Punca sebenar kekalahan Alasan “tsunami Cina” juga tidak berasas dan tidak mencerminkan punca sebenarnya prestasi yang lemah bagi Barisan Nasional. BN bukan sahaja kalah teruk di negeri-negeri seperti Selangor, Penang, Kuala Lumpur dan Kelantan, malah ia hanya mampu menang tipis sahaja di Perak, Johor, Negeri Sembilan, dan Terengganu. Kami percaya semua ini dilakukan untuk membina persepsi awam seolah-olah kaum Cina bersikap terlalu mendesak dan tidak menghargai jasa kerajaan. Walhal, punca utama kemerosotan BN adalah kebangkitan rakyat Malaysia menentang ketidakadilan, kronisme dan rasuah yang berleluasa kesan daripada pemerintahan kerajaan BN sejak 56 tahun yang lalu. “Tsunami Rakyat” lebih tepat Rakyat Malaysia sudah muak dengan politik perkauman yang dibawa UMNO. Mereka inginkan perubahan. Kesempitan hidup, gaji rendah, isu pendidikan dan kos hidup yang tinggi antara tunas-tunas api kebangkitan rakyat Malaysia pada pilihan raya kali ini. Sebilangan besar rakyat miskin di Malaysia adalah masyarakat Melayu walaupun berada 56 tahun dibawah pemerintahan BN. Sebaliknya, segelintir yang meraih kekayaan negara ini adalah kroni-kroni BN sendiri. Pilihanraya kali ini adalah yang paling sengit dan juga mencatatkan jumlah pengundi yang paling ramai keluar mengundi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 80%. Analisa pilihanraya menunjukkan undian popular dimiliki oleh Pakatan Rakyat iaitu lebih daripada 50% jumlah pengundi memangkah PR dalam kertas undian. Walaubagaimanapun, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan majoriti mudah dengan menawan 133 daripada 222 kerusi parlimen. Kebanyakkan kawasan dimana BN kalah adalah kawasan bandar yang berpendudukan padat. Antara majoriti parlimen dan undi popular Hal ini mejelaskan kenapa PR memiliki jumlah undian popular manakala BN memiliki jumlah kerusi yang tinggi. BN dapat kekal di Putrajaya disebabkan oleh amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya, ataupun “gerrymandering”. Manipulasi politik ini menyebabkan BN dapat menang mudah di kawasan-kawasan luar bandar yang tidak mempunyai populasi yang padat seperti kawasan bandar, bahkan penembusan internet juga adalah amat rendah dan mereka tidak mendapat liputan informasi yang meluas daripada media bebas alternatif berbanding media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan BN . Tiba masanya untuk politik baru Realitinya, pilihan raya ini sebenarnya menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengundi tanpa mengira kaum ataupun agama. Terdapat banyak kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti Melayu, sebaliknya mengundi calon yang berbangsa lain. Sebagai contoh, Lim Kit Siang yang merupakan calon DAP yang berbangsa Cina memenangi kerusi Gelang Patah di Johor mengatasi calon Melayu BN dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Lim Kit Siang tidak mungkin menang dengan hanya undian kaum Cina. Ke arah 1 Malaysia? Namun begitu, di alam siber, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang mencetuskan propaganda “Tsunami Cina” perkauman dan perbalahan antara kaum Melayu dan Cina. Kononnya orang Cina ingin menguasai negara Malaysia dan memperhambakan kaum Melayu. Hal ini amat mengecewakan kami kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan budaya, dan bukannya negara fasis bagi sesebuah kaum sahaja. Kami menentang sama sekali budaya perkauman yang tidak matang seperti ini. Kami menyeru Datuk Seri Najib Razak supaya membantah sentimen rasis yang semakin menjadi-jadi di kalangan penyokong-penyokong UMNO yang masih berdegil menerima kelemahan parti mereka. Fokuskan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama dengan mengambil semangat 1Malaysia seperti yang BN kempen kepada rakyat. Elakkan daripada permainan politik perkauman dan agama yang merugikan Malaysia.
]]>