Projek Dialog

Cinta, Harapan & Identiti Malaysia

Malaysia Majmuk Warna-warni Malaysia Malaysia adalah sebuah negera majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas. Banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan. Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani. Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya. Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu. Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik pecah dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalui saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil. Keterasingan Perkauman di Malaysia Dasar pendidikan dan ekonomi bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk menstereotaip dan syakwasangka antara satu sama lain. Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman. Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi jarang sekali bergaul antara satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks. Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami kebanyakannya penduduk berbangsa Melayu. Oleh itu saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik. Cinta Malaysia Dahulu Kala Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan internet seperti kini, tetapi memori mereka tentang zaman itu adalah kebebasan. Ayah saya dari sekolah aliran Inggeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian. Malaysia MultiracialSeringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala ‘sarang tebuan’, dan berdandan. Lelaki pula memakai seluar ‘bell bottom’ yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala ‘hippie’. Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka. Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita ‘Grease’, bapa saya merupakan ‘playboy’ pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya. Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi. Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur. Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama ‘Swatow’  di daerah Guangzhou. Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik. Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung. Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatera. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke Tanah Malaya. Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga ‘De Rozario’ yang amat berdisiplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama katolik mereka. Perkauman tidak menjadi masalah pada zaman tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya berbangsa Cina. Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukanlah unik atau berbeza dengan sejarah cinta kebanyakan masyarakat Malaysia dahulukala. Retorik bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini. Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa campurtangan dari kerajaan atau negara. Hakikat Malaysia Zaman Kini Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman? Di mana-mana sekarang, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama lain. Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang terasing di negara mereka sendiri, yang masing-masing mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza. Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi dasar-dasar dan pemerintah kerajaan yang bersifat pecah dan perintah, dan golongan elit serta ahli politik yang lebih selesa dengan status quo. Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi. Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia. Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan terhadap sesiapa yang tidak mengikut acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik ‘reverse racism’ oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu. Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk. malaysia-flag Membentuk Identiti Bangsa Malaysia Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita. Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya. Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah. Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata. Mungkin idea saya terlalu romantik, namun hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakan muda-mudi zaman sekarang untuk berhijrah ke negara-negara maju yang lain. Mereka ingin mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, dan fenomena ‘brain drain’ ini akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia. Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini tidak susah untuk kita fahami. Kebanyakan rakyat Malaysia inginkan kesetaraan, kebebasan dan keadilan. Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran sama atau memiliki budaya yang ‘homogeneous’. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama. Saya percaya, kebanyakan masyarakat Malaysia inginkan pendidikan yang bermutu tinggi, sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronisme, sistem kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, pemeliharaan kebajikan pekerja, kos hidup dan perumahan yang rendah, alam sekitar terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, kualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya. Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia. Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berkeringat darah untuk membina negara ini. Perpaduan kebangsaan atau ‘National Unity’ adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan. Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai ‘rumah’; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia zaman kini. [Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 29 November 2012.]

]]>

Share your thoughts!

More Articles