Kebebasan Bersuara adalah Hak Asasi Pembunuhan di Charlie Hebdo adalah suatu tragedi kejam dan merupakan serangan terhadap kebebasan bersuara. Limpahan takziah dan kesepakatan dunia terhadap mangsa, keluarga dan rakan-rakan mereka adalah tanda positif bahawa kebebasan bersuara merupakan suatu nilai universal yang diiktiraf. Keganasan ini tidak sepatutnya menghalang keberanian pelukis, penulis, pemikir dan aktivis untuk menyuarakan pandangan mereka. Demokrasi berasaskan perbezaan secara aman. Ianya penting untuk kesihatan sebuah masyarakat moden dan bertamadun. Hubungan global melalui media sosial membawa imej-imej pembunuhan tersebut kepada ruang perhatian kita, dan ianya peluang bagi rakyat Malaysia untuk mempertahankan kebebasan bersuara. Kita berdepan dengan cabaran sendiri, dan kejadian ini dapat mencetuskan dialog mengenai kepentingan toleransi dan perhubungan. Kita juga harus berwaspada dengan hakikat bahawa semakin ramai Muslim di Malaysia yang tidak berpuas hati, dan semakin menzahirkan budaya ekstremisme Islam yang ketara. Malangnya, walaupun tidak menghairankan, penentangan terhadap gejala ini daripada pemimpin-pemimpin Islam di Malaysia sangat jarang didengari. Masyarakat awam mesti menerajui kesedaran ini dan memastikan bahawa rakyat mengambil iktibar pengajaran yang sepatutnya. Awas dengan Tindak Balas Hebat Kita juga harus lebih peka terhadap masalah yang mungkin berlaku rentetan serangan tersebut. Satu perkembangan yang membimbangkan ialah sokongan terhadap bahan yang menyinggung perasaan walaupun ianya menentang sebuah kumpulan minoriti yang telahpun tertindas. Setakat ini, persoalan dan amaran terhadap tindak balas ganas yang mungkin berlaku terhadap kumpulan minoriti Islam di Eropah, lebih lagi dalam suasana Islamofobia yang kian mewabak, masih lagi minima dan tidak diutamakan, berbanding dengan panggilan untuk menegakkan hak menyinggung perasaan. Ini membimbangkan kerana ianya bukan sukar untuk menggesa kedua-duanya sekali pada masa yang sama. Walaupun menyinggung perasaan dapat dijangkakan dalam mana-mana konteks perbicaraan dan komunikasi bebas, sejarah menunjukkan bahawa ianya sering digunakan untuk menindas. Antara lain, hak menyinggung perasaan terhadap budaya dan sistem kepercayaan tertentu boleh dieksploitasi, sebagai cara untuk mengukuhkan prasangka yang sedia ada. Kebebasan bersuara dalam hal ini mampu menjadi alat untuk membina keprihatinan terhadap perkara ini. Gunakan Kebebasan Bersuara untuk Membina Masyarakat Demokratik yang Inklusif Pejuang kebebasan bersuara perlu menekankan cara-cara untuk memerangi retorik perkauman yang mungkin timbul dalam suasana kesedihan ini. Ianya selari dengan nilai-nilai kemanusiaan daripada hanya riuh menegakkan hak menyinggung perasaan, walaupun ianya hak. Kita harus ingat bahawa kebebasan bersuara bukanlah sesuatu yang dengan sendirinya bermoral. Kebebasan bersuara membolehkan pandangan rasis, homofobia dan misoginis disuarakan. Kebebasan bersuara membolehkan anda menjadi kurang ajar dan kasar. Ironinya, ia juga membolehkan Ibrahim Ali menghidupkan kembali kerjayanya. Namun kebebasan bersuara adalah paling berharga kerana ia mengiktiraf hak yang sama diberikan kepada mereka yang di pinggiran untuk menyuarakan permasalahan mereka. Ia membolehkan ketidakadilan sesuatu sistem dipersoalkan, dan membantah penyalahgunaan kuasa yang zalim dan sewenang-wenangnya oleh kerajaan dan masyarakat. Persoalannya, kemudian, ialah bagaimana cara terbaik untuk menggunakan dan melindungi kebebasan bersuara selaras dengan matlamat demokrasi yang inklusif, terutamanya dalam suasana perkabungan dan kemarahan yang memuncak. Lindungilah Masyarakat Terpinggir Idealisme Zaman Pencerahan tentang kebebasan bersuara pada asalnya muncul sebagai suatu mekanisme pertahanan untuk menentang kezaliman pemerintahan autoritarian. Kebebasan bersuara adalah terbaik apabila ianya membela yang lemah, dan dalam perihal Perancis, dan juga Barat secara amnya, berjuta-juta umat Islam yang tidak bersalah pada hari ini, walaupun pihak konservatif yang mungkin tidak disukai, begitu lemah terhadap kuasa negeri dan majoriti. Ianya masalah yang teradun dalam sentimen rasis dan anti-pendatang yang menyebabkan diskriminasi. Tentunya terdapat peranan penting untuk jenaka sindiran dalam demokrasi. Citarasa juga adalah subjektif. Betapa tersinggungnya perasaan tidak mampu mewajarkan keganasan terhadap perbezaan sikap dan pendapat. Tetapi menganggap bahawa semua sindiran adalah sama nilainya tidak wajar kerana hakikat bahawa masyarakat moden sekarang ini wujud dalam ketidakseimbangan kuasa, dan usaha-usaha sebaiknya ditumpukan dalam memastikan bahawa mereka yang paling terdedah kepada penyalahgunaan kuasa atau mentaliti gerombolan (mob mentality) adalah terlindung. Ambil konteks Malaysia. Jelas sekali, sesiapa yang bersungguh dalam membina demokrasi di negara ini dapat membezakan, dari satu sudut, kesan-kesan bahaya satira yang berterusan terhadap pekerja asing dan di sebaliknya, sindiran terhadap nasionalis Melayu yang hanya mampu menimbulkan peristiwa 13 Mei sebagai sandaran. Yang satu hanya berbaur prejudis, manakala yang sebaliknya menyatakan kebenaran terhadap kekuasaan. Mengecam Keganasan Keganasan sentiasa perlu dibidas. Namun ia tidak semestinya melalui sokongan terhadap penyinggungan perasaan. Ianya dua isu berasingan yang tidak patut dicampur-adukkan. Kita tidak hidup menentang keganasan hanya dengan bersikap marah, tetapi dengan memastikan bahawa kita menterjemahkan bantahan tersebut dalam bentuk empati dan belas ihan sebenar. Sesiapapun berhak untuk tidak mengambil endah hal-hal ini, namun wujud juga kebebasan untuk bertindak dan bersuara secara membina, atas nama melindungi golongan yang lemah tanpa mengira bangsa, agama atau cara hidup, bagi sesiapa yang peduli. Demokrasi bergantung kepada cara kita menzahirkan diri dengan terbaik sambil mengambil kira golongan yang tidak berupaya. Dalam kekalutan eksperimen kita membina sebuah demokrasi pelbagai budaya, ianya peluang baik bagi kita menunjukkan penggunaan kebebasan bersuara yang paling inklusif, dan dengan itu, cara yang paling berharga. Kita perlukan komunikasi sebenar merentasi segala perbezaan. Semestinya kita boleh berfikir lebih jauh menjangkaui hak menyinggung perasaan.
]]>