Projek Dialog menentang sekeras-kerasnya tindakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan sebuah bengkel yang bertujuan menfitnah dan mengancam golongan minoriti Syiah Islam di Malaysia.
Kami dimaklumkan melalui poster yang disebarkan di laman sosial Facebook bahawa ABIM akan mengadakan sebuah bengkel perbandingan agama yang bertemakan “Bengkel Bahaya Syiah” pada 13 April 2013 di Universiti Selangor (UNISEL). Bengkel tersebut akan disampaikan oleh Ustaz Mohd Naim Mohd Noor, iaitu Timbalan Presiden ABIM. Di dalam poster tersebut, ia menyatakan bahawa Al-Quran dan Al-Kitab (Bible) akan disediakan bagi para peserta.
Tindakan ABIM menganjurkan ‘Bengkel Bahaya Syiah’ ini adalah tidak wajar sama sekali, kami menentang mana-mana pihak yang menggunakan agama Islam untuk menyelewengkan umat Islam dengan sifat rasisme dan sektarianisme yang memecahbelahkan masyarakat.
Golongan Syiah adalah golongan Islam minoriti di Malaysia yang telah bertapak di sini sejak berkurun-kurun dahulu. Walaupun menganuti agama Islam yang sama, komuniti Syiah di Malaysia dilebelkan sebagai ‘ajaran sesat’ oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia, malah kehidupan serta identiti Syiah mereka sentiasa diancam oleh masyarakat sekeliling. Mereka terpaksa menganuti agama mereka secara senyap-senyap dan dalam ketakutan. Bengkel yang sedemikian hanya akan melanjutkan lagi hasutan dan fitnah terhadap mereka.
Projek Dialog juga ingin menyatakan kekesalan kami terhadap ABIM kerana tidak memainkan peranan yang lebih besar dan mulia dalam menyebarkan ilmu dan ajaran Islam yang bersifat kecintaan dan universal.
Laman web ABIM mencerminkan sebuah organisasi pejuangan Islam yang progresif, dimana ia menyatakan ”ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia…”.
Namun begitu, bengkel-bengkel anjuran ABIM seperti ini sama sekali tidak berpaksikan misi dan visi asal mereka. Bengkel ini tidak akan membawa apa-apa manfaat terhadap umat Islam kerana ia hanya akan mengapi-apikan umat Islam dengan perkara yang tidak membawa kebaikan ataupun kebajikan kepada masyarakat.
Sebaliknya, sebagai sebuah organisasi Islam yang menjadi ‘watchdog’ atau pemantau akan kebajikan dan kefahaman Islam di Malaysia, ABIM sepatutnya memperjuangkan isu-isu penting yang menghimpitkan umat islam (dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan) di Malaysia. Walhal, isu-isu yang dikeji oleh islam seperti diskriminasi antara kaum dan agama, rasuah yang berleluasan, ketidakadilan dalam perlaksanaan undang-undang Syariah dan Sivil, , penyelewengan kuasa, penindasan terhadap golongan miskin/orang asli/pekerja asing, dan sebagainya tidak pula diberikan perhatian yang mendalam oleh ABIM.
Maka demikian, Projek Dialog menyeru agar diwujudkan dialog bagi memahami dilema minoriti Syiah yang diancam ini serta meningkatkan pemahaman terhadap ajaran Syiah.
Dialog yang berterusan akan membuka ruang kepada ilmu pengetahuan yang lebih mendalam terhadap Islam, dan mengelakkan daripada membuta-tuli mempercayai propaganda, desas-desus dan stereotaip yang tidak berasas.
Pihak ABIM, atau mana-mana pihak berkuasa Islam seharusnya kembali kepada asas ilmu Islam yang mengajar umat Islam untuk bertoleransi, menghormati, dan menegakkan nilai-nilai humanistik antara agama dan kaum. Islam, sebagai agama yang berlandaskan keamanan sejagat, umat-umatnya perlulah memain peranan aktif dalam mengeratkan semangat perpaduan, harmoni dan persaudaraan sesama umat islam tidak kiralah mazhab atau kefahaman Islam mereka.
Projek Dialog berpegang teguh dengan prinsip berdialog, dan kami menggalakkan niai-nilai humanistik dan universal di kalangan umat manusia.
]]>