Projek Dialog

Meneroka alam semesta yang mengkagumkan

Pelik benar manusia! Setiap kita di dunia hanyalah persinggahan; untuk tujuan apa, tidak kita ketahui… Idealisme yang telah mencerahkan perjalananku, dan setiap kali memberikanku keberanian untuk mengharungi kehidupan dengan ceria – adalah Kebaikan, Kecantikan dan Kebenaran.

Albert Einstein

  Pada 12 November 2014 yang lalu, kapal angkasa Philae dari misi Rosetta yang diketuai European Space Agency (ESA) berjaya mendarat di komet yang kini dinamakan sebagai Cheryumov-Gerasmienko. Ia merupakan antara misi angkasa paling bersejarah pernah dicapai manusia selepas kejayaan besar pendaratan manusia di bulan. Misi ini adalah demi merungkai permulaan terciptanya bumi, sistem solar dan alam semesta kita ini. Misi pendaratan ke komet yang telah menelan masa hampir 10 tahun ini, sudah tentu belum terhenti smpai disini. Philae yang telah mendarat akan mengikuti komet dan mengorbit matahari selama 13 bulan dan melalui jarak paling rapat dengan matahari pada 13 Ogos 2015 nanti. Komet ini adalah antara tinggalan tertua serpihan-serpihan batuan yang terhasil setelah penciptaan sistem solar kita. Sudah tentu mengkaji asal-usulnya dapat membuka pelbagai pintu-pintu rahsia yang menjadi jawapan kepada persoalan falsafah zaman-berzaman: “Dari mana kita datang?”, “Mengapa kita disini?”, “Bagaimana semuanya bermula?”, “Apakah kita dan segala kehidupan di dunia ini , keseorangan dalam alam semesta yang luas terbentang ini?” Artikel saya pada kali ini ingin mengajak pembaca, khususnya orang-orang Melayu yang terlalu sesak dengan tahyul-tahyul dan magis-magis yang tidak membantu perkembangan fikiran dan budaya bangsanya, supaya berminda saintifik dan sentiasa dalam keadaan ingin tahu dan berminat untuk meneroka misteri alam ini. Salah faham terhadap sains Saya bukanlah seorang saintis yang pakar untuk menceritakan tentang sains sebagai bidang yang memerlukan kepakaran. Namun begitu, tidak salah untuk kita menjadi seorang yang peka dan merasa teruja dengan persoalan-persoalan tentang kehidupan dan cara menjadikan ia lebih baik untuk kita lebih menghargainya. Disinilah sains memainkan peranannya. Banyak diantara kita yang mengecilkan sains terhadap penjelasan kiraan matematik dan teori-teori yang sukar difahami seperti yang tecatat di dalam buku teks fizik, kimia dan sebagainya. Sedangkan kehidupan seharian kita yang berhadapan dengan teknologi yang kita guna seperti kereta, telefon pintar, internet, televisyen, komputer dan sebagainya adalah hasil dari sumbangan sains. Begitu juga penemuan-penemuan planet-planet baru, komet, sistem solar, galaksi baru dan pelbagai lagi penemuan yang berguna dan penting bagi menjaga kelangsungan hidup manusia sebagai spesis dan keseimbangannya dengan hidupan yang lain. Sains Sains sentiasa disalah fahami sebagai suatu dogma yang memberi jawapan kepada semua persoalan yang kita ingin tahu. Ia disalah tanggapi sebagai alternatif kepada naratif agama yang selalunya memberi kita semua jawapan tentang semua persoalan tentang hidup dan alam ini. Sains sebenarnya hanyalah alat. Suatu kunci yang kita gunakan untuk membuka rahsia alam yang dahulunya tidak diketahui oleh kita. Ia juga sebuah proses yang mana segala misteri dan persoalan yang ingin kita jawab secara konsisten diuji secara empirikal dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. “Alat” ini pula sentiasa diperbaiki dan ditingkatkan teknologinya agar dapat menjawab soalan atau merevisi jawapan sedia ada dengan lebih baik dan lebih tepat lagi. Sains bermula dengan soalan tentang “apa yang ingin kita tahu?” dan kemudian segala data dan maklumat kita kumpulkan dan uji kebenarannya. Ia tidak semestinya menjanjikan kita jawapan. Apa yang diterokai sains pada hari ini boleh sahaja dicabar jika terdapatnya penemuan baru pada masa akan datang. Ia bukan seperti agama yang mana jawapan yang telah termaktub di dalam kitab tidak boleh dicabar kesahihannya. Oleh itu, sains menekankan kaedah yang konsisten dalam menguji kebenaran. Misalnya, persoalan tentang Tuhan. Saintis akan meletakkan dakwaan tentang kewujudan Tuhan separas dengan dakwaan tentang kewujudan Santa Claus, mitos-mitos Greek dan sebagainya. Jadi, metod sains diperlukan sebagai proses dan juga alat bagi menguji dakwaan-dakwaan tersebut. Kuasa sains  Berminda saintifik tidak bermaksud mengecilkan dunia yang penuh misteri ini kepada apa yang boleh dibuktikan sahaja. Akan tetapi ia mengajar kita berfikir dengan betul dan konsisten dengan sikap pembuktian bagi setiap dakwaan kita. Misalnya, jika seorang percaya malaikat itu benar walaupun tanpa apa-apa bukti, maka kepercayaan seseorang bahawa naga itu wujud walau tanpa bukti juga benar. Apakah sesuatu itu benar hanya atas dakwaan atau penekanan sahaja? Di sini minda yang santifik membolehkan kita menyoal tentang realiti di dunia ini. Dari mana bumi datang? Dari mana manusia datang? Bilakah kehidupan di dunia ini bermula? Benarkah bumi ini adalah pusat kepada alam semesta? Apakah alam semesta yang terbentang ini hanya untuk dimanfaatkan oleh sekelompok bangsa manusia yang mendiami bumi kecil yang mengorbit matahari, di antara jutaan planet dan sistem solar dan galaksi yang lain? Apakah wujudnya kehidupan di benua alam yang lain? Sebahagian dari soalan-soalan yang saya bentangkan ini telah dapat dijawab, dan sebahagiannya masih belum diselesaikan. Misalnya, kita sudah dapat mengetahui bahawa manusia berevolusi dan berkongsi moyang (common ancestor) homo habilis 2.5 juta tahun lalu. Kita juga sudah mendapati bahawa bumi bukanlah pusat kepada alam semesta dan bumi mengorbit matahari bersama 8 planet yang lain (bukan 9 kerana Pluto telah diputuskan oleh saintis bukan lagi sebuah planet, bahkan sebuah komet). Buku “The Science Class You Wish You Had [Kelas Sains Yang Anda Idamkan] tulisan David Eliot and Arnold R.Brody menjelaskan 7 penemuan terbesar sains sepanjang sejarah dan mereka yang menyumbang kearahnya. Antaranya penemuan graviti dan undang-undang dan universal fizik oleh Isaac Newton, struktur atom oleh Ernest Rutheford dan Niels Bohr, prinsip relativity oleh Albert Einstein, fenomena Big Bang [Letupan Besar] dan pembentukan alam semesta oleh Edwin Hubble, evolusi dan prinsip natural selection [pemilihan semulajadi] oleh Charles Darwin, penemuan sel dan genetik oleh Walther Flemming dan Gregor Mendel, dan juga struktur molekul DNA oleh Francis Crick dan James Watson. Di sini saya ingin berkongsi satu petikan menarik dari buku tersebut: “Sedangkan kita masih lagi berhujah tentang struktur politik dan falsafah agama, dan sementara kita masih tidak pasti cara yang terbaik untuk menghasilkan dan mengedar barangan dunia, atau memperuntukkan kekayaan di kalangan manusia, kita di masa ini mengetahui banyak tentang apa yang wujud. Kita kini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan daripada apa yang mampu diimpikan hanya beberapa abad yang lalu.” Kesemua penemuan yang besar ini memberi sumbangan yang cukup besar terhadap kebaikan manusia sejagat. Misalnya teori ‘general relativity’ [relativiti awam] Einstein telah menyumbang kepada teknologi moden terutama dalam penggunaan GPS. Teori fizik Newton pula bukan sekadar berupaya membongkar rahsia gerakan bulan dan planet sekitar alam ini, malah melalui teori undang-undang gerakan (Law of Motion) beliau, kita berupaya mencipta roket, kapal terbang, malah kapal angkasa yang kita gunakan hari ini. Bahkan, melalui teori tersebut juga, menyumbang besar terhadap kebangkitan Revolusi Industri kurun ke-18/19 dengan penciptaan enjin stim, lokomotif, dan juga mesin-mesin yang digunakan di kilang-kilang. Penemuan struktur atom pula membantu kita memahami reaksi kimia yang berlaku pada skala atomik dalam penciptaan ubat-ubatan yang lebih baik, mencari sumber tenaga yang mesra alam dan juga menambah baik inovasi produk-produk industri yang memberi manfaat kepada manusia. Melalui penemuan Edwin Hubble pula, kita dapat mengesahkan bahawa alam semesta ini berkembang dan memecut. Melalui penemuan Cosmic Microwave Background (CMB) [Latarbelakang Gelombang Mikro Kosmik] tinggalan radiasi yang tecipta selepas peristiwa Big Bang [Letupan Besar] oleh Arno Penzias dan Robert Wilson yang mengesahkan teori Big Bang bahawa alam ini suatu ketika dulu bermula dari satu titik dalam kepadatan yang infinit. Kini teori Darwin masih berguna untuk menjelaskan bagaimana kehidupan berevolusi, termasuklah kedudukan kita sebagai satu antara pelbagai hidupan alam yang lain di bumi yang bermula berbillion tahun yang lalu. Dan sudah tentulah penemuan DNA bukan sahaja membantu kita dalam menyelesaikan kes jenayah bahkan membantu kita menjejaki penyakit yang dibawa melalui keturunan dan menghapuskannya. Malah kesemua haiwan (manusia termasuk dalam kategori ini kerana kita juga produk dari evolusi) dan tumbuhan mempunyai kod DNA yang sama dan ini mengesahkan teori Darwin bahawa kita datang daripada satu “common ancestor” [moyang yang sama]. Hujah God of the Gaps [Tuhan Dalam Jurang] Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, penemuan sains bukanlah suatu dogma yang tidak boleh dicabar. Ia sentiasa terbuka untuk dikaji dan dibuktikan semula dengan penambahbaikan instrumen-instrumen dan teknologi yang kita guna untuk membuktikanya. Sudah tentu hujah-hujah sains tidak dibatalkan hanya dengan mengambil potongan ayat tertentu di dalam teks, akan tetapi berusaha membuktikannya melalui eksperimen dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. Ramai yang skeptik terhadap sains, misalnya orang beragama akan menggunakan hujah bahawa pada suatu titik misteri yang tidak ketahui, mesti datang dari Tuhan. Misalnya, sewaktu dahulu ketika manusia mendengar petir dari langit, mereka menyangka itu merupakan suatu tanda kemurkan Tuhan ataupun, atau mungkin Tuhan Thor datang. Akan tetapi sains moden telah membongkar mitos tersebut dan kita mengetahui bagaimana petir dan guruh tercipta malah tenaga elektrik dari petir tersebut dapat kita cipta semula di bumi dan menggunakannya untuk kehidupan seharian kita. Hujah God of The Gaps ini sentiasa diadvokasi saat kita buntu dalam misteri yang tak kita ketahui, yakni sesuatu yang tak kita ketahui itu, ada Tuhan dibelakangnya. Ia juga berlaku pada saintis terutama antara saintis teragung yang kita kenali Isaac Newton, di mana Neil Degrasse Tyson kosmologis terkenal menerangkan dalam tulisannya The Perimeter of Ignorance [Batas Kejahilan]: “Menulis berabad dahulu, ramai saintis berasa terpaksa ‘bersyair seni’ tentang misteri kosmik dan kekuasaan Tuhan. Mungkin kita tidak patut terkejut dengan hal ini: kebanyakan ahli saintis zaman itu, dan juga ramai ahli saintis sekarang, memperakui diri mereka berpegang teguh kepada agama. Namun pembacaan teliti terhadap teks-teks lama, terutamanya yang berkenaan dengan alam semesta, menunjukkan bahawa penulis-penulis tersebut merujuk kepada ketuhanan hanya apabila mereka tiba ke sempadan pemahaman mereka. Mereka merayu kepada kuasa yang lebih tinggi apabila merenung ke lautan kejahilan mereka sendiri. Mereka memanggil Tuhan hanya dari curam pemahaman mereka, yang sepi dan tiada ketentuan. Apabila mereka yakin dengan penjelasan mereka, jarang sekali Tuhan menjadi sebutan.” Namun, masa berlalu dan semakin lama, misteri tentang alam ini dan segala isinya dibongkar satu persatu. Misalnya, jika meyakini bahawa Bumi adalah satu-satunya planet yang menghuni benda hidup, tunggulah ketika saintis menjumpai hidupan di planet lain di alam yang terbentang luas ini dan membongkar suatu lagi “lingkaran kejahilan” kita. Yang paling terbaru saat ini ialah misi mencari hidupan di bulan Europa yang mengorbit planet Jupiter yang dikatakan berpotensi mempunyai hidupan. Kesimpulan Sains adalah metod penerokaan. Instrumen bagi membongkar mitos-mitos, menghumban dogma-dogma, dan segala benda yang dahulunya kita percaya tanpa persoal. Kita juga tahu, bahawa berminda saintifik ataupun menjadi seorang saintis tidak memerlukan seseorang wajib menjadi ateis. Berapa ramai orang beragama yang membuat pelbagai ciptaan dan inovasi yang menyumbang besar kepada sains dan teknologi yang kita ada hari ini. Penemuan sains cuma akan menggoncang dakwaan-dakwaan teks terhadap alam ini yang dipanggil “sains”dan secara konsisten menaakul dan mengkaji dakwaan tersebut apakah ia konsiten dengan bukti yang kita ada. Berminda saintifik juga menyalakan api pencarian dalam diri kita yang sentiasa mahu maju kehadapan dan sentiasa meneroka misteri alam ini dengan bertanya soalan baru dan membuat hipotesis dan dibantu daya instrumen dan teknologi yang kita ada untuk membuktikannya. unnamed ]]>

Share your thoughts!

More Articles

Is the trade union movement lost?

by Yvonne Tan   In light of Indonesia’s omnibus bill protests that have been led by worker’s unions and Malaysia’s growing scepticism surrounding the government’s