Projek Dialog

In the Name of Mother Fareeda, Daughter Adijuma and Holy Ariani

KAU! Tempik kawan saya nan seorang di hujung gagang. Jom jumpa! Dia menyergah lagi. Selalu, seringnya kalau dia berkeriau seperti ini tentu sahaja ada masalah. Teman saya itu baru berkahwin. Kira-kira lima enam bulan. Dan saya tidak hadir majlisnya kerana berada di Geneva. “Boleh kah jumpa isteri orang tanpa suami”, saya menghilai di sini. “Jangan main-main. Jom jumpa.” Suaranya mendesak, ada getar yang mengesankan. Dan apa keluhnya selepas berkahwin? Bukan, bukan suami minta bukan-bukan. Tak ada posisi anjing, atau kaldai. Bukan kerana dia tidak pandai memasak dan lauknya serasa masin terlebih. Bukan itu semua. “Apa hal?” Tanya saya membalas jerkah. “Semua orang desak aku mengenakan tudung.” “Semua orang?” “Kecuali kau”.  Kata teman saya jujur. Matanya seakan berair. “Mereka, mereka bilang aku pasti ke neraka.” “Oh my.” Balas saya tersedak kopi Somali. “Neraka bukan manusia punya. Neraka Tuhan yang punya. Tiada siapa berhak menghantar ke neraka melainkan Tuhan. Itu pun, Tuhan Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kau tahu bukan?” Dia angguk. Kemudian bersuara sepatah. “Kau tak pernah kelihatan canggung berteman denganku. Kerana aku membiarkan rambut terlepas begini. Kadang diwarnai merah atau sedikit kuning.” “Freedom of expression.” Aku ketawa. “Mereka, semua memaksaku mengenakan tudung. Sekarang aku harus memilih…apakah hijab yang sesuai untukku.” Teman itu kelihatan hiba. “Aku tak dapat menolong. Aku free hair. Aku tak bertudung.” Sengaja berseloroh. “Hoi…aku perlu bertudung. Kau kan tahu semua..” “Whoaaaaa.” Saya tertawa. “Please. I need this… in the name of Mother Fareeda, daughter Adijuma and holy Ariani, help me.” Makin kuat sangkak tawa saya mendekah. Hingar kafe Gloria Jean itu sejenak dengan dedai gelak kami berdua. “Tentu, kau tidak mahu bertudung semata-mata kerana disuruh orang atau dek kerana tuntutan persekitaran. Itu bukan datang dari kerelaan.” Saya memulai. Dia tekun mendengar. “Susah”. Teman saya itu mengeluh berat. Saya tidak pernah menanda mana-mana teman yang memilih untuk tidak berhijab. “Bukankah ia wajib?” Pernah ada orang menyoal. “Ya…tetapi yang lebih wajib ialah akhlak yang berseri. Falsafah berhijab terletak pada kelakuan. Tentu orang yang bertudung tidak akan meriah mengumpati orang, atau tentu orang yang bertudung tidak akan rajin mengadu-domba ke sana sini.” Teman itu termangu. “Itu yang aku nyatakan kepada Hilal (suaminya), tapi kata Hilal, kalau nak tunggu akhlak sempurna seratus persen alamat tidak ada. Yang juga, betul…kan?” Aku angguk pula. “Biarlah ia datang dari kerelaanmu. Tentu kau tidak mahu bertudung kerana didesak mertua, dimomokkan ipar bahawa kau akan dibakar di nuraka kelak. Tentu kau mahu berhijab dengan nyata dan pasti. Bahawa ia datang dari nurani. Bahawa kau benar-benar mengimani dan meyakini falsafahnya. Untuk apa bertudung kalau mulut masih celoteh, becok membawa hal orang, yang mana juga menjadi alasan untuk dihumban ke nuraka.” “Argh, susah. Orang terlalu berfikir soal syurga dan neraka.” “Yang bukan pun kita punya…” Aku mencelah gesit. Sungguh, kegilaan kepada fikah bukanlah tuntutan agama. Komponen agama yang lain adalah ihsan selain syariat. Apabila Nabi hadir di sebuah peradaban yang penuh kejahilan, perkara yang ditekankan ialah akhlak. Rasulullah saw dibangkitkan di tengah masyarakat tidak beradab, malah biadab, untuk menjadi contoh kemuliaan dan kemurnian akhlak, uswatun hasanah. Itulah peranan nabi di tengah kemaksiatan. Penekanan kepada hijab tidak membantu contohnya populasi yang baru beriman. Saya pernah melihat orang asal yang diIslamkan padahal ia tidak mengerti apa. Akibatnya, seminggu kemudian, orang asal itu kembali top less, menyidai pakaian di tebing sungai berhampiran rumah dengan tetek sebesar nangka selambak. Nah, tidakkah itu gila? Yang benar ialah, agamawan harus mengajar budaya dan akhlak terlebih dahulu. Setelah nilai baik dipupuk dan dibumbu mesra secara intim, barulah kemudiannya fikah didatangkan. Itu pun diterang dan diulas falsafahnya secara jitu. Bukan dipantak, bahawa ‘hah inilah Islam dan inilah kehendak agama maka lakukan sahaja tanpa menyoal apa-apa’. Manusia harus beriman dari tanya. Wajib beriman dari tanya. Mestilah beriman dengan benar-benar kepastian. Namun demikian, cara pandang saya di atas tentulah dianggap batil oleh segelintir orang. Selalunya kita akan terpaksa melakukan kerana budaya kita sudah tunduk kepada keterpaksaan. Yang betul dan masih betul ialah keadilan mesti mengatasi syariah, akhlak mesti mengatasi fikah. Insiden kecil teman saya itu jelas menunjukkan ketidaktenteraman yang mengaburi pilihannya. Bukan itu sahaja, mertuanya mendesak dia mengenakan Fareeda, iparnya mengacukan Adijuma, sementara suami menyuguhkan Ariani. Bukan semua itu tidak anggun, bergaya dan menawan. Memang terliur melihatnya. Warna-warni, kerongsang, cap bunga yang menyerlah dan pintal memintal peragaan yang sungguh penuh tafsiran. Ia menyebabkan sesetengah manusia perempuan berasa bebas. Tetapi untuk segelintir orang yang memang perlu menunggu panggilan naluri, pemaksaan adalah satu penghinaan dan penyeksaan, bahkan satu pemasungan. “Aku malah tak bercakap dengan Hilal buat sementara.” “Ya Allah…” Balas saya kesal. Saya memang mengetahui teman itu kurang suka ditentukan hidupnya. Ibunya sudah meninggal dunia lama dahulu. Ibunya malah tidak memaksakan. Ibunya bahkan mengingatkan, lakukan sesuatu dengan penuh kepercayaan dan kelangsungan. Tentu kita tidak mahu melakukan separuh jalan, bermusiman, atau mengikut lokasi. “Apa yang haru aku lakukan Zal?” Buat sementara saya juga terpaku. Saya hanya berdaya mengatakan, “Berbicaralah dengan Hilal. Beritahu sepenuh hati. Lambat-laun akan terjadi, tetapi ia haruslah benar-benar kepastian.” “Nanti Hilal kata begini, habis kalau dilanggar lori dan mati?” “Wah suamimu mendoakan seperti itu?” “Andai..kalau…” Dia mewaraskan. “Katakanlah, ajal maut di tangan Tuhan. Allah tentu akan menilai kebaikan mengatasi hal seumpama ini. Kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Tak ada gunanya menutup aurat tetapi aurat yang lain terdedah. Aku seorang yang menganut faham bahawa syurga untuk orang yang dimangsai dan lemah, sementara neraka untuk orang yang memeras dan zalim. Jika kau tidak berada di pihak Firaun dan cenderung kepada Asiah, lalu mengapa harus diperkirakan koloni lain dimensi seperti syurga dan neraka yang bukan hak kita? Aurat yang lain itu harus dijaga…” “Aurat yang lain?” Dia terbelalak. “Ya…akhlak juga adalah bahagian aurat. Orang yang melakukan penindasan. Itu mendedahkan aurat. Aurat bukan sahaja urat, aurat adalah keaiban dan kecabulan yang mesti diberi perhatian. Itu yang paling sukar dilindung dan dibatasi sebetulnya. Aurat yang ditutup sebetulnya harus mencerminkan kesempurnaan itu juga. Tetapi hari ini jilbab atau hijab dikenakan kerana ia penuh gaya dan trendy, atau kerana persekitaran menyuruh, atau kerana ia menjadi gaya hidup. Ya, seperti orang menggilai kurus keding sedang yang berdaging dan montok itu patutnya lebih seksi dan bermutu.” Dia ketawa. “Kau sering ada pandangan menyongsong arus.” “Bukan.” Saya membantah. “Habis?” “Aku tidak membantah jika ada keinginan untuk berhijab yang datang dari dalaman. Ia akan menyerlah kekuatan dan kesempurnaan. Namun, jika ia adalah kosmetik, iaitu dilakukan kerana digesa orang; makanya itu amat malang.” Teman itu termenung. Kami minum. Berpindah cerita hal-hal lain. Sebelum beredar dia bertanya lagi, “Mengapa kau sebegini terbuka?” Saya tersenyum,”Kerana aku pernah melihat perempuan bukan islam yang budiman dan baik budi pekerti. Dia tidak berhijab tentunya. Dan aku percaya jika dia menghadap Allah, dia akan diperhitungkan dengan syurga kerana kebaikannya itu melampaui kehodohan dan kejahatan. Benar, ada perkara memang tuntutan agama, tetapi agama menuntut sesuatu yang kita benar-benar imani. Kau tentu tidak mahu berhijab semata-mata kerana  mother Fareeda, daughter Adijuma and holy Ariani.” Dan ketawa kembali mengiringi perpisahan sementara kami. Sempat saya melaungkan, moga Hilal memahami. Matanya kuyu, terperosok. Sesuatu yang mudah serasa dipayah.    

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Hate Speech: An Infographic

Projek Dialog has designed an infographic for the public in collaboration with ARTICLE 19, a Freedom of Expression NGO based in London. The infographic responds