Projek Dialog

"Melayu nak jadi Arab": Apa masalahnya?

Prejudis Labuhnya tirai Ramadan, kita disajikan dengan sebuah artikel yang menjadi wabak di dunia media sosial, bertajuk “Melayu, kenapa kau nak jadi Arab?”. Walaupun bagi saya penulisan ini bukanlah satu makalah penting dalam wacana yang serius tentang masyarakat dan tidak perlu diperbesarkan lagi. Tambahan pula tatatulisannya yang sumbang lagi kasar cukup untuk menjuling mata pembaca dan merosotkan nilai kewartawanan Astro Awani. Tetapi yang menjadi kegelisahan saya ialah keselesaan ramai dalam menyebarkannya di alam maya justeru menunjukkan penyakit prejudis yang semakin berjangkit dalam masyarakat kita. Ini memanggil saya untuk mempertahankan kepersilangan dan keterbukaan dalam budaya Malaysia dan mengkritik sikap jumud lagi insular yang menunjangi premis artikel tersebut. Secara umumnya penulis tersebut membidas sikap orang Melayu khasnya yang dewasa ini sedang mengalami gelombang “Arabisasi” dengan tutur kata seperti “iftar”, “eid mubarak”, “infaq”, “Eidul Fitr”, “busana solat” dan sebagainya. Bagi penulis itu, orang Melayu sepatutnya lebih arif tentang kekayaan bahasa Melayu di Nusantara dan sehubungan dengan dakwaan itu ia cuba menambah keabsahan Arabisasi ini dengan melempar sedikit peristiwa Revolusi Iran 1979 yang mana segala proses kehilangan budaya dikatakan mula berlaku. Untuk menambah rempah kebencian ini, sebuah foto yang memaparkan sekumpulan anak kecil berjubah Arab dikepil secukup rasa. Anehnya dalam artikel ini, penulis tersebut telah menggunakan pelbagai perkataan Arab untuk membidas “Arabisasi”, malah boleh pula memaafkan penggunaan sesetengah perkataan Arab seperti “sedekah” dan “wallahu’alam” (ejaan Arab dirumikan pula!). Sebenarnya kekeliruan penulis tersebut boleh terus terbongkar jika dikenalpasti perkataan pinjaman dari Inggeris dan Sanskrit yang digunakan olehnya. Bukankah ini tidak konsisten dengan harapan beliau untuk bahasa Melayu “yang benar-benar Melayu”. Hakikatnya, bahasa Melayu dan juga apa-apa bahasa dunia yang masih upaya wujud, ialah sebuah artifak budaya yang melintas tamadun dan mempunyai dinamika untuk menyerap dan mengubah secara langsung menjadikannya sebuah anyaman yang kadangkalanya dalam keharmonian dan kadangkalanya dalam kebersengketaan. Hemat saya tidak perlu untuk disenaraikan di sini segala perkataan-perkataan serta pengaruh tatabahasa dari Sanskrit, Urdu, Parsi, Arab, Inggeris dan sebagainya untuk kita percaya bahawa bahasa Melayu ini ternyata sebuah bahasa yang kosmopolitan. Malah saya yakin penulis artikel tersebut sendiri mempercayai fakta ini. Bahasa Melayu/Malaysia dan interaksinya dengan dunia Bahasa dan budaya Melayu telah ratusan tahun diperkaya dan dianjak ke depan oleh pengaruh tamadun Arab-Parsi. Penting untuk kita sedari bahawa ianya lebih dari peminjaman kata-kata untuk ibadah Islam, tetapi juga memperkenalkan konsep-konsep abstrak yang baru dalam sains dan kebudayaan – contohnya dalam ilmu matematik dan astronomi serta tidak lupa juga bentuk kesenian baru seperti zapin, syair dan ghazal. Malah hari ini, budaya kontemporari Arab dan diasporanya amatlah penting untuk kita renungi. Naguib Mahfouz pemenang Hadiah Nobel merupakan bintang kesusasteraan moden yang disegani. Umm Kalthoum pula seorang biduanita agung dunia Arab yang juga seorang tokoh feminis di era pascakolonial. Edward Said yang tak asing lagi sebagai pengemuka teori kritikan Orientalisme. Sudahkah kita lupa pada gegaran Arab Spring yang telah menjadi inspirasi semangat demokrasi seluruh dunia? Jadi sebelum kita menyelar pakaian serban orang atau penutur “iftar”, lebih baik kita periksa sikap rasis anti-Arab yang datangnya daripada superiority complex yang tak berasas. Anti-Barat Kadangkala prejudis ini punyai selarinya: sikap anti-Barat atau anti-bahasa Inggeris dan ianya sering bertopeng semangat anti-imperialis. Malang sekali, perjuangan anti-imperialis (yang menentang penjajahan wacana ilmu, politik dan ekonomi) telah dikelirukan dengan kebencian kepada segala aspek budaya dan bahasa dari Barat. Ini juga satu sikap yang memperlecehkan keupayaan kita untuk mengkritik dan meresap budaya luar secara progresif dan terbuka. Penyajak dan penulis agung, Rabindranath Tagore pernah berkata: “in the heart of Europe runs the purest stream of human love, of love of justice, of spirit of self-sacrifice for higher ideals (…) in Europe we have seen noble minds who have ever stood up for the rights of man irrespective of colour and creed” Tagore bukanlah intelektual yang tertawan dengan kuasa Eropah sehingga membutakan dirinya tetapi keras mengecam imperialisme negara-negara Eropah yang telah menyebabkan kemusnahan masyarakat Dunia Ketiga dengan menyatakan bahawa di Eropah juga adanya kuasa yang dikatakan seperti ini: “supremely evil in her maleficent aspect where her face is turned only upon her own interest, using all her power”. Nuansa seperti inilah yang perlu ada dalam kita berinteraksi dengan pengaruh bahasa dan tamadun luar. Makanya adakah kita waras dalam menyingkir inovasi bahasa dari Shakespeare dan George Orwell contohnya; ataupun menolak idea-idea pembebasan dari pemikir-pemikir di Barat? Wacana bahasa di era pascakolonial Di sini kita perlu sentiasa waspada kepada wacana yang ingin “menyucikan” budaya atau bahasa kerana pertamanya ia adalah sebuah usaha yang berasaskan kekeliruan, dan keduanya ia bergantung pada kebutaan pada sejarah bahasa manusia. Paling penting ketiganya ia menggalakkan rasisme yang akhirnya mekar menjadi sebuah sistem politik fasis yang menolak kepelbagaian. Mungkin lebih membina bagi kita jika kritikan ini berhijrah dari artikel tersebut (yang sekadar penulisan pop) kepada sebuah wacana bahasa dan budaya yang telah berlangsung sejak kita terbebas dari Empayar British. Ia sebenarnya ialah suatu gelanggang yang amat memberangsangkan dan menjadi rebutan pelbagai sudut pandang dalam membangunkan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang moden. Ketika ini, pandangan yang mendominasi pembangunan bahasa Melayu itu ialah yang bersifat kebangsaan (nationalistic) yang mana menganggap bahawa bahasa ini patut dimajukan dengan kembali kepada keasliannya di “zaman gemilang” tertentu (zaman ini bergantung yang mana oleh siapa yang berucap). Sudut ini sering mengagungkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia yang sudahpun berupaya mengungkap konsep-konsep abstrak yang spekulatif dan saintifik tanpa perlu pengaruh luar. Ini pernah disinggung oleh cendekiawan Rustam A. Sani yang mengujar, “ Harus kita akui bahawa orang Melayu dan bahasa Melayu belum pernah, dalam sejarahnya, merupakan wadah bagi tumbuhnya peradaban besar” Kenyataan ini bukanlah bertujuan memperkecil bahasa Melayu, jauh sekali. Malah Rustam A. Sani merupakan pemegang obor kepada pemodenan bahasa Melayu khasnya melalui pembangunan kecendekiawanan masyarakat Malaysia. Bagi beliau, pandangan nasionalis dalam membangunkan bahasa Melayu bukanlah satu jalan yang rasional sebaliknya merupakan satu langkah yang merosotkan proses kemajuan kita. Harus kita sedar bahawa wacana nasionalis dalam bahasa dan budaya seperti ini bukanlah unik kepada bangsa Malaysia, tetapi merupakan satu proses global yang melanda beberapa masyarakat pascakolonial. Contoh India Di India contohnya, proses ini telah melatari sejarah modennya. Walaupun diasaskan sebagai sebuah republik berperlembagaan demokratik yang menekankan kesaksamaan dan juga kepelbagaian, sebuah gerakan puak kanan (dikenal sebagai Hindutva) yang mahu menjadikan India sebuah negara Hindu telah saban tahun berjaya menyimpangkan arus masyarakat itu dari semangat awalnya yang progresif. Dalam proses ini, mereka cuba mengetengahkan wacana yang menolak kepelbagaian dalam tamadun Hindu itu sendiri yang pada dasarnya ialah sebuah masyarakat rencam tradisi, bahasa, dan juga pegangan kerohanian. Antara usaha yang dibawa oleh gerakan Hindutva (melalui parti politik dan juga cedekiawan mereka) ialah peminggiran bahasa dan budaya yang dianggap tidak asli di benua itu, seperti bahasa Urdu dan budaya Islam India, serta pembawaan wacana yang mahu “kembali” kepada kegemilangan tamadun Hindu dengan pembinaan semula kuil di tapak-tapak suci purba, rekonstruksi sejarah purbanya mengikut acuan yang sempit, pengukuhan semula sistem kasta (yang juga diangkat oleh Mahatma Gandhi sejak pra-kemerdekaan) dan membawa kasta bawahan seperti golongan Dalit dan Adivasi “pulang ke lipatan struktur masyarakat Hindu”. Hari ini, India telah memilih seorang Perdana Menteri dari gerakan Hindutva ini (yang juga dipertanggungjawabkan atas pembunuhan dan rogol ribuan Muslim di Gujarat pada tahun 2002). Penting sekali untuk kita insafi apa yang berlaku di negara tersebut. Bukan sahaja kita punyai sebuah masyarakat yang sama rencamnya seperti India, tetapi kita juga sedang dilanda gelombang puak kanan yang cuba untuk merampas wacana budaya dan sosial yang akan menolak kepelbagaian serta keupayaan kita untuk melintas budaya demi mewujudkan sebuah negara suci idaman mereka. Wawasan progresif untuk bahasa yang moden Persoalannya hari ini ialah bagaimana kita harus berdepan dengan cabaran gelombang nasionalis dalam wacana budaya dan bahasa Melayu/Malaysia? Adakah kita akan terus hanyut dibawa arus kebencian dan kesempitan minda? Akhirulkalam, jika kita mahu bahasa kita – bahasa persatuan bangsa-bangsa Malaysia ini – mekar menjadi bahasa yang progresif dan mampu menjadi wadah ketamadunan, amatlah penting untuk kita pupukkan semangat keterbukaan serta rasionalisme. Pada hakikatnya, semangat inilah yang bakal menjadi tunjang kepada pembangunan dan kecendekiawanan masyarakat ini.       unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles