Pelihara kebebasan bersuara, tegakkan hak asasi

Kami di Projek Dialog ingin menyatakan rasa marah, benci dan jengkel kami terhadap pencabulan kebebesan besuara, terkandung dalam Piagam Hak Asasi Manusia 1948 yang berleluasa menerusi Akta Hasutan di negara ini.

Berita pendakwaan terhadap Profesor Madya Dr Azmi Sharom di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan adalah contoh kekangan yang terpilih ini.

Dalam sebuah negara, apabila pihak berkuasa mulai mensasarkan ahli akademik, sarjana, wartawan dan seniman; itu menjadi petanda dan kayu ukur yang negara tersebut sedang mengamalkan pendekatan autoritarian.

Kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa piagam UNESCO 1997 menerusi ‘Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel’ sejak 11 November 1997, pada Artikel 26 dan 27 menyatakan bahawa ahli akademik mempunyai hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial di mana mereka bebas memberi pandangan akademik terhadap sebarang dasar kerajaan dan dasar yang memberi kesan terhadap pendidikan tinggi; “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

Kami di Projek Dialog dengan ini menyatakan solidariti terhadap ahli-ahli akademik di Malaysia yang berani mengkritik dan bekerja untuk mendaulat amanah negara, malah amanah kemanusiaan.

Kami telah mengajukan masalah-masalah yang menimpa ahli akademik di negara ini seperti pengharaman karya, arahan menerusi surat tunjuk sebab dan kini pendakwaan di bawah Akta Hasutan kepada badan-badan internasional.

Kami akan memastikan pendekatan dialog digunakan, dan bukannya pendekatan kuku besi.

Malaysia baru sahaja menyambut kemerdekaan yang ke 57, sebarang tindakan ke belakang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan komitmen beliau terhadap peningkatan hak asasi manusia.  

]]>