“Nilai yang diwariskan oleh kemanusiaan hanya untuk mereka yang mengerti dan membutuhkan. Humaniora memang indah bila diucapkan para mahaguru—indah pula didengar oleh mahasiswa berbakat dan toh menyebalkan bagi mahasiswa-mahasiswa bebal. Berbahagialah kalian, mahasiswa bebal, karena kalian dibenarkan berbuat segala-galanya,” Rumah Kaca, Pramoedya Ananta Toer.
Musim pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar universiti datang lagi. Saya difahamkan berbeza dengan tahun sebelum ini, tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) telahpun diumumkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Seperti diumumkan oleh pihak GAMIS, berikut adalah tarikh yang dikeluarkan oleh KPM: 23 Oktober – UM, UKM, UPNM; 24 Oktober – USM, Unimas, USM, USIM; 29 Oktober – UUM; 30 Oktober – UIAM; 21 November – Unisza; 27 November – UPM, UTM, UMT, UTHM, UiTM, Unimap, UMK, UTEM, UMP dan 29 November – UPSI. Berbeza dengan suasana di dalam kampus, kehangatan PRK belum dapat dirasai walaupun sudah memasuki pertengahan Oktober. Tidak pasti bagaimana mahasiswa secara seluruhnya melihat PRK dan kepentingan PRK ini dalam menentukan hala-tuju gerakan mahasiswa. Apakah PRK masih relevan terhadap diri mereka? Ataupun apakah PRK hanyalah sebuah formaliti untuk mereka sebagai seorang pelajar? Apakah entiti gerakan mahasiswa seperti Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa membentuk ideologi mereka? Apakah mereka memilih calon secara per-se atau memilih ideologi calon? Pemimpin Baru, Aktiviti Lama Untuk menjawab soalan-soalan di atas, penelitian harus diletakkan ke atas fraksi-fraksi calon yang bertanding. Entiti perwakilan yang terhad mewakili pro kerajaan (Pro Aspirasi) melawan fraksi yang dikenali sebagai pro pembangkang (Pro Mahasiswa) membosankan mahasiswa lain secara umum yang melihat pertentangan ini tidak tumpah seperti pertentangan parti politik luar kampus. Untuk sebahagian besar mahasiswa, politik luar kampus bukanlah keutamaan mereka. Keutamaan mereka adalah isu peribadi yang melingkari diri mereka saban hari dalam kampus seperti masalah kafetaria dan masalah parking. Akur untuk mendapatkan undi, fraksi-fraksi ini tidak dapat lari dari isu kebajikan sahaja. Perkara ini lebih jelas dapat dilihat melalui manifesto calon yang bertanding. Masing-masing akan berlakon seolah-olah berjuang memperjuangkan nasib mahasiswa. Jarang sekali calon-calon ini akan mengetengahkan ideologi mereka, visi atau misi terhadap pemikiran mahasiswa, ataupun hala tuju universiti pada masa depan. Pertentangan satu lawan satu aka ‘kerajaan vs pembangkang’ yang bosan ini sangat mendukacitakan kerana di akhirnya, pemimpin baharu akan sibuk dengan program tahunan mereka sementara mahasiswa kekal tagih janji kebajikan. Bahkan ideologi dan pemikiran tidak berkembang, serta bakat kepimpinan pula semakin lama semakin buruk kerana pemimpin baharu hanya akan diangkat menjadi pemimpin jika boleh dan mahu taat kepada perintah pihak atasan. MAHA dan SISWA: Apa Ertinya? Ini adalah soalan yang paling asas sekali untuk dijawab oleh golongan mahasiswa. Apakah mereka faham apakah makna ‘maha’ dan ‘siswa’ itu? Apakah mereka melihat diri mereka sebagai mahasiswa ataupun hanya sebagai pelajar biasa? Apakah ketika mereka mula mendaftar di jabatan atau fakulti masing-masing – mereka sedar bahawa kini mereka bukan sahaja seorang pelajar pusat pengajian tinggi, tetapi juga adalah seroang intelektual muda? Apakah ketika menjawab soalan peperiksaan mereka sedar bahawa jawapan yang dituliskan di atas kertas soalan itu kelak bukan sahaja beri kesan kepada diri mereka tetapi juga kepada masyarakat? Apakah mereka sedar tanggungjawab intelektual yang terbeban di atas pundak dan bahu mereka tatkala mereka berbangga dengan status mahasiswa tersebut? Ilmu dan Pesan-pesan Kepada Cendekiawan Kemudian timbulnya soalan; apakah Ilmu? Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam buku Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam secara panjang lebar ketika memperincikan tentang Ilmu menyatakan; “Ilmu adalah penetapan diri atau kalbu tentang kebenaran sesuatu sewaktu shak dan ragu-ragu timbul mengenainya. Ilmu itu kepercayaan yang teguh dan tiada berubah di dalam kalbu. Ilmu adalah suatu gerak daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan. Ilmu itu pengikraran terhadap kebenaran. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, shak dan dugaan. Ilmu itu tibanya makna ke dalam diri serempak dengan tibanya diri kepada makna, dan ilmu itulah yang menjadi hasrat dan kehendak diri,” Menarik untuk diperbahaskan dengan konsep ilmu adalah syarahan Dr Ali Shariati ketika menganalisis Surah al Rum melalui ‘A Message to The Enlightened Thinkers’. Di dalam Bab 2 Ali Shariati menceritakan bagaimana Nabi Muhammad memberitahu pengikutnya yang pada ketika itu hanyalah sekumpulan kecil orang miskin dan gelandangan; “You will be the victors of history. Neither the superpowers, the great kingdoms nor the Ceasar, but Muslims, will dominate the world. Not only you will rule Arabia, Mecca or Quraysh, but you will also conquer Persia, Byzantium, Yemen and Egypt” Dalam keadaan tertindas, dakwah secara senyap dan sembunyi, suasana begitu lemah di kalangan pengikut dengan perasaan tidak berdaya, Nabi Muhammad menegaskan kepada pengikutnya bahawa mereka bukan sahaja akan menguasai peradaban hebat zaman itu seperti Rom atau Parsi tetapi juga Barat dan Timur. Kemudian Shariati meneruskan dengan bertanya; Siapakah golongan Intelektual dan Cendekiawan pada zaman Nabi tersebut? Mereka adalah golongan peniaga kaya yang memiliki ladang di Ta’if, pengimport barangan dari Iran, Byzantium, Yemen dan Syria, yang terdedah dengan pelbagai agama lain, yang biasa dengan negara luar serta punya hubungan politik antara negara akibat dari perniagaan komersil mereka. Kontra dengan ‘Intelektual’ – timbul soalan; Bagaimana seorang buta huruf yang tidak tahu membaca, yang hanya beberapa kali keluar Mekah, tidak pernah mengaji kitab lama, tidak belajar ilmu peradaban, geografi atau empayar mahupun kepercayaan lain atau politik malah tidak tahu lansung tentang alat perang ataupun kekuatan kuasa dunia besar ketika itu – boleh mengeluarkan ucapan dan kata-kata untuk menakluk dunia? Maka kaum yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ketika itu mula berasa ragu, mempersenda dan memperlekehkan kata-kata Nabi Muhammad. Cendekiawan vs ‘Malaysia Book of Records’ Analisis surah al-Rum oleh Dr Ali Shariati ini membuktikan bagaimana kaum terpelajar yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ pada zamannya tidak dapat menjadikan ilmu di dalam diri mereka itu sebagai sesuatu yang bermanfaat. Rom mahupun Parsi menakluk hampir separuh dari dunia tetapi meninggalkan Mekah dan Madinah kerana beranggapan kawasan ini tidak bernilai. Tetapi Nabi Muhammad membuktikan melalui ilmu yang memberi makna kepada diri sebagaimana dijelaskan Syed Naquib al-Attas, Islam berjaya menundukkan kuasa besar dunia dan menakluk hampir separuh dari dunia. Shariati menjelaskan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ini berada di dalam keadaan ketidak-tahuan. Apakah yang mereka tahu? “They know only about superficial considerations including who has better administration, where the most sophistical arms are and where the bulk of the wealth is located. In addition, the intellectuals evaluate and appraise situations, but in a superficial and short sighted manner. They only know mere appearances of the life of the world, and are heedless of the Hereafter,” (30:7) Pesan-pesan Shariati di dalam ‘A Message to The Enlightened Thinkers’ ini perlu dibaca semula oleh golongan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ di negara kita. Ketika laman web Harvard University memaparkan penyarah mereka memenangi Hadiah Nobel (Kimia), kejayaan Stem Cells Intitute dalam menemui metodologi baharu transplan, ujian baharu untuk mengesan ‘Down Syndrome’; ataupun ketika laman web Oxford University memaparkan kejayaan saintis mereka menemui cara baharu untuk menghantar dadah kepada pesakit kanser yang telah merebak sehingga ke otak ataupun ketika Cambridge Institute of Astronomy menerbitkan jurnal yang memaparkan penemuan bintang GD 61 yang mempunyai kebolehan yang hampir sama dalam sistem perairan bumi; Universiti tempatan masih sibuk dengan acara rekod merekod donut terbanyak, bina peta terbesar, ‘macro-teaching’ selama 182 jam ataupun aktiviti bersenam selama 36 jam dengan ‘Malaysia Book of Records’. Mahasiswa harus segera sedar bahawa mereka adalah ‘siswa’ – iaitu pelajar yang berada di tahap paling tinggi – ‘maha’ dan paling dekat dengan tingkat ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’. Mereka ini adalah Intelektual Muda dan Cendekiawan Muda yang harus segera mempersiap diri untuk menggalas tanggungjawab membawa kemaslahatan ke atas masyarakat. Sekiranya mereka sedar dan faham makna tanggungjawab ‘mahasiswa’ ini dan kedudukannya yang sangat rapat dengan ilmu, sesungguhnya mereka akan takut dengan tanggungjawab tersebut yang mana masyarakat sangat memerlukan mereka di saat ketidaktentuan politiko-sosio-ekonomi ketika ini. Maka tanggungjawab pemimpin mahasiswa pula bukanlah terhad sekadar menjalankan ritual tahunan dan program-program fakulti sahaja, tetapi memimpin pemikiran dan fahaman mahasiswa yang lain terhadap ilmu serta keterikatan mereka dengan tanggungjawab yang besar tehadap akademik secara intelektual. Sehingga kini saya fikir kerja memenangkan calon mahasiswa di dalam pilihanraya kampus adalah kerja no.2 sementara kerja no.1 adalah memahamkan mahasiswa apa makna menjadi mahasiswa yang sebenar-benarnya – maka kemenangan terhadap mahasiswa yang sebenar akan hadir selepas itu. Mahasiswa perlu guna kelebihan mereka sebagai intelektual dan cendekiawan muda untuk menjadi kuasa pendesak ‘non-political’ terhadap memperbaiki polisi negara yang selama ini ditentukan oleh ahli politik. Inilah masanya untuk mereka mengambil bahagian di dalam model semak dan imbang terhadap keputusan penting melibatkan isu kepentingan nasional. Dari fakulti pendidikan, undang-undang, ekonomi, syariah hinggalah kepada seni bina – semuanya berfungsi untuk menjadikan negara sebagai sebuah tempat yang lebih baik pada masa depan mengikut kapasiti masing-masing. Bayangkan jika gerakan kesedaran seperti ini muncul di setiap menara gading? Dan saya akui ini bukan kerja mudah, tetapi Murtadha Mutahhari melalui syarahan ‘Masalah Epistemologi’ menerangkan; “Dalam logika Islam, sebab Adam AS dikeluarkan dari syurga adalah kerana ia tidak mengamalkan peringkat keempat dari pengetahuannya. Peringkat pertama adalah epistemologi, kemudian pandangan dunia, kemudian ideologi dan terakhir ideologi mengharuskan ia untuk melaksanakan suatu amal perbuatan. Di sinilah ia tergelincir, sehingga Allah mengusirnya dari syurga,” ]]>