“Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) sebenarnya mengupas mengenai hakikat agama Islam. Hal ini diakui Kamaludin Endol pada blurb (kulit belakang) buku setebal 190 halaman ini. “Walaupun jumlah nabi dan rasul dianggarkan seramai 124,000 orang … tidak ada sebarang bukti bahawa Gautama Buddha adalah Nabi Zulkifli sebagaimana pernah didakwa oleh sebilangan pendapat,” kata penulis. Sekiranya pembaca mahu tahu jawapan bagi soalan pada judul buku ini, maka boleh terus ke halaman 29 di mana dinyatakan bahawa Gautama Buddha besar kemungkinan salah seorang nabi yang diutuskan Allah dalam rencana-Nya memurnikan kembali agama tauhid Sanatana Dharma. [caption id="attachment_4381" align="alignleft" width="300"] Konvoi Rumah Ibadat ke sebuah wat pada Oktober 2013.[/caption] Kamaludin sudah menghuraikan mengenai kedudukan Sanatana Dharma (Hinduisme) sebagai agama tauhid pertama dan tertua menerusi buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” (2014). Melalui buku kedua dalam siri “Mengenal Allah Melalui Agama-agama Purba”, dinyatakan betapa Sanatana Dharma yang merupakan “agama yang kekal abadi” pada asalnya menyeru para pengamal menyembah Tuhan Yang Esa (Brahman). Bagaimanapun, kemudian, pengikut ajaran Hindu dikatakan mula beralih “menyembah beribu-ribu dewa-dewi” berikutan ajaran asal “mengalami campur tangan yang sangat berleluasa daripada manusia yang berkepentingan” (halaman 27) iaitu golongan Brahmin. Sanatana Dharma dikatakan berubah menjadi agama Hindu yang penuh dengan pertelingkahan dan kusut-masai mengenai kasta, di samping berbagai-bagai amalan dan adat-adat yang pelik-pelik yang bercanggah dengan kemurnian tauhid (halaman 7). Untuk makluman, pembaca sasaran buku kajian separa akademik ini adalah “umat Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman” (halaman xvii) dan Kamaludin awal-awal lagi sudah menegaskan bahawa “dalam Islam terdapat ajaran Hindu, Buddha, Zoroaster, Kristian, Yahudi, Taoisme dan lain-lain” (halaman ix). Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) dinyatakan pada Bab 3 sebelum dihuraikan secara panjang-lebar dalam bab seterusnya (halaman 40-169) yang merupkan bahagian paling penting dalam buku ini. Mengajak orang Melayu kembali kepada Islam Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan bahawa segala huraian, penerangan, perbahasan dan fakta adalah berdasarkan ajaran Islam. Perkara ini juga jelas jika pembaca melihat senarai bahan rujukan yang dinyatakan pada bibliografi. Pembaca perlu sentiasa ingat – dan beringat – akan hakikat ini apabila membaca buku ini. Jika masyarakat ingin mengetahui tentang apa sebenarnya Buddhisme dan siapa sebenarnya Gautama Buddha, lebih baik merujuk “The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism” (2011) yang amat komprehensif atau “The Life of Buddha for Young People” terbitan Maha Karuna Buddhist Society. Kedua-dua buku berkenaan turut menjadi rujukan silang sepanjang saya membaca buku terbaru tulisan Kamaludin supaya saya tidak terbabas daripada fakta sebenar Buddhisme. Pengalaman menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak tahun 2010 juga membekalkan pelbagai maklumat berguna sebagai rujukan. [caption id="attachment_4382" align="alignleft" width="300"] Buku ini boleh dijadikan bahan dan topik bagi dialog antara agama.[/caption] Memandangkan maklumat serta fakta sahih dan sebenar mengenai Gautama Buddha dan ajaran Buddhisme sudah diperoleh melalui pelbagai sumber primer sejak puluhan tahun dahulu, saya selaku pengamal multi-faith lebih berminat untuk memperkatakan pelbagai pendedahan lain yang dilakukan oleh Kamaludin menerusi kajian separa akademik yang dilakukannya. “Apabila ditoleh ke dalam semua ajaran agama-agama purba, ajaran Islam akan dapat dilihat dengan jelas dan nyata,” kata bekas pensyarah ini yang turut menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak dua kali. Maka tidak hairanlah Jalan Lapan Lapis yang merangkumi pandangan, pemikiran, perkataan, kelakukan, kehidupan, matlamat, keinginan dan pertapaan yang benar, dilihat dan dibicarakan sepenuhnya oleh penulis dari sudut Islam. Pendekatan yang digunakan itu tidak salah sama sekali kerana sesungguhnya buku separa ilmiah ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada khalayak Melayu-Islam mengenali semula Islam (kembali kepada Islam) menerusi pemahaman terhadap agama-agama purba. Hal ini adalah wajar kerana seperti diterangkan oleh Kamaludin, umat Islam pada masa kini sudah berpecah kepada 73 golongan, “antaranya disebabkan sifat-sifat kebohongan para ulama dunia” (halaman 94) di mana “72 golongan Islam kesemuanya sesat kecuali satu golongan iaitu al-Jamaah” (halaman 28). Sekularisme, liberalisme mengagungkan Dajjal Namun begitu, agak menarik untuk diperhatikan bahawa pelbagai “fakta” dan “pendedahan” turut diselitkan oleh penulis dalam usahanya mengangkat Islam sebagai agama tauhid yang terakhir; manakala agama-agama tauhid sebelumnya dikatakan “tidak lagi murni” berikutan tindakan pihak yang diberikan amanah oleh Allah “telah menyembunyikan kebenaran dan merubah ayat-ayat Allah” disebabkan “bimbingan syaitan-syaitan” (halaman 93). Dikatakan bahawa pembohongan dilakukan oleh golongan Brahmin sehingga penganut Sanatana Dharma (Hinduisme) “menjadi abdi kepada para Brahmin, lantas memuja pula tuhan-tuhan yang dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk”. Mengenai Nabi Isa (Jesus) pula, dinyatakan bahawa fakta sebenar nabi berkenaan diselamatkan oleh Allah daripada komplot durjana kaum Yahudi yang mahu memakukan Baginda pada salib telah “diputarbelit oleh Ahli Kitab dengan dakwaan sebagai anak tuhan yang diutuskan untuk dibunuh bagi membebaskan manusia daripada dosa warisan, lantas dipatungkan sebagai lambang ketuhanan” (halaman 94). “Lihatlah bencana fitnah oleh kaum Yahudi Zionis dan Nasrani (Kristian) terhadap Allah oleh angkara Iblis. Fitnah mereka menjadi musibah terbesar kepada keamanan dunia dan merupakan bencana terbesar sepanjang zaman. [caption id="attachment_4383" align="alignleft" width="300"] Pembaca perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.[/caption] “Nabi Isa difitnahkan sebagai putera Allah, lalu dipertuhankan. Fitnah mereka ini menjadikan sepertiga penduduk bumi menganut agama Kristian. … Kesemua mereka adalah mangsa fitnah Iblis yang menyebabkan mereka jatuh ke dalam lembah syirik,” Kamaludin menegaskan pada halaman 101 dan 102. Nampaknya lebih banyak “maklumat” mengenai Kristian dan Yahudi berbanding fakta berkaitan Gautama Buddha dan kenabiannya! Malah, pembaca diingatkan bahawa selama lebih seribu tahun, bangsa Yahudi dan Nasrani berada dalam kesesatan yang nyata. “Yahudi Zionis sebagai umat yang terkutuk telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat mereka melalui gerakan-gerakan dan pertubuhan rahsia seperti Freemason dan Illuminati. Freemason adalah satu pergerakan terancang untuk mengembangkan fahaman Yahudi Zionis,” kata penulis. Hanya melalui buku ini saya mendapat tahu bahawa khabarnya Illuminati mempunyai motif “menggalakkan fahaman sekular, liberalism, republikan, kebebasan berfikir dan kesamaan jantina” yang berajakan Dajjal. Rupa-rupanya pertubuhan kebajikan seperti Kelab Lion dan Kelab Rotary juga bermotif “menabur fitnah dan menyebarkan seruan Zionisme” (halaman 103). Protokol Zionis, Iblis, Freemason dan Illuminati Wajar diingatkan bahawa apa-apa yang saya kongsikan di sini merupakan maklumat yang dipetik daripada buku “Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan dan buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Syaitan dikatakan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang sudah disesatkan, termasuk Hindu, Buddha, Taoisme, Confucianisme dan Kristian. Malah, pada zaman moden ini, syaitan khabarnya licik bersembunyi di sebalik nama-nama baru yang dianggap tidak begitu berbahaya kerana bukan berjenama agama. “Inilah kejayaan Protokol Zionis melalui gerakan rahsia Freemason dan Illuminati di seluruh dunia Islam,” penulis menyimpulkan pada halaman 127. Orang yang tidak berpendidikan dan tidak berilmu dikatakan akan terpedaya dan tertipu dengan kelicikan Iblis (atau Lucifer, Dajjal, Yakjuj dan Makjuj) yang bersembunyi di sebalik “sekularisme, kapitalisme, liberalisme, sosialisme, pragmatisme, individualisme, hedonisme, mordenisme, demokrasi dan lain-lain” (halaman 128). Pihak berkuasa dan pemimpin yang menganut dan menguatkuasakan sistem berasaskan “feudalisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme, liberalisme, pragmatisme, materialisme, sekularisme” serta “egoisme, utilitarianisme, eksistensialisme, hedonisme, liberalisme, individualisme dan sebagainya” dikategorikan sebagai “ancaman yang paling besar kepada keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat dunia dan alam sekitar” (halaman 131). Huraian seperti “satu-satunya agama tauhid yang dijamin murni hanyalah Islam” (halaman 133) dan “umat Muslimin sesungguhnya sedang menanti kibaran bendera agung ‘lailahaillallah’ untuk terjun ke medan jihad” untuk membawa “kemusnahan mutlak” kepada “Zionis Yahudi dan puak Kristian” (halaman 104) merumuskan inti pati sebenar buku ini. Frasa-frasa seperti “Gautama Buddha menekankan keinginan yang benar” (halaman 158) dan “Semoga demikianlah yang dimaksudkan oleh Gautama Buddha” (halaman 165) serta “ajaran Gautama Buddha yang asal ini adalah ajaran yang sangat sama dengan kehidupan kerohanian Islam” (halaman 41) bertujuan mengukuhkan hujah penulis. Sebagai sebuah buku dakwah separa akademik yang disasarkan khusus kepada masyarakat Islam yang sudah berpecah kepada 73 golongan, buah tangan Kamaludin sangat bermanfaat dalam niat “setelah kesemua agama-agama tauhid terdahulu menjadi musnah dan sesat, maka lihatlah kepada Islam” (halaman 177).
]]>