Projek Dialog

Sandiwara politik di Kampung Chetti

Salah satu sebab adalah berikutan berita mengejut Kannama Pillay meninggal dunia pada 2 Januari 2014 akibat denggi berdarah. Pemergian wanita kaum Chetti itu dianggap suatu kehilangan besar. Kaum Chetti di Melaka hanya sebuah kumpulan minoriti. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan itu. Kebanyakan mereka adalah saling bersaudara; walaupun wujud perkahwinan campur dengan masyarakat luar. Maka, secara logik, ramai penduduk Kampung Chetti yang bersaudara dengan mendiang Kannama. Mengikut tradisi Hindu, apabila ada kematian dalam keluarga, maka kaum-keluarga terdekat tidak boleh menghadiri upacara keagamaan di kuil selama beberapa bulan. [caption id="attachment_2966" align="alignleft" width="150"]Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan. Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan.[/caption] Atas sebab itulah juga sambutan “ponggol” – atau “ponggal” – di Kuil Sivan pada kali ini hanya dihadiri sekitar sepuluh orang kaum Chetti. Wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut berpeluang menyertainya memandangkan kami berada di Kampung Chetti bagi melakukan kerja-kerja pemantauan. Bercakap mengenai “kerja-kerja pemantauan”, ia ada kaitan dengan alasan kedua mengapa sambutan “ponggol” di Kampung Chetti pada kali ini kurang berseri. Kavyan melakukan pendedahan demi pendedahan menerusi laman rangkaian sosial dan kerjasama portal berita dalam talian selepas Kunjungan Perpaduan Kavyan (15 Disember 2013). Maka ramai yang sudah tahu mengenai “kemusnahan terancang” yang sedang melanda Kampung Chetti. Tekanan lebih kuat diberikan kepada Kerajaan Negeri Melaka menerusi “Solidariti Kampung Chetti” (29 Disember 2013) supaya projek pembangunan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan Kampung Chetti dihentikan serta-merta. Projek dihentikan? Mana ada! Namun begitu, malangnya, jaminan berbentuk “janji manis” yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron kepada penduduk Kampung Chetti nampaknya hanya “janji Melayu” atau “janji dicapati”. [caption id="attachment_2967" align="alignleft" width="150"]Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus. Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus.[/caption] Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Idris sudah mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu. Idris yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka dilaporkan mahu menyelesaikan isu itu dengan segera dan sudah mengarahkan projek dihentikan sehingga menanti siasatan selesai. Idris mengaku “pening kepala” berikutan pendedahan Kavyan. Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek kondominium dan hotel di tengah Kampung Chetti”. Idris juga “mengeluarkan arahan siasatan segera bagi mencari punca kepada masalah tersebut. … Idris mahu siasatan lebih mendalam dilakukan pada kadar segera bagi mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang memberi kelulusan serta membenarkan projek itu dibina”. Dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014), Pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan memberikan jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara. Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Bagaimanapun, tinjauan wakil Kavyan ke Kampung Chetti pada 14 Januari 2014 mendapati hal yang sebaliknya sedang berlaku. Kerja-kerja pembinaan berjalan seperti biasa dan ternyata tidak ada tanda-tanda ada arahan daripada ketua menteri supaya projek dihentikan sementara siasatan dibuat. Rata-rata penduduk kaum Chetti yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kerja dihentikan di “Lot 93” seperti dilaporkan media arus perdana sejak awal tahun. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan berjalan tanpa henti dari awal pagi hingga lewat malam, termasuk pada hari cuti umum. Loji najis di depan kuil dan rumah orang Ahli jawatankuasa bertindak, T Sithambaram Pillay yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada wakil MIC atau Pemuda MIC datang untuk meninjau keadaan. Nampaknya tugas Pemuda MIC Melaka setakat menciplak kenyataan media Kavyan (16 Disember 2013) dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada ketua menteri (20 Disember 2013). Tugas pengerusi MIC Melaka pula seolah-olah hanya mengeluarkan kenyataan yang muluk-muluk kepada wartawan media arus perdana dan memberikan gambaran seolah-olah tidak ada sebarang masalah di Kampung Chetti. “Laporan di media arus perdana mengatakan seolah-olah MIC dan kerajaan negeri menghantar jurutera khas untuk melihat keadaan bangunan kuil-kuil di sini. Tetapi semua itu adalah penipuan semata-mata,” kata Sithambaram dengan nada marah dah kecewa. Pemuda kaum Chetti itu juga meluahkan kemarahan kerana loji najis bagi dua buah kondominium 22 tingkat dan sebuah hotel 12 tingkat sedang dibina bersempadan dengan rumah penduduk kampung. “Segala air kotor penghuni di Lot 93 akan disalurkan masuk ke longkang besar di kampung kami. Loji najis pula dibina dekat dengan rumah kami serta tidak berapa jauh dari Kuil Sri Muthu Mariamman. Bayangkan betapa biadabnya tindakan ini,” tegasnya. [caption id="attachment_2968" align="alignleft" width="150"]Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka. Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka.[/caption] Turut berkongsi rasa sedih, kecewa, marah dan dendam ialah Minatchi Naiker, warga emas berumur 83 tahun yang merupakan anak jati Kampung Chetti. Seperti dirinya, kebanyakan penduduk Chetti sudah tinggal di sini selama enam keturunan. “Ini adalah kampung kami, tanah milik nenek-moyang kami. Kerajaan dan Unesco sudah iktiraf tanah ini sebagai perkampungan warisan. Sepatutnya kerajaan tempatan memelihara dan melindingi tapak warisan ini. “Tiba-tiba kami mendapat berita bahawa ada projek besar di sebelah kampung. Memang tidak dapat diterima akal jika sesiapa mengatakan projek itu tidak akan menjejaskan Kampung Chetti,” kata wanita itu sambil menahan rasa marah dan sebak. ‘Kami rela mati demi pertahankan kampung ini’ Minatchi mengakui bahawa sebelum ini, apabila bekas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan, beliau menyembah kaki politikus itu kerana bersyukur tanah warisan nenek-moyang berjaya diselamatkan. “Tetapi kini, kerajaan negeri meluluskan semula projek itu. Kami semua menyesal kerana mempercayai, meletakkan harapan dan mengundi BN. Apa gunanya kami pilih mereka kalau mereka tak boleh tolong minoriti? Sebaliknya kami ditipu dan dizalimi,” tegasnya. Warga emas itu mungkin sahaja tidak tahu mengenai syarat tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan. Begitu juga dengan syarat dan peraturan Unesco iaitu sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan (perkampungan warisan) tidak boleh melebihi 4 tingkat. Maka, pembangunan di “Lot 93” ternyata melanggar syarat ditetapkan badan antarabangsa. “Kalau kerajaan tidak boleh tolong kami, bunuhlah kami secara beramai-ramai dan tanam kami di perkampungan warisan. Kemudian buatlah apa yang mahu dibuat dengan tanah kami,” kata Minatchi yang ternyata kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Rata-rata penduduk yang ditemui sedar bahawa “Lot 93” adalah milik persendirian dan kaum Chetti tidak berhak membuat sebarang tuntutan ke atas tanah itu. Bagaimanapun, mereka juga sedar bahawa mereka berhak berjuang demi mempertahankan Kampung Chetti seluas lima ekar yang sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Segala tuntutan mereka selaras dengan peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada. Bagi Sumitra Devi Pillay, sebagai generasi muda kaum Chetti, beliau mahu terus mempertahankan kampung nenek-moyangnya. Gadis itu sedar bahawa sekiranya mereka menghentikan perjuangan dan tuntutan, maka kampung itu berdepan kemungkinan musnah terus dalam masa terdekat. “Saya mahu supaya anak-cucu saya nanti ada kampung untuk pulang pada masa cuti. Kampung Chetti bukan sekadar sebuah perkampungan biasa. Semua pihak perlu menyedari hakikat ini dan sama-sama tampil untuk mempertahankannya daripada sebarang kemusnahan yang berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya dengan penuh harapan. Ada gunting dalam lipatan, duri dalam daging Semasa sambutan “ponggol” di Kuil Sivan pada kali ini, tidak ada wakil dari MIC atau Hindraf yang datang walaupun kenyataan-kenyataan yang disiarkan di media arus perdana memberikan gambaran seolah-olah mereka amat prihatin dan berjuang demi nasib kaum Chetti. Perkembangan yang dapat diperhatikan secara nyata sejak dua minggu lalu membuatkan penduduk Kampung Chetti sedar bahawa mereka sekali lagi menjadi mangsa penipuan, manipulasi politik dan diperalatkan golongan politikus, kuasawan dan kapitalis demi kepentingan peribadi. “Saya juga amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa ada ‘orang dalam’ iaitu individu dalam komuniti kami sendiri yang menjadi dalang yang sanggup menjual maruah dan harta pusaka nenek-moyang demi kepentingan peribadi,” kata Minatchi sambil menahan sebak semasa saya mengunjunginya bersama-sama Kughan Nadarajah, Sugan Gunalan dan Preevinn Singh. [caption id="attachment_2969" align="alignleft" width="150"]954494_10151915397908990_887190975_n Kavyan terus menyokong dan membantu perjuangan minoriti Chetti.[/caption] Berita terbaru itu memeranjatkan ramai penduduk Kampung Chetti. Mereka mahu kerajaan memberikan surat rasmi serta salinan dokumen yang kononnya ditandatangani wakil kaum Chetti. Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka merangkap pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVM), K Supramania Pillay mengesahkan bahawa tidak ada sesiapa di pihaknya yang menandatangani sebarang dokumen seperti itu. Maka, misteri yang belum terjawab adalah siapakah dalang-dalang dalam komuniti Chetti, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang terlibat dalam sandiwara ini? Sementara itu, Kavyan menyeru wakil media dan Bangsa Malaysia yang priharin supaya terus memberikan tekanan dan desakan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat supaya menghentikan segera projek pembinaan di “Lot 93” yang secara terang-terangan melanggar pelbagai peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada. Kavyan akan terus memuatkan berita dan perkembangan terbaru di www.kampungchetti.blogspot.com untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tepat, benar dan terkini mengenai keadaan di kampung warisan berkenaan.         unnamed        

]]>

Share your thoughts!

More Articles