Projek Dialog

Menemukan Tuhan di Filipina

Misi di Manila Tatkala menyelusuri perjalanan ke Gereja Malate untuk Misa Kudus jam 7 pagi setiap hari, saya lihat kanak-kanak jalanan masih lagi tidur di laluan pejalan kaki di tepi jalan yang hanya beralaskan kotak dan berselimutkan kain perca. Ada pula terlihat kelibat ibu memanaskan air menggunakan dapur buatan sendiri yang hanya menggunakan cerek usang, batu-bata dan arang. Tidak kurang juga ada gelandangan yang mengemis meminta sedekah dari rombongan kembara kami. Bayangkan setiap kali melalui kaki lima yang berdekatan penempatan gelandangan, bau air kencing dan najis jelas terhidu. Sayu hati melihat gelandangan ini tidak mempunyai rumah, akses air yang bersih serta hidup dengan hanya memakan sisa makanan manusia lainya. Bagi mereka apa yang ada disekeliling mereka, mana yang boleh diguna pakai, mana yang boleh dimakan atau diminum; itulah rezeki mereka setiap hari. Pada malamnya, kami melakukan aktiviti ‘prayer walk’ atau doa kelompok bersama gelandangan, dari situlah misi kami sebagai misionaris bermula. Kami menjangkau para gelandangan bukanlah untuk meng’kristian’kan mereka tetapi lebih kepada mengenali mereka dengan lebih dekat, memberi dokongan dan berdoa untuk mereka. Ada diantara mereka tinggal secara individu dan ada yang bekeluarga. Saya kagum dengan kepetahan mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan kesudian mereka untuk melayan kami. Rata-rata, kisah mereka kebanyakkan berkongsi pada migrasi mereka dari kawasan pedalaman ke metropolitan Manila dengan harapan untuk mencari pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka namun berakhir dengan ketiadaan pekerjaan, wang serta bantuan dan seterusnya melarat di jalanan. Selain gelandangan, kami juga melakukan kunjungan ke penempatan penduduk di Barangay (mukim) San Andres kawasan 6,8 dan 9 untuk tujuan doa kelompok. Penempatan disana ibarat penempatan setinggan rumah kayu mahupun simen. Rumah mereka dibina sendiri tanpa teratur. Bergantung kepada keluarga masing-masing, ada yang mempunyai ahli keluarga melebihi 5 orang namun tinggal di rumah yang hanya ada ruang tamu yang dikongsi dengan dapur dan 1 bilik. Mereka hidup secara bermasyarakat dimana kemudahan seperti tandas, bilik air dikongsi bersama. Bagi kita di Malaysia, mereka mungkin kelihatan miskin. Namun bagi mereka, ianya kelihatan lebih betuah kerana mereka cukup keperluan hidup jika dibandingkan gelandangan. Keadaan yang sama juga terlihat di barangay yang terdapat di daerah Payatas, Quezon City, Metro Manila. 1477524_924897967534895_1721894747_nPayatas merupakan kawasan yang sangat terkenal sebagai kawasan pelupusan sampah terbesar bagi metropolitan Manila. Cuma apa yang menyedihkan saya adalah penduduk barangay disini kebanyakan hidup rata-rata memungut sampah sebagai sumber rezeki. Mereka memanfaatkan sampah untuk membina penempatan mereka. Berdasarkan pemerhatian saya, mereka juga terdedah dengan risiko penyakit berjangkit dan merbahaya. Gas metana juga boleh dihidu dikawasan tersebut. Kelihatan ada beberapa NGO serta organisasi antarabangsa turut ada untuk membantu dalam memberikan rawatan perubatan dan pemberian makanan nutrisi. Di samping itu, kami juga melawat rumah jagaan Missionaries of Charity di Tondo. Kami diberi peluang untuk bersama-sama anak-anak istimewa dan anak yatim piatu dengan berinteraksi dan memberi mereka makan. Ada diantara anak-anak istimewa ini mengalami sindrom down, Hydrocephalus (ketumbuhan otak), spastik dan lain-lain penyakit. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Sayu dan pilu hati saya melihat bagaimana kanak-kanak ini hidup dengan keadaan yang tidak berdaya, bergantungkan kepada ehsan dan kasih sayang manusia lainnya. Melihat ketabahan dan kesabaran biarawati dan sukarelawan bekerja menjaga mereka menunjukkan masih ada sinar dan harapan bagi golongan istimewa ini untuk hidup secara bermaruah. Kami juga berkongsi empati dan solidariti di sana. Kunjungan Paus Fransiskus Kunjungan Paus Fransiskus dilakukan atas dasar sebagai ketua negara dan pemimpin spiritual Gereja Katolik yang bertemakan ‘Mercy and Compassion’ (belas kasihan dan perikemanusiaan). Bagi umat Katolik Filipina, kunjungan ini menandakan bahawa ‘wakil Kristus’ untuk memberikan mereka berkat. Maka, tidak hairanlah jika 6 juta manusia membanjiri perkarangan Taman Rizal dan sepanjang laluan ke Manila Bay bagi Misa penutup di Quirino Grandstand. Paus Fransiskus dengan kapasiti serta pengaruh yang ada pada beliau menyampaikan pelbagai mesej yang menyenangkan kepada rakyat Filipina dan juga mesej yang kurang menyenangkan kepada para agamawan dan politikus di negara tersebut. Berikut merupakan antara terjemahan petikan penting mesej beliau: “Dalam semua lapisan masyarakat, semua bentuk korupsi harus ditolak habis-habisan dimana sumber pendapatan masyarakat miskin diambil, dan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memastikan kelangsungan semua lelaki dan wanita mahupun kanak-kanak dalam kehidupan bermasyarakat.” – Ucapan Paus Fransiskus di Istana Malacanang kepada Presiden dan diplomat, 16 Januari 2015. “Hanya dengan menjadi miskin secara peribadi kita sendiri, dengan menyingkirkan kepuasan keselesaan diri, kita berupaya untuk bersolidariti bersama saudara kita yang serba kekurangan.” – Homili (khutbah) Paus Fransiskus semasa Misa bersama para Uskup, paderi dan religius di Manila Metropolitan Cathedral, 18 Januari 2015. “Kita tidak sendirian. Kita mempunyai banyak saudara yang ketika menghadapi musibah ini datang untuk membantu. Dan kita juga, dalam hal ini, kita merasakan seperti saudara-mara kerana kita membantu satu sama yang lain.” – Homili Paus Fransiskus sempena Misa bersama mangsa ribut Yolanda di Tacloban. Renungan Kemiskinan urban merupakan kemiskinan yang paling teruk yang saya pelajari dalam sejarah kehidupan saya. Data daripada Bank Dunia menunjukkan Filipina merupakan negara yang mempunyai 25.2% daripada 100juta penduduknya diklasifikasikan sebagai populasi dibawah garis kemiskinan. Bila dinilai apa punca kemiskinan ektrim di Filipina, analisa mudah saya mengandaikan kekurangan sumber negara untuk menampung kepadatan penduduk disana, kesan sistem kapitalis di Filipina, kadar pengangguran yang tinggi, korupsi dari peringkat atas hingga ke bawah dan kurangnya capaian pendidikan untuk semua peringkat masyarakat adalah jawapannya. Kembara ke Manila ini mengajar saya erti kesyukuran dengan apa yang ada dan mengingatkan saya untuk tidak membazir segala sumber mahupun rezeki yang ada. Kedatangan kami disana sememangnya tidak berupaya membasmi kemiskinan para gelandangan jalanan meskipun kami memberikan mereka sedikit bantuan makanan dan minuman serta tikar atau keperluan lainya. Tiada apa yang lebih bermakna untuk dikongsikan selain daripada berbicara dan mendengar kisah mereka, memberi mereka pelukan dan berdoa sebagai tanda solidariti dan empati. Kasih sayang dan rasa kemanusiaan daripada masyarakat itulah yang mereka dahagakan. Dari dimensi spiritual dan religius, tampak jelas apa yang dimaksudkan sama ada menjadi manusia beragama dan beragama untuk manusia. Dengan merenungkan Injil, Yesus mengingatkan kami sepanjang kembara ini bahawa “orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu” (Matius 26:11) dan untuk “kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39). Agama bukanlah sekadar ritual, ibadah dan soal hukum-hakam. Pergi ke gereja dan berdoa adalah ekspresi iman tetapi membantu mereka yang memerlukan, tanpa latar belakang agama dan etnik mereka, merupakan manifestasi iman; kedua-duanya saling melengkapi. Apa yang dapat disimpulkan disini, jurang sosial akan terus wujud bagi mewujudkan fungsi kemanusiaan yang lebih efektif. Saya percaya golongan miskin merupakan amanah yang dipercayakan kepada kita sebagai tanggungjawab sosial. Menjadi misionaris selama seminggu disana, tidak keterlaluan saya mengatakan bahawa saya telah menemukan Tuhan bukan hanya di gereja atau dalam doa tetapi pada orang miskin yang saya temui. unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles