Projek Dialog membantah kenyataan ISMA berhubung isu undang-undang jenayah syariah. Projek Dialog membantah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam sahutan mereka kepada The Joint Action Group for Gender Equality (JAG). Hal ini berkaitan isu undang-undang jenayah syariah dimana sebatan syariah dikenakan terhadap 39 orang pesalah yang melakukan sumbang muhrim dan zina. Kami mendapati bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh ISMA agak sempit dan bersifat reaksioner. ISMA menyaran bahawa undang-undang Syariah adalah wajib dijatuhkan terhadap pesalah-pesalah tersebut atas sebab mereka telah melakukan dosa besar dan melanggar syariat islam. ISMA terlalu menekankan prinsip hukuman Syariah yang terlalu literal tanpa memahami konteks dan intipati sebenar Islam yang mementingkan semangat kemanusiaan and kecintaan. Ad-deen yang dipupukkan melalui Al-Quran adalah bertujuan untuk manusia senantiasa bersifat memaaf-maafan, berhati mulia, sentiasa bermuhasabah, dan mempunyai semangat kasih sayang terhadap manusia yang lain. Realitinya, Projek Dialog juga berasa risau akan perkembangan politik Islam di Malaysia, dimana Islam hanya digerak sebagai sebuah lebel identiti yang dihargai melalui sudut pandang yang amat sempit. Walhal Islam bukanlah sebuah agama yang bersifat institusi mahupun politik yang hanya rakus menghukum dan mengaibkan umatnya. Dakwaan ISMA bahawa hukuman Syariah adalah berdasarkan syariat Islam juga tidak betul. Sistem penghakiman dan undang-undang Syariah dilaksanakan oleh manusia dan begitu mudah digunakan bagi menindas golongan yang tiada hak dan suara. Tidak hairanlah wanita yang kebanyakkannya menjadi mangsa undang-undang Syariah. Kami juga risau akan penjelasan ISMA akan cara penghukuman tersebut dan mengatakan bahawa “hukuman perlu dilaksanakan tanpa menunjukkan belas kasihan.” Dimanakah nilai-nilai kemanusiaan kita jika Islam hanya dizahirkan sebagai satu fahaman yang gemar menghukum? ISMA juga bersikap biased terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka dan melebelkan mereka sebagai pejuang feminisme dan liberalisme tanpa memahami konteks label-label tersebut. Sebaliknya apa yang diperjuangkan JAG juga ditegakkan oleh Islam seperti keadilan sosial, hak kebebasan asasi, dan hak kemanusiaan. Bahkan, ISMA tidak mempunyai asas kukuh dalam menilai konteks keadilan. Mereka terlalu memandang berat isu maruah keturunan dan zuriat tetapi tidak mempunyai nilai perikemanusiaan akan hak dan suara seseorang individu. ISMA terlalu khusyuk dengan pembanterasan dosa-dosa besar di kalangan umat Islam dalam konteks seksual yang sempit seperti peraturan-peraturan dan perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah yang mengawal hak kebebasan asasi masyarakat. Seperti kata pepatah “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak”, ISMA juga tidak mempunyai tahap keintelektualan Islam yang mendalam mengenai isu jenayah dan hukuman. Sebagai contoh, memberi dan menerima rasuah adalah jenayah yang jauh lebih keji tetapi tidak pula diperjuang keras oleh ISMA untuk menetapkan undang-undang yang lebih berat dan saksama. Kami berpendapat ISMA sepatutnya memperjuangkan intipati keadilan Islam yang sebenar. Isu seperti ketidakadilan sosial, rasuah yang berlaluasa, pembinasaan alam sekitar, kemiskinan dan penindasan terhadap golongan kelas bawahan, sistem keadilan syariah yang dikawal oleh golongan ulama-ulama elitis, hak kebebasan bersuara dan beragama yang ditegakkan Islam, dsb, wajiblah diberi perhatian sepenuhnya oleh ISMA jika ia serius akan moto organisasinya iaitu “Membangun Umat Beragenda”. Lebih dikesali kami adalah dakwaan membuta-tuli ISMA terhadap ‘pandangan liberal’ dengan memberi contoh kursus “Sumbang Mahram Adik Beradik (Sibling Incest)” oleh University of Missouri dan ponorgrafi bertemakan sumbang mahram dari Barat. Kami berpendapat ISMA cenderung membuat andaian yang rawak dan tidak betul. Kursus yang disebutkan oleh ISMA sebenarnya merupakan sebuah subjek yang mengkaji perspektif sejarah bagi topik tersebut, ia tidak langsung berkaitan dengan agenda liberal yang dimaksudkan ISMA. Walhal isu pornografi adalah sebuah fenomenon global yang dipandang serius akan implikasi sosialnya, baik oleh Projek Dialog mahupun NGO-NGO hak asasi lain. Projek Dialog berpendirian teguh akan prinsip kami menentang undang-undang yang tidak berperikemanusiaan. Kami percaya Islam yang sebenar merupakan ad-deen yang menyeru kepada keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan, bukannya lebelan politik yang bersifat menghukum, menindas dan mengaibkan.
]]>