Projek Dialog

Daripada belanjawan ke bajet: Upacara Anglisasi bahasa untuk mewujudkan Melayu Borjuis Baharu

“A man who has a language consequently possesses the world expressed and implied by that language.” – Frantz Fanon, “Black Skin, White Masks”

Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa perkataan ‘bajet’ digunakan walhal korpus Bahasa Melayu mempunyai perkataan untuk makna yang sama iaitu ‘belanjawan’? Tetapi ‘bajet’ hanyalah satu dari ribuan perkataan yang telah di-Melayukan. Biasakah anda dengan perkataan seperti Transformasi, Fiskal, Akomodatif, Indikator, Fertigasi ataupun Sekuriti? Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, selain mempunyai puluhan bahasa penduduk asal yang lain seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil ataupun Bahasa Iban – terlalu gilakan Bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita telah membuktikan betapa gilanya kita terhadap Bahasa Inggeris ini. Pada 2002-2003, tanpa adanya perbahasan di Dewan Negara, sebuah dasar yang mengangkat Bahasa Inggeris telah dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dinamakan dengan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melaksanakan program mentor untuk memperkasa kemahiran guru yang mengajar Bahasa Inggeris dengan belanja sehingga 270 juta untuk 360 mentor dalam tempoh tiga tahun sahaja sehingga 2013. Tidak cukup dengan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan September 2013 lalu telah mewartakan subjek Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Fungsi bahasa Satu perkara yang perlu kita semua setuju dan jelas adalah Bahasa Inggeris penting, namun sejauh mana pentingnya bahasa asing ini perlu dilihat dengan kaca mata yang adil dan kritis. Untuk memahami dengan lebih mendalam senario ini, kita perlu merujuk apakah fungsi sebenar bahasa. Ngugi Wa Thiong’o, penulis Kenya di dalam makalah beliau ‘Imperialism of Languge: English, a Language For The World?’ menyatakan bahawa bahasa mempunyai dua aspek iaitu i) sebagai cara berhubung dan ii) sebagai pendukung sejarah dan kebudayaan. Menurut beliau lagi, berbeza dengan negara seperti Afrika, negara ‘Scadinavian’ seperti Norway, Sweden dan Finland menggunakan Bahasa Inggeris hanya sebagai komunikasi, tidak lebih dari itu. Ngugi Wa Thiong’o menegaskan, bahasa asing boleh dipelajari dan digunakan jika tiga aspek ini dpaat dipenuhi iaitu; i) kesetaraan ekonomi, ii) kesetaraan politik dan iii) kesetaraan budaya. Dengan kata lain, Bahasa asing perlu dipelajari di mana yang membelajar itu mempunyai autonomi, bahawa ia berkuasa ke atas keadaannya. Budaya menindas Tetapi beliau menyatakan bahawa sejarah pendokongan Bahasa Inggeris sebagai bahasa institusi dan dasar di kalangan negara-negara bekas jajahan British berlaku di dalam suatu konteks di mana Bahasa Inggeris meminggir bahasa lain. Sebagai bahasa penjajah atau ‘language of the conqueror’, Bahasa Inggeris disajikan sebagai bahasa ‘penyelamat’ di mana penjajah menyarankannya sebagai bahasa yang akan membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi. Oleh kerana Bahasa Inggeris diinstitusikan dalam keadaan kolonialisme  di mana adanya hierarki kukuh antara penjajah yang mengawal dan rakyat yang dikawal, tidak hairanlah Bahasa Inggeris itu mula menyerap ke dalam fabrik masyarakat tempatan. Ini berlaku hampir di semua negara yang pernah dijajah di bawah Empayar British. Secara sikit demi sedikit, melalui sedutan perlahan ke dalam sistem ekonomi, politik dan institusi budaya kolonial British, mereka (baca: rakyat yang dijajah) yang menggunakan Bahasa Inggeris dianggap bebas dari kegelapan kerana menzahirkan bahasa yang kononya melambangkan ‘Pencerahan Eropah’. Di dalam makalah yang sama Wa Thiong’o juga menceritakan tentang konteks kolonial Afrika untuk menunjukkan bagaiman penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata dianggap kononya sebagai bukti kebijaksanaan dan ketamadunan seseorang itu. Beliau menyifatkan ini sebagai sejenis ‘false consciousness’ (kesedaran palsu) kerana mereka yang berbangga dalam penguasaan Bahasa Inggeris tidak pula mengambil kira hakikat eksploitasi dan keganasan kolonial apabila mereka meraikan ketamadunan British yang dikatakan sungguh “cerah”. Malahan menurut beliau, Bahasa Inggeris telah diajarkan kepada seluruh masyarakat Afrika seolah-olah mereka tidak mempunyai lidah untuk bahasa mereka sendiri. Bahayanya situasi ini, mereka yang tidak tahu dan tidak faham menggunakan Bahasa Inggeris akan dilihat lebih rendah. Budaya Eurosentrik Menurut Wa Thiong’o, seperti yang telah menjadi kebiasaan dalam konteks pasca-kolonial, pewaris kuasa daripada penjajahan British berasal dari golongan elit. Dalam konteks itu adanya wacana keinginan untuk  berkongsi lidah dan sistem kepercayaan yang sama dengan pemimpin British – tidak lain tidak bukan untuk kelihatan seperti mereka. Dari situ, mulalah tren di mana rakyat diajar menggunakan Bahasa Inggeris dan dipimpin untuk beriman dan mempercayai betapa perlu dan pentingnya Bahasa Inggeris untuk masa depan mereka. Malangnya apabila situasi ini berlaku, perkembangan sains dan teknologi disimpan di dalam rak Bahasa Inggeris, bukan lagi di dalam perpustakaan bahasa asal mereka. Berbanding dengan masyarakat biasa yang tidak berbahasa Inggeris, ilmu tersebut terpenjara di dalam penjara Bahasa Inggeris. Imperialisme bahasa ini adalah bentuk budaya kolonial baharu di zaman moden ini. Dalam konteks Malaysia, imperialisme bahasa ini digunakan untuk membentuk satu golongan kolonial baharu iaitu ‘Melayu Borjuis Baharu’. Melayu Borjuis Baharu Seperti konteks umum pasca-kolonial yang dijelaskan secara ringkas tadi, golongan ini adalah golongan yang sama mewarisi pemerintahan dari British 50 tahun yang lalu. Golongan ini adalah sekumpulan kecil elitis yang merangka dasar dan pemikiran bangsa sekian lama ke atas sekumpulan besar masyarakat yang lain. Dan tugas mereka kini adalah untuk memelihara kumpulan kecil elitis ini, melalui pembentukan sekumpulan kecil elitis kecil yang lain untuk menyokong mereka pada masa hadapan. Golongan ini bercakap di dalam Bahasa Inggeris, menulis menggunakan Bahasa Inggeris, menghantar anak-anak mereka belajar sehingga ke London bahkan sedang berusaha keras merangka dasar pendidikan pro-British melalui gerakan imperialisme Bahasa Inggeris di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan negara. Lebih jauh, mereka sedang memastikan masyarakat terbesar juga berfikir di dalam Bahasa Inggeris dengan penyerapan perkataan-perkataan asas, walaupun perkataan tersebut wujud sejak sekian lama di dalam korpus Bahasa Melayu. Untuk memastikan gerakan imperialisme mereka ini berjaya, budaya Euro-sentrik dijadikan fahaman asas di dalam keluarga kecil elitis yang berpusat di Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara dan Bangsar. Mereka akan memastikan komunikasi efektif hanya di dalam Bahasa Inggeris, menjadikan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu i) kumpulan kecil elitis yang memerintah dan ii) kumpulan besar masyarakat yang diperintah. Upacara Anglisasi Kini kita tiba kepada soalan mudah; apakah proses imperialisme moden melalui bahasa ini berjaya? Ya, jawapannya mereka berjaya. Kini anak muda Malaysia tidak akan diambil bekerja di syarikat perniagaan ternama jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Untuk sebahagian besar pensyarah, hasil kerja penyelidikan mereka tidak akan diiktiraf jika tidak mempunyai label ISI-Scopus yang perlu diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Di universiti awam, para mahasiswa berlumba-lumba mengadakan program menggunakan Bahasa Inggeris. Samada program intelektual mahupun tidak, mereka akan kelihatan lebih ‘antarabangsa’ jika dapat menganjurkannya di dalam Bahasa Inggeris tanpa mengambil kira latar belakang pelajar dan impak dari program tersebut kepada pelajar secara makro. Masyarakat awam yang sejak dari kecil diajar untuk beriman kepada fahaman Euro-sentrik mula memandang golongan kecil elitis yang memerintah dan menduduki tempat khas dalam negara sebagai malaikat yang perlu dipatuhi kerana mereka lebih pandai berbahasa Inggeris. Di akhirnya, mereka akan kekal sebagai golongan kecil elitis, yang merangka dan membentuk cara faham dan berfikir masyarakat terbesar. Manakala wujud semacam ketakutan dalaman kepada  masyarakat biasa, golongan pertengahan dan bawahan yang tidak belajar di luar negara serta mempunyai kemahiran minimal di dalam Bahasa Inggeris. Mereka berasa diri mereka lebih kecil dan tidak mampu mengatasi mereka yang mempunyai kemahiran lebih baik di dalam Bahasa Inggeris (walaupun selalunya kemahiran yang mereka miliki dalam lapangan mereka sendiri lebih baik dari mereka yang punyai kemahiran lebih baik dalam Bahasa Inggeris ini). Kumpulan elitis kecil ini – adalah golongan yang sama memerintah sejak dari dahulu, diperturunkan dari anak beranak kepada saudara mara dan sepupu-sepapat, dihantar ke London untuk belajar bahasa dan cara berfikir kolonial – dan segera pulang untuk menjalankan imperialisme di dalam negara dan bangsa mereka sendiri, untuk kepentingan diri, keluarga dan kumpulan kecil elitis ini. Perlukah kita belajar Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris? Perlukah kita menguasai Bahasa Inggeris untuk mendapatkan kerja di dalam negara yang bahasa kebangsaannya adalah Bahasa Melayu? Perlukah kita berbelanja ratusan juta untuk mengimport mentor Bahasa Inggeris untuk membantu guru Bahasa Inggeris kita? Perlukah kita menyerap ribuan perkataan dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu? Berbaloikah pengorbanan yang kita lakukan ini? Jawapannya tidak. Namun kita tidak dapat melakukan apa-apa kerana yang berkuasa kini adalah kumpulan kecil elitis – yang kini sedang merangka sebuah gerakan imperialisme untuk membina sekumpulan kecil Melayu Borjuis Baharu yang kelak pada masa hadapan akan menyokong mereka dari segi politik dan ekonomi. Rusia telah membuktikan pengembaraan ke angkasa lepas tidak memerlukan Bahasa Inggeris. Perancis, Jerman dan sekian banyak negara Eropah telah membuktikan Bahasa Inggeris bukanlah syarat untuk menjadi maju. Sedangkan Malaysia, sebuah negara paling unik dari komposisi budaya di Asia Tenggara pula sedang tergila-gilakan Bahasa Inggeris. Keterdesakkan untuk menyertai arus globalisasi yang berakar di negara-negara empayar, hanya akan menggadaikan autonomi budaya Malaysia. Ia mengabai peluang yang ada untuk menghayati keunikan kemajmukan negara kita yang sudah berkurun lama dibentuk dan dijanakan secara organik. Inilah hakikat yang patut menjadi sumber untuk memperkayakan lagi pengalaman bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi jangan haraplah ia akan menyelamatkan kita. Bagi mereka yang mendokong logik anglisasi sebagai cara mendapat pelabur asing, kita sudah tahu asal-usul logik kolonial ini. Kesemua upacara penukaran istilah tidak lain hanyalah sebahagian kecil dari ritual keagamaan untuk menyembah Bahasa Inggeris – untuk menunjukkan bahawa mereka lebih warak dan beriman dari yang lain. Mereka ini adalah – Melayu Borjuis Baharu.         unnamed ]]>

Share your thoughts!

More Articles