Hujah keizinan Jika dibaca dalam riwayat-riwayat hadis, didapati penggunaan kalimah Allah di kalangan non-Muslim berlaku dihadapan Nabi Muhammad SAW. Antaranya adalah seperti dalam sejarah Perjanjian Hudaibiyah bahawa wakil dari Quraish bernama Suhail bin Amr yang tidak setuju kalimah “bismillah al-Rahman al-Rahim” tertulis dalam surat perjanjian tetapi ditukar kepada “Bismikallahumma”. [Sila rujuk Sahih Muslim, hadis no : 3337] Perkara itu disetujui oleh Nabi Muhammad SAW, walaupun masih lagi menyebut kalimah Allah pada “Bismikallahumma”. Bahkan, cadangan awal Nabi Muhammad SAW terang-terang menyebut nama Allah dengan disertai dua sifatNya yang Agung, iaitu al-Rahman dan al-Rahim. Al-Quran sendiri ada mengiktiraf nilai halal sembelihan ahli kitab, seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat ke 5 dari surah Al-Maidah yang bermaksud, “Hari ini, dihalalkan kepada kamu perkara-perkara baik dan makanan golongan Ahli Kitab halal bagi kamu”. Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Ibn kathir menyatakan, “ini merupakan perkara yang telah diijmakkan (disepakati) di kalangan ulama: bahawa sesungguhnya sembelihan mereka (ahl al-Kitab) adalah halal bagi orang-orang Islam. Ini kerana, mereka beriktiqad pengharaman sembelihan tanpa menggunakan nama Allah. Mereka tidak akan menyebut terhadap sembelihan mereka melainkan dengan menyebut nama Allah.” Dalam Majmuk Syarh Muhazzab, Imam Nawawi menyatakan, “Berkata Abu Sur, apabila mereka (ahl al-Kitab) menyebut nama Allah (pada sembelihan), maka makanlah. Dan jika mereka (ahl al-Kitab) tidak menyebut nama Allah, maka jangan kamu makan” [Sila rujuk Majmuk Syarh Muhazzab, jilid 9, halaman 78] Terdapat juga hujah yang mengatakan bagaimana Allah SWT menceritakan tentang sikap orang musyrikin pada zaman Nabi Muhammad SAW yang bersumpah dengan nama Allah dalam janji mereka mahu beriman dengan Allah. Perkara ini diungkapkan oleh Allah SWT dalam surah Al-‘An’am ayat 109 yang bermaksud, “mereka bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan bahawa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat pastilah mereka beriman kepadaNya” Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi menyatakan yang bermaksud, “orang-orang musyrik telah bersumpah dengan “Allah”. Sekiranya datang kepada mereka tanda (mukjizat), pasti mereka akan beriman dengan Allah, lalu turun ayat ini” [Sila rujuk Al-Tafsir Al-Kabir, jilid 4, halaman 34] Namun, mereka yang menghalang penggunaan kalimah Allah untuk non-Muslim dengan mencipta alasan bahawa di Malaysia, larangan itu perlu berlaku kerana mahu mengelak berlaku proses pemurtadan terhadap umat Islam. Hairannya, dakwaan mahu memurtadkan itu hanya tanggapan mereka yang tidak punyai satu bukti yang kukuh kecuali andaian, menjadikan mereka mahu melarang keizinan ilahi itu. Sedangkan di zaman Nabi Muhammad SAW, amat jelas usaha memurtadkan itu berlaku, disamping wujud ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini, iaitu menerusi ayat ke 109 dari surah Al-Baqarah. Malah dalam keadaan begitu, tidak terdapat satu tindakan Nabi Muhammad SAW pun melarang non-Muslim di zaman itu menggunakan kalimah Allah. Firman Allah SWT mengatakan: “Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka ma’afkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Yang pasti, Nabi Muhammad SAW berhadapan perkara ini dengan tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan permusuhan antara Muslim dan non-Muslim. Nabi Muhammad SAW tidak mengambil tindakan yang boleh mendatangkan imej buruk kepada Islam, yang boleh menggalakkan anggapan bahawa Islam adalah agama yang penakut dan tidak berfikiran terbuka. Ekoran itu, Nabi Muhammad SAW menghadapi perkara ini melalui dialog dan perbahasan secara matang, sepertimana yang diceritakan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dalam banyak ayat, khususnya dari surah Ali-Imran, ayat 59 hingga ayat 61. “Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta” Kesan Di sebalik larangan non-Muslim dari menggunakan kalimah Allah ini, ia memberi kesan yang merisaukan dalam berberapa isu fiqh. Antaranya adalah soal membaca Al-Quran bagi non-Muslim. Kitab-kitab fiqh menyatakan bahawa tidak terlarang bagi non-Muslim membaca al-Quran, seperti dinyatakan dalam al-Bujairimi ‘ala al-Khatib dengan katanya, “Adapun kafir, tidak dilarang dia dari membaca (al-Quran)” [Sila rujuk Hashiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib, jld 3, hlmn 259] Tetapi, jika dilarang non-Muslim dari menggunakan kalimah Allah SWT, sudah pasti membaca Al-Quran bagi mereka turut terlarang. Ini kerana, dalam Al-Quran cukup banyak diungkap kalimah Allah. Malah, Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ada membincangkan hal yang sama tetapi dalam konteks jampi. “Berkata Rabi’, aku telah bertanya Al-Syafie berkenaan dengan jampi. Dia Aal-Syafie) menjawab, tidak mengapa bahawa menjampi dengan membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan apa yang diketahui dari zikirullah (menyebut nama Allah). Aku (Rabie) bertanya, apakah boleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menjampi orang Islam? Dia (Al-Syafie) berkata, Ya, apabila mereka menjampi dengan apa yang diketahui dari Kitab Allah (Al-Quran) dan dari Zikrullah (menyebut nama Allah)” [Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, jld 16, hlmn 258]. Melalui contoh ini kita boleh lihat dengan jelas bahawa non-Muslim juga boleh menggunakan ayat Al-Quran untuk merawat orang Islam. Disamping itu juga, larangan penggunaan kalimah Allah akan memberi kesan terhadap sudut pandang Al-Quran itu sendiri. Ini kerana, dalam Surah At-Taubah, ayat 30, Allah SWT menyatakan bahawa Nasrani beranggapan bahawa Al-Masih adalah anak Allah. Dalam surah Al-Maidah ayat 73 pula, Allah SWT menyatakan telah kufur mereka yang mengatakan Allah itu ketiga dari yang tiga. Dalam kedua-dua ayat ini, Allah SWT menggunakan kalimah “Allah”, bukan kalimah selainnya dalam menyatakan pegangan Nasrani tentang Allah. Kesimpulan Al-Imam Al-Baidhawi yang pernah menyatakan; “Setiap suruhan dalam syariah itu semestinya memberi kebaikan kepada makhluk, dan setiap larangan itu sudah pasti terdapat keburukan disebaliknya” [Sila rujuk Al-Tahqiq Al-Ma’mul Li Minhaj Al-Usul ‘Ala al-Minhaj, halaman 92) Al-Qaradawi pula ada menyatakan; “Allah SWT tidak halalkan sesuatu kecuali ia akan ada kebaikan, dan tidak akan haramkan sesuatu kecuali ada keburukan disebaliknya. (Sila rujuk Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, halaman 21) Sesuatu perkara yang dibenarkan melalui nas, tidak kira namanya halal, harus atau wajib dan sebagainya, sudah pasti punyai kebaikannya tersendiri, walaupun kadangkala ia tidak kita sukai. Allah SWT ada menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 216) Dilema hari ini, keizinan ilahi mahu dilawan. Peliknya, mereka yang melawan keizinan ilahi itu menggunakan lebel agama Islam, malahan sanggup menuduh murtad terhadap mereka yang mahu membenarkan perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT itu. Semua ini tidak akan berlaku kecuali berlapikkan hawa nafsu dan sentimen yang dikecam dalam Islam, kerana dengan hawa nafsu dan sentimen ini, ia tidak membawa kepada hidayah, tetapi kepada kerosakan yang tidak disedari. (untuk bibliografi yang lebih lengkap, sila email editor@projekdialog.com)
]]>