Projek Dialog

Selamat datang ke Jinjang

working class berbangsa Cina. Pernah dengar istilah ‘Cina Jinjang’? Istilah yang digunakan untuk menggambarkan seorang Cina ‘totok’ yang kasar dan yang selalunya tidak berpelajaran tinggi. Jinjang juga seringkali menjadi bualan sebagai rough neighbourhood. Tidak banyak yang menjadi tarikan di Jinjang. Dan sekiranya anda tidak tinggal di Jinjang atau mempunyai saudara atau kenalan di Jinjang, tidak ada sebab untuk anda masuk ke Jinjang. Kecuali, anda mempunyai urusan di Pusat Tahanan Reman di Jinjang Utara. Yang merupakan sebuah kompleks yang dijadikan pusat bagi menempatkan mereka yang ditahan reman bagi proses siasatan jenayah. Lokasi kompleks ini menyebabkan Jinjang kadangkala menjadi lokasi tumpuan perkembangan politik tanahair. Contohnya, semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada tahun 2011, mereka yang ditahan ada dibawa ke Jinjang sebelum dilepaskan. Akhir-akhir ini pula, Jinjang sekali lagi menjadi perhatian apabila aktivis mahasiswa, Adam Adli, ditahan reman dan ditempatkan di sana sebelum didakwa. Kemudian, Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim juga ditahan semalaman di Jinjang sebelum dibebaskan oleh Mahkamah keesokan harinya. Maka warga Malaysia pun datanglah ke Jinjang, menyalakan lilin sebagai tanda solidariti dengan Adam Adli, dan kemudiannya dengan Tian Chua, Tamrin dan Haris. Nyalaan lilin menjadi simbol protes dan desakan supaya mereka dibebaskan, diserikan dengan ucapan dan sorakan daripada mereka yang hadir. Seperti Kuala Kangsar, seperti Dataran Merdeka, seperti Stadium Kelana Jaya, Jinjang menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang meraikan demokrasi. Bayangkan, tiap-tiap malam pada minggu lepas: Jinjang sesak. Jinjang kecoh. Jinjang bising. Malahan, ada satu malam Jinjang menyaksikan adegan kejar-mengejar dan tangkap-menangkap di antara polis dan para penyala lilin. Jika ini kawasan kelas menengah di mana-mana lokasi lain di Lembah Kelang, mungkin sekali aduan akan dibuat pada malam yang kedua. Pada malam yang ketiga, ada yang akan merungut bagaimana hidup mereka diganggu kerana perhimpunan yang diadakan setiap malam. Sesak jalan. Bising. Kecoh. Kotor. Revolusi pun revolusi juga, tetapi tidur dan tenteram itu harus. Tetapi ini Jinjang. Jinjang menerima para demonstran dan penyala lilin dengan tangan terbuka. Mereka yang datang akan dimaklumkan oleh warga Jinjang sendiri di mana tapak vigil pada malam itu. Malahan, penduduk Jinjang sendiri adalah antara mereka yang pertama akan berkumpul di tapak, sebelum orang luar berkumpul. Ceramah berlangsung dengan menggunakan pembesar suara  yang pasti didengari oleh penduduk setempat. Tetapi tidak ada aduan dan tidak ada rungutan. Malahan, penduduk Jinjang sendiri membarisi balkoni-balkoni yang berdekatan untuk mendengar apa yang disampaikan. Tidak lupa juga mereka yang memanjat pagar demi sudut pandangan yang terbaik. Dan semasa pihak polis mengejar dan membuat tangkapan ke atas para penyala lilin, penduduk Jinjang telah membuka pintu rumah dan kedai mereka dan menerima para penyala lilin yang melarikan diri daripada polis yang sedang mengejar, tanpa mengira bangsa para penyala lilin. Padahal, untuk hampir kesemua hari, para penyala lilin di hadapan Pusat Tahanan Jinjang berkumpul demi seorang mahasiswa muda berbangsa Melayu. Jika diikut retorik etno-nasionalis pasca pilihanraya umum ke-13, orang Cina telah mengkhianati orang Melayu dengan mengundi parti-parti Pakatan Rakyat. Orang Cina didakwa bersifat perkauman dan mempunyai agenda perkauman dalam pola pengundian mereka. Tetapi, mengapakah di Jinjang, mungkin sekali tempat paling ‘Cina’ di Malaysia, mereka memberikan sokongan kepada seorang mahasiswa Melayu yang tidak ada kena mengena dengan mereka?  Jika orang Cina telah mengkhianati Melayu, mengapa setiakawan begitu terserlah di Jinjang? Bapa Adam Adli, pada hari anaknya dibebaskan dengan ikat jamin, telah datang sekali lagi ke Jinjang. Dia berterima kasih kepada penyokong anaknya dan kepada Jinjang, kerana telah menjadikan anaknya sebagai anak mereka sendiri melalui sokongan yang diberikan. Mereka yang percaya dengan retorik ‘pengkhianatan Cina’ ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini. Putrajaya patut belajar daripada Jinjang tentang perpaduan nasional.

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Imbas kembali: Pesta Filem KITA 2

16 Mac 2019 menandakan hari berlangsungnya Pesta Filem KITA siri kedua oleh Projek Dialog. Festival ini ditubuhkan dengan tujuan menjadikan filem sebagai medium penyatuan rakyat

Feminist Women of Faith: An Oxymoron?

by Yvonne Tan Feminism is sometimes discussed utilizing religious and localized lenses, but remains primarily discussed through the “Big Three” schools of feminist thought –