Projek Dialog

Ke arah pencapaian Islah Muslim

Makalah ini penyambungan kepada makalah awal yang bertajuk Krisis pemikiran politik Islam   Al-Quran bercakap tentang kemuliaan anak-anak Adam (17:70), tetapi sebahagian Muslim bercakap tentang kemuliaan dan kehormatan Muslim semata-mata, lantas mengabaikan hakikat setiap manusia mesti dimuliakan dan ada hak-haknya yang wajib ditunaikan. Al-Quran menyebut tentang konsep keadilan dalam menjatuhkan hukuman antara manusia (4:58), ada yang melupakan soal manusia selain mereka, lantas hanya bercakap soal adil dan saksama “sesama kami”, yang menganut agama kami! Al-Quran melarang kaum Muslim daripada bersikap tidak adil sekalipun terhadap kaum yang mereka benci (5:8), sebahagian Muslim pula bercakap soal lebih baik mengundi pemimpin Muslim yang jadong berbanding bukan-Muslim yang berkredibiliti dan terbukti keadilannya dalam mengurus tadbir. Apabila risalah agama merupakan kasih sayang untuk sekalian alam (21:107) bukan semata-mata untuk Muslim apatah lagi bangsa Melayu, bererti wacana negara yang mahu ditegakkan atas aspirasi dan keyakinan beragama haruslah memberi kebaikan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial. Atas nama Islah, kita bermula Kita tiada pilihan lain, selain keluar dari kejumudan dan jalan gelap yang sedang menimpa masharakat kita khasnya di tanah air, kita wajib menggantikan wacana politik yang berorientasikan halalisation danharamisation kepada wacana-wacana soal etika-etika yang berada di sebalik praktikal politik. Suatu yang baik apabila etika-etika yang diletakkan Islam dalam soal pengurusan keduniaan ialah set etika yang secara asasnya boleh diterima semua agama sekalipun berlaku perdebatan dan perselisihan dalam pemerincian. Krisis yang disebutkan mesti ditangani atas semangat perobahan (at-Taghyiir) dan pembaikian (al-Islah), lantas memerlukan kerjasama banyak pihak sama ada intelektual, ahli politik mahupun masharakat kebanyakan. Untuk menjelaskan secara ringkas aspirasi Islah dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita, saya menjelaskan pandangan-pandangan di bawah secara ringkas: 1)     Revolusi etika  (Ethical revolution – at-Thawrah al-Akhlaqiyyah) Tentang ethical revolution, saya meminjam perkataan yang digunakan oleh intelektual terkenal, Dr Jasser Auda semasa beliau memberi ucapan dalam satu majlis di Qatar pada 9 Mac 2013.Antara yang dinyatakan beliau ialah kita melihat betapa seluruh dunia sedang menghadapi krisis moral dan etika dalam segenap lapangan kehidupan termasuk politik. Ini adalah zaman di mana sistem kehakiman yang diharap bisa memberi keadilan, sistem kehakiman pula menjadi pelindung kepada pemimpin jadong dan koruptor kelas atasan. Institusi-institusi pendidikan yang asalnya sebagai tempat mendidik manusia dan tempat pembudayaan ilmu, tapi akhinya ia menjadi tempat kreativiti terhalang, kebebasan intelektual menjadi terlarang. Sementara itu, kerusi-kerusi politik bukan lagi menjadi medium melaksanakan tanggungjawab dan berbakti kepada masharakat, sebaliknya tempat mengumpul kekayaan dan harta benda. Reaksi dan respon sebahagian masharakat dunia terhadap sekalian kecelaruan tersebut ialah dengan turun ke jalan raya dan menjatuhkan pemimpin diktator daripada singgahsana kuasa. Itu salah satu tindakan manusia berani dan bermaruah, tapi ia tidak benar-benar cukup karena pada saat ini kita sangat berhajat kepada revolusi intelektual dan spiritual. Supaya perobahan politik dan dunia yang dicita-citakan itu berlangsung lebih baik, islah radikal pada sisi intelektual dan spiritual sangat diperlukan. Negara bukanlah matlamat akhir, sebagaimana difikirkan oleh sebahagian Islamis ataupun bukan Islamis, tetapi negara salah satu jalan penting demi mencapai kebaikan. Untuk merealisasikan ethical revolution dalam pemikiran kontemporari politik Islam, wajarlah kita memandang politik dengan melihat ‘apa di sebalik apa’, dan di sebalik pemikiran kontemporari politik Islam, ‘apa di sebalik apa’ ialah objektif-objektif tertinggi Shariah (Maqasid as-Shariah). Keadilan, amanah, kebebasan, kemuliaan insan, keamanan, kebajikan, perpaduan nasional  dan pelbagai lagi nilai-nilai fundamental telah ditinggalkan daripada dibincang serius untuk dicapai dalam praktikal politik tanah air kita. Gerakan-gerakan Islamis dan ahli-ahli politik yang berada di kancah politik mestilah menjadikan sekalian nilai-nilai fundamental sebagai tujuan dan panduan dalam praktikal politik demi kepentingan negara dan warganegaranya. 2)     Islam dan demokrasi Kediktatoran wajib ditolak walau atas apa nama sekalipun, tokoh ilmuan terkenal, Almarhum Mahmud Shaltut menulis: “Dengan penegasan al-Quran akan prinsip Shura, Islam menghukum musuh dan perosak kemanusiaan; iaitu kediktatoran dalam pemerintahan dan pemikiran, monopoli perundangan, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Demikian juga menetapkan kemuliaan pemikiran terhadap individu-individu, sementara bagi masharakat, haknya yang tabii dalam mentadbir urusan-urusannya.” Satu perbincangan yang telah lama berlangsung, masih berlangsung dan berkemungkinan akan terus berlangsung ialah mengenai Islam dan demokrasi. Untuk projek al-Islah, kita mesti sentiasa mengulang bahawa jawhar-jawhar agung agama Islam tidak bertentangan dengan konsep-konsep umum yang wujud dalam demokrasi. Malek benNabi semasa mengulas tentang Islam dan demokrasi, ia menyebut bahawa prinsip-prinsip demokrasi mengajar manusia tentang membebaskan diri daripada diperhamba sesiapa dan daripada memperhamba orang lain, demokrasi juga antara teras utamanya ialah kemuliaan manusia karena ia projek menolak sebarang tindakan perhambaan dan kecenderungan seseorang untuk memperhamba. Justeru demokrasi menurut Malek benNabi ialah projek pendidikan karamah insaniyyah (human dignity) yang mesti bermula dengan merobah apa yang ada dalam diri manusia terlebih dahulu. Dalam konteks tanah air kita, pendidikan nilai-nilai teras demokratik mesti terus dipergiat karena kita tidak bisa membina sebuah negara yang demokratik semata-mata dengan meletakkan perkataan demokratik dalam perlembagaan, manifesto atau nama parti, tetapi demokrasi akan berlangsung baik apabila rakyat mengetahui bahawa perjuangan menolak penipuan, korupsi dan kediktatoran ialah perjuangan yang hanya bisa didokong oleh pemilik dhamir yang menghayati nilai-nilai demokratis. Hanya manusia yang merdeka dan mengangkat kemuliaan insan bisa membina sebuah negara demokratik dan berpartisipasi dalam membentuk sebuah masharakat dan negara yang harmoni. Atas nama demokrasi juga, tidak wajar dihalang partisipasi mana-mana pihak dalam hal-hal kepolitikan selagi mana ia bergerak secara aman. 3)     Perbincangan kritikal Untuk menjayakan aspirasi Islah dan menangani krisis pemikiran kontemporari politik Islam di tanah air kita, wacana kritikal tentang hal tersebut wajar terus dihidupkan. Tanpa menafikan kebaikan wacana antara idea, fahaman dan agama, namun wacana yang bertujuan menyelesaikan hal-hal dalaman pemikiran politik Islam tidak boleh dikesampingkan. Saya memberi contoh, pembacaan teks-teks klasik tidak wajar berlangsung literal hingga apabila ditanya sesuatu soalan, terus dikeluarkan bulat-bulat apa yang wujud dalam teks-teks klasik. Bahana sikap tersebut ialah timbulnya isu “kafir harbi”, “darul kufr”, “pembangkang khawarij”, “haram pilihanraya” dan sebagainya. Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk“Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah isu penerimaan al-Mawardi perihal penamaan (penentuan) pemimpin oleh pemimpin sebelumnya, dalam kitabnya, Ahkam Sultoniyyah: “Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya. Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiyah melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.” (hlm. 76) Demikian juga penilaian kritikal terhadap beberapa isu seperti apabila apa-apa dasar (bersifat “sivil” mahupun “keagamaan”) yang mahu dilaksanakan dalam sesebuah negara, semua pihak wajar terlibat dalam perbahasan dan memberi komentar; tanpa mengira agama, kerana semua merupakan rakyat dan berhak tahu dan memberi respon terhadap apa-apa yang melibatkan negara. Dalam sesebuah negara, apabila perbahasan berhubung sesuatu dasar dan perdebatan serta komentar dalam hal-hal yang berkait dengan negara, tidak boleh sesetengah pihak menyuruh pihak yang lain “diam” atau “jangan campuri urusan agama/ideologi kami”, negara ini milik semua dan apa-apa bentuk partisipasi hendaklah diizinkan. Adapun yang wajar diberi perhatian oleh semua warga ialah mengelakkan menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman, dan ia sangat berkait dengan soal etika dan kesedaran individu atau masharakat. Sebahagian pihak teruja amat untuk menutup mulut pihak lain yang mereka tak persetujui dengan pelbagai tuduhan dan kebengisan, sekalipun perdebatan dan perbahasan itu diizinkan dan menurut perlembagaan negara. Perlu diberi penekanan juga bahawa kepelbagaian identiti tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain. Sebagai contoh seorang lelaki/wanita yang Muslim, maka identiti keagamaannya ialah Islam, dia juga punya identiti sebagai berbangsa Melayu contohnya beserta pelbagai lagi identiti. Dalam masa yang sama dia merupakan seorang warga sebuah negara, identiti kenegaraannya ialah warganegara Malaysia. Identitinya sebagai seorang Muslim tetap tidak menolaknya untuk terus hidup dan berpartisipasi sebagai anggota masharakat yang punya tanggungjawab dan hak dalam negaranya. Demikian juga identiti-identiti yang lain, kepelbagaian identiti apabila berada dalam sesebuah negara, kita akan menemui titik persilangan dalam beberapa sudut yang umum, tanpa menghapuskan identiti keagamaan dan kebangsaannya. Dalam sebahagian teks-teks klasik, perbincangan tentang teori identiti difahami secara literal dan jauh dari konteks sejarah oleh sesetengah Muslim, akibatnya (sebagaimana saya sebut berulang kali di atas) ia membawa kepada kekeliruan dalam memahami konsep kesamarataan kewarganegaraan khasnya dalam negara yang jamak agama, bangsa dana budaya. Akhirnya menatijahkan pandangan-pandangan yang “ekslusif” dan “tidak dibenarkan untuk didebatkan” dalam hal-hal bersifat nasional. Khatimah Sama ada disedari atau tidak, di tanah air kita krisis pemikiran kontemporari pemikiran Islam sememangnya berlaku, ia jelas tampak apabila kandungan perbincangan dan persoalan yang ditimbulkan masih lagi berlegar-legar pada sudut Muslim dan bukan Muslim, Islam dan demokrasi dan akhirnya menatijahkan halalisation dan haramisation oleh segelintir golongan literal. Untuk menghadapinya kita hanya ada dua pilihan iaitu; pertama, melakukan Islah dan ethical revolution. Kedua, kembali kepada yang pertama.         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles