Sekularisme Pelindung Agama? Bhgn 1

religion state secular

Imej: Niño Jose Heredia/©Gulf News

Realitinya kata pakar kajian politik Islam dan Timur Tengah Prof Nader Hashemi adalah di seluruh dunia tiada satu definisi atau satu model pemerintah sekular tunggal yang digunapakai di seluruh dunia. Sekularisme seperti di Perancis dan Amerika Syarikat, di mana agama – baik Kristian mahupun Islam – benar-benar disisihkan daripada jentera kerajaan dan institusi awam, hanya adalah satu contoh, kata Nader daripada Universiti Denver, Amerika Syarikat. “Satu kajian menunjukkan di kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), lebih daripada 80 peratus daripada mereka memberi dana kepada sekolah agama,” kata Nader di sebuah forum berjudul “Rethinking Islam and Secularism” di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sesetengah negara EU juga memberi dana kepada organisasi agama untuk membina rumah ibadat, kata Nader, dan ini menunjukkan bahawa di dalam negara sekular, hubungan yang rapat di antara institusi agama dan kerajaan dapat dijalinkan. Kepelbagaian model dan definisi negara sekular dan hubungan mereka dengan institusi agama dikaji dengan terperinci di dalam buku Nader bertajuk “Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal: Membentuk Teori Demokrasi Untuk Masyarakat Muslim”. Buku tersebut diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia oleh Islamic Renaissance Front. Di dalam forum tersebut, Nader menjelaskan bahawa agama dan institusi kerajaan atau “the state” bukan musuh di dalam sesebuah negara demokrasi yang sekular, menurut Nader. Musuh sebenarnya kepada pertalian baik antara institusi kerajaan dan agama adalah individu, khususnya ahli politik yang korup atau tokoh agama yang rakus yang mahu memanipulasikan kedua-dua institusi ini untuk kepentingan peribadi. “Apa yang penting adalah membina batasan antara agama dan pemerintah supaya masing-masing tidak mencerobohi ruangan mereka di dalam masyarakat,” kata Nader. Ini supaya institusi agama tidak disalahgunakan oleh ahli politik yang berkuasa bagi menghalalkan kedudukan rejimnya, seperti menggunakan khutbah di masjid untuk mencerca lawan politik atau menjenamakan pentadbiran mereka sebagai warak bagi menutup salah-guna wang rakyat. Ahli institusi agama juga disekat daripada mempengaruhi proses pembuatan dasar dan undang-undang bagi mengelakkan pembuatan dasar yang berat sebelah kepada komuniti agama mereka. Bagi negara-negara seperti Jerman dan Norway, institusi kehakiman juga diperkuatkan supaya ia boleh berfungsi bebas daripada tekanan politik, kata Nader. Nader berkata dengan meletakkan batas-batas tersebut, rakyat akan diyakinkan bahawa pemerintah negara akan berlaku adil, saksama dan memelihara semua agama dan komuniti. Tidak hairanlah mengapa pejuang sekularisme di Eropah pada abad ke-17-an adalah tokoh agama sendiri kerana pada masa itu raja-raja mereka kerap menggunakan agama untuk mengekalkan kuasa, kata Nader. Perang agama yang dikenali sebagai “Perang 30 tahun” di antara mazhab Kristian Protestan dan Katholik di Eropah yang dicetuskan oleh raja-raja mengorbankan berjuta nyawa. Hari ini masyarakat Muslim boleh mempelajari daripada sejarah hitam Eropah itu, terutamanya di dalam keadaan di mana pemimpin-pemimpin mereka sedang mengapikan ketegangan mazhab antara Sunni dan Syiah. Masyarakat Muslim juga harus berhati-hati dengan rejim polilik yang gemar menyalakan api perkauman seperti melabel sesetengah orang “kafir harbi” bagi mengalih perhatian orang ramai daripada salah-guna kuasa dan penyelewengan. Sekularisme bukan bermakna penolakan agama atau memisahkannya daripada kerajaan, tetapi mempertahankan agama daripada dimanipulasi oleh individu. secularism4

Imej: namomantra.files.wordpress.com

]]>