Projek Dialog

Selamat Hari Kartini

Photo credit : Janko Ferlic (https://www.pexels.com/@thepoorphotographer)[/caption] Oleh Afiq M. Noor

Pakaian merupakan hak asasi setiap orang tanpa kecuali. Peri pentingnya pakaian kepada manusia sehingga Allah S.W.T menggambarkan ikatan perkahwinan antara seorang isteri dengan suami sebagai – “..mereka (isteri) adalah pakaian bagimu (suami) dan kamu (suami) adalah pakaian bagi mereka (isteri)..” (Quran 2:187). Kenapa Al Quran memilih untuk mengumpamakan hubungan kudus antara isteri dan suami dengan pakaian? Sudah pastilah kerana pakaian mempunyai signifikan yang sangat penting dengan manusia. Selain untuk menutup keaiban agar tidak dilihat oleh orang kebanyakan, pakaian juga mencerminkan identiti si pemakai. Jika si pemakai itu berkebaya, bersarung batik, berkonde dan menutup kepalanya dengan selendang sudah pasti kita mengetahui bahawa dia perempuan nusantara yang bangga dengan identiti nusantaranya. Jika si pemakai itu berabaya hitam dengan tenunan berwarna keemasan di lengannya dan bercadar sudah hampir pasti si pemakai itu perempuan dari Tanah Arab yang senang sekali dengan identiti arabnya.

 

Setiap manusia pasti memilih pakaian yang bukan sahaja selesa di pakai tapi lebih dari itu sebagai cerminan identiti, maruah dan political/religious statement yang diimaninya. Sebagai contoh, Sheikh Al Azhar, Dr. Abdul Halim Mahmud (1978), sepulangnya dari Sorbone University di Perancis beliau mengenakan pakaian ala barat dan mengajar di Universiti Al Azhar. Namun apabila Presiden Mesir Gamal Abdul Nassir mengkritik dan merendah-rendahkan ulama di Al Azhar beliau menunjukkan protes dan kemarahannya dengan menanggalkan pakaian ala barat yang lazim dipakainya dan memakai pakaian rasmi Al Azhar – jubah dan imamah hitam dan merah. Beliau juga menganjurkan para alumni Al Azhar untuk mengenakan pakaian rasmi Al Azhar untuk menunjukkan bantahan dan ketidaksetujuannya dengan kritikan Presiden Mesir ketika itu. Begitu juga para santri di Indonesia dan Nahdhatul Ulama’ mereka begitu identik dengan sarung dan peci (songkok) sebagai identiti mereka sehingga mereka di gelar sebagai kaum sarungan dan bangga dengan identiti tersebut. Nah, begitulah serba sedikit tentang politik identiti dalam pemilihan pakaian atau fesyen.

 

Manusia berpakaian juga tidak lain, untuk dilihat cantik. Siapa sahaja yang tidak suka kelihatan cantik dan elegan dengan busana yang melekat di tubuhnya? Namun, tidak jatuh kafir jika saya katakan industri fesyen menempatkan posisi perempuan jika tidak setara, hampir sama dengan agama. Hubungan perempuan dengan agama dan hubungan perempuan dengan fesyen juga hampir sama polanya. Terlalu menyakitkan.

 

Jahiz, seorang sastrawan Iraq pernah berkata- “Aku dan orang yang berfikiran rasional tidak akan pernah mengatakan bahawa status perempuan itu di bawah lelaki, setingkat, dua tingkat atau lebih..Namun aku melihat begitu ramai orang yang merendahkan, mengekspoitasi dan mengurangi hak-hak mereka..”

 

Begitulah perempuan, mereka bukan sekadar di atur-atur hidupnya oleh agamawan dengan aturan-aturan yang tidak masuk akal dan domestifikasi dirinya dari ruang publik sekaligus mengurangi harkat dan martabatnya. Perempuan juga di kurangkan statusnya kerana bentuk tubuh badannya oleh tuhan-tuhan kecil industri fesyen. Wahyu dan sabda tuhan-tuhan kecil ini menginginkan perempuan itu harusnya begini dan begitu dengan tidak ada tawar menawar. Maka hiduplah sekali lagi perempuan dengan tidak bebas menjadi dirinya sendiri. Hidup atas kata orang lain.

 

Mengambil berkat Hari Kartini yang jatuh pada tanggal 21 haribulan April setiap tahun, berilah perempuan peluang untuk hidup sebagai diri mereka sendiri tanpa perlu menurut kata-kata orang lain selain diri mereka. Biarlah para perempuan mengatur hidupnya sendiri. Patriarki tidak hanya ada dalam teks-teks dan tafsiran keagamaan tapi juga dalam semua lapangan kehidupan (termasuk tuhan-tuhan kecil industri fesyen).

 

Perempuan nusantara harus berani berubah atas kemahuan dirinya sendiri, atas kesedaran dirinya sendiri. Jangan biar dirimu dibuli oleh sesiapa sahaja. Jadilah dirimu sendiri dan jangan biar hidupmu di atur oleh orang lain. Saya akhiri warkah pendek saya dengan kutipan dari Ibu Kartini – “Tetapi sekarang ini, kami tidak mencari penglipurlara hati pada manusia, kami berpegang teguh-teguh pada tangan-Nya. Maka hari gelap gulita pun menjadi terang dan angina ribut pun menjadi sepoi-sepoi..” Semoga saja kartini-kartini di luar juga berani melawan dan mengatakan TIDAK kepada para penindas hidupmu. Hidup Perempuan (yang bebas dan menjadi dirinya sendiri)! Selamat Hari Kartini.

 

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Adakah MB Kedah Melakukan Kenyataan Kebencian

oleh Faisal Tehrani MINGGU lalu terdapat satu kenyataan politik berbau kebencian telah diucapkan oleh seorang ahli politik iaitu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor