Projek Dialog

Erti Merdeka bagi Sabah dan Sarawak

Siapa yang Merdeka?  Bayangkan jikalau kisah Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah lima bersaudara sebenarnya tidaklah sebagaimana yang diperkatakan dalam sejarah Melayu Melaka, tetapi sebaliknya hanyalah lagenda? Bagaimana pula jikalau ada sejarah lain yang benar mengenai sesuatu peristiwa penting, namun sejarah tersebut disembunyikan? Apakah motif sejarah diperlakukan sedemikian rupa? Siapakah yang menerima faedahnya? Saya bukan berniat untuk menghasut bahkan apatah lagi menghina tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957. Namun, saya ingin mengajak rakyat Malaysia yang berfikiran matang dan terbuka meneliti serta mengkaji semula sejarah sebenar “Persekutuan Malaysia” daripada pelbagai sumber dan aspek. Tahun ini, hari kemerdekaan telah masuk tahun yang ke-57. Dilema Sabah dan Sarawak Salah satu kesilapan fatal dalam penyampaian sejarah adalah kronologi peristiwa Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Sabah dan Sarawak pada mulanya telah pun merdeka, masing-masing daripada British pada 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963. Oleh sedemikian, secara rasminya Sabah dan Sarawak merupakan negara yang berdaulat. Sabah dan Sarawak belum sempat meniti cita-cita sebagai negara berdaulat seperti yang dijanjikan British. Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena sebuah gagasan baru dicadangkan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold atas desakan rayuan Malaya serta kerjasama British untuk membentuk sebuah negara baru bagi mengimbangi kuasa politik, menghalang pengaruh komunis serta keseimbangan kaum dan mengukuhkan kedudukan ekonomi. Model Persekutuan yang dijanjikan adalah serupa seperti United Kingdom. Pada mulanya, ramai rakyat Sabah dan Sarawak tidak bersetuju dangan gagasan persekutuan tersebut kerana ianya dianggap satu bentuk koloni baru oleh Malaya. Namun, setelah rundingan, hampir kesemua parti-parti Sabah dan Sarawak pun bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia bersama Singapura. Rentetan peristiwa tersebut, Perjanjian Malaysia 1963 pun temeterai dan Persekutuan Malaysia pun diisytiharkan pada 16 September 1963. Beserta Perjanjian Malaysia tersebut, dimuatkan juga Perjanjian 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak. Jikalau 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak itu hanya memorandum dan bukan perjanjian sebagaimana didakwa oleh segelintir “pakar sejarah” mahupun ahli politik, maka penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 langsung tidak melambangkan citra keagungan, kesucian, kemuliaan dan kedaulatan kerana ianya dicabuli dan menzahirkan bahawa Malaya memang sebuah kolonial yang licik. Melalui Perjanjian tersebut barulah dikatakan lahirnya sebuah cinta iaitu Malaysia dimana ianya dibentuk menjadi sebagai Persekutuan. Realiti Semasa Sabah dan Sarawak Kita lihat pelbagai persepsi serta konotasi negatif dilemparkan apabila penduduk Sabah dan Sarawak berhijrah ke Malaya atas sebab melanjutkan pelajaran dan peluang pekerjaan. Sebagai seorang siswa, saya serta rakan-rakan Sabah dan Sarawak saya pernah diajukan soalan seperti “Di Sabah/Sarawak masih ada yang tinggal atas pokokkah?”, “Orang di kampung masih pakai cawatkah” dan pelbagai lagi soalan mengejek lain diajukan oleh segelintir siswa Malaya yang jahil. Tidak kurang juga di laman sosial, masih ada lagi juak-juak seperti pekerja jabatan kerajaan dari Malaya seperti guru yang kurang prihatin atau tidak ikhlas mempersoalkan mengapa mereka dihantar ke sana serta menghina penduduk Sabah dan Sarawak kerana tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap serta kekurangan tenaga pekerja tempatan mereka walhal mereka tidak diberi peluang atau tidak mempunyai ruang kerjaya di kawasan mereka sendiri. Jika dilihat pada paksi realiti, Sabah dan Sarawak membangun dengan pesat terutama di kawasan-kawasan bandar serta pekan-pekan kecil. Persoalannya, mengapa kawasan perkampungan dan pedalaman masih lagi miskin dan tidak dilengkapi keperluan asas yang mencukupi? Jikalau dilihat pada kekayaan hasil muka bumi seperti minyak Sabah dan Sarawak, Petronas memperoleh keuntungan hasil kira-kira RM 70 billion setahun. Mana mungkin 5% royalti minyak itu cukup jikalau ianya tidak mencukupi untuk keperluan pembangunan infrastruktur serta modal insan di Sabah dan Sarawak. Realitnya 2/3 hasil minyak tersebut adalah diperoleh dari Sabah dan Sarawak yang sepatutnya ada hak mengurus peratusan perolehan mereka untuk diberikan kepada Persekutuan. Tidak kurangnya dengan pelbagai masalah-masalah lain, seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, serangan pengganas di Sabah projek empangan mega Sarawak dan banyak lagi. Persoalan utama bagi peduduk Sabah dan Sarawak adalah: Inikah yang wajar mereka peroleh selama 51 tahun dalam Persekutuan Malaysia? Gerakan Nasionalis Sabah dan Sarawak Atas kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat hak yang sama seperti Malaya, serta inginkan keadilan  dan kebenaran ditegakkan, maka ramai individu Sabah Sarawak tampil mempersoalkan status quo mereka dalam Persekutuan Malaysia. Daripada beberapa individu ini, maka tampillah gerakan nasionalis yang bergerak secara berperingkat-peringkat bagi memberi kesedaran. Meskipun demikian, tidak semua gerakan nasionalis ini sama pada zahirnya. Ada gerakan yang memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak hanya untuk Sabah dan Sarawak sahaja, ada pula gerakan yang memperjuangkan pengkajian semula Perjanjian 18/20 Perkara Sabah dan Sarawak, serta Akta Malaysia dalam Persekutuan Malaysia beserta pemulihan semula Persekutuan Malaysia. Ada pula gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan mutlak Sabah dan Sarawak dengan pemisahan daripada Persekutuan Malaysia. Persoalan sekarang, mengapa gerakan-gerakan ini timbul dan lebih berani? Adakah ini agenda pembangkang kerajaan? Adakah ini agenda puak pelampau? Saya berpendapat gerakan ini timbul kerana kesedaran segelintir individu yang serik melihat anak bangsa mereka menagih simpati di tempat lain sedangkan tanah tumpah darah mereka kaya dengan hasil bumi. Mungkin juga kerana serik ditipu dengan penyembunyian serta manipulasi fakta sejarah oleh juak-juak tertentu bagi kepentingan pemerintah. Mungkin juga mereka kesal dengan sikap pemimpin bangsa mereka terdahulu yang silap menandatangani perjanjian membentuk Persekutuan Malaysia dan akhirnya merasakan mereka dijajah oleh kolonisasi baru oleh Malaya. Renungan erti kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 bagi Sabah dan Sarawak Memetik kata-kata Naspazi’s Channel (Nasionalis Sabah) di laman sosial Facebook: Kalau Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 (57 tahun); Kalau Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 (51 tahun); Kalau Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 (51 tahun); maka Bilakah Persekutuan Tanah Malaya merdeka?; dan Bilakah Malaysia dibentuk?; Adakah Malaysia itu Malaya?” Sekiranya mengikut logik kata-kata tersebut, sesiapa yang mengatakan Malaysia itu merdeka 31 Ogos 1957 adalah orang-orang yang berdusta dengan sejarah. Mana mungkin Malaysia merdeka, sedangkan Malaysia tidak pernah dijajah? Adalah lebih fatal jika Sabah dan Sarawak dianggap merdeka pada tarikh 16 September 1963 melalui pembentukan Malaysia. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 diikuti Sabah dan Singapura pada 31 Ogos 1963. Justeru, jikalau kemerdekaan telah disytiharkan, maka status kemerdekaan sudah pasti adalah negara. 3 negara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah merdeka bersama negara Malaya telah membentuk Persekutuan Malaysia; maka disitulah lahirnya sebuah cinta. Akhir kalam, saya berharap agar pihak pemerintah menghentikan pemanipulasian fakta sejarah dengan mengikhtiraf kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963, diikuti kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963, seiring dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, agar tidak luput dek telan zaman. Apalah makna kemerdekaan jika masyarakat masih terjajah dengan penipuan sejarah serta ketidakadilan sosial yang menghalang pembentukan identiti Malaysia yang sebenar?         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles