Projek Dialog

Seni & Cabaran Naratif Dominan

Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com[/caption] Seni, Kerohanian & Kebebasan Berekspresi 3 Disember adalah hari di mana para seniman/seniwati terpilih berkumpul untuk menyertai projek pameran seni. Hasil kerjasama antara Projek Dialog dan Article 19 ini menyediakan landasan asas kepada para seniman/seniwati untuk menghasilkan karya-karya seni yang berteraskan fahaman mereka terhadap makna kerohanian. Oleh itu mereka bakal melalui program-program yang telah ditetapkan oleh Projek Dialog dan Article 19, iaitu melawat, memahami dan menghidupi suasana ritual-ritual agama yang wujud di negeri Kelantan Darul Naim. Projek ini berlangsung dengan hasil kerjasama Article 19, sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada 1987. Article 19 ditubuhkan untuk menyumbang tenaga, dana dan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang  pentingnya kebebasan memberi pendapat dan berekspresi tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak. Nama organisasi Article 19 diambil daripada Perkara 19 di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat: “Setiap orang berhak untuk bebas berpendapat dan mengeluarkan fikiran. Hak ini termasuklah kebebasan berpendirian tanpa gangguan dan mampu menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.” Program pengenalan organisasi Article 19 dihadiri oleh seniman/seniwati, kurator, editor Projek Dialog, perwakilan Article 19 dan juga beberapa individu yang menyumbangkan pengalaman mengenai keadaan di negeri Kelantan. [caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]Gambar: Clarespark.com Gambar: Clarespark.com[/caption] Pelan Tindakan Rabat Pada bahagian awal, pihak Article 19 iaitu Judy Taing dan Andrew Smith menerangkan sedikit sebanyak tanggungjawab pihak mereka di dalam menegakkan hak kebebasan pendapat dan fikiran. Mereka memperkenalkan Pelan Tindakan Rabat, bagi menghalang kebencian berbentuk kenegaraan, keagamaan dan perkauman yang bakal mencetus keganasan, diskriminasi dan juga permusuhan. Rencana tindakan ini dihasilkan di Rabat, Morocco pada 5 Oktober 2012. Ia merupakan kesimpulan dan saranan berdasarkan bengkel-bengkel tentang isu-isu yang telah dinyatakan di atas. Bengkel-bengkel tersebut telah diadakan di rantau Eropah (Vienna pada 9 dan 10 Februari 2011), di Afrika (Nairobi pada 6 dan 7 April 2011), di Asia Pasifik (Bangkok, 6 dan 7 Julai 2011) dan juga di benua Amerika (Santiago de Chile, 12 dan 13 Oktober 2011). Tugas mengelak kebencian ini dipertanggungjawabkan kepada kolektif pegawai-pegawai am, para pemimpin agama dan komuniti, media dan para individu. Ia menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, toleransi, hormat-menghormati, dan dialog antara budaya. Kerangka Projek Kesenian Oleh itu, menggunakan landasan ini, projek yang bakal dilaksanakan ini akan menghasilkan beberapa karya dengan harapan ia boleh diterima dengan hati yang terbuka. Disebabkan projek ini berteraskan isu-isu agama dan hubungan sesama penduduk yang berlainan agama/fahaman hidup, penggerak projek ini merasakan bahawa landasan antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu. Mungkin sahaja mereka melihatnya sebagai salah satu cara agar sudut pandangan yang lain mampu menjangkaui batas negara dan hadir di rantau antarabangsa untuk didengari oleh semua anak bangsa. Setelah selesai pembentangan mengenai tujuan dan pengenalan Article 19, mesyuarat beralih fokus kepada projek tersebut. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah isu negeri dan justifikasi pemilihan negeri Kelantan. Apakah sebab utama negeri ini dipilih sebagai keutamaan? Selain daripada stereotaip kasar mengenai semangat kenegerian Kelantan dan juga laporan media terhadap dominasi wacana politik PAS, wujudkah sebab-sebab yang lain? Ataupun sebenarnya pilihan ini merupakan hal yang kedua? Apakah keunikan rumah-rumah agama di kawasan tersebut jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain? Baiklah, jika andaiannya adalah bahawa dominasi wacana PAS dan stereotaip kasar ini sering membelenggu tanggapan masyarakat terhadap negeri Kelantan, apakah tanggungjawab utama seniman/seniwati yang dipilih untuk menjayakan projek ini? [caption id="attachment_5372" align="aligncenter" width="470"]Gambar: Come2Kelantan.my Gambar: Come2Kelantan.my[/caption] Seni – Sarana Bagi Menjangkaui Naratif Dominan Jika karya-karya tersebut akan dihasilkan melalui fahaman kerohanian yang bakal diperolehi dari projek ini, apakah faktor-faktor yang harus diambil kira? Pertama, faktor wacana dominan yang telah ada. Dalam konteks projek ini, yang harus difahami secara menyeluruh adalah naratif parti politik PAS. Seharusnya difahami juga bagaimana naratif politik dominan ini mempengaruhi hubungan keagamaan di sesuatu tempat, sama ada ia membentuk suatu ketegangan yang semakin menebal ataupun sebaliknya. Faktor kedua adalah keadaan sebenar yang berlangsung di negeri tersebut. Kerana seperti mana yang kita semua tahu, media hanyalah sebagai pengantara yang melaporkan berita dari sudut pandang seseorang. Realiti sesuatu tempat adalah sesuatu yang benar-benar rumit dan tidak mungkin mana-mana media ataupun medium mampu mewakilinya secara menyeluruh. Langsung perbandingan di antara kedua faktor ini adalah sesuatu yang penting dan harus diambil kira. Faktor yang pertama adalah sesuatu yang dibina melalui konsensus ataupun persetujuan sesuatu kelompok, manakala faktor yang kedua merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak langsung dapat dimuatkan melalui mana-mana kategori. Bagi sebuah negeri yang naratifnya didominasi satu agama, wujudkah percanggahan yang jelas di antara kedua-dua faktor tersebut? Adakah naratif politik yang ada ini langsung tidak memberi ruang secukupnya untuk agama-agama lain terus hidup dan menyebarkan wacananya? [caption id="attachment_5373" align="aligncenter" width="458"]Gambar: Thirteen.org Gambar: Thirteen.org[/caption] Peranan Seni Yang Lebih Meluas Bagaimanakah seni yang memaknakan atau sebagai cerminan kehidupan manusia, melalui bentuk estetik mampu membentuk suatu sudut pandang yang berlainan? Ataupun lebih besar lagi, mampukah ia memberi impak dengan menyanggah wacana dominan yang boleh saja dikatakan bercanggah dengan realiti sebenarnya. Adakah seni yang seringkali dilihat sebagai paparan estetik semata-mata, mampu menganjurkan suatu mesej jelas terhadap hubungan keagamaan di sesuatu tempat? Di sinilah asas utama bagi para seniman/seniwati yang bakal terlibat dalam projek ini. Tempat permulaan untuk mereka menilai kembali sudut pandang mereka; apa yang harus dicerna dan apa yang harus dinilai semula secara kritikal. Kerana semestinya, tugas seni adalah untuk mengenal pasti intipati kehidupan. Intipati kehidupan yang barangkali senang sekali terlepas, dipukau oleh kepantasan masa dan kepadatan ruang. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa intipati kehidupan adalah sesuatu yang subjektif, tetapi penghasilan karya objektif merupakan saksi kepada realiti yang ada. Dengan harapan agar setiap tafsiran objektif inilah yang mampu dipersetujui oleh ramai pihak, mewakili sudut pandang yang benar-benar meluas dan mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama dibina. Ia menganjurkan pandangan yang berbeza daripada pemaknaan kehidupan yang kadangkala jumud, reaksioner, dan kaku mengawal realiti mengikut acuan sendiri. Projek ini bakal memberi ruang kepada mereka untuk membentuk semula tanggapan umum yang telah ada terhadap negeri Kelantan. Mereka menggalas tanggungjawab besar – iaitu untuk memahami keadaan sebenar kehidupan beragama di negeri yang didominasi oleh wacana satu agama. Harus diingatkan bahawa ini tidak langsung membawa erti provokasi ataupun pelanggaran tatanan moral yang sedia ada. Barangkali dengan permulaan di negeri pantai timur ini, percubaan bagi para seniman untuk menilai dan memberi sudut pandang segar terhadap hubungan beragama mampu sedikit sebanyak membuka banyak lagi ruang untuk menghidupkan semula imaginasi yang ada terhadap sesuatu kawasan.

]]>

Share your thoughts!

More Articles