Projek Dialog

Pusat Gelandangan Dunia Putra

Siapa gelandangan? Gelandangan ini ertinya yang tidak tetap tempat tinggal dan pekerjaannya. Gelandangan tegar tidak punya rumah dan pekerjaan. Golongan ini merempat di Kuala Lumpur sekali-sekala menyewa bilik dalam sekitar RM 25 sehari dan jika tidak berkemampuan, mereka bergelandangan, siang merayau mengemis atau membuat kerja-kerja dengan upah murah, malam tidur di kaki lima atau di bawah jambatan. Tiada akta khusus mengawal gelandangan. Gelandangan yang ditahan pihak berkuasa biasanya dikategorikan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Kesihatan Mental 2001 dan Akta Orang Papa 1977. Di bawah Akta Orang Papa 1977 (yang perlu disemak semula) mengemis merupakan kesalahan. Ini termasuk perbuatan yang mendorong kepada pemberian sedekah, sama ada atau tidak terdapat apa-apa perbuatan berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya. OKU pun dilarang menjual tisu. Serbuan Aku difahamkan pihak berkuasa kerap melakukan serbuan dan menangkap gelandangan. Wakil Kechara selalu turun ke padang, bertahun sudah lamanya, memasuki ceruk-ceruk kota dan memberi makanan, begitu juga dengan NGO-NGO lain. Mereka kenal muka-muka gelandangan. Yang tidak berapa masuk akal adalah, orang-orang yang ditangkap minggu ini, contohnya, akan ada semula bergelandangan minggu depan. Jumlah mereka tidak pernah berkurangan. kalau 200 orang ditangkap dalam satu sesi contohnya, seharusnya jumlah gelandangan turun 200. Tak kan lah dengan begitu cepat wujud 200 gelandangan baru menggantikan yang ditangkap? Kalau begitu Kuala Lumpur seharusnya lebih banyak gelandangan daripada jumlah orang yang berpekerjaan dan bertempat tinggal. Bila ditangkap, gelandangan ini akan dikelaskan mengikut masalah-masalah mereka dan dihantar kepada jabatan-jabatan bertanggungjawab. Maka mereka sepatutnya tiada di jalanan. Katakanlah jabatan-jabatan pemulihan, institusi kebajikan, atau lokap sudah penuh oleh kerana itu mereka kembali atau dikembalikan ke jalanan, maka adakah patut kita berpeluk tubuh mengatakan sudah tidak ada tempat? Atau patutkah lebih banyak pusat penempatan dibina untuk mereka? Macam mana kita mahu mengatasi masalah ini dalam 5-10 tahun akan datang pula? Masalah sistem bukan individu Golongan gelandangan akan sentiasa bertambah. Kerana orang yang jatuh ke tahap papa akan sentiasa bertambah. Ini kerana kemiskinan semakin menjadi-jadi. Populasi manusia semakin bertambah, bandar semakin sempit, harga rumah semakin mahal, harga barang-barang keperluan semakin naik, kos sara diri, perubatan, serba-serbi semakin mahal, orang-orang sakit jiwa kerana kesempitan hidup makin bertambah, kadar merantau ke bandar pun semakin tinggi. Yang tidak naik adalah gaji. Aku difahamkan dari gelandangan yang cuba mencari pekerjaan sendiri yang banyak syarikat yang mengambil pekerja tidak melaksanakan gaji minima, bahkan ada yang mengadu tidak dibayar gaji atau ditipu jumlah gaji. Kebanyakan dari gelandangan adalah yang tidak punya pekerjaan. Seorang gelandangan mengatakan perlu gaji sekurang-kurangnya RM1500 untuk menyara diri dan keluarga kecil. Antara punca-punca orang bergelandangan adalah masalah ketagihan dadah. Walaupun ini bukan golongan yang paling ramai, dan golongan paling ramai adalah yang tak berpekerjaan, tapi masalah tidak berpekerjaan dan ketagihan dadah berkait rapat. Sukar bagi bekas penagih mencari pekerjaan. Memang biasa majikan tidak mahu mengambil pekerja yang mempunyai masalah dadah kerana tidak mahu terlibat dengan komplikasi yang bakal terjadi. Ya, memang wajar kerana tempat meraka di pusat pemulihan. Malangnya bekas penagih pun sering ditolak bekerja kerana stigma yang melekat pada mereka. Tapi bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah ini? Soalannya lagi tempoh pemulihan untuk penagih dadah mencukupi kah atau perlu dipanjangkan? Dan setelah penagih-penagih ini dilepaskan, wajarkah mereka dibiarkan begitu saja? Kebanyakan bekas penagih akan kembali ke keadaan lama mereka kerana tidak diterima dalam masyarakat dan sukar mendapat pekerjaan bagi menyara diri. Situasi itu mengembalikan mereka ke jalanan dan mendekatkan mereka semula pada dadah, kemudian mereka ditangkap semula, dilepaskan, dan kembali ke jalanan. Ia adalah sebuah vicious cycle! Akta dadah perlu disemak dan AADK pun harus kerap turun padang. Dan kita tidak tahu siapa dalang-dalang di belakang industri dadah ini. Polis lebih mengetahui. Yang pastinya tokey-tokey ini bukan gelandangan, bukan miskin, bukan golongan kelas pertengahan pun. Siapa akan bela mereka? Setiap gelandangan itu punya punca kenapa dia bergelandangan. Tiada siapa yang suka bergelandangan, suka tidur di tepi jalan dalam kesejukan dan menjadi makanan nyamuk dan pelbagai kutu hama dan bakteria. Tiada siapa yang suka dijangkiti penyakit dan dan tiada yang selesa hidup meminta-minta. Walaupun NGO banyak memberi makan kepada gelandangan, terlalu naif kita mengatakan atas alasan itulah mereka selesa bergelandangan. Mereka tidak dapat bersaing dengan kepesatan pembangunan bandar dan harga tinggi yang terpaksa dibayar untuk berjalan seiring dengan kepesatan itu. Dan sentiasa akan ada orang-orang yang akan kalah dalam persaingan sengit yang didokongi Kapitalisme ini. Meminjam kata-kata wakil Kechara, “kami ada kerana mereka ada, dan kerana jumlah mereka makin bertambah. Kalau kami tidak memberi, apa nasib mereka?”. Kami juga berbicara tentang orang-orang yang dulunya sukses dan kini bergelandangan. Kemudian kami setuju yang tidak mustahil kami berdua pun boleh jatuh ke jalanan jua akhirnya. Hakikat mereka Rata-rata gelandangan di Jalan Petaling dan Jalan Imbi adalah orang-orang tua. Mereka adalah orang-orang yang kebanyakannya ditinggalkan atau meninggalkan keluarga. Semakin meningkat umur mereka semakin kurang kemampuan bekerja. Rata-rata mereka ini juga bekas tentera dan pekerja kerajaan, dan sebahagian lain yang sudah habis diperah syarikat-syarikat swasta sehingga sudah tidak mampu menyumbang kepada target produktiviti yang dikejar-dikejar sang CEO. Mereka keseorangan dan ada yang sudah tewas mempertahankan kewarasan akal. Di Chow Kit ramai kaum wanita dan anak-anak. Di Kotaraya pula tempat gelandangan imigran berkumpul. Mereka adalah warga-warga asing yang terdampar. Mereka pun ada cerita mereka. Ada banyak lagi kategori gelandangan yanng menghuni jalanan Kuala Lumpur. Golongan yang sakit melarat, kurang upaya, lari dari rumah, masalah keluarga, kemurungan, berpendapatan rendah, ketagih arak dan judi. Semuanya memerlukan pendekatan pemulihan yang berbeza dan mempunyai latar sejarah yang pelbagai. Ada banyak punca yang mengheret mereka ke jalanan, bukan kemalasan semata-mata. Yang pastinya, mereka semua adalah produk sebuah masyarakat yang gagal, bahan buangan sistem ekonomi dan sosial yang pincang. NGO? Kechara bersetuju bahawa NGO-NGO perlu bekerjasama, perlu ada kesatuan bagi melicinkan kerja bahkan mereka sendiri pun mengalu-alukan sukarelawan untuk menyertai mereka atau mendapat pengkaderan melalui mereka. NGO-NGO baru juga perlu belajar bekerja dengan cara yang betul. Ada ‘dos and don’ts’ dalam aktivisme membantu gelandangan yang perlu difahami setiap sukarelawan. Kechara juga selama ini banyak berurusan dengan badan-badan kerajaan. Selain memberi makan, mereka juga menolong menyalurkan gelandangan ke arah pihak berwajib yang berkenaan, sesuai dengan keperluan dan kondisi gelandangan. Mereka juga punyai mobile clinic yang menyalurkan bantuan perubatan, selain menolong gelandangan rakyat tempatan mendaftar pengenalan diri dan mengganti kad pengenalan. Aku berpendapat NGO-NGO juga perlu fahami masalah sistem ekonomi sedia ada ini dan wujud satu kesatuan dalam suara menyeru fokus ke arah kebajikan masyarakat dan polisi sosial kerajaan yang lebih bijak. Perlu wujudkan kesedaran di kalangan masyarakat bahawa gelandangan dan miskin tegar ini lahir mereka pun daripada sifat tamak haloba masyarakat dan ‘rat race’ yang dikelola Kapitalisme. Punca-punca yang lebih besar ini harus diberi perhatian supaya kita tidak bermain di gigi air sahaja, menunggu ombak krisis ekonomi datang dan menelan kita semua. Yang kelas menengah akan jatuh ke kelas bawahan dan yang sedia di kelas bawah akan jatuh bergelandangan. Masyarakat perlu sedar yang kemiskinan adalah penindasan. Ia bukan pilihan dan bukan secara gampang boleh disebut sebagai ‘takdir’. Masalah ini lebih besar dari sekadar ‘orang-orang miskin yang menjejaskan imej bandar’.         unnamed  

]]>

Share your thoughts!

More Articles