“Bismillahirrahmanirrahim..” Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.. Lazimnya, lafaz ini merupakan pembuka buat setiap tindakan dengan kesedaran ia akan berarah kepada kebaikan buat beroleh rahmat Allah, Tuhan sekalian alam. Zalimnya, suatu tindakan yang didasarkan kepada nama Tuhan, tetapi hanya berasas pada dogma. Hanya dengan kata, namun tanpa makna. Muslim Melayu di persimpangan Jelasnya perihal ini yang berlaku sebagai pembuka tahun baru 2014, cerminan cabaran kedudukan agama yang kian hilang makna. Tahun baru dibuka dengan isu ‘Nama Allah’, namun bukan sebagai rahmat, tetapi masalah antara agama yang jelas ditimbulkan. Tentu sekali bukan suatu kejutan, bila melihat bagaimana berakhirnya tahun 2013, agama sekadar dijadikan bahan konfrontasi. Lazimnya lafaz “Allahu A’lam” diucap dalam penutupan sesuatu pernyataan sebagai tanda rendah diri sebagai manusia yang serba terbatas tahap pengetahuannya, kerana hanya Tuhan Maha Tahu akan kebenaran yang sebenarnya. Zalimnya bila mana penutupan tahun 2013 yang baru berlalu melihatkan hilang rasa rendah diri segelintir agamawan yang sewenangnya menghukum haram sambutan hari Krismas dan Tahun Baru kerana dianggap salah dan menyesatkan. Lebih menyedihkan, kenyataan agamawan yang menghukum halal, darah mereka yang memperjuangkan suara golongan yang berdepan kesempitan hidup, hanya dengan alasan menganggap tunjuk perasaan sebagai tindakan pemberontakan. Mengapa, di saat masyarakat Negara ini semakin parah, namun agama hanya dijadikan penambah bakar masalah? Islam, yang suatu masa dahulu merupakan ‘khabar gembira’ yang membawa rahmat buat sekalian alam, yang mampu menghasilkan harapan buat golongan tertindas walau dalam perit menentang kezaliman, namun kini hanya terperangkap disebalik kata-kata dan perhiasan. Agama ini seakan-akan hampir tiba saat kematian, roh terbang keawangan meninggalkan penganutnya kehilangan tanpa makna. Yang ditinggalkan cuma amalan yang diambil secara dogma, berdasarkan senarai doktrin yang kaku, terasing daripada intipati asal yang membawa pesanan murni buat manusia. Akibatnya agama yang sepatutnya punya dinamika dengan peranan penting dalam perkembangan ketamadunan manusia kian tersisih. Islam dalam era kegelapan? Fenomena ini dijelaskan sejarawan agama, Karen Armstrong di dalam karya beliau A History of God, dalam bab penutup, Does God have a Future?, di mana beliau melihat Islam masa ini berada dalam era ‘kegelapan’seperti mana agama-agama lain sebelumnya,. Cuma bagi Islam, keadaan ini disebabkan kekecewaan yang lama di zaman penjajahan, mengakibatkan pendokongnya lebih gemar mengimbau nostalgia zaman kegemilangan silam sebagai asas integriti pada agama. Kesannya, kemajuan agama yang mahu dicapai ditumpukan kepada sejarah lampau. Pendekatan ini membawa kepada kegagalan untuk mencari makna baru yang lebih bersesuaian dengan realiti moden serta menghadapi cabaran semasa. Sememangnya bukan agama yang berhak dipersalahkan, tetapi secara fitrahnya manusia diberi kebebasan memilih sendiri pendekatan bagaimana cara agama dilaksanakan. “The Koran made the creation of a compassionate and just society the essence of the reformed religion of al-Lah. Compassion is a particularly difficult virtue. It demands that we go beyond the limitations of our egotism, insecurity and inherited prejudice.” Ternyata segelintir agamawan memilih pendekatan yang bermasalah dalam menghadapi peristiwa semasa, termasuklah isu perayaan Krismas dihukum sesat dan mengancam kesucian Islam kerana dilihat merayakan upacara agama lain. Mungkin segelintir agamawan ini tidak peka, larangan mereka ini juga sama seperti sesetengah kumpulan Puritan Kristian yang menentang sambutan Krismas di kemuncak zaman reformation. Sedangkan telah menjadi pemahaman umum sambutan Krismas bersempena kelahiran Jesus, atau turut masyhur sebagai nabi yang mulia, Isa A.S. Pendekatan yang lebih positif sepatutnya digalakkan dengan menghayati kehidupan nabi Allah ini, dan menghargai perjuangan yang dilaksanakan beliau. Ahli Teologi, Reza Aslan dalam karya beliau Zealot, menggunakan metodologi sejarah dalam memahami kehidupan Jesus di Palestin sekitar 2000 tahun yang lalu. Keadaan masyarakat yang hidup di bawah penindasan pemerintah Rom, yang mengenakan cukai tinggi terhadap rakyat. Golongan elit agamawan pula hidup dalam kelas tersendiri hanya berperanan dalam upacara ritual, tanpa mengajar nilai kebaikan dan persaudaraan, seperti yang dikisahkan dalam perumpamaan ‘The Good Samaritan’. Jesus yang memahami permasalahan rakyat, bangkit menjadi inspirasi dan penyelamat dengan membantu penduduk miskin, susah dan dalam kesakitan. Mesej kebaikan dan persaudaraan diajarkan kepada para pengikutnya sehinggakan pihak pemerintah dan elit agamawan berasa terancam. Kesalahan pemerintah dan agamawan waktu itu ditentang, hingga beliau dijatuhkan hukuman. Perjuangan beliau ini amat relevan jika diambil pengajaran buat kita dalam kontekshari ini yang berhadapan kesusahan dek permasalahan tekanan ekonomi, kezaliman penguasa serta institusi keagamaan yang semakin jauh daripada peranan membantu pembinaan masyarakat yang sejahtera. Namun, kelihatan para agamawan lebih cenderung melihat masalah berbanding hikmah. Sebagai penganut Islam di era mencabar ini seharusnya kita berjihad dengan mencari makna baru daripada petunjuk yang diberikan Tuhan supaya agama dapat terus menjadi daya kebaikan yang membawa rahmat buat masyarakat. Memilih ‘jihad’ dengan dengan cara kononnya menjadi pembela agama dalam isu seperti ‘nama Allah’ dan pengharaman Bible seakan hanya mengutamakan perkara kulit, bukan intipati sebenar insan berTuhan. Nilai kasih sayang harus dipupuk Muhammad Asad, tokoh yang berjasa membawa pentafsiran agama yang lebih dengan menekankan keutamaan daya fikir dalam memahami agama, menjelaskan dalam catatan beliau, Islam at the Crossroads, bahawa menjadi manusia sempurna itu sepatutnya menjadi aspirasi utama seorang Islam dan kesempurnaan dalam beragama ini hanya mungkin tercapai dengan kesedaran penuh akan Tuhan dalam setiap tatacara kehidupan. Tentu sekali ini tidak akan tercapai sekiranya hanya keutamaan beragama diletakkan pada perkara luaran sehingga mengundang perbalahan sesama masyarakat, tanpa rasa kasih dan sayang sesama manusia walaupun berbeza agama atau ras keturunan. Akhir kata buat warga seNegara yang masih meletakkan Tuhan sebagai rukun utama kenegaraannya, selayaknya ‘Allah’ menjadi asas kepada kesatuan, perpaduan dan keharmonian bersama. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih sayangNya. Namun, buat mereka yang bertegas dengan agenda pembodohan dan permusuhan, sekadar berhujah dengan ancaman kekeliruan umat daripada segala hantu-jembalang musuh-musuh Islam: Aku lebih rela keliru, daripada ditakutkan hantu…
]]>