Banjir di Manik Urai. Gambar: The Star[/caption] Selama ini, kita faham bahawasanya, selain pahala atas perbuatan baik, kita juga mempunyai sistem demerit bernama dosa, sekiranya kita membuat apa–apa kesalahan. Dosa itu besar (akbar) sekiranya kesalahannya besar, dan dosa itu kecil, bergantung sejauh mana keberatan perbuatannya itu. Menurut Adrian Pereira, timbalan presiden Pax Romana ICMICA, dalam pembentangan di Bengkel Kemajmukan Agama, anjuran Projek Dialog, dosa itu terdapat dua jenis, bukannya dosa besar atau dosa kecil seperti yang kita fahami selama ini, namun Dosa Individu dan Dosa Struktur. Dosa besar dan dosa kecil, seperti yang lazim difahami termasuk dalam Dosa Individu. Minum arak, berjudi, berzina, tidak sembahyang, ingkar pada kata kedua ibu bapa, mencuri, menipu, makan babi, inilah Dosa Individu (sama ada besar atau kecil) yang sentiasa dijadikan persepsi moral untuk masyarakat kita hari ini menilai seseorang itu. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menyedari, ada dosa yang lebih besar, dan dosa inilah, antara lainnya menghasilkan Dosa–dosa Individu? Dosa ini dipanggil Dosa Struktur. Apa itu Dosa Struktur (structural sin)? Dosa Strukturlah yang menghadirkan kepincangan masyarakat pada hari ini. Pembolotan kekayaan melampau oleh segelitir elit, menyebabkan kemiskinan tegar, rampasan tanah dan harga tanah/rumah mencanak naik yang menyebabkan anak–anak muda sulit untuk mempunyai rumah sendiri. Ia juga menghasilkan gelandanganisasi secara besar–besaran, pencukaian demi pencukaian yang dibuat atas nama daulah terhadap rakyat marhaen. Kawasan–kawasan yang perlu dibangunkan, namun dipinggirkan mengakibatkan penduduk kawasan ini tercicir dari pembangunan dan terpaksa bermigrasi ke kawasan yang mendapat lebihan pembangunan (antara faktor gelandanganisasi). [caption id="attachment_4561" align="aligncenter" width="500"] Gelandangan.Gambar: buasirotak.blogspot.com[/caption] Dan seperti yang kita rasakan baru-baru ini, banjir akibat pembalakan secara berleluasa terhadap kawasan orang asal. Semua ini adalah sebahagian daripada dosa struktur yang jarang sekali dikhutbahkan sebagai dosa. Kita jangan menyangka bahawa ini adalah takdir atau ketentuan semulajadi, sebaliknya dosa ini adalah perancangan hasil elit-elit berkepentingan, demi merakus sepuasnya kenikmatan duniawi untuk kepentingan mereka, dan menghasilkan kesengsaraan kepada majoriti umat manusia selainnya. Masyarakat tidak melihat ini sebagai dosa besar yang perlu ditentang habis–habisan, kerana media arus perdana pada hari ini dimiliki oleh kaum pemodal yang bermazhab kapitalis (baca: keserakahan individu mengatasi kepentingan maslahah umum). Antara Dua Jenis Masyarakat Masyarakat yang tertumpu kepada menyelesaikan kesan–kesan yang muncul akibat dosa struktur, tetapi naif menyedari bahawasanya kesan–kesan itu akan terus berlanjutan malah merebak/mewabak menghasilkan dosa-dosa lain, selagi akar masalah itu iaitu dosa struktur tidak dihapuskan hidup–hidup. Dan kita akan terus pada setiap hari Sabtu, setiap hujung minggu, menonjolkan dermawan kita masing–masing, dan menjadikannya idola rutin setiap minggu. Namun masyarakat yang disebutkan di atas adalah lebih baik dari jenis masyarakat yang hanya berteori tanpa aksi sosial dan memandang enteng kekuatan amal jariah. Untuk menyusupkan idea–idea penentangan dosa struktur, adalah karut sama sekali jika hanya berteori tanpa melakukan sebarang langkah ke arah perlawanan sosial. Kita harus diingatkan, bahawa apa sahaja teori jika tidak mampu menghasilkan apa–apa tindakan, cumalah omong–omong kosong sahaja. Sebelum perubahan berjaya dihasilkan, tindakan perlu dilakukan terlebih dahulu. Dan apalah gunanya longgokan–longgokan teori sekiranya ia tidak mampu membuahkan apa-apa hasil? Ianya menyemakkan dan mengganggu tindakan–tindakan yang ingin dilancarkan. Teori harus sejalan dengan aksi, dan aksi harus mempunyai teori, tetapi teori tanpa tindakan, diulang, hanyalah omong kosong. Monopoli teologi selama inilah yang membekukan konsep dosa itu sendiri, dan ayat–ayat hukum yang selalu dikumandangkan membuta tuli, mengakibatkan Tuhan itu sentiasa dilihat angkuh, kejam, bengis, tidak peduli, hanya mahu ditaati, dan tidak peduli terhadap manusia–manusia yang disakiti di bumi. Agama jika hanya berpandukan teks dan mengabaikan konteks, apakah lagi relevannya terhadap masyarakat kini? Sebarang teks, sama ada agama, sekular, atau ideologi yang mengabaikan konteks harus dicabar. Ketika itu kita akan mula menyiasat, Mengapa seseorang yang miskin itu mencuri?
]]>