JAIS bertindak kurang wajar; rakyat Malaysia di persimpangan

Tahun 2013 hangat dan sarat dengan kontroversi isu agama dan perkauman dipolitikkan telah pun melabuh tirai. Namun, tahun baru 2014 juga tidak dapat menjanjikan kestabilan dan keharmonian negara Malaysia ini terlaksana dengan baik.

Bagi penulis, ianya sudah menjadi ‘trend’ atau ‘lumrah’: bila pemerintah gagal menyelesai kepincangan urus tadbir mereka serta permasalahan rakyat maka bom syak diggunakan sebagai senjata dengan membenarkan isu-isu keagamaan dan perkauman dilaga-lagakan untuk menutup segala isu-isu kepincangan pentadbiran mereka. Jadi kita patut menilai situasi ini dari semua sudut, bermula dengan penelitian konteks isu ini berlaku. Serbuan JAIS dan rampasan Bible Reverand Father Lawrence merupakan paderi Katolik daripada kelompok Jesuit dan editor bagi akhbar mingguan “The Herald (Malaysian Catholic Weekly)” bagi keuskupan (daerah gereja) Kuala Lumpur. Baru-baru beliau ada mengeluarkan kenyataan bahawa Gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam upacara Misa dalam bahasa Malaysia. Nah, apa masalah di sini? Pertama, kenyataan media Father Lawrence ini dikatakan satu penderhakaan terhadap titah Sultan Selangor. Kedua, kenyataan ini dituduh sebagai satu langgaran Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 negeri Selangor yang telah diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN). Ketiga, kenyataan beliau disifatkan menghina keputusan mahkamah rayuan Oktober 2013 lalu yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ sedangkan larangan tersebut hanya dikenakan pada akhbar  “The Herald”. Lantas kenyataan beliau segera dihidu oleh JAIS, NGO Muslim dan UMNO Selangor untuk dijadikan alat melaga-lagakan isu agama dan perkauman serta peluang bagi mereka untuk menjadi ‘hero’ bangsa dan agama serta berusaha untuk mengalih isu kepincangan pentadbiran negara. Undang-undang yang dirujuk di sebalik rampasan Alkitab Bahasa Malaysia oleh JAIS Mengikut sumber daripada Utusan Malaysia dan beberapa media cetak lain, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing di sini kira-kira pukul 2 petang pada Khamis 2 Januari. Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choon dan pengurus premis itu, Sinclair Wong ditahan di bawah Seksyen 9, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 kerana menerbitkan dengan menulis kalimah Allah untuk kegunaan orang bukan Islam.  Penulis percaya JAIS menggunakan Seksyen 9 Enakmen tersebut yang memperuntukkan “kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam”. Seksyen 9 menyatakan : (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia: (a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau (b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam; atau (c) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada mana-mana perhimpunan orang; atau (d) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang diterbit atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat dia tahu, atau munasabahnya patut tahu ianya akan diterbitkan atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam. (2) Seseorang yang tidak berugama Islam adalah melakukan suatu kesalahan jika dia, dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam seksyen kecil (1), menggunakan mana-mana perbahasan yang disenaraikan dalam Bahagian II kepada Jadual, kecuali sebagai petikan atau rujukan. (3) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) atau (2) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM1,000. (4) Raja dalam Mesyuarat boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, meminda Jadual. Tanggapan awam Sementara itu, isu ini terus dipermainkan media arus perdana, di mana sifat sensitifnya membuka ruang kepada andaian-andaian yang menyumbang kepada ketegangan keadaan. Hari demi hari kita mendengar luahan marah dari pelbagai NGO-NGO Muslim dan UMNO Selangor. Desas-desus spekulasi pun bertambah: ada yang mengatakan Kristian di Malaysia dilarang guna kalimah ‘Allah’ dalam apa perkara. Ada yang mengatakan Kristian di Sabah dan Sarawak sahaja boleh menggunakannya dan ada juga yang mengatakan umat Kristian baru bercadang untuk menggunakan kalimah tersebut dan harus ditentang. Bahkan ada yang mempolitikkan isu ini dengan mengatakan parti-parti pembangkang mengadai kalimah ‘Allah’ untuk meraih undi simpati umat Kristian. Realiti dan kebenaran situasi pun terbenam andaian dan jangkaan emosi yang makin menjadi-jadi.  Tindakan JAIS bermasalah Hakikatnya ialah persatuan Bible Malaysia sudah lama beroperasi untuk menerbitkan Alkitab Bahasa Malaysia dan Iban bahkan lama sebelum “Penyelesaian 10 – Perkara” mahupun enakmen tersebut diperkenalkan. Keputusan mahkamah rayuan telah menetapkan larangan pengunaan kalimah tersebut di akhbar mingguan ‘The Herald’ dan bukannya Alkitab mahupun penerbitan serta upacara ibadat. Enakmen yang diguna pakai di negeri Selangor juga boleh dipersoalkan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 11 dan Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1. Oleh itu, enakmen tersebut harus dipinda atau dimansuhkan. Tambahan pula enakmen tersebut tidak rasional untuk diamalkan di Selangor sebagaimana terdapat juga umat Kristian Sabah dan Sarawak menetap di negeri tersebut menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam ibadat mereka dan juga punyai Alkitab. Persatuan Bible Malaysia sewajarnya diberikan hak untuk menerbitkan ‘Alkitab’ kerana ianya diluluskan permit melalui akta cetak serta tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dimana umat Kristian dibenarkan untuk mengurus hal keagamaannya sendiri. Malah kerajaan Malaysia dibawah ke pimpinan BN telah pun memberi jaminan kepada umat Kristian mengenai “Penyelesaian 10 – Perkara” mengenai Alkitab pada 11 April 2011 yang lalu. Antara kandungan Penyelesaian 10 – Perkara ialah kerajaan membenarkan penerbitan dan mengimport Alkitab semua bahasa termasuklah Bahasa Malaysia/Bahasa Indonesia yang mengandungi kata “Allah” tanpa sebarang sekatan. Namun, ianya tidak akan dapat menyelesaikan kemelut selagi isu kalimah ‘Allah’ yang dibawa dimahkamah tidak diselesaikan diperingkat nasional. Hal-ehwal masyarakat Kristian juga di luar daerah hukum JAIS, malah jabatan agama mana-mana negeri. Perbuatan JAIS dalam merampas Bible dengan cara konfrontasi memang suatu tindakan menceroboh. Persoalan yang sukar? Walau apa pun, rakyat Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum, bahasa dan budaya berada di persimpangan soalan-soalan penting yang harus dihadapi bersama: Wajarkah kalimah ‘Allah’ serta perkataan-perkataan lain yang berkaitan agama Islam di‘trademark’kan untuk menjaga umat Melayu dan Islam di Malaysia daripada terpesong akidah dan kekeliruan? Mengapakah  hal mutu akidah umat Islam patut menjadi tanggungjawab masyarakat Kristian?  Wajarkah umat Kristian di Malaysia dipersalahkan kerana menggunakan kalimah ‘Allah’ serta perkataan lain dalam bahasa kebangsaan negara mereka sendiri? Wajarkah pihak pemerintah serta penguasa agama Islam menentukan apa sahaja urusan kepercayaan agama lain? Apakah umat Islam di Malaysia sanggup bertolak ansur untuk membenarkan umat Kristian di Malaysia yang setelah sekian lama telah menggunakan kalimah ‘Allah’ serta perkataan-perkataan lain dalam penerbitan dan ibadat mereka selepas isu ini dipanaskan oleh pihak tertentu? Kesimpulan Marilah kita berdoa dan berharap agar negara kita dipulihkan daripada kemelut isu ni kerana sudah pasti ianya tidak akan membawa perpaduan dan keharmonian yang berkekalan setelah sekian lama Persekutuan Malaysia terbentu pada 1963. Pendekatan adil dan saksama harus disegerakan oleh semua pihak dalam menyelesaikan isu ini. Sampai bilakah rakyat di negera ini perlu dihidangkan dengan isu sebegini? Andai kata, semua pihak setuju bahawa kalimah ‘Allah’ itu universal, sudah pasti kemelut ini tidak wujud. Oleh itu, dialog serta toleransi beragama sangat diperlukan dalam kehidupan pluralistik negara ini. Tinggalkanlah pemikiran jumud dan dangkal serta marilah kita hidup bersama secara aman di negara ini.       unnamed ]]>