Projek Dialog

Kepelbagaian dan kebebasan

The Crooked Timber of Humanity. Memang benar seperti kata kebanyakan orang, slogan ‘kebebasan’, ‘kemanusiaan’ dan ‘kesaksamaan’ merupakan hal yang tidak jelas. Kebebasan? Kebebasan bagi sesetengah orang, mungkin sahaja kekangan buat orang lain. Kebebasan untuk kita mungkin sahaja penindasan buat orang lain, seperti ungkapan masyhur Isaiah Berlin, “the fox knows many things, but the hedgehog knows one big thing”. Persoalan kebebasan, dalam realiti yang rumit, bukan sesuatu yang mudah. Pemahaman terhadapnya bergantung kepada perspektif-perspektif yang berlainan. Intipati khusus setiap perspektif tersebut pula bergantung kepada cara dan nilai hidup yang berbeza, yang kemudiannya akan memengaruhi penafsiran makna “kebebasan”. Ini jelas membawa perbincangan terhadap kebebasan ke lingkungan budaya-budaya yang berlainan, di mana makna kebebasan itu akan difahamkan dalam keadaan unik masing-masing. Persoalan kebebasan tidak boleh diasingkan daripada persoalan kemajmukan adat dan tradisi, satu fenomena yang lebih kerap digelar sebagai multikultuturalisme. Multikulturalisme Oleh itu kita tidak dapat lari untuk membincangkan tentang persoalan multikulturalisme di zaman moden ini. Tidak dapat tidak untuk kita akui bahawa multikulturalisme merupakan sebahagian proses modeniti yang menuntut umat manusia hari ini supaya saling berkenal-kenalan, di sebalik perbezaan dan kemajmukan. Malah, Allah berfirman di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku li ta‘ârafû (supaya kamu saling kenal). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Ayat ini menekankan betapa pentingnya umat manusia supaya saling berkenalan-kenalan antara satu sama lain. Menurut Tafsir Al-Azhar yang ditulis Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), ayat ini merupakan kesahehan bahawa Islam menolak assabiyah dan perkauman. Hamka menjelaskan ayat ini selanjutnya dengan mengkritik budaya orang Minangkabau yang memberikan penekanan terhadap sistem persukuan, yang dianggapnya sebagai assabiyah. Silaturrahim dan multikulturalisme Ini telah menjadi natijah manusia suka mengeratkan silaturrahim berdasarkan keturunan. Namun demikian, melalui ayat ini manusia diingatkan bahawa pada hakikatnya manusia berasal dari satu keturunan. Mencari perbezaan antara satu sama lain tidak digalakkan kerana yang lebih utama ialah menginsafi bahawa adanya persamaan keturunan. Multikulturalisme merupakan hal yang tak terelakkan kerana ia hakikat yang telah tercipta. Bahawa kita telah dilahirkan berbeza warna kulit, ras dan kepercayaan agama. Namun, kita harus menzahirkan perbezaan ini sebagai rahmatan lil alamin (rahmat buat sekalian alam). Jadi, perbahasan mengenai multikulturalisme atau jama’ kebudayaan merupakan wasilah penting supaya mendekatkan kita dengan pesan – pesan yang diseru agama. Kita sedang berhadapan dengan ancaman fundamentalisme daripada setiap sudut. Kemunculan gerakan fundamentalis agama seperti Islamic State of Syria and Iraq (ISIS) dan Al-Qaeda seperti mengulangi sejarah penindasan barbarik di zaman pra-ketamadunan. Pada masa yang sama, kita menyaksikan dunia menjadi semakin tidak toleran terhadap perbezaan dan kerencaman. Umat Islam di seluruh dunia menjadi semakin konservatif terhadap pegangan mereka. Di saat ini, kita sedang berhadapan dengan gelombang yang menakutkan. Manakan tidak, nama ‘Allah’ juga galak menjadi rebutan. Islam kini sering disalaherti daripada kacamata Barat sebagai agama yang rigid, keras dan kontra-keadilan. Barangkali, kesalahfahaman mereka terhadap Islam merupakan kejahilan umat Islam sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab buat umat beragama untuk merisalahkan semula betapa pentingnya nilai-nilai multikulturalisme ini dihayati demi keperluan sejagat. Plural-monoculturalism Pemenang anugerah nobel keamanan, Amartya Sen menulis di dalam Identity and Violence bahawa kita sebenarnya gagal untuk menghayati apa itu multikulturalisme. Sen menganggap sebahagian besar daripada kita sedang keliru, kekeliruan yang disebut Sen sebagai sindrom plural-monoculturalism. Sindrom ini disebabkan salahtafsir terhadap apa itu multikulturalisme. Menurut Sen, masyarakat global hari ini gagal menghadam dengan luwes betapa identiti budaya dan akidah kepercayaan itumerupakan titik tembung (engagement) yang harus disepakati. Amartya Sen menceritakan pengalaman sulungnya berhadapan dengan rusuhan antara agama di India menjelang perpisahan India-Pakistan sepanjang tahun 1947-1951. Beliau mengingati semula peristiwa bagaimana seorang Muslim yang dibiarkan cedera sehingga meragut nyawanya, sedang orang lain di dalam kerumunan itu membiarkan sahaja kerana mangsa adalah seorang Islam, bukan Hindu. Contoh ini mungkin bersifat peribadi. Namun sangat relevan dalam perbincangan ini. Pada pengamatan Sen, kita akan gagal melihat manusia sebagai manusia jika kemanusiaan itu sering dipisah-pisahkan mengikut warna kulit, kaum dan agama. Tolak ansur Andaikan saja jika kita seorang Melayu – Islam; berkongsi meja seorang Cina yang sedang menjamah babi, pasti kita akan terguris hati. Namun sekiranya kita menjamah sajian daging di hadapan seorang vegetarian, kita tidak pernah cuba untuk menyelami perasaan mereka. Itulah yang dimaksudkan oleh Amarta Sen sebagai plural-monoculturalism atau kejamakan budaya sehala. Kenan Malik di dalam bukunya, From Fatwa to Jihad : The Rushdie Affair and Its Aftermath mencatatkan bagaimana multikulturalisme di Britain menghadapi cabaran untuk bertahan selepas peristiwa Rushdie. Di saat itu, gelombang Islamofobia sedang melanda Barat. Seusai peristiwa itu, masyarakat Islam khususnya di barat menjadi sasaran golongan ekstremis. Peristiwa tersebut menyebabkan komuniti imigran yang rata-ratanya beragama Islam di Brixton, Bradford, Handsworth dan Birmingham terpinggir daripada pembangunan akibat jurang sosioekonomi yang begitu ketara di antara golongan kaya dan miskin. Apabila multikulturalisme gagal Pada masa yang sama, golongan fundamentalis Islam menggunakan alasan ini untuk menyebarkan ijtihad terorisme atas nama agama. Maka, ramai anak muda Britain, majoritinya berketurunan Pakistan dan Turki terjerat dan menjadi rekrut para jihadis kerana kebijakan terpengaruh dengan doktrin yang disebar para jihadis. Kenan Malik mengamat bagaimana anak-anak muda imigran ini mengalami krisis identiti dan menyebabkan mereka menjadi semakin terpinggir, Kenan Malik lantas menggelarkannya sebagai ‘community of communities’. Multikulturalisme hanya akan berjaya dengan iltizam kita untuk membangunkan sistem demokrasi yang bertanggungjawab dan berkesan. Hanya itu sahaja lah jalan untuk memerdekakan kebebasan dengan membuka ruang keadilan sosial tanpa mengira warna kulit, kaum dan kepercayaan. unnamed  

]]>

Share your thoughts!

More Articles