Mengharungi kerumitan dunia dan kewujudan: wawancara bersama Prof. Ebrahim Moosa (Bahagian 1)

Penterjemahan temubual BFM Night School bersama Professor Ebrahim Moosa, ahli fikir Islam terkemuka masakini. Dicatat dan diterjemah oleh Hamizah Hanan. 

(Bahagian kedua boleh dibaca di link ini.)

Fuad Rahmat: Selamat malam semua. Anda bersama saya, Ahmad Fuad Rahmat dalam rancangan BFM night school. Rancangan yang membawa anda untuk berbincang bersama, berkenaan beberapa konsep dalam sains sosial dan kemanusiaan.

Kali ini kita akan berbincang tentang kelebihan dan juga cabaran yang dihadapi dalam menerima kepelbagaian di dalam dunia yang pesat membangun. Bersama kita, tokoh intelektual, sarjana, dan aktivis terkenal: Profesor Ebrahim Moosa. Selamat datang Prof!

Professor Ebrahim Moosa: Terima kasih Fuad kerana menjemput saya.

F.R: Kami berasa bertuah dengan adanya prof sebagai tetamu kita pada hari ini. Saya dimaklumkan bahawa Prof sekarang ini berada di Notre Dame setelah beberapa lama di Duke.

E.M: Ya, saya berasal dari Afrika Selatan. Namun, saya mula mengajar beberapa tahun di University of Cape Town dan kemudiannya 3 tahun di Stanford. Manakala di Duke, saya mengabiskan 13 tahun di sana.

Kini, saya baru sahaja berpindah ke University of Notre Dame, Indiana. Di mana, saya dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan suatu program yang bercita-cita tinggi dalam kajian pemikiran Islam dan masyarakat Islam.

Saya berasa teruja untuk itu. Jadinya, itulah perkembangan terbaru saya.

F.R:  Seperti mana yang kita semua ketahui, banyak perkara perlu dilakukan dalam pengkajian Islam di Amerika khususnya. Adakah ianya sejenis gambaran kepada perkembangan yang lebih luas dalam bidang akademik? Di mana minat terhadap Islam di Amerika semakin meningkat.

E.M: Apa yang berlaku di Notre Dame adalah di sana mereka cuba mewujudkan sebuah sekolah membincangkan tentang urusan global yang akan memulakan capaian di ruang web pada 2017 kelak.

Ianya mempunyai visi supaya urusan global perlu diajarkan melalui kajian terhadap agama. Pihak pentadbiran Notre Dame sedia maklum bahawa Islam merupakan agama yang penting di dunia. Walaupun dengan pengetahuan bahawa sesetengah pihak telah pun memulakan pengajaran tentang agama. Namun, mereka benar-benar mahu membangunkan program ini.

Lalu, mereka mengajak saya untuk menyertainya dan kami sedang berusaha bersama-sama untuk membangunkan program ini.

Program ini akan merangkumi perbincangan tentang pemikiran Islam dalam masyarakat Muslim, Islam dan pembangunan kemanusiaan, Islam dan pemikirannya, teologi, kajian normatif dalam pemikiran Islam dan juga termasuklah antropologi diskriptif, sosiologi Islam dan bagaimana untuk menghubungkan keduanya.

Ianya adalah sangat menarik. Dan bagi saya, secara peribadi, ini adalah suatu peluang yang sangat besar, apabila dapat melancarkan program tersebut dan saya berasa amat teruja dengan prospek itu.

F.R: Walaupun sekilas pandang membaca profil Prof, ia telah menunjukkan bahawa Prof adalah amat bersesuaian untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.

Maksud saya, Prof merupakan seorang yang beretnik daripada Asia Selatan. Tetapi, tinggal di Afrika Selatan pada masa yang lama. Kemudian, Prof juga mengajar di Amerika Syarikat.

Seperti yang Prof maklumkan sebentar tadi, ini bukanlah kali pertama Prof berada di Malaysia. Prof sudah banyak kali berkunjung ke sini. Mungkin Prof boleh kongsikan serba sedikit, bagaimana latar yang memberi inspirasi dan mendorong Prof untuk berusaha dengan lebih kuat serta memberi motivasi kepada Prof sebagai seorang pendidik dalam bidang intelektual ini?

E.M: Ya, seperti mana yang anda ketahui, saya dilahirkan dan dibesarkan di Afrika Selatan pada tahun 70-an. Saya mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran di institusi yang diiktiraf, ataupun dengan kata lain yang dikenali sebagai madrasah di selatan Asia.

Saya menghabiskan 6 tahun di pelbagai madrasah di India. Di mana konsep asas dan kukuh yang terdapat dalam teks-teks Islam saya pelajari, terutamanya dalam perundangan Islam, teologi, persoalan mengenai tatabahasa Arab dan falsafah-falsafah yang tradisional.

Jadi ianya telah menetapkan saya pada sebuah perjalanan untuk memahami apa itu tradisi. Namun, pada saat umur saya mencecah 23 tahun, selepas saya mendapat kelulusan daripada program tersebut, saya seakan baru tersedar terdapat sebuah dunia luar yang luas di mana saya benar-benar telah mengabaikannya selama 6 tahun yang lepas.

Makanya, sekarang ini saya perlu menilai kembali apa yang saya lakukan dan berfikir bagaimana caranya untuk membawa apa yang saya pelajari ke dunia realiti, iaitu pengetahuan yang saya dapati daripada pembelajaran dari institusi tradisional dahulu.

Peluang telah menghasilkan seorang lelaki yang hebat bernama Muhammad Fathi ‘Uthman. Beliau mengeluarkan sebuah majalah bertajuk ‘Islamic World Review’ di London. Beliau juga telah menjemput saya untuk menyertai Stanford dan ianya telah membuka suatu fasa baru bagi saya.

Saya masih lagi cuba memahami pemikiran moden, persoalan berkenaan perkembangan dunia moden, dan juga sains sosial.

Kemudian, saya kembali ke Africa Selatan atas permintaan arwah ibu saya. Dan di situ, saya meneruskan kerja-kerja jurnal saya. Bukan itu sahaja, saya juga terlibat dengan gerakan Islam yang mempunyai agenda yang besar iaitu menyediakan Muslim untuk berhadapan dengan masalah perkauman dan diskriminasi kaum.

Pada tahun 1984, saya melibatkan diri dan meneruskan kerja jurnal saya. Pada ketika itu, saya mula menggunakan apa yang saya pelajari di sekolah tradisional dahulu dan juga pemahaman saya berkenaan dunia disekeliling apabila saya terlibat secara langsung sebagai seorang pengarah kebangsaan dalam gerakan aktivis pemuda Islam di Selatan Afrika.

Tetapi kemudiannya, saya juga menyedari bahawa saya perlu meningkatkan kemahiran saya. Saya membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana dan juga PhD di University Of Cape Town.

Pada ketika itu, pihak universiti juga telah mengambil saya bekerja dengan mereka dan saya mengajar di sana selama belasan tahun.

F.R: Setahu saya, setidak-tidaknya di kalangan ahli akademik, Prof amat bertuah apabila dapat belajar bersama Fazlur Rahman. Malahan, Prof juga telah menulis pengenalan kepada buku Revival and Reform in Islam: A Study of Islamic Fundamentalism.

E.M: Profesor Fazlur Rahman adalah inspirasi yang hebat bagi saya. Saya tidak berpeluang untuk belajar secara terus daripadanya disebabkan saya tidak berada di Chicago.

Tetapi saya ada melawatnya sekali dan kami sering berurusan melalui perbualan telefon. Saya juga telah diberi penghormatan untuk menambah baik manuskrip terakhirnya. Di mana pada ketika itu buku tersebut belum lagi siap dengan sempurna. Saya tambah kata-kata pengantar.

Ia memerlukan sebuah kecintaan dan juga ketekunan. Tetapi akhirnya saya berjaya menyiapkannya dan kini ianya dikenali sebagai buku yang bertajuk Revival and Reform : A Study of Islamic Fundamentalism.

Ketika saya selesai menghabiskan pengajian di Madrasah, perasaannya adalah saya telah mempelajari kesemua perkara. Namun, saya gagal mengetahui apakah gambaran yang lebih besar. Kemudian, saya mula membaca satu buku yang bertajuk ‘Islam’ di London. Seterusnya saya mula membaca buku ini, iaitu buku tulisan Fazlur Rahman. Pada ketika itu, saya mula sedar ‘Wow! Beliau mengetahui kesemua perkara yang saya ketahui. Namun, yang lebih baik adalah beliau mampu untuk menyusunnya dan melihat gambaran yang lebih besar.’

Semenjak dari itu saya mula membaca lebih lanjut mengenai beliau. Saya juga membaca buku-buku tulisannya termasuklah Islam and Modernity, Islam dan lain-lain lagi.

Setelah itu saya sedar bahawa beliau merupakan seorang tokoh intelektual yang menakjubkan dan mampu menghasilkan sumbangan yang besar dalam dunia Islam. Iaitu melalui pemikiran tentang Islam di dunia yang kita diami ini.

Ia adalah sebuah inspirasi yang hebat bagi saya kerana ia membantu saya untuk memahami cara menulis dan menyediakan sumber dalam teologi pembebasan Islam di dalam konteks Afrika Selatan.

Jadi, ia tidak hanya berkaitan dengan bagaimana Islam berhadapan dengan demokrasi, kebebasan dan pembebasan. Tetapi juga merangkumi keadilan dalam hak asasi manusia dan juga pelbagai isu dalam masyarakat umum.

Dengan cara itu, kedua-duanya: pengetahuan tradisional yang saya pelajari dahulu telah menyediakan landasan yang kukuh dalam pengajian Islam dan pengkajian sains kemanusiaan moden memberikan banyak maklumat.

Kombinasi antara Fazlur Rahman dan semua yang lain mampu menghasilkan suatu yang menakjubkan terutamanya dalam memainkan peranan sebagai rujukan.

Saya fikir, dengan adanya kerjasama bersama rakan-rakan yang lain seperti Farid Esack, Abdul Rashied Omar, Abdulkader Tayob dan beberapa ulama yang lain, kita mampu menghasilkan sesuatu yang berguna bagi masyarakat di Afrika Selatan.

F.R: Menarik perancangannya. Kira-kira banyak juga pengalaman dan pandangan yang Prof kumpulkan dalam menjayakan kerja ini. Saya tertarik untuk menyentuh hal yang Prof sebutkan sebentar tadi. Iaitu mengenai kerumitan yang ada di dunia ini.

Di mana perkara yang terkandung di dalamnya adalah sangat luas dan banyak yang belum diterokai. Pada masa yang sama kita juga tinggal di dunia yang tidak dapat lari daripada dilabel.

Namun, saya fikir Prof tidak sesuai untuk menerima mana-mana label. Jadi, bagaimana Prof meletakkan diri Prof dalam kerangka kompleksiti ini? Adakah Prof seorang pemikir moden, tradisionalis, pemikir Muslim barat ataupun ulama klasik konvensional?

E.M: Bagi saya, saya berada di tengah-tengah dunia yang kompleks ini. Bersederhana. Ingin saya kongsikan apa yang saya temui sepanjang penulisan buku ini, Ghazali and The Poetics of Imagination. Saya menghabiskan bertahun-tahun menulis buku ini.

Ketika saya mula mendalami Ghazali sewaktu manjadi pelajar dahulu, saya seakan merasakan sesuatu kekurangan. Pada awalnya, saya tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Ghazali pada ketika itu.

Saya juga membeli penterjemahan Bahasa Inggeris yang berwarna merah dan akhirnya buku tersebut tersimpan rapi di rak buku saya setelah habis membacanya. Sehinggalah suatu hari apabila saya cuba mencarinya semula, Ghazali seakan telah hilang.

Apabila saya pulang ke Afrika Selatan, saya perlu mengajar dan menyampaikan khutbah. Waktu itu, saya mula membaca Ihya’ Ulumuddin iaitu kebangkitan sains dalam agama.

Maka, pada waktu itu saya mula nampak dan memahami tulisannya. Beliau menulis berkenaan falsafah, rohani, perundangan dan teologi. Beliau berjaya meletakkan kesemuanya dengan baik.

Itulah titik permulaan saya meminatinya, saya baca autobiografi beliau dan kemudiannya saya teruskan sebagai kajian PhD saya seta akhirnya menjadi buku.

Di dalam bukunya, Ghazali ada menulis tentang perjalanan rohani, tasawuf dan sufi, di mana ianya mengajar kita tentang Pencipta. Dalam perjalanan ini, kita akan tiba di suatu tahap yang dikenali sebagai ‘dehleez’, iaitu ruang pertengahan. Entah bagaimana, saya tidak menangkapnya pada bacaan pertama saya.

Saya memetik kata-kata William James, tokoh falsafah Harvard yang juga merupakan tokoh antropologi dikenali ramai. William James telah banyak menulis dalam pelbagai jenis pengalaman agama dan beliau juga ada memetik kata-kata Ghazali daripada penterjemahan bahasa Perancis.

Di sinilah saya melihat ruang pertengahan tersebut dan kemudiannya kembali kepada tulisan Arab Ghazali. Saya bermonolog ‘Ya, inilah dia’. Ghazali berada di pertengahan persimpangan pelbagai arus dan itulah saya. Itulah kita semua.

Kita bukan sahaja mempunyi pengetahuan yang kukuh dan berakar dalam tradisi Islam. Bahkan, kita juga berpegetahuan tentang sains sosial barat. Kita cintakan demokrasi moden. Ghazali juga ada warisan Greek, Parsi, dan Zaman Nabi dahulu. Semua tulisannya ketika itu masuk akal.

Jadi, inilah dilema kita sebagai muslim moden. Kita ada pelbagai sumber pengetahuan, tetapi kita gagal untuk mengaitkannya. Maka, disitulah saya temui tempat yang paling istimewa adalah dehleez, ruang pertengahan.

‘Dehleez’ dalam Bahasa Parsi bermaksud ruang antara rumah nabi ke pintu luar, iaitu ruang halaman. Ruang yang sesiapa sahaja boleh melaluinya. Ruang tersebut bukanlah ruangan awam dan ianya bukan juga ruangan yang betul-betul bersifat peribadi. Dan inilah dahleez iaitu ruang perantaraan.

Apabila kita mula berfikir tentang Gloria Anzaldua dan beberapa pemikir Latin Amerika. Mereka berbicara mengenai sempadan pemikiran dan inilah yang saya kenali dengan pemikiran secara dehleez (Dehleezian thinking), pertengahan dan persimpangan antara banyak perkara.

Bagi saya ruangan mempunyai keduanya. Ia sukar dan juga pada masa yang sama merupakan sebuah ruang yang produktif dalam menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

Di dalamnya kita mampu mendapatkan yang terbaik. Tetapi, tidak dilupakan ianyanya menguji kita supaya berusaha keras untuk mengelakkan kesilapan. Dan kadangkala kita gagal. Namun, kita harus terus berusaha.

Tiada siapa yang berjaya memperolehinya secara tepat pada kali pertama. Tetapi in merupakan peluang yang besar bagi muslim seluruh negara.

Kerana ruangan ini bukanlah hanya untuk Muslim di barat mahupun hanya untuk Muslim di Malaysia, tetapi ia juga merangkumi jajahan Belanda iaitu Indonesia dan pelbagai lagi. Ini adalah situasi di dunia.

Walaupun di Amerika, orang terdedah dengan pelbagai jenis tradisi termasuklah tradisi Latin. Jadi sebagai warga Amerika mengapa mereka tidak hanya bertumpu kepada tradisi Latin? Mereka haruslah berusaha untuk membangunkan tradisi tersebut bersesuaian dengan tradisi Afrika Amerika.

Di antara ini, walaupun kita berada di dunia yang serba mencabar dan dengan kuasa Barat, ia perlu untuk berinteraksi dengan kita semua.

Makanya dunia adalah lebih kompleks dari yang kita jangkakan. Ia menjadi pelbagai warna, bentuk, dan pelbagai agama. Tidak dilupa, terdapat juga kemajuan global yang bergerak dengan pantas sekali.

F.R: Bagaimana kita boleh kekal tabah dalam kesukaran ini ya? Kerana bagi saya kecenderungan untuk cepat membuat konklusi, mudah melabel, memudahkan subjektiviti sesuatu perkara dan secara mudahnya tidak berfikir itu sentiasa ada.

Bahkan, ada yang tidak mahu berhadapan dengan kepelbagaian. Bagi Prof, apakah perkara-perkara praktikal yang boleh kita sampaikan terutamanya apabila kita berhadapan dengan cabaran perbezaan dan perubahan yang terlalu banyak?

E.M: Saya selalunya akan mengingatkan pendengar bahawa pemikiran sebegitu merupakan suatu pemikiran yang malas. Kita tidak seharusnya bersikap malas dalam berfikir walaupun hakikatnya, kita berasa selesa untuk tidak berfikir.

Bagi saya, kebenaran itu merupakan sesuatu yang amat penting. Saya juga temui inspirasi melalui ayat al-Quran yang menyebut:

Tuhanmu memberi inspirasi kepada lebah dan mengarahkanya untuk membuat sarang di setiap gunung, pokok-pokok kayu dan juga jeruji (16:68). Dan kemudiannya Tuhanmu menyuruh lebah-lebah itu untuk pergi dan makanlah daripada pelbagai jenis bunga-bungaan. Kemudian, ia membuat sejenis minuman pelbagai warna. Dan apa yang disampaikan oleh al-Quran?

Fi hi syifa ullinnas: yang merupakan penyelesaian kepada umat manusia

In na fi zalika la ayatin liqaumiy yatafakkarun: demikian itulah tanda bagi orang yang berfikir. (16:69)

Jadi, kita mestilah jadi seperti lebah. Lebah pergi ke banyak tempat dan apa yang alam semulajadi mengajar kita adalah untuk menghasilkan minuman yang menakjubkan iaitu madu. Madu bukan sahaja mempunyai kesemua warna yang ditawarkan oleh alam semula jadi. Malahan, ianya mempunyai sesuatu yang lebih daripada itu.

Inilah situasi yang perlu kita ambil pengajaran daripadanya. Ianya madu dan bukannya jem buah-buhan. Ianya sesuatu yang istimewa. Dan yang istimewa inilah mempunyai bahan yang sangat kompleks.

Ya, tidak dinafikan, kadang kala manusia ingin kembali kepada keaslian dan meringkaskannya. Saya X, tetapi anda bukan X. Anda adalah X dan juga Y serta pada masa yang sama anda juga Z. Anda seorang bapa kepada seseorang anak. Pada masa yang sama anda juga seorang guru, seorang professional, pekerja dan lain-lain lagi. Anda punyai pelbagai perkara pada suatu masa dan inilah keadaan sebenar.

Jadi, jika anda membenamkan kepala ke dalam timbunan pasir dan mengatakan bahawasanya anda adalah X, ianya bukanlah realiti yang sebenar. Jadi kita perlu berfikir secara realistik.

Saya fikir ini adalah realiti yang kita hadapi. Jelasnya kerumitannya dan bagaimana untuk kita menguruskannya adalah suatu cabaran yang besar. Apa yang kita perlu lakukan adalah menggalakkan dan mencari jalan untuk membantu orang yang menghadapi kesulitan itu. Kerana mereka pasti dan saya juga mengalami kesulitan untuk melalui fasa tersebut. Di antaranya terdapat ruangan kosong.

Ada perkara yang kita belajar sewaktu zaman kanak-kanak, ada juga yang kita pelajari sewaktu remaja dan kemudiannya mungkin kita perlu memilih untuk melupakan antara apa yang kita pelajari dahulu kerana pada waktu itu kita sedar rupa-rupanya dunia tidaklah seperti apa yang kita pelajari dahulu.

Kita perlu berurusan dengan jiran yang berbagai agama: Kristian, Hindu, Buddha. Kita perlu berfikir secara pluralisme. Walaupun kita dibesarkan dalam suasana pengajaran Islam yang sangat ketat. Islam adalah ini dan itu serta kadang kala dengan cara yang sangat eksklusif.

Tetapi kemudiannya kita menyedari bahawa al-Quran juga ada menyebut, ‘orang-orang Yahudi dan Kristian, dan orang-orang yang beriman kepada Tuhan. Di hari akhirat kelak, tiada apa yang perlu ditakutkan dan perlu disesalkan. Dan mereka akan diselamatkan.’

Ini memberikan kejutan besar kepada Muslim khusunya. Dengan secara tiba-tiba, sekarang ini saya dipertanggungjawabkan untuk memikirkan tentang jiran-jiran yang lain dengan penuh maruah.

Cuba anda lihat, apabila ada pihak yang mengajar bahawasanya Islam adalah yang terbaik, dan selain darinya adalah sesuatu yang tidak setaraf secara tidak langsung ianya akan mempengaruhi bagaimana pemikiran psikologi kita dan akan mempengaruhi bagaimana cara kita memahami agama yang lain.

Sehinggakan ada yang merasakan bahawa kita memikirkan agama yang lain dengan pandangan serba kekurangan.

Tetapi, apabila kita mula berfikir tentang ulama Islam seperti Ghazali, Rumi dan pemikir-pemikir Islam yang lain dalam bidang puisi serta lain-lain, mereka mengajar kita tentang maruah manusia.

Malah, sesetengah pemuisi mengatakan bahawa Muslim itu sendiri telah menyimpang daripada Kaabah, iaitu tempat suci yang terpenting. Arah tempat sujud kita setiap hari. Tempat yang penuh dengan sejarah. Tempat berlakunya pelaksanaan perintah penyembelihan anak Nabi Ibrahim yang akhirnya tidak berlaku. Betapa tingginya tempat suci tersebut diangkat.

Tetapi pemuisi Islam yang hebat pernah mengatakan bahawa maruah manusia adalah lebih tinggi daripada Kaabah tersebut.

Fa in naqamul baiti min qadriinsani: apalah yang nak dibandingkan dari sebuah rumah berbanding tingginya martabat manusia.

Manusia sebenarnya merupakan ciptaan yang paling menakjubkan yang dibanggakan oleh Tuhan dihadapan para malaikat. Dan Tuhan berkata untuk menghantarnya ke bumi. Jadi menghormati antara satu sama lain adalah merupakan antara ajaran penting dalam agama yang sering kali dilupakan.

Selalunya kita menggunakan pelbagai kod warna perbezaan agama untuk menjadikan martabat agama kita lebih tinggi daripada yang lain. Ini bukanlah apa yang disyorkan dalam Islam. Tetapi ianya datang daripada eksklusiviti.

Semua orang perlu mula memahami betapa kompleksnya hidup ini dan kepelbagaian yang diajarkan oleh al-Quran kepada kita. Kita perlu berfikir tentang lebah madu dan kerja-kerja yang dilakukan serta apa yang dapat kita pelajari daripada mereka.

Kita lihat apa yang kita pelajari sekarang dan apa yang telah dibincangkan oleh ulama terdahulu, untuk kita berhadapan dengan masalah kerumitan.

F.R.: Kata-kata yang bijak terutamanya untuk warga Malaysia dalam mendepani isu ini. Terutamanya berkenaan eksklusiviti dan ketakutan dalam berhadapan dengan kompleksiti dunia.

Saya ingin mengaitkan apa pandangan Prof dalam konteks Malaysia. Prof sudah berada di sini banyak kali dan sebagaimana yang Prof tahu warga Malaysia sentiasa bergelut dengan masalah untuk hidup bersama dengan harmoni walaupun berhadapan dengan pelbagai agama, bahasa, budaya dan etnik.

Apa tanggapan selama Prof berada di sini? Adakah Malaysia sepertimana yang disangkakan oleh kebanyakan orang, sebuah negara model yang baik ataupun adakah ianya bermasalah hinggakan orang terlepas pandang bila mana mereka memikirkan tentang negara ini?

E.M: Terima kasih Fuad kerana menanyakan berkenaan isu ini. Ia merupakan perkara berat yang sering kali saya fikirkan. Di era 15 tahun yang lalu, Malaysia merupakan merupakan harapan Muslim keseluruhannya.

Semua orang mengatakan bahawa Malaysia berada di keadaan moden, ekonomi yang stabil, masyarakat yang pelbagai budaya, banyak lahirnya pemimpin-pemimpin baru, pemimpin yang memainkan peranan penting, dan wanita progresif.

Ada orang yang berlatar belakangkan Cina, India, Kristian, Hindu, Budha, Islam dan lain-lain lagi. Ini merupakan peluang yang besar. Walau bagaimanapun, kita dapat lihat bahawa yang sebelum ini sudah tidak berlaku lagi.

Sekarang ini, saya juga tidak pasti, mungkin Malaysia ada penjelasan mereka sendiri. Apa yang boleh saya katakan adalah, perkembangan kebelakangan ini merisaukan orang di luar sana.

Harapnya Malaysia mampu menyelesaikan permasalahan ini dan maju kehadapan dalam setiap perkara progresif yang mereka lakukan terutamanya berkenaan dengan Islam.

Tidak membiarkan pekara-perkara kecil untuk memesongkan perhatian mereka. Banyak isu-isu picisan yang menarik perhatian golongan minoriti. Adalah suatu yang bijak untuk pemimpin menegaskan bahawa kita mempunyai isu yang lebih besar.

Kita inginkan kemajuan. Kita mahu hapuskan rasuah, menjadi contoh. Jadi, jangan biarkan isu-isu kecil ini mengalihkan perhatian kita.

Sebagai sebahagian daripada komuniti dan juga merupakan rakan Malaysia, apa yang saya mungkin boleh katakan adalah “Apa sebenarnya agenda orang yang mahu menekankan isu-isu kecil tersebut dan mengalihkan perhatian kita?” Mungkin inilah masalah yang besar.

Perkara tersebut perlu diingatkan, dan bukannya membiarkan golongan minoriti menghadapinya sendirian atau membuat idea kepelbagaian itu sebagai satu masalah.

Atau menjadikan pengetahuan itu sebagai suatu masalah. Ilmu pengetahuan tidak akan pernah menjadi sebagai suatu masalah. Masalahnya adalah pada kezaliman dan sikap autoritarianism yang takut kepada rakyat yang berpengetahuan.

Jika anda tahu, terdapat pemikir awal abad 20-an yang bernama Abdul Rahman al-Kawakibi. Kawakibi merupakan seorang yang berasal dari Syria dan dia merupakan sahabat kepada Sheikh Rashid Rida di Mesir.

Kawakibi ada menulis buku yang tidak lama lagi boleh didapati versi terjemahannya yang bertajuk ‘The Nature of Despotism’.

Di dalam bukunya, analisis yang paling mendalam adalah bila mana beliau berkata penzalim menyukai pemimpin agamawan yang patuh. Apa yang penzalim lakukan adalah mereka memegang pemimpin agamawan ini dan inilah apa yang kita pelajari di Afrika Selatan iaitu mereka menghapuskan kepimpinan agama yang berfikir.

Menjadikan mereka tidak berfikir. Ianya disebabkan, pemimpin agama mengetahui ajaran nabi di mana keadilan berlaku ataupun tidak. Mereka menyampaikan ajaran nabi, suruhan al-Quran, suruhan Bible dan kesemua saranan nabi untuk menentang ketidak adilan dan perkara yang buruk.

Maka, jika mereka boleh menyatakannya dengan jelas. Pimpinan yang zalim tersebut akan tergugat.

Jadinya satu perkara yang perlu kita beri tumpuan adalah pendidikan. Pendidikan adalah kunci kebebasan. Ia menjadikan manusia yang berfikir dan bukannya bersikap automatik dan ini merupakan perkara yang sangat penting.

Baca bahagian kedua perbincangan ini. ]]>