Gambar: Socialnomics.net[/caption] Kebebasan Bersuara, Ungkapan Kebencian & Penyalahgunaan Undang-undang Dalam era serba moden ini, kita tidak terlepas daripada mengungkapkan segala sesuatu terutama di laman media sosial. Kebebasan bersuara dan berekspresi ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai sempadan. Manusia tidak kisah apa jua latar belakang bebas bersuara tentang pelbagai perkara sama ada komen terhadap berita media, menyebarkan dakyah ideologi, menjaja kisah hidup peribadi atau meraikan keluarga dan rakan-rakan. Ada juga yang berjenaka, menyebarkan imej-imej serta video berunsur nasihat mahupun “menyerang” apa-apa yang dilihat tidak enak atau tidak selari dengan pendapat peribadi individu yang terasa. Tidak kurang hebatnya dalam era demokrasi ini, rakyat Malaysia sejak tahun 1998 dilihat semakin berani bersuara melalui demonstrasi dengan mempertahankan ideologi politik dan agama, membantah penindasan hak-hak tertentu dan melakukan tuntutan bagi sesuatu tujuan. Meskipun demikian, kebebasan bersuara mahupun berekpresi ini juga boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian. Di Malaysia, undang-undang yang boleh digunakan untuk mencegah ungkapan kebencian amat terhad seperti Seksyen 298 dan 298A dalam Kanun Keseksaan. Malangnya, penguasaan undang-undang masih dilihat meragukan meskipun kerajaan meminda akta seperti Akta Hasutan 1948. Tambahan pula, ada akta baru yang diperkenalkan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikenali sebagai SOSMA dan terkini Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Rakyat dapat menilai sendiri bagaimana akta tersebut diguna pakai. Ia bukanlah untuk membela suara minoriti mahupun mengekang kebencian tetapi lebih kepada memelihara kepentingan pemerintah dengan menghalang suara-suara sumbang yang mengkritik kerajaan. [caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"] Gambar: Clarespark.com[/caption] Apa itu Pelan Tindakan Rabat?[1] Pelan Tindakan Rabat merupakan dokumen praktikal bagi membendung kebencian dalam bersuara. Beberapa siri bengkel telah diadakan di pelbagai negara oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) bagi mendapatkan penilaian menyeluruh dari pakar-pakar dalam hal ini. Ia merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar yang berkait dengan advokasi terhadap kebencian nasional, kaum atau agama yang membawa diskriminasi, permusuhan dan keganasan di peringkat nasional dan serantau. Sudah tentu ia berusaha untuk mengekang ungkapan kebencian yang melampau, tanpa menjejaskan kebebasan berekspresi sebagaimana yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Siri bengkel ini berakhir di Rabat, Maghribi pada 4 dan 5 Oktober 2012 bagi menghasilkan analisa perbandingan bagi dapatan setiap bengkel sebelumnya. Hasilnya, bengkel tersebut mengenal pasti tindakan bagi setiap peringkat dan untuk merangka langkah terbaik serta alat bagi perkongsian pengalaman. Ringkasnya, kunci utama pelan tersebut adalah untuk menghalang sebarang hasutan kebencian secara tanggungjawab bersama daripada kakitangan kerajaan, pemimpin agama mahupun komuniti, media dan individu. Justeru, adanya keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, tolak ansur, hormat-menghormati dan dialog antara agama/budaya. [caption id="attachment_5366" align="aligncenter" width="559"] Gambar: Hma-rekan.com[/caption] Ungkapan Kebencian yang Menjadi Jenayah Dalam hal ini, Pelan Tindakan Rabat mencadangkan ujian penentuan enam bahagian untuk ekspresi/ungkapan yang dianggap sebagai kesalahan jenayah:
- Konteks – konteks adalah amat penting apabila menilai jika kenyataan tertentu mungkin dilihat sebagai hasutan ke arah diskriminasi, permusuhan atau keganasan terhadap kumpulan sasar;
- Pembicara – kedudukan atau status pembicara dalam masyarakat perlu dipertimbangkan, terutama kedudukan individu dalam konteks khalayak yang ditujukan ungkapan tersebut;
- Niat – Artikel 20 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mensyaratkan niat jenayah sebagai penentu. Ia termasuklah “sokongan” atau “hasutan” dan bukannya pengagihan atau pengedaran bahan semata-mata;
- Kandungan dan bentuk – Kandungan ungkapan itu perlu menjadi tumpuan penentuan, pada tahap mana ia provokatif dan juga bentuk, gaya dan jenis hujahnya;
- Takat pengungkapan – Sejauh mana capaian ungkapannya, sama ada ia umum atau peribadi, saiz khalayak, kemampuan penyebarannya dan sama ada khalayak berupaya untuk bertindak atas hasutan itu;
- Kemungkinan, termasuk kesegeraan – Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada terdapat kemungkinan munasabah bahawa ungkapan tersebut mampu menghasut tindakan sebenar terhadap kumpulan sasaran.