengkritik aliran muktazilah yang dikepalai seorang tokoh yang asalnya muktazilah yang telah keluar dari aliran tersebut dan mengakui diri sebagai ahli Sunnah wa al-Jamaah bernama al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari yang alirannya dikenali sebagai Asyairah. (Dr Azmil Zainal Abidin, Sumbangan Aliran Asyairah dan salafiyyah di bidang Usul al-Din : Lakaran semula sejarah Pemikrian Tauhid Ahl al-Sunnah, hlmn 22) Pertembungan kedua-dua aliran ini adalah menjadikan golongan Hanabilah dikenali sebagai Salafi sebagai merujuk golongan terawal bertembung dengan muktazilah, sedangkan kelompok asyairah dikenali sebagai khalaf sebagai golongan terkemudian berhadapan dengan muktazilah. Aliran kedua-dua ini, jika dilihat ia boleh didamaikan dengan memahami bahawa kedua-duanya tumbuh ekoran pertembungan dengan aliran Muktazilah. Perbedaan mereka hanya method penggunaan dalam berhadapan dengan muktazilah; satunya menggunakan method nas secara terus, dan di pihak satu lagi menggunakan method akal. Dalam berbeda method, tetapi mereka hakikatnya punyai satu tujuan, iaitu berhadapan dengan muktazilah. Namun begitu, pertembungan mereka itu tidak dilihat dengan jiwa besar, melahirkan pertembungan yang membimbangkan. Aliran asyairah radikal dikenali sebagai Ahbash dengan berani mengkafirkan sebilangan tokoh-tokoh besar dengan menggunakan lebel wahabi, sedang dipihak dituduh wahabi pula mempertahankan diri mula menyatakan sesat terhadap pihak ahbash. Pertembungan ini hakikatnya boleh diselesaikan dengan sikap berjiwa besar dan bersedia berhadapan dengan khilaf, iaitu mencari damai dalam perbedaan, bukan mencipta retak pada bangunan kukuh. Ini kerana, sifat perbedaan itu sememangnya berlaku dalam kehidupan manusia, malahan ia boleh di atasi dengan sikap toleransi dan hormati perbedaan… (Rencana ini bersambung ke bahagian keduaketiga dan keempatnya)  

]]>