Projek Dialog

Melawan Ungkapan-Ungkapan Kebencian

Sumber gambar: Frum Forum Sumber gambar: Frum Forum[/caption] Oleh Mohd Izzuddin Ramli Tanpa sedar sudah dua minggu kita meniti tahun baru 2016. Setiap kali menyambut tahun baru, sudah menjadi lumrah bagi kita untuk menyatakan azam-azam serta impian-impian yang ingin dicapai. Ada yang impiannya untuk melangsungkan perkahwinan, ada juga impiannya untuk menimang cahaya mata, ada yang ingin mengembara dan sebagainya. Dalam meniti jalan ke depan, tidak dapat tidak kita juga perlu menoleh masa lalu untuk menimbang sukar atau tidaknya masa depan yang sedang direncanakan. Hal ini kerana, persoalan-persoalan masa depan kerap kali dipergaruhi oleh masa lalu. Peristiwa-peristiwa masa lalu yang tidak terselesaikan akan sangat mempengaruhi dan mengganggu tercapainya azam-azam masa depan. Bagi negara ini, sekalipun warganya yang secara individu telah berjaya mememenuhi keinginan-keinginan peribadi, namun ketika dihadapkan dengan persoalan-persoalan masyarakat secara umum, kita tetap harus memikul lambakan-lambakan beban yang tidak terselesaikan menuju ke tahun baru untuk terus dipolemikkan. Sebagai sebuah negara yang memiliki beraneka jenis masyarakat dan budaya, tahun-tahun yang telah kita lalui tidak terlepas dari terpalit dengan pelbagai peristiwa yang sangat mengganggu keharmonian kehidupan kita. Hubungan antara masyarakat semakin merenggang dengan berlangsungnya peristiwa-peristiwa yang bersulamkan kebencian. Ucapan-ucapan yang berunsurkan kebencian berleluasa di media-media sosial mahupun di tempat awam tanpa mengambilkira sensitiviti masyarakat pelbagai latar belakang. Kita tampaknya lebih senang untuk mencipta lebih ramai musuh daripada melahirkan lebih ramai teman dan saudara. Lebih malang apabila kita mencipta musuh hanya kerana ingin menutup kelemahan diri-sendiri serta meretakkan lagi persatuan antara masyarakat dengan mempertegaskan lagi perbezaan berdasarkan agama dan kaum. Peristiwa-peristiwa seperti perhimpunan baju merah yang berlangsung tahun lalu misalnya, merupakan salah satu contoh bagaimana unsur kebencian terhadap pihak yang berbeza ditanam. Ucapan yang sangat mengganggu seperti “ajar Cina jangan jadi biadap terhadap Melayu”, “Cina pendatang” dan sebagainya sedikit sebanyak telah mencetuskan suasana ketegangan. Di media sosial, kita pernah dihebohkan dengan isu ketidakpekaan Alvin Tan terhadap perasaan umat Islam dengan secara sengaja melontarkan pelbagai kata penghinaan. Lebih menyedihkan apabila ada khutbah-khutbah Jumaat yang sepatutnya bertujuan menyemai keharmonian, sebaliknya digunakan untuk menyuntik semangat kebencian dan kemudiannya mengatasnamakan kebebasan bersuara. Yang jelas, ucapan berunsur kebencian bukan sebahagian daripada kebebasan bersuara yang kita perjuangkan selama ini. Kebebasan perlulah diikuti dengan tanggungjawab untuk tidak menyinggung atau mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Dengan mengepilkan rasa tanggungjawab dan kepekaan terhadap sensitiviti semua pihak, barulah usaha untuk menjamin kebebasan bersuara dapat dilakukan. [caption id="attachment_5456" align="aligncenter" width="512"]Sumber gambar: Zazzle Sumber gambar: Zazzle[/caption] Mencari “musuh bersama” Hakikatnya, perpecahan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini akan semakin parah jika usaha-usaha untuk merawatnya tidak dilakukan. Hal ini diperburukkan apabila perpecahan ini semakin memperkukuhkan lagi prasangka-prasangka antara sesama masyarakat yang berbeza. Dalam bahasa yang lain, ia akan menjadi minyak untuk menyemarakkan lagi api sesuatu masalah. Perkara sebegini sering kita lihat berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Tidak sedikit daripada kita lebih gemar mengambil sikap untuk berburuk sangka dalam kehadiran pihak lain dalam kehidupan kita. Prasangka-prasangka ini kemudiannya diterjemahkan dengan bermacam ungkapan-ungkapan yang berbaur permusuhan dan kebencian. Lihat misalnya isu kitab Bible dalam Bahasa Melayu yang pernah menjadi pertikaian suatu ketika dahulu, presiden Perkasa Ibrahim Ali dengan lantang mencadangkan agar kitab Bible versi Bahasa Melayu itu dibakar. Begitu juga dengan kes Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang pernah mencetuskan kemarahan orang ramai dengan mengatakan bahawa kemasukan orang Cina ke Tanah Melayu adalah satu “kesilapan” yang perlu “diperbetulkan”. Dalam menghadapi perkara ini, penciptaan “musuh bersama” dilihat penting dalam usaha mempersatukan masyarakat pelbagai agama, etnik dan budaya seperti di negara ini. Dalam ertikata yang lain, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini dipersatukan dengan cara menghadirkan suatu kepentingan untuk dipermasalahkan secara bersama. Keharmonian akan dapat dicapai salah satunya dengan mengembalikan rasa kesatuan dalam kepelbagaian dan rasa saling menghormati antara satu sama lain. [caption id="attachment_5457" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: World Peace Day Sumber gambar: World Peace Day[/caption] Melawan ucapan-ucapan kebencian Kebebasan bersuara yang dimiliki hari ini perlulah dijaga dengan sebaiknya. Menjaga kebebasan ini adalah melalui perlawanan terhadap kebebasan yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan pengungkapan kata-kata yang berunsur kebencian dan permusuhan. Sikap tidak berkompromi dan perlawanan terhadap ucapan-ucapan kebencian inilah yang perlu menjadi “musuh bersama” kita. Usaha untuk melawan ungkapan-ungkapan kebencian sebagai “musuh bersama” inilah yang telah direncanakan dan sedang dilakukan oleh Pelan Tindakan Rabat yang merupakan sebuah dokumen praktikal untuk membendung unsur-unsur kebencian dalam bersuara tidak mengira afiliasi agama, kaum dan sebagainya. Jelas sekali bahawa takuk perjuangan kita bukan lagi berada pada fasa untuk menuntut kebebasan bersuara. Akan tetapi, bagaimana kebebasan bersuara yang telah dimiliki ini mampu untuk diuruskan dengan sebaiknya agar ia tidak menjadi penyebab berlakunya kemusnahan dan kerosakan dalam masyarakat. Musuh baru kita adalah ucapan-ucapan kebencian yang mungkin keluar dari mulut kita sendiri ataupun orang lain. Dalam hal ini, semua pihak harus bahu-membahu dalam mewujudkan suasana harmoni dalam meraikan kebebasan serta melakukan perlawanan ke atas ucapan kebencian. Ucapan kebencian adalah musuh bagi semua orang dan juga musuh bagi kemanusiaan.

]]>

Share your thoughts!

More Articles