Projek Dialog

Perihal Hari Valentine

“[r]oh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.” Inilah akibatnya apabila faktor budaya dan sejarah di sebalik Hari Valentine tidak diterangkan: ianya hanya kelihatan seolah-olah umat Kristian merayakan Hari Peringatan Santo Valentinus itu dengan perbuatan maksiat. Hari pesta memperingati Santo Valentinus Jelas, ramai di Malaysia yang tidak tahu apa yang disambut pada Hari Valentine. Hari tersebut sebenarnya disambut sebagai hari memperingati Santo Valentinus bagi masyarakat Katolik, Anglikan dan Orthodoks. Bagi umat Katolik amnya, ‘Santo’ bagi lelaki dan ‘Santa’ bagi wanita merupakan “orang kudus” yang menyerahkan hidupnya bagi iman mereka. Teladan mereka menyerahkan nyawa untuk membela iman dan ajaran Yesus Kristus itu merupakan kesaksian yang sempurna akan pegangan iman mereka terhadap Kristus. Justeru umat gereja setempat dimana orang kudus itu berasal akan menghormatinya. Kemudian cerita kekudusan para santo/santa ini tersebar meluas ke daerah dan negeri diluar tempat asal juga akan menghormatinya sehinggalah mendapat perhatian pihak Gereja. Oleh itu, pihak Gereja Katolik dibawah kepimpinan Paus (Pope) akan meluluskan dekri bagi meluluskan orang kudus tersebut diperingati gereja seluruh dunia dan meletakannya dalam senarai Kalendar Umum Gereja Katolik Roma. Dengan itu, umat Katolik boleh mencontohi teladan hidup mereka serta memohon doa syafaat melalui santo/santa tersebut bagi permohonan mereka kepada Tuhan. Hari peringatan bagi setiap santo/santa disambut berdasarkan nama-nama gereja setempat dan atas keperluan umat Katolik dimana umat akan pergi ke upacara Misa Kudus dan berdoa kepada santo/santa tersebut. Ianya bukan wajib seperti Hari Natal (Christmas), Hari Jumaat Agung (Good Friday) dan Hari Paska (Easter). Berbalik kepada kisah Santo Valentinus, beliau merupakan seorang paderi yang hidup dibawah kekuasaan pagan Roma ketika itu oleh Kaisar Claudius II (268-270) pada abad ke-3. Ketika itu kaisar menetapkan larangan pada pemuda untuk tidak berkahwin sebagai kempen kaisar untuk mendapatkan ramai tentera, larangan tersebut ditentang Santo Valentinus kerana bagi beliau perkahwinan adalah suatu panggilan hidup yang suci yang diputusakan berdasarkan kehendak bebas setiap orang dan bukannya dipaksa. Meskipun dilarang, Santo Valentinus tetap menjalankan tugasnya sebagai paderi dan menikahkan para pemuda yang mahu berkahwin. Oleh itu, dia dihukum bunuh dan menjadi martir (shayid) bagi iman Kristiani beliau tentang ajaran perkahwinan. Pada tahun 496 masihi, Paus Santo Gelasius mengeluarkan dekri untuk menghormati kemartiran Santo Valentinus pada tanggal 14Februari setiap tahun.  Namun, Paus Paulus VI pada tahun 1969 telah menggugurkan tarikh tersebut bagi Santo Valentinus dari senarai Kalendar Umum kerana ingin memberi laluan terhadap mubaligh Santo Cyril dan Santo Methodius dari Greek. Tetapi, Paus Paulus VI tidak melarang hari Santo Valentinus tersebut disambut di gereja-gereja setempat. Kini beliau dikenali sebagai santo pelindung pasangan yang bertunangan, perkahwinan, golongan belia, dan penderita epilepsi. Faktor sambutan Hari Valentine Faktor budaya “Valentine’s Day” sebagai perayaan cinta kasih sayang dikaitkan dengan berbagai teori. Antara teori yang boleh dikaitkan adalah keberanian Santo Valentinus sendiri yang bangkit menentang larangan Kaisar Klaudius yang melarang para pemuda berkahwin. Kisah beliau menikahkan pasangan muda-mudo dijadikan inspirasi bahawa pasangan muda-mudi yang jatuh cinta dan saling cinta-mencintai harus dihargai sebagai persiapan ke arah perkahwinan. Faktor bulan Februari itu sendiri sebagai teori kedua di Eropah dimana negara 4 musim mulai beralih dari musim dingin ke musim bunga. Disinilah bilanya burung-burung dan haiwan-haiwan lainnya mulai mengawan. Para belia dan orang muda pun mulai bertemu dengan teman-teman mereka seteleah musim dingin mereka hanya tinggal di rumah saja, tidak bergaul. Sebelum kurun 18, teknologi seperti elektrik, telepon dan internet belum ada. Justeru, amat wajarlah masa terluang tersebut dijadikan suasana kegembiraan berjumpa dan mengekpresikan kerinduan. Teori yang popular adalah dikaitkan dengan kepercayaan bahawa burung berpasangan pada 14 Februari yang bertarikh daripada puisi cinta di dalam “Parlement of Foule” (1382) oleh karya Geoffrey Chaucer. Kepercayaan ini dikaitkan dengan hari peringatan gereja ini, akhirnya membawa perkaitan untuk percintaan dan bercumbu (dating) yang terus mendominasi sehingga ke zaman sekarang. Gereja Katolik tidak pernah mengajar bahawa hari memperingati Santo Valentinus ini dikaitkan dengan percintaan semata-mata. Banyak lagi sebab mengapa “Valentine’s Day” disambut. Namun yang pasti, latar belakang hari “Valentine’s Day itu yang berasal dari Eropah Barat amat berkait rapat dengan tradisi Kristian (Katolik). Kesimpulan Bagi penulis, hari “Valentine’s Day” sewajarnya tidak disambut dengan elemen-elemen yang boleh merosakkan diri dan masyarakat. Terpulanglah kepada individu masing-masing tentang bagaimana hari tersebut itu disambut. Namun yang pasti, kita tidak perlukan hari tersebut untuk meluahkan perasaan cinta, kasih dan sayang terhadap seseorang. Cinta, kasih dan sayang adalah sesuatu yang diluahkan pada setiap hari dan sudah tentu kita tidak memerlukan bunga mahupun cokelat untuknya. Semoga artikel ini dapat berkongsi sedikit sebanyak asal-usul hari “Valentine’s Day” yang sebenar.         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles