Projek Dialog

Budaya di Asia Tenggara: Kaku atau Dinamik?

Gambar: Orchid DMC Gambar: Orchid DMC[/caption] Konflik Budaya Secara amnya dunia yang saya hidupi pada waktu ini, tidak pernah ketandusan konflik. Konflik yang merangkumi pelbagai jenis isu: dari isu agama hingga ke isu budaya. Dalam artikel ini, secara spesifiknya saya akan menyentuh aspek budaya, dan bagaimanakah sudut pandangan seniman dan budayawan tentang definisi budaya di dalam konteks Asia Tenggara. Artikel ini merupakan ulasan dan tanggapan saya terhadap perbincangan acara KataKatha yang diadakan pada beberapa minggu lepas, berkenaan hal-hal kebudayaan (secara sedar atau tidak) di rantau ini. Oleh itu, harus diingatkan terlebih dahulu bahawa artikel ini mempunyai dua tanggapan berbeza mengenai hal budaya. Satu daripada saya sendiri, selaku anak muda yang hanya memaknakan dirinya melalui ritma kehidupan yang biasa-biasa. Kedua daripada barisan panelis yang terdiri daripada budayawan, sejarawan, seniman/seniwati, dan arkitek yang sudah tentunya mempunyai pengalaman yang lebih jelas dan berupaya untuk membentuk pendapat yang lebih jitu tentang budaya itu sendiri. [caption id="attachment_5327" align="aligncenter" width="551"]Sesi KataKatha. Gambar: Cheryl Hoffmann Sesi KataKatha. Gambar: Cheryl Hoffmann[/caption] Kosmopolitan, Poliglot & Keberagaman Seni: Adakah Asia Tenggara Suatu Budaya? Dialog yang bertajuk Cosmopolitans, Polyglots & The Creative Mess: Is Southeast Asia A Culture? mempersoalkan asas kebudayaan di rantau ini, apakah faktor-faktor suatu kebudayaan itu berubah dan sebab-sebab yang mempengaruhinya. Kerawakan sudut pandang mereka hanya mampu saya cernakan semula melalui kerangka pemikiran dan tanggapan yang terhasil tentang maksud budaya. Dengan penuh harapan juga saya menginginkan suatu perbincangan dan kritikan sihat muncul daripada artikel ini. Menurut saya, budaya secara amnya merupakan manifestasi kehidupan sesuatu kawasan, negara ataupun kelompok etnik. Ia merangkumi pelbagai aspek dari sistem linguistik, politik sehingga ke aspek estetika yang turut mencernakan tingkat pemikiran yang molek untuk dinyatakan kepada khalayak awam. Dengan konteks zaman pasca moden ini, yang kebanyakannya mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme, secara kasarnya dapatlah kita memisahkan dua definisi budaya:

  1. Satu naratif kebudayaan yang berpaksikan kepentingan sesuatu kelompok
  2. Kedua adalah kesinambungan naratif kebudayaan yang tidak dapat diletakkan dalam kategori apa-apa pun.
Yang pertamanya dipengaruhi oleh kuasa dan segala tindakan yang ada mungkin sahaja mempunyai kepentingan yang tidak ada kena mengena dengan inti pati budaya itu sendiri. Yang kedua merupakan sesuatu yang benar-benar alamiah, ritma kehidupan yang segera, yang sukar untuk ditangkap secara formal dan dibincangkan sesama sendiri. Lalu budaya boleh dibahagikan melalui tiga bentuk: yang difahami, yang dibentuk dan yang dihidupi. [caption id="attachment_5325" align="aligncenter" width="476"]Istana Pagaruyung (Minangkabau) Istana Pagaruyung (Minangkabau)[/caption] Budaya yang Difahami, Dibentuk dan Dihidupi Wujudkah jurang yang jelas antara ketiga bentuk budaya ini? Sebagai contoh, apakah perbezaan antara yang difahami, dibentuk dan dihidupi melalui budaya melepak? Melepak merupakan aktiviti yang memerlukan ruang, maka setiap ruang fizikal didirikan atas nama kebudayaan dan ‘melepak’ secara langsung merangkumi pelbagai faktor: publik/awam, tingkat pengeluaran suara, jarak umum di antara tubuh-tubuh, keluasan sesuatu ruang, utiliti dan lain-lain. Aktiviti melepak hadir secara konsensus. Persetujuan tentang perkataan ‘melepak’ barangkali wujud melalui tiga cara budaya:
  1. Difahami
    • Yang wujud melalui ilmu (takrif kamus DBP: melepak merupakan amalan yang negatif, lalai/alpa dan disorientasi budaya)
    • Pemerhatian kehidupan harian / keadaan sekeliling
  1. Dibentuk
    • Melalui pengeluaran media (blog/tulisan sastera/bahan akademik), pembentukan ruang fizikal (bangunan, monumen atau taman),
    • Susunan objek di dalam ruang (perabot, tempat pejalan kaki dsb),
    • Kedinamikan struktur kuasa melalui pelbagai tingkat
  1. Dihidupi
    • Penghidupan suatu jangka masa yang pelbagai (emosi/keadaan fizikal/keadaan sosial/sejarah/pergerakan tubuh),
    • Dinamik dan tidak statik,
    • Spontan dan sentiasa berada di dalam proses/peralihan
Lalu melalui tiga cara untuk memahami budaya ini para panelis memberikan contoh-contoh mereka, dari persoalan kecil seperti gaya hidup sehinggalah ke persoalan besar seperti konsep identiti itu sendiri. Mereka juga membincangkan tanggapan mereka terhadap budaya yang cuba diseragamkan senada. Budaya merupakan sesuatu yang boleh dibentuk secara paksa, yang mungkin hadir melalui kuasa dan bagaimana ia mampu dipengaruhi oleh kepentingan yang tidak bersendikan kepentingan bersama. Oleh itu pastinya wujud konflik di antara budaya yang dibentuk dan dihidupi. [caption id="attachment_5326" align="aligncenter" width="444"]Pink Man (Thailand). Gambar: H+F Collection Pink Man (Thailand). Gambar: H+F Collection[/caption] Budaya, Keterbukaan & Pergelutan Kuasa dan Realiti Edward Said melalui bukunya yang bertajuk ‘Budaya dan Imperialisme’ turut juga menyatakan bagaimana produk budaya itu sendiri membawa agenda sesuatu kelompok (yang dimanipulasi secara sedar ataupun tidak). Dr. Farish Noor sebagai contoh menyatakan sikap keterbukaan rantau ini sebagai salah satu sifat utama yang terhasil daripada budaya. Beliau meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa kedudukan rantau ini, yang secara sedar mengakui keberadaan tamadun-tamadun di benua lain membentuk sikap keterbukaan yang disebutnya tadi. Rantau ini tidak melihat ketamadunan sebagai sesuatu yang tertutup, sebaliknya bersikap terbuka untuk menerima citra kebudayaan dari tempat lain. Ini dengan jelas terlihat dengan peralihan atau proses sejarah kita yang melalui beberapa bentuk agama dan juga mewarisi beberapa nilai yang masih dapat ditemui pada zaman pasca moden ini. Oleh itu secara halusnya kita menanggapi hal-hal yang kecil melalui cara yang benar-benar berbeza. Beliau memberi contoh bagaimana setiap penduduk mengguna pakai teknologi apa-apa pun, atau menghuni sesuatu tempat yang telah ditetapkan fungsi sosialnya dengan cara yang berbeza. Misalnya, pusat membeli belah – bagaimana anak-anak muda menghuni tempat tersebut tanpa membeli apa-apa pun, melawan logik konsumer. Budaya yang dipraktikkan secara harian inilah yang merupakan kesinambungan budaya tempatan yang telah berterusan dari generasi ke generasi. Beliau sendiri menegaskan bahawa perkara-perkara seperti ini yang seharusnya diberi perhatian oleh para intelektual, budayawan dan seniman/seniwati. Kebolehan untuk memahami ritma harian yang asli dan semula jadi adalah peluang untuk memahami konflik yang terlahir antara naratif dominan penguasa dan naratif individu yang menghidupi budaya itu sendiri. Begitu juga dengan Kanakan Balintagos, pembikin filem dari Filipina yang juga merupakan etnik Palawan menceritakan proses mengenali semula identiti beliau. Beliau sendiri bergelut dengan idea tersebut, pergelutan di antara apa yang difahami dengan apa yang dihidupi secara hakiki itulah yang membelenggunya. Langsung timbul persoalan tentang konsep eksotik, iaitu bagaimana perwakilan etniknya sendiri pada suatu masa berada pada tahap yang begitu superfisial. Mungkin begitu juga dengan baju tradisional itu sendiri, wujudnya konflik di antara apa yang difahami dengan apa yang dihidupi. Sedangkan baju tradisional pada suatu masa merupakan pakaian harian penduduk tempatan. Kesimpulan Perbincangan tersebut secara amnya menekankan kedinamikan budaya sebagai sesuatu yang harus terus menerus dicari oleh para ahli akademik, budayawan, seniman dan juga individu di sesuatu rantau. Konflik pasti akan berlaku, di antara naratif dominan yang mungkin saja disertai pengaruh modal (yang tidak memihak kepada orang kebanyakan) dan juga naratif yang senantiasa di dalam proses, tidak dapat dikawal. Oleh itu, apa yang saya pelajari hasil daripada perbincangan tersebut adalah perbezaan di antara beberapa jenis naratif budaya yang sedang berlaku pada masa yang sama. Dan tugas kita, sebagai penduduk yang menghidupi hasil kebudayaan itu sendiri adalah untuk memahami dan mula membezakan antara kebudayaan yang benar-benar ada dan kekuasaan yang berselindung di sebalik naratif kebudayaan yang seringkali bercanggah dengan apa yang kita rasakan. ]]>

Share your thoughts!

More Articles