Oleh Lee Slimshady Sejarah Baju Merah Kumpulan baju merah yang pertama seingat aku muncul ketika himpunan Bersih 2.0 yang dipimpin oleh Khairy Jamaludin dan Reezal Merican di Bukit Bintang. Kemunculan terawal kumpulan baju merah ini menggunakan patriot di Bukit Bintang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011. Ketika itu penggerak himpunan kumpulan baju merah seperti Khairy Jamaludin dan Reezal Merican adalah antara individu yang dilarang masuk ke Kuala Lumpur. Kedua-duanya ditahan polis pada hari berkenaan. Salah satu puak yang menyertai kumpulan baju merah adalah dari kelompok Pertubuhan Perkasa yang merancang sebuah perhimpunan bertujuan sama. Perkasa juga dikatakan akan mengadakan perhimpunan pada hari itu dan bersedia menghadapi segala kemungkinan dan akan turun ke jalan untuk berarak jika Bersih 2.0 tidak membatalkan hasrat mereka. Presiden kumpulan itu, Ibrahim Ali dan timbalannya langsung tidak kelihatan pada 9 Julai 2011 malah tiada seorang pun dari kumpulan itu hadir untuk berhimpun pada hari tersebut. Namun beberapa minggu sebelum perhimpunan #Bersih4 kumpulan Baju Merah ini muncul semula berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo atas tujuan yang sama. Kali ini kumpulan baju merah bukan sekadar membantah perhimpunan #Bersih4 malah memperagakan pertunjukan seni bela diri dan beberapa aksi akrobatik seperti balik kuang. Perhimpunan pada hari Selasa itu, mendapat perhatian selepas video menunjukkan peserta memaparkan pelbagai aksi lasak termasuk memukul kepala dengan kayu sehingga patah, selain aksi memecahkan atap genting dengan kepala. Dilaporkan bahawa kumpulan baju merah akan berlatih dengan parang untuk mempertahankan dirinya dalam perhimpunan tersebut. Sama ada ia sebagai intimidasi kepada bakal peserta #Bersih4 atau lagak aksi sekadar mempamerkan kehebatan diri aku sendiri pun tidak pasti. Pengkritik Berubah Menjadi Penyokong Bersih? Namun menjelang himpunan #Bersih4 pihak yang sering mengkritik Bersih tiba-tiba sahaja mengeluarkan kenyataan membenarkan ahli-ahlinya menyertai perhimpunan itu. Kenyataan Presiden Perkasa Ibrahim Ali dilihat bercanggah dengan pendiriannya sebelum ini yang melihat himpunan Bersih sebagai apa yang didakwanya menganggu keamanan. Pada kali ini Ibrahim Ali memberi kebenaran kepada mana-mana ahli Perkasa yang mahu menyertai Bersih. Bagi aku nada Ibrahim Ali dan Perkasa kali ini telah berubah. Aku mula mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana andai Ibrahim Ali membenarkannya, dia hanya perlu berdiam diri tidak perlu menyatakannya, kerana ia hak setiap rakyat termasuk ahli Perkasa untuk berhimpun. Namun kali ini nada Ibrahim Ali bagai mengisyaratkan bahawa dia bakal mengubah haluannya mengikut agenda yang telah direncanakan, jika tidak “masakan tempua bersarang rendah”. Paling mengejutkan ketika berlangsung himpunan #Bersih4, orang yang pernah mengkritik himpunan dan pernah menegah anak perempuan sulungnya dari mendekati Bersih tiba-tiba muncul di tengah-tengah para demonstran. Keadaan yang perlahan-lahan tenang di sekitar Dataran Merdeka tiba-tiba bertukar kecoh apabila orang ramai mula menyedari kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Ali. Tun Mahathir dilihat muncul dalam himpunan #Bersih4 dilihat bersalaman dengan para demonstran “Teruskan, teruskan,” katanya kepada orang ramai yang berkumpul dan berebut-rebut mahu bersalaman dengan beliau. Tun Mahathir membuat penampilan sebanyak 2 kali dalam perhimpunan #Bersih yang mana beliau hadir sekali lagi pada keesokan harinya. Rona Merah Bercanggah? Justeru itu telah menguatkan lagi syak wasangka bahawa kewujudan puak kumpulan baju merah memang ada di dalam perhimpunan tersebut cuma terlindung disebalik baju kuning bersih. Manakala dua hari lepas ketika ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut oleh kira-kira 100 orang para penyokongnya. Mereka terdiri daripada ahli PERKASA dan kumpulan yang memakai baju merah muncul dan pada baju mereka tertera perkataan “undur Najib” . Di sini aku mula melihat wujud 2 kumpulan baju merah dengan tujuan dan agenda yang berbeza. Aku mula mengesyaki kedua-dua kumpulan baju merah ini mula berkonfrantasi kerana percanggahan matlamat dan agenda. Oleh itu bagaimana pula himpunan yang bakal di adakan pada 16 September nanti dan apa pula tuntutan yang jelas dari kumpulan baju merah ini? Adakah mereka menuntut untuk menolak perhimpunan #Bersih4 atau mendesak pengunduran Najib dari jawatan Perdana Menteri? Kita tunggu dan lihat. *Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran dan percaya kepada konsep perjuangan di jalanan.
]]>