oleh Afiq M. Noor
Perdebatan tentang poligami bukanlah sesuatu yang baru dalam tradisi keilmuan Islam. Sekiranya kita membaca dan mengkaji teks-teks klasik Islam pasti kita akan menemui kepelbagaian hukum dan pendapat tentang poligami. Ada di kalangan ilmuan Islam yang membenarkannya secara mutlak, ada juga di antara mereka yang membenarkan poligami dengan syarat-syarat yang ketat dan ada juga yang mengharamkan poligami secara total. Di kalangan para ilmuan, ada yang mengatakan bahawa adalah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan merupakan gambaran ketidak adilan status di antara lelaki dan wanita. Pada dasarnya, menurut mereka, poligami, merupakan sisa-sisa perhambaan terhadap wanita, di mana lelaki dengan sewenang-wenangnya memperlakukan kaum wanita sebagai pemuas nafsu seksual mereka semata-mata. Dalam tulisan ringkas ini, penulis akan menghuraikan poligami menurut sisi pandang reformis Islam, dan untuk tujuan itu penulis hanya akan memetik pandangan Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha serta ulasan di dalam Tafsir Al Manar. Poligami Menurut Al Quran: Sejarah, Syarat & Konsep Keadilan Di dalam Surah Al Nisa’ ayat ke-3, Allah S.W.T menyatakan: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” Sekiranya kita meneliti ayat tersebut, ternyata Allah tidak hanya membenarkan para lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu secara semberono. Terdapat dua pokok persoalan penting yang harus dikaji di dalam ayat tersebut. Pertama, tentang tanggungjawab memelihara anak yatim dan kedua, keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Apakah kaitan di antara dua permasalahan ini? Imam Al Thabari di dalam Jame’ Al Bayan sewaktu menghuraikan tentang ayat ini, memetik riwayat daripada Aishah RA tentang sebab turunnya ayat ini. Diceritakan bahawa Urwah Bin Zubair, anak kepada Asma Binti Abu Bakar sering bertanya kepada Aishah RA sekiranya beliau mempunyai sebarang permasalahan agama. Urwah bertanya kepada Aishah RA tentang bagaimana para lelaki diizinkan berkahwin lebih dari satu dengan alasan untuk memelihara anak yatim? Aishah RA menjawab: “Wahai anak saudaraku! Ayat ini mengenai anak yatim yang dalam penjagaan walinya dan telah bercampur harta anak yatim tersebut dengan harta walinya. Wali yang pada asalnya di amanahkan untuk menjaga anak yatim tersebut dan hartanya telah tertarik kepada harta dan kecantikan anak itu, lalu dia (wali) ingin menikahinya dengan tidak membayar mahar secara adil sebagaimana pembayaran mahar kepada wanita lain. Oleh kerana niat yang tidak jujur ini, maka dia dilarang menikah dengan anak yatim itu, kecuali sekiranya dia membayar mahar secara adil dan layak seperti perempuan lain. Daripada melangsungkan niat yang tidak jujur itu, dia dianjurkan lebih baik menikahi perempuan lain.” Berdasarkan kepada riwayat Aishah RA ini dapat kita mengambil kesimpulan, mengapa terdapat perkaitan di antara tanggungjawab memelihara anak yatim dan keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Sekiranya kita meneliti secara mendalam, ayat 3 Surah Al Nisaa’ ini merupakan lanjutan daripada ayat 2 yang melarang para wali yang diamahkan untuk menjaga anak yatim dan harta mereka agar tidak berbuat zalim dan aniaya terhadap mereka kerana ia merupakan dosa yang besar. Ayat ini diturunkan setelah terjadinya perang Uhud yang telah menewaskan 70 dari 700 orang lelaki Mukmin sehingga menyebabkan ramai wanita yang kehilangan suami dan anak-anak menjadi yatim. Justeru dalam konteks ini, jalan yang terbaik adalah membenarkan para lelaki Mukmin untuk menikahi wanita-wanita yang telah kematian suami dan memelihara anak-anak yang telah kehilangan bapa dengan syarat lelaki tadi perlulah berlaku adil terhadap mereka. Mampukah para lelaki berlaku adil terhadap wanita yang dikahwininya? Di dalam Surah Al Nisaa’ ayat ke- 129, Allah Azza Wa Jalla menyatakan: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, maka janganlah kamu terlalu cenderung kepada yang kamu cintai sehingga kamu membiarkan yang lain tergantung. Dan sekiranya kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Melalui ayat ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ‘adil’ itu merupakan sesuatu yang sulit dan mustahil untuk diberikan oleh para suami kepada isteri-isterinya. Si suami tadi mungkin boleh memberikan keadilan dari segi kewangan tetapi mustahil memberikan keadilan dari segi emosi dan kasih sayang. Ia secara langsung telah menyalahi objektif perkahwinan yang digariskan oleh Al Quran dalam Surah Al Ruum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanya, adalah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kalagan kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram dengannya, dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir” Sheikh Muhammd Abduh, Sheikh Rashid Redha & Al Manar Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha berpendapat bahawa poligami dalam ayat berkenaan adalah dalam konteks anak yatim dan larangan memakan harta mereka meskipun dengan jalan perkahwinan. Perkara ini dinyatakan di dalam Tafsir Al Manar (Juz 4 Mukasurat 348) yang mana mereka melanjutkan bahawa jika khuatir para lelaki akan memakan harta anak yatim yang dikahwini itu, maka janganlah mengahwini mereka, sebaliknya kahwinilah wanita lain, dua, tiga atau empat. Walaubagaimanapun sekiranya si suami takut untuk tidak berlaku adil di antara isteri-isterinya, maka kahwinilah satu sahaja. Sheikh Muhammd Abduh selanjutnya mengaitkan ayat tersebut dengan ayat sebelumnya dan menyatakan – “Dari dua ayat di atas ketahuilah kebenaran untuk berpoligami dalam Islam adalah persoalan kesempitan atau darurat (yang amat berat), yang hanya dibolehkan dengan syarat dia boleh berlaku adil dan memastikan kesejahteraan” Sheikh Muhammad Abduh meskipun memahami ayat tersebut dengan diperbolehkan poligami dalam Islam, akan tetapi beliau sangat menentang poligami dalam masyarakat Mesir pada ketika itu. Menurutnya, poligami tidak akan mampu merealisasikan keadilan di dalam sebuah keluarga sebaliknya ia akan menciptakan permusuhan di antara isteri dan anak-anak dari keluarga masing-masing. Menurut Sheikh Muhammad Abduh lagi poligami merupakan punca kerosakan masyarakat yang terjadi di Mesir. Beliau juga menyatakan: “Berdasarkan kaedah – Dar’ul Al Mafasid Muqaddamu ‘Ala Jalbi Al Masalih (mencegah kemudaratan harus didahulukan atas mengambil manfaat) maka poligami diharamkan apabila tidak mungkin terciptanya keadilan di antara para isteri dan keluarga” Sheikh Rashid Redha sebagaimana gurunya menganggap bahawa secara idealnya Al Quran menganjurkan perkahwinan monogami. Poligami hanya di benarkan dalam keadaan darurat. Akan tetapi beliau berpandangan meskipun dalam keadaan darurat poligami dibenarkan, jaminan untuk tidak akan muncul kejahatan dan kezaliman harus dipenuhi terlebih dahulu. Di dalam Nida’ Li Al Jins Al Latheef, Sheikh Rashid Redha menyatakan bahawa poligami adalah diharamkan bagi mereka yang mempunyai kecenderungan untuk menzalimi isterinya samada secara fizikal mahupun emosional. Menurut beliau lagi syarat penting untuk membenarkan berpoligami adalah berlaku adil yang mana ia adalah sukar untuk dipenuhi. Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha secara tegas menyatakan bahawa tidak mungkin mendidik bangsa Mesir dengan pendidikan yang baik selagi poligami masih diamalkan secara meluas. Mereka begitu konsisten menentang amalan berpoligami sehingga pernah menyarankan kepada Kerajaan Mesir pada waktu itu untuk mengharamkan amalan berpoligami kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak. Sheikh Rashid Redha sewaktu mengulas pandangan gurunya tentang poligami menyatakan bahawa pandangan Sheikh Muhammad Abduh yang mencela amalan berpoligami tersebut adalah disebabkan sikap masyarakat Mesir yang mudah berpoligami dan menceraikan isteri-isteri mereka , kerana mereka umumnya lebih mengutamakan kenikmatan seksual dan hanya menurut hawa nafsunya sahaja. ]]>