Artikel sebelum ini berhujah bahawa konsep sekularisme bukan semestinya bermaksud menolak agama dan memisahkan kepercayaan terhadap Tuhan daripada institusi negara-bangsa atau kerajaan. Ini mungkin tidak disedari oleh kebanyakan Muslim, tetapi apa yang mungkin lebih menakjubkan adalah bahawa prinsip dan nilai di dalam sekularisme adalah serasi dengan sesetengah prinsip dan nilai utama di dalam Islam. Malah boleh dikatakan Islam sebenarnya mendahului sekularisme dalam menekankan nilai-nilai seperti kebebasan atau freedom, kesamarataan (equality) dan persaudaraan (fraternity). Ketiga-tiga nilai di atas membentuk asas konsep sekularisme yang dicipta di Eropah pada abad ke 17 kata seorang saujana politik Islam dan timur tengah Prof Nader Hashemi di dalam satu forum baru-baru ini. Oleh kerana Islam menekankan nilai-nilai ini di dalam skop kehidupan peribadi dan masyarakat, Muslim zaman dahulu tidak perlu dengan satu konsep seperti sekularisme. Pada zaman kepimpinan khalifah, masyarakat Muslim tidak perlu kepada sekularisme kerana tiada masalah di antara institusi negara-bangsa dan agama, kata Nader daripada Universiti Denver, Amerika Syarikat. Ia bukan seperti dinasti Eropah dahulu di mana raja-raja dan ketua agama mazhab Kristian Katolik dan Protestan masing-masing menggunakan institusi agama untuk memperluaskan atau mengekalkan kuasa mereka. “Akan tetapi (pada zaman globalisasi ini) Muslim harus memikirkan tentang sekularisme kerana ia mempunyai asas yang berkait rapat dengan isu keadilan sosial dan politik, dan perjalanan sistem demokrasi,” kata Nader di forum bertajuk “Rethinking Islam and Secularism” di Kuala Lumpur baru-baru ini. Walaupun sekularisme boleh membantu dalam mengurus masyarakat yang berbilang agama dan hubungan institusi kerajaan dan agama, Nader mengakui konsep tersebut sukar diterima dunia Muslim disebabkan pengalaman pahit mereka dengan kuasa penjajah atau “kolonial”. Di Eropah, sekularisme berkembang secara semula jadi di kalangan agamawan dan para pemikir kelas bawahan sebagai satu penentangan terhadap kelas atasan yang memperalatkan agama. Oleh itu ia mendapat sokongan yang besar di kalangan masyarakat akar umbi. Ini berbeza dengan masyarakat Muslim di mana sekularisme ditekan ke atas mereka oleh penjajah Eropah dan sistem itu dikekalkan oleh golongan elit dan diktator tempatan untuk menjaga kepentigan mereka. Pemerintahan Shah Reza Pahlavi di Iran sekitar 1960an ke 70an dan Mustafa Kemal Atartuk (1920an) di Turkey merupakan dua pengalaman paling perit di mana masyarakat Muslim ditindas sekularisme. Misalnya, pada era itu, wanita di Iran dan Turkey dilarang daripada memakai tudung di tempat awam manakala golongan agamawan yang merupakan pemimpin masyarakat disisihkan. Di banyak negara Muslim seperti Malaysia yang menumpaskan penjajah pasca 1960-an, gerakan Islamis yang dahulunya ditekan kembali aktif dan mereka sekarang mendapat sokongan yang besar di dalam arena politik arus perdana. Di sini berlaku paradoks kata pemimpin politik Malaysia terkenal Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (Amanah). Dahulu agama ditindas oleh puak sekular tetapi sekarang konsep sekularisme pula mendapat minat di kalangan intelektual di negara Muslim. Ini kerana satu interpretasi Islam yang dibawa oleh pihak berkuasa agama dan Islamis konservatif dilihat sebagai memeras masyarakat, kata Dzulkefly. “Oleh itu ia kelihatan seperti masyarakat Muslim memerlukan sekularisme,” kata Dzulkefly, seorang ahli panel forum tersebut. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa masyarakat Muslim harus kembali kepada konsep sekularisme dahulu yang menindas dan menyisihkan institusi agama, kata beliau. Sesuatu pendekatan alternatif adalah dengan menekankan kembali nilai-nilai Islam yang dikatakan serasi dengan sekularisme iaitu kebebasan (hurriyah), kesamarataan (musawah) dan persaudaraan (ukhuwah insaniah), kata Dzulkefly. Penghayatan nilai-nilai tersebut dapat mengurus hubungan di dalam masyarakat berbilang agama dengan adil dan baik, di samping mengekang manipulasi institusi negara-bangsa dan agama.
]]>