Projek Dialog

Memahami Kristian Evangelical di Malaysia

Temubual dengan Dr. Chris Chong oleh Ahmad Fuad Rahmat Banyak kontroversi telah muncul sejak beberapa tahun lepas tentang ancaman Kristianisasi di Malaysia. Dengan semangat dialog yang muhibbah, ke arah meraih pemahaman yang lebih jelas, Projek Dialog menemui Chris Chong untuk membincangkan isu ini dengan lebih mendalam dari sudut pandangnya sebagai seorang sarjana dan penggerak Kristian Evangelical yang kritis. Chris Chong, seorang pensyarah di sebuah IPTS, memegang ijazah PhD dalam sains politik dari Universiti Sains Malaysia. Tesis doktoratnya, bertajuk “Modernity, State-led Islamisation and the non-Muslim response”, [Moderniti, Islamisasi negara dan respon dari kelompok bukan-Muslim] mengkaji reaksi sosio-politik penganut Kristian di Malaysia terhadap penerapan Islamisasi di Negara ini. Beliau adalah ahli Komuniti Gereja Wesleyan dan Friends in Conversation, sebuah forum Kristian yang “bertekad untuk membuka ruang bagi refleksi dan pertukaran ide yang konstruktif tentang kepercayaan, kerohanian, komuniti dan masyarakat.” Kristian Evangelical di Malaysia S: Temubual ini barangkali akan menarik ramai pembaca Muslim, jadi supaya kita semua jelas, bolehkah saudara terangkan dengan istilah yang mudah apakah Kristian Evangelical sebenarnya dan bagaimana ia berbeza dengan kelompok-kelompok Kristian yang lain? J: Kristian Evangelical adalah suatu fenomena yang kompleks. Terdapat hampir beratus, jika bukan beribu gereja yang boleh diklasifikasi sebagai Evangelical. Tetapi apa pun kami berkongsi beberapa karakteristik yang umum: Pertamanya, Kristian Evangelical merupakan fenomena yang baru dalam tradisi Kristian. Jadi gereja Evangelical tidak mempunyai tradisi dan sejarah gereja yang kaya berbanding dengan gereja-gereja Katolik, Lutheran atau Methodis. Sebagai suatu gerakan, gereja Evangelical hanya tumbuh sekitar kurun ke 18 di Amerika dan Britian di mana mereka akhirnya meraih jumlah pengikut yang cukup kuat untuk bertapak sebagai gerakan sosial dan politik global yang kuat yang jelas kelihatan pada hari ini. Justeru itu, gereja-gereja Evangelical di Malaysia lebih mirip kepada gereja-gereja Evangelical di Amerika dalam kerangka teologi, mesej dan pendekatan mereka. Kami juga mempunyai lebih autonomi. Tidak seperti gereja-gereja tradisional, gereja Evangelical tidak harus dijaga oleh mana-mana badan induk. Contohnya, kita tidak punyai biskop. Jadi kami berkembang dengan lebih organik dan lebih terakar kepada komuniti dalam cara yang lebih khusus. Kristian Evangelical juga percaya dengan interpretasi yang lebih literal terhadap kitab Bible, jauh lebih harfiah dari gereja-gereja tradisional yang bergantung kepada sejarah penafsiran atau autoriti gereja untuk mendapatkan bimbingan. Akhirnya, Evangelical menyebar. Kami percaya dengan penyebaran Gospel kepada lingkungan penganut yang seluas mungkin. S: Hari ini tidak kurang dari 60% gereja-gereja di Malaysia adalah Evangelical, yang telah menyusul, pada tahap yang drastic, Gereja-Gereja Kristian yang lain di Semenanjung yang sering dianggap lebih terkemuka. Ini menghairankan memandangkan bahawa Kristian Evangelical di Malaysia hanya baru bermula menyusun gerakan mereka pada tahun 1970an. Apa yang mendorong kebangkitannya yang pantas? J: Kristian Evangelical cuma jauh lebih bertekad untuk mencebur keluar dan menarik pemeluk baru. Daya untuk menyebar agama di kalangan gereja-gereja yang lebih tua dan tradisional, adalah lebih lemah pada hari ini. Golongan Kristian Evangelical juga lebih moden dalam pendekatan mereka, yang lebih bersandar pada renungan yang teliti tentang kehidupan masyarakat kontemporari. Sekiranya anda berkunjung ke gereja-gereja mereka pada hari Ahad, anda akan lihat bahawa khutbah mereka kerap menfokus kepada perkara harian yang praktikal. Mereka mengupas tentang bagaimana menangani tekanan kerja, bagaimana menjaga keseimbangan kerja-keluarga, membesarkan anak dalam batas yang beragama tetapi moden dan sebagainya. Saya kenal suatu gereja mega yang aktif mengakomodasi keprihatinan anak muda yang bekerja, jadi sebulan sekali ia akan menganjurkan perjumpaan komuniti untuk berkongsi fikiran dan membincangkan isu-isu bersama, atau mengadakan pertemuan bagi pasangan muda yang baru berkahwin di mana mereka akan mengundang kaunselor yang akan bercakap tentang bagaimana mendisiplinkan anak. Fokus terhadap keperluan harian yang praktikal adalah sesuatu yang kurang diketengahkan oleh gereja-gereja tradisional. Jadi tidak mengejutkan bahawa tarikan Kristian Evangelical semakin meningkat, dan bukan hanya di Malaysia. S: Tetapi contoh yang anda beri hanya menggambarkan strategi dan pendekatan mereka. Mesti ada sesuatu yang lebih dari itu. Apa yang mendorong tarikan yang meluas di belakang perkembangan Kristian Evangelical dari segi rohani dan falsafah? J: Pendekatan tafsiran literalisme yang umum dalam gereja Evangelical, di samping ketiadaaan sebarang ikatan kepada tradisi menawarkan seseorang individu itu hubungan yang lebih langsung dengan Jesus. Natijahnya, perhubungan dengan Jesus sama sekali tidak diperantara oleh mana-mana autoriti atau hirarki. Ini juga menyebabkan Kristian Evangelical tidak terikat dengan banyak amalan ritual. Konteks kepercayaan Kristian Evangelical juga adalah lebih kontemporari dan bersifat individualistik, berbanding dengan gereja Orthodok atau Katholik di mana anda akan lebih terikat kepada Gereja sebagai komuniti global yang bersifat transnasional dengan sejarah yang panjang. Ini menyediakan banyak ruang bagi kelompok Kristian Evangelical untuk mendokong tren-tren moden. Sebagai contoh, rock Kristian sudah menjadi suatu fenomena global sepertimana yang telah berlaku kerana hemah budaya lebih fleksibel yang ditawar Kristian Evangelical. Jadi ceramah-ceramah gerejanya lebih menarik, segar dan mampu membahas kerangka isu yang luas dan lebih relevan dengan kehidupan moden. S: Adakah gereja-gereja Evangelical di Malaysia dibangun sebagai pakatan yang padu, atau adakah mereka kebanyakannya bergabung dalam jaringan yang longgar? J: Jaringan yang longgar. Adalah penting untuk mengingat bahawa kelompok Kristian Evangelical bukan suatu blok monolitik. Terdapat kepelbagaian dan perbezaan yang serius dan mendalam di kalangan mereka. Tetapi apa pun ada wujudnya kesamaan keluarga: teologi mereka, seperti yang saya ungkapkan tadi, adalah berdasarkan telogi Anglo-Saxon. Ahli mereka secara amnya terdiri dari kelas pertengahan bandar, dan majoritinya dalam lingkungan usia akhir 20an dan awal 30an, kebanyakannya dari kelompok cendekia yang profesional. Majoriti dari mereka juga adalah generasi pertama Kristian. Dengan kata lain, mereka adalah orang yang bertukar keyakinan dari agama lain. Bagi kebanyakan Evangelical Malaysia kontemporari, Evangelical Kristian adalah pendedahan mereka yang pertama dan sebenar terhadap agama Kristian. Kristian Evangelical dan Politik S: Kenyataan bahawa golongan Evangelical lebih bertekad untuk menyebar agama menunjukkan bahawa mereka bukan dari jenis kelompok yang tidak politikal. J: Untuk ini anda harus melihat perkembangan setelah 2008. Pra-2008 anda dapati bahawa gereja Evangelical secara amnya konservatif dan anti politik. Mereka tidak hiraukan tentang politik atau isu-isu kerajaan. Pasca-2008, anda boleh lihat perubahan. Mereka lebih berminat dengan hal ehwal semasa. Kebanyakan mereka sekarang, terutamanya gereja-gereja Evangelical yang besar, akan menyediakan senarai pengundi dalam gereja dan akan menjemput pendakwah untuk berceramah di atas mimbar tentang politik Malaysia. Paderi-paderi malah menganjurkan halaqah doa untuk berdoa tentang situasi politik di Malaysia. Ini luar biasa. Sebelum 2008, untuk memperkatakan tentang apa-apa urusan politik dalam gereja adalah aneh. S: Adakah semuanya digerakkan oleh politik partisan? J: Tidak secara langsung tetapi bayangannya pro Pakatan Rakyat. Mereka tidak akan menyatakan keluar dan pangkah calon si polan ini atau itu, tetapi mereka akan berkata: keluar dan undi, jadi rakyat yang aktif dan bertanggungjawab. S: Jadi semua itu dilakar setelah 2008, tetapi apa yang berlaku sebelum 2008? Mengapa kelompok Kristian Evangelical tidak seaktif dalam politik sebelumnya? J: Masyarakat Kristian Malaysia secara umumnya tidak terlibat dalam politik dengan aktif sebelum 2008. Apa yang berlaku pada 08 adalah reaksi kepada percubaan yang panjang untuk berhadapan dengan polisi Islamisasi yang digerakkan oleh negara yang bermula pada 1980an yang kian menghakis hak-hak Kristian. Sebagai contoh, permit mendirikan gereja boleh mengambil sehingga 20 tahun untuk diluluskan. S: Kenapa? Apakah alasan yang mereka berikan? J: Tidak ada penjelasan. Kita kemukakan permohonan dan lepas itu tunggulah dan bersabar dengan penangguhan. S: Dan ini eksklusif masalah Kristian, atau adakah komuniti kepercayaan lain juga berhadapan dengan hadangan yang sama? J: Ia bukan hanya masalah Kristian. Agama lain turut menghadapi kesulitan juga. S: Apakah isu-isu lain yang berbangkit? J: Kawasan perkuburan: masalah tanah perkuburan yang tidak mencukupi untuk masyarakat Kristian. Sekolah missionary: tiada sekolah missionary baru yang didirikan selain apa yang diwarisi dari peninggalan kolonial. Bukan sahaja itu, wujud juga masalah tentang autonomi. Bangunan sekolah dikuasai oleh gereja tetapi Kementerian Pelajaran yang mengatur siapa yang akan mengajar di sana. Selalu juga berlaku scenario di mana Kementerian Pelajaran (MOE) tidak memahami falsafah sekolah berkenaan dan melantik guru besar yang mungkin tidak memahami semangat sekolah tersebut dengan membawa perubahan yang menghakis identiti sekolah. Terdapat juga faktor ketandusan kewangan untuk menyelenggarakan sekolah. Jadi jika terdapat sesuatu yang perlu diperbaiki sekolah sendiri yang terpaksa menampung biayanya. S: Tidak pernahkah timbul isu tentang murtad sebelum ini? J: Tentunya ada. Ia hanya tidak dipolitikkan sehingga baru-baru ini. Dalam pergulatan tersebut kita telah melihat kenyataan yang semakin ekstrim dan melampau dikeluarkan mengenai Islam [dari segelintir kelompok Melayu-Muslim], yang secara langsungnya menambah kekhuatiran orang-orang bukan-Islam terhadap hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Jadi lama kelamaan timbul ketakutan di kalangan masyarakat Kristian yang diiringi pula tanggapan bahawa polisi dan perundangan agama negera memberi kesan yang serius kepada kehidupan mereka. S: Bagaimanakah pemimpin-pemimpin gereja menyatakan kerisauan mereka? J: Mereka akan mengatur pertemuan dan mengadakan perbincangan dengan pemerintah. Tetapi masalah yang sering ditempuh bukan dengan kelompok elit di tahap atas, yang biasanya akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin gereja, tetapi dengan kalangan birokrat di bawah dan peringkat akar umbi. S: Mengapa pemimpin-pemimpin gereja tidak tampil kepada Najib tentang masalah dengan birokrat-birokrat tersebut? J: Itu berlaku setiap tahun. Tetapi persatuan Kristian di Malaysia tidak mempunyai kuasa. Mereka hanya boleh menasihat. Jadi setelah menemui beberapa kebuntuan, masyarakat Kristian secara keseluruhannya merasakan mereka tidak punyai pilihan selain dari menuntut hak mereka di arena politik. S: Jadi apakah jenis perubahan yang dicari gerakan Evangelical keseluruhannya? J: Ia hanya ke tahap status-quo sebenarnya. Keghairahan terhadap perubahan hanyalah minimal. Mereka mahukan kerajaan yang bersih, mereka galakkan ahlinya supaya kerap menyumbang kepada kebajikan, tetapi mereka tidak menangani struktur atau sistem sisio-ekonomi yang menindas atau apa saja yang mendalam seperti itu. Perubahan yang dipinta masih dalam kerangka penyertaan dalam pilihanraya. Terdapat retorik yang jelas tentang aktivisme tetapi akhirnya politik tertumpu dalam rangkuman isu-isu kelas pertengahan. S: Apakah isu-isu tentang Malaysia atau polisi yang sering diangkat dalam diskusi? J: Yang paling utama adalah isu tentang kebebasan agama. Ini hampir sama di kalangan semua gereja. Isu rasuah juga diketengahkan. Benar, wacana yang utama berkisar untuk membawa perubahan yang selari dengan nilai-nilai Kristian supaya Rakyat Kristian Malaysia dijadikan warga yang baik. Tetapi, tentunya tiada barisan Kristan yang padu di luar sana, tetapi hanya kecenderungan untuk membincangkan politik jelas terjelma sebagai tren yang luas. S: Apakah aspek kebebasan agama yang paling ditekan? J: Kepentingan menghormati batas perlembagaan, yakni artikel 11. Sejak tahun-tahun akhir ini, seperti yang kita tahu, beberapa kontroversi timbul dan ramai Kristian, bukan hanya Evangelical, merasa bahawa kerajaan telah menceroboh beberapa had kuasanya. Jadi masyarakat Kristian Malaysia berminat untuk mendirikan satu Malaysia yang lebih inklusif. S: Tetapi adakah tuntutan yang lebih konkrit diketengahkan, contohnya kebebasan untuk berkhutbah di media massa, atau perlindungan ke atas mereka yang berpindah agama? Bolehkah saudara mengemukakan contoh-contoh khusus. J: Tidak banyak yang dituntut dalam terma yang konkrit atau khusus. S: Kerana khuatir terhadap kesannya jika tuntutan yang lebih konkrit dibuat? J: Ya, jadi tuntutannya masih umum, kekal dalam kerangka kebebasan agama yang telah digariskan dalam perlembagaan. S: Jadi apa yang membuatkan PAS sebagai pakatan yang lebih kredibel dalam usaha saudara mengejar kebebasan agama? Tokoh-tokoh seperti Mat Sabu and Dzulkefly Ahmad pernah bercakap di gereja dan itu banyak membantu menghilangkan ketakutan. S: Najib pun ada pernah cuba untuk beramah dengan komuniti Kristian bukan? Masalahnya bukan Najib tetapi BN. Rakyat telah mual selepas 55 tahun. Tambahan pula, tidak kira apa anda katakan, PAS lebih bersih, paling kurang secara relatif. Apa yang penting adalah anda tidak boleh melihat pempolitikkan Rakyat Kristian Malaysia sebagai satu aliran yang terpisah daripada tren perubahan politik Malaysia dewasa ini. Penyertaan Kristian dalam politik merupakan sebahagian dari arus sentimen yang lebih besar yang telah letih dengan pemerintahan BN. S: Bagaimana dengan keseluruhan kontroversi Hudud? J: Menyentuh tentang Hudud, saya secara peribadi fikir itu semua retorik pada tahap ini. Kita harus berpegang pada perlembagaan. Saya amat hormati Islam sebagai agama persekutuan tetapi perlaksanaan Hudud menuntut perubahan minda yang drastik di kalangan golongan bukan-Islam, dan ini saya lihat tidak akan berlaku. Tentang perpindahan agama S: Kaum Melayu bimbang. Prasangka yang umum menjangka bahawa golongan yang bertanggungjawab memurtadkan orang Islam bukan penganut agama Buddha atau Hindu, tetapi agama Kristian. Dan sekiranya mereka perhati lebih dekat mereka akan dapati bahawa yang aktif menjalankan usaha pemurtadan bukan kelompok Katholik atau Lutheran tetapi kelompok Evangelical. Adakah prasangka ini betul? J: Kristian Evangelical tidak memurtadkan orang Melayu. Mereka tidak akan mencapai kepada kelompok Melayu. Saya tidak dapat bercakap tentang kumpulan Evangelical kecilan atau pinggiran, tetapi dalam rangka yang besar, by and large, ia tidak berlaku. Evangelical Kristian mengiktiraf bahawa majoriti di negara ini adalah Melayu-Islam. Jadi kita terima bahawa penyebaran agama hanya boleh berlaku di kalangan bukan-Melayu. Saya tidak pernah ke gereja di Malaysia ini dimana saya akan bertemu dengan individiu Melayu. Tentu seseorang dapat menunjuk kepada Lina Joy sebagai contoh, tetapi ini benar-benar satu kes yang amat jarang dan terkecuali. S: Tetapi jika itu benar mengapa terdapat begitu banyak protes terhadap pengharaman penggunaan kalimah “Allah” dalam Bahasa? J: Kontroversi ini sebenarnya lebih sensitif bagi Kristian di Sabah dan Sarawak yang memakai Bahasa Malaysia dalam ceramah dan servis mereka. Malah, terdapat konsensus yang kuat di kalangan Kristian di Semenanjung yang menyatakan bahawa ada ruang untuk bertolak ansur dalam hal ini. Ramai Kristian di semenanjung merasakan bahawa Allah bukan kalimah yang penting untuk mereka. Bagaimanapun, Kristian yang mempertahankan penggunaan kalimah Allah berhujah bahawa apa jua pun, Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan memandangkan kita rakyat Malaysia, mengapa tidak digunakan saja perkataan ini? Allah telah digunapakai oleh Kristian Arab sejak zaman yang panjang tanpa menimbul apa-apa kemusykilan, jadi apa masalahnya? Bahasa sepatutnya menjadi medium komunikasi kebangsaan, tetapi mengapa terdapat kawalan yang ketat terhadapnya? S: Jadi jika Evangelical tidak memurtadkan rumpun melayu mereka mesti mendakyahkan penginjilan kepada komuniti lain. Adakah terdapat ketegangan antara-gereja sebagai hasilnya. J: Ya, terdapat ketegangan yang jelas tetapi ia tidak merambahkan permusuhan. S: Saya bayangkan kelompok Katholik mungkin merasa kecewa. Proses penganutan agama mereka adalah jauh lebih kompleks dari proses penganutan agama Kristian Evangelical. Ia adalah seakan Katholik akan ketinggalan dalam meraih capaian penganut baru. J: Ya, tetapi saya akan menyatakan ini: gereja yang lebih tua makin lama makin lebih berunsur Evangelical dalam teologi dan pendekatannya. S: Seperti DUMC (Gereja Methodis Damansara Utama)? J: Seperti DUMC. Jadi anda temui gereja yang lebih terkemuka mengapungkan metod yang lebih moden. Mereka menggunakan muzik kontemporari, menangani isu harian yang praktikal dan menfokus lebih kepada Evanjelisme juga. Tetapi kerana mereka gereja yang tradisional yang berakar pada sesuatu sejarah dan hirarki yang tertentu mereka tidak dapat tangkas mara dengan proses modernisasi selancar kelompok Kristian Evangelical. Jadi memang ada persengketaan antara-gereja, tetapi ia tidak mengakibatkan krisis di dalam komuniti Kristian. Tetapi pertembungan yang paling besar adalah antara umat Kristian dengan penduduk bukan Islam bukan Melayu di Malaysia, terutamanya Hindu. Ketidakpuasan terhadap kelompok Kristian Evangelical disuarakan dengan jelas dalam komuniti Hindu, bahkan lebih dari komuniti Buddha. S: Apa yang anda rasa mencetuskan kontroversi DUMC? J: Dari apa yang saya tahu acara yang diserbu bukan acara yang dirancang DUMC. Ia dimobilisasi oleh organisasi yang berbeza yang hanya menggunakan ruang gereja. Jadi saya fikir kontroversi ini telah tersasar haluan dan tersilap dalam banyak hal. Tetapi, adalah malang sekiranya benar-benar terdapat bukti pemurtadan. Kadangkala beberapa Evangelical terlampau ghairah sampai terlupa kontrak sosial yang membentuk masyarakat Malaysia. Bagaimanapun, ia tidak merefleksi komuniti Kristian secara keseluruhan seperti yang saya katakan sebelumnya. S: Apakah pesanan anda kepada kaum Melayu dan Muslim? J: Fahami tradisi Kristian. Tragedinya adalah golongan Muslim dan Kristian telah menempuh jalan yang berlainan dan tidak lagi berinteraksi. Logika saya adalah kebanyakan Muslim cenderung mengaitkan Kristian Malaysia dengan Kristian dari Barat, tetapi mereka harus faham bahawa walaupun kepercayaan kita terbentur, sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai naratif sejarah dan pengalaman hidup yang sama. Golongan Kristian di Malaysia adalah lebih sensitif, prihatin dan bertimbang rasa dari apa yang biasa ditanggapi orang Melayu. Kita faham bagaimana negara ini dilakar dan dibangunkan. Kita tidak cuba memurtadkan orang Islam. Kita iktiraf sejarah bangsa dan perlambagaan negara. Akan selalu terdapat kumpulan pelampau, tetapi sedihnya ekstremisme memuntahkan ekstremisme.  

]]>

Share your thoughts!

More Articles