Projek Dialog

Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian 2)

Bahagian 1 rencana ini boleh dibaca di sini Masalah ketara berlaku apabila tiada dialog yang sihat untuk memadamkan api pertembungan. Semua kupasan dari satu pihak terhadap satu pihak yang lain akan hanya berasaskan tuduhan dan salah anggap, bukan fakta dan cara faham yang benar.  Di pihak Ahbash ada yang mengkafirkan seorang tokoh besar Sunni bernama Ibn Taimiah, tanpa berasaskan sudut pandang jujur atau sikap ingin mengetahui maksud sebenar, tetapi dengan sesuatu tuduhan yang cukup meragui. Tuduhan kononnya Ibn Taimiah berkata bahawa Allah SWT turun dari langit ke dunia seperti beliau turun dari mimbar masjid damsyik adalah tuduhan yang tidak sewajarnya berlaku. Ini kerana, setelah kajian dilakukan didapati bahawa tarikh ungkapan Ibn Taimiah yang diriwayat Ibn Batootah didapati tidak benar sama sekali, kerana ketika itu Ibn Taimiah berada dalam penjara. Namun, dengan tidak berdialog secara sihat dan jujur; dengan tidak dialog untuk mencari kebenaran, menjadikan sumber yang diragukan itu dibahas sedemikian rupa sehinggakan tokoh sehebat Ibn Taimiah dikafirkan dalam keadaan penuh tidak bertanggungjawab. Mashaf Fatimah Dilema yang sama juga berlaku apabila sebilangan Sunni menuduh bahawa Syiah itu punyai al-Quran yang kandungannya lebih sebanyak tiga kali ganda. Contohnya, dalam kelampauan, Mashaf Fatimah yang sememangnya wujud dalam riwayat Syiah, dituduh oleh Sunni sebagai al-Quran mengikut versi Syiah. Sebenarnya mashaf fatimah bukanlah al-Quran seperti tuduhan sebilangan Sunni, tetapi ia sekadar sebuah kitab hadis-hadis qudsi yang datang dari Fatimah yang dikagumi oleh Syiah. Pada tahun 2011, seorang tokoh Syiah bernama Yasir al-Habib pernah ditanya dalam satu rancangan fadak tentang Mashaf Fatimah, beliau menyatakan bahawa definisi bagi mashaf Fatimah adalah “satu kitab yang dipenuhi dengan himpunan hadis-hadis Qudsi yang telah Allah SWT wahyukan kepada Fatimah al-Zahra’ melalui jibril” Dalam kupasan beliau terhadap definisi tersebut, beliau menyatakan di sana ada perbedaan antara wahyu yang berbentuk ta’abbudi, iaitu diberikan pahala yang dibaca seperti al-Quran. Juga wahyu yang berbentuk pensyariatan yang boleh diistinbatkan hukum daripadanya. Kupasan beliau, al-Quran bersifat Taabbudi dan tasyrik (pensyariatan) yang diberikan pahala bagi pembacanya dan boleh diistinbatkan hukum darinya, sedangkan mashaf Fatimah, ia sekadar himpunan-himpunan hadis Qudsi melalui Fatimah, sepertimana wujud dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, yang tidak diberikan pahala kepada pembacanya, dan tidak boleh diistinbatkan hukum daripadanya. Ia sekadar wasiat-wasiat baik dari Fatimah yang dijadikan pegangan oleh orang-orang Syiah. Beliau juga menjelaskan bahawa pemberian wahyu kepada Fatimah bukan menjadikan Fatimah itu sebagai Nabi sepertimana yang ditohmah oleh sebilangan Sunni yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan bahawa Allah SWT telah memberi wahyu juga kepada ibu kepada Nabi Musa, sedangkan Ibu Nabi Musa itu bukan nabi sama sekali. Beliau merujuk kepada ayat 7 dari surah al-Qasas yang bermaksud; “Dan kami wahyukan  kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul” Dalam kupasan seorang tokoh Syiah bernama al-Syaikh Hasan Yari pula dinyatakan bahawa Mashaf Fatimah bukanlah al-Quran, tetapi ia adalah Mashaf Fatimah sepertimana wujud dalam Sunni apa yang dinamakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ma’sum Di pihak Syiah pula, ada sebilangan mereka melakukan tuduhan yang melampau tentang Sunni, seperti mendakwa bahawa Sunni menganggap bahawa para sahabat itu seperti Ma’sum. Tuduhan itu tidak benar sama sekali. Ini kerana, dalam Sunni, sahabat bukan sebagai sumber hukum, sebaliknya sumber hukum dalam Sunni adalah al-Quran dan al-Sunnah. Adapun sahabat, mereka adalah orang yang lebih mengetahui tentang pengamalan Nabi Muhammad ekoran mereka bersama dengan Nabi Muhammad SAW; mereka melihat dan mendengar pergerakan dan perkataan baginda SAW, makanya mereka diperhatikan dalam Sunni untuk diketahui maksud sebenar sesuatu pengamalan Nabi Muhammad SAW. Di sisi Sunni, pengamalan para sahabat diterima secara muqayyad atau keterikatan, iaitu sekiranya mendatangkan kebaikan kepada umat. Tetapi, jika sesuatu perkataan atau perbuatan mereka mendatangkan keburukan dan kerosakan, ia hendaklah dita’wil dan dikaji balik berdasarkan kesesuaian zaman, masa dan keadaan mereka. Tindakan Sunni mempertahankan sahabat dari dikafirkan itu tidak bermaksud Sunni menganggap para sahabat itu sebagai ma’sum seperti ditohmah oleh sebilangan pihak dari Syiah yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, pada tanggapan Sunni bahawa sahabat itu tidak kafir kerana mereka berpegang dengan Firman Allah SWT yang menyatakan dalam ayat 100 dari surah al-Taubah yang bermaksud; “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar” AKAN BERSAMBUNG…

]]>

Share your thoughts!

More Articles