Projek Dialog

Mengenali lima epik agung Tamil

Filem “Manthiri Kumari” (1950) meminjam babak pembunuhan dalam “Kundalakesi”. Filem “Manthiri Kumari” (1950) meminjam babak
pembunuhan dalam “Kundalakesi”.[/caption] “Sastera menjadi jambatan pemahaman antara kaum, antara negara, antara agama dan peradaban. Sastera tidak mengenal sempadan dan ruang. Semoga pemahaman sastera dan bahasa akan merapatkan yang renggang, mencantumkan yang terpisah, mengarusperdanakan yang terpinggir, dan menjalin persefahaman yang sebenar,” katanya. Beliau menyentuh mengenai beberapa karya dari Eropah, India dan China untuk menjelaskan betapa sasterawan dan penulis di Malaysia perlu mengenali karya-karya pelbagai bahasa dari negara-negara luar yang mengangkat pelbagai budaya dan kisah hidup. Makalah ini pula bertujuan memperkenalkan serba-sedikit mengenai lima epik agung bahasa Tamil yang wajar diketahui para penulis muda dan penulis mapan di Malaysia. Orang ramai juga wajar mengambil tahu supaya mampu memahami minda orang Tamil. Kumpulan lima epik agung berkenaan dikenali sebagai “Aimperukapiyam” (Lima Karya Besar) dan menjadi semacam “teks wajib dibaca” bagi para peminat sastera klasik Tamil. Kelima-lima teks klasik ini asalnya ditulis pada daun lontar. Hanya selepas tahun 1880-an, satu demi satu karya mula disalin semula dan diterbitkan dalam bentuk buku. Malah, manuskrip asal bagi dua daripada epik ini yang ditulis pada daun lontar masih belum ditemui. Silappatikaram: Karya klasik yang paling dikenali Karya agung ini ditulis pada kurun pertama dan merakamkan citra hidup masyarakat di India Selatan pada zaman berkenaan. Pengarang Silappatikaram ialah Ilango Adigal iaitu adik kepada Raja Chenguttuvan yang memerintah Kerajaan Cheran di negeri Kerala pada waktu itu. Epik ini mengangkat pelbagai peristwa yang berlaku di tiga kerajaan besar di India Selatan iaitu Kerajaan Cheran, Cholan dan Pandian. Silappatikaram (“Kisah Gelang Kaki”) pada asasnya mengangkat tiga tema yang berkaitan dengan kebenaran hakiki, iaitu (1) raja yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab akan menerima hukuman setimpal, (2) wanita yang suci dan setia kepada suami akan disegani dan dihormati, dan (3) nasib dan takdir ketentuan Tuhan tidak boleh diubah oleh manusia. [caption id="attachment_4290" align="alignleft" width="300"]Karya klasik “Civaka Chintamani” kini boleh dibaca menggunakan aplikasi di telefon pintar. Karya klasik “Civaka Chintamani” kini boleh dibaca
menggunakan aplikasi di telefon pintar.[/caption] Watak-watak utama dalam epik ini ialah pasangan suami-isteri Kovalan dan Kannagi. Kovalan menjalin hubungan dengan seorang penari bernama Madhavi tetapi akhirnya bertaubat dan kembali kepada Kannagi. Tidak lama kemudian, Kovalan dituduh mencuri gelang kaki permaisuri Kerajaan Pandian, lalu dihukum bunuh. Demi menuntut keadilan, Kannagi menyumpah seluruh kota Madurai musnah dalam kebakaran. Perlu dinyatakan bahawa Silappatikaram bukan sebuah karya berciri keagamaan. Sebaliknya ia sebuah karya yang mengangkat tema moral dan keadilan. Epik ini terbahagi kepada tiga bab dan terhasil daripada 5,270 baris sajak klasik Tamil. Sehingga kini, pengkaji bahasa, sastera, budaya dan tamadun dari seluruh dunia masih menggunakan epik Tamil ini untuk meneliti budaya, agama, sistem pemerintahan, perancangan bandar, seni, tarian, muzik, hubungan diplomatik dan pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan sejarah silam. Manimegalai: Karya propaganda Buddha Epik ini yang dikarang oleh Sithalai Sathanar pada kurun kelima merupakan lanjutan kepada kisah dalam Silappatikaram. Madhavi yang menjalinkan hubungan dengan Kovalan melahirkan anak perempuan yang dinamakan Manimegalai. Kisah dalam karya berunsur ajaran Buddha ini berlatarkan Poompuhar di Tamil Nadu, India dan Nainatheevu di Sri Lanka. Secara umum, epik ini menceritakan kisah dan pengalaman Manimegalai sehingga dia memeluk ajaran Buddha mengikut mazhab Theravada yang terkenal di Myanmar dan Sri Lanka. Epik Manimegalai turut menceritakan kisah kehidupan dan ajaran yang dibawakan Siddharta Gautama Buddha. Aspek propaganda ajaran Buddha amat nyata kerana pengarang ketara membandingkan kelebihan ajaran itu dengan agama-agama lain yang terdapat di India Selatan pada waktu itu, khususnya ajaran Hindu dan Jain. Watak Manimegalai digambarkan sudah mendalami kesemua agama dan falsafah di India Selatan pada waktu itu sebelum memilih ajaran Buddha. Unsur femanisme dan hak wanita juga diangkat menerusi karya ini. Manimegalai mendapati bahawa sebelum kedatangan ajaran Buddha, kedudukan wanita hanyalah sama ada sebagai seorang isteri di rumah atau seorang wanita murahan di rumah pelacuran. Buddha pula memperkenalkan sangha khas bagi pengikut wanita yang mencapai tahap Bhikkuni iaitu setaraf sami Buddha. Sami wanita (Bhikkuni) diberikan kuasa autonomi dalam menggerakkan dan mentadbir sangha yang dikhaskan untuk mereka. Amat nyata bahawa Manimegalai adalah sebuah epik Tamil yang ditulis khusus untuk menyebarkan ajaran Buddha kepada masyarakat di Selatan India pada waktu itu. Kundalakesi: Isteri yang membunuh suami Epik ini juga merupakan karya berunsur ajaran Buddha. Ia dihasilkan oleh Nagakuthanar pada kurun kelima. Terdapat 99 stanza puisi klasik Tamil dalam epik ini tetapi hanya 19 daripadanya berjaya dikesan. Pengkaji percaya bahawa teks asal yang ditulis pada daun lontar telah dimusnahkan oleh pihak tertentu yang cuba menghalang penyebaran ajaran Buddha. Kundalakesi ternyata membuat perbandingan antara ajaran Buddha dan agama-agama lain pada waktu itu, khususnya Jain. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa penyebar ajaran Jain menghasilkan Neelakesi bagi “menjawab” propaganda yang disebarkan oleh Nagakuthanar. Epik Neelakesi, Choolamani, Yesodhara Kaviyam, Uthaya Kumara Kaviyam dan Nagakumara Kaviyam dikenali sebagai “Aimchirukapiyam” (Lima Karya Kecil) yang turut menjadi “teks wajib” bagi pengkaji sastera Tamil. Kundalakesi (“Wanita Berambut Keriting”) mengisahkan seorang wanita bernama Bhadra dari keluarga peniaga di Poompuhar; iaitu tempat di mana kisah Silappatikaram bermula. Bhadra meminta ayahnya menyelamatkan Kallan, seorang pencuri yang dijatuhi hukuman bunuh. [caption id="attachment_4286" align="alignleft" width="300"]Manuksrip penuh "Valayaapati” pada daun lontar tidak ditemui. Manuksrip penuh “Valayaapati” pada daun
lontar tidak ditemui.[/caption] Bhadra dan Kallan berkahwin. Pada suatu hari, Bhadra mengusik suaminya dengan panggilan “pencuri”. Akibatnya, Kallan memutuskan untuk membunuh isterinya dengan menolaknya dari atas puncak bukit. Akhirnya Bhadra pula yang berjaya membunuh Kallan dengan cara itu. Wanita berkenaan kemudian menjadi sami Buddha (Bhikkuni) dan dikenali dengan nama Kundalakesi. Dia pergi dari tempat ke tempat di seluruh India Selatan untuk menyebarkan ajaran Buddha. Perlu juga dinyatakan bahawa kisah dalam epik ini diambil dan diubahsuai daripada cerita yang terkandung dalam Dhammapada, iaitu koleksi kisah-kisah berkaitan ajaran Buddha. Valayaapati: Kisah penuh yang tidak diketahui Karya ini adalah sebuah lagi epik yang mengadunkan ajaran Jain dan Buddha pada kurun kesembilan. Sebagaimana Kundalakesi, epik Valayaapati juga tidak lagi ditemui dalam bentuk yang lengkap. Sejumlah 72 rangkap puisi klasik daripada epik ini didapati tercatat dalam beberapa koleksi buku lain. Para pengkaji menggabungkan hasil daripada sumber sekundar ini tetapi masih tidak dapat menjelaskan secara nyata keseluruhan kisah yang dibawakan dalam Valayaapati. Ada beberapa pengkaji sastera klasik Tamil yang berpendapat bahawa kisah daripada epik berkenaan telah diceritakan semua secara ringkas oleh pengarang bernama Chintamani Pulavar pada 1855 dalam bab 35 buku berjudul Vanikapuranam. Tentulah amat ironis kerana walaupun peminat sastera dan bahasa Tamil di seluruh dunia masih mengagung-agungkan Valayaapati sebagai salah sebuah epik agung, kisah penuh yang terkandung di dalamnya tidak diketahui. Apa-apa pun, realiti ini tidak sedikitpun menghalang kecintaan dan rasa bangga orang Tamil terhadap epik berkenaan; termasuk di Malaysia. Civaka Chintamani: Umpama novel popular Melayu Karya berunsur ajaran Jain ini dikarang oleh Thiruthakka Thevar pada kurun kesepuluh. Epik Civaka Chintamani (“Permata Hebat”) juga dikenali dengan judul Mananuul (“Buku Perkahwinan”) kerana mengandungi banyak kisah romantik dalam kehidupan watak bernama Civakan. [caption id="attachment_4287" align="alignleft" width="300"]Watak Kannagi dalam “Silappatikaram” menjadi sebutan sehingga kini. Watak Kannagi dalam “Silappatikaram” menjadi
sebutan sehingga kini.[/caption] Karya ini mengangkat ajaran Jain serta menggambarkan budaya, seni dan muzik sezaman. Epik yang terdiri daripada 3,147 rangkap puisi klasik ini bermula dengan kisah mengenai Raja Caccantan yang terlalu khusyuk dengan kehidupan seksual sehingga mengabaikan pentadbiran kerajaan. Raja itu meninggal dunia selepas dikhianati seorang menteri. Permaisuri berjaya menyelamatkan diri dan melahirkan bayi lelaki yang diberikan nama Civakan. Apabila meningkat remaja, Civakan melalui pelbagai pengalaman dan cabaran besar. Dia berkahwin dengan tujuh wanita serta menjalinkan hubungan sulit dengan seorang penari. Akhirnya, Civakan mengalahkan musuh dan berjaya mengambil semula takhta pemerintahan yang dirampas daripada bapanya dahulu. Pemuda itu berkahwin dengan isteri kelapan dan bertaubat. Dinyatakan pada penghujung karya bahawa segala hiburan dan nikmat dunia yang dilalui oleh Civakan hanyalah rintangan dan halangan yang ditemui dalam perjalanan mencapai kebenaran hakiki dalam kehidupan dunia dan akhirat. Khazanah klasik yang wajar dibanggakan Penelitian ringkas terhadap lima epik besar dalam sastera Tamil ini mampu memberikan maklumat umum yang wajar diketahui oleh para penulis dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. [caption id="attachment_4288" align="alignleft" width="245"]“Manimegalai” adalah lanjutan kisah “Silappatikaram”. “Manimegalai” adalah lanjutan kisah
“Silappatikaram”.[/caption] Tambahan pula, terdapat ramai penulis Tamil di negara ini dan mereka sering “berkiblatkan” karya Tamil di India. Apabila bercakap tentang karya Tamil, kita sering menganggap ia ada kaitan rapat dengan ajaran Hindu; malah mungkin dianggap menyebarkan ajaran Hindu kepada pembaca. Maka, agak menarik untuk diperhatikan bahawa kesemua lima epik agung Tamil ini berunsur ajaran Jain dan Buddha. Kandungan dan kisah yang dipaparkan dalam Silappatikaram, Manimegalai, Kundalakesi, Valayaapati dan Civaka Chintamani mungkin sahaja tidak serasi dengan sastera bahasa kebangsaan di negara ini. Apatah lagi karya Bahasa Malaysia sering dianggap ditujukan hanya kepada pembaca Melayu-Islam. Maka semua karya yang mengangkat budaya Bukan Melayu-Islam dianggap bertujuan menyesatkan umat Islam! Walau bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa kelima-lima epik agung ini sebenarnya mampu membantu pembaca dan pengkaji memahami citra budaya masyarakat di India Selatan pada zaman ia dihasilkan. Secara tidak langsung, ia juga boleh membantu kita memahami pandangan dunia (worldview) dan budaya pemikiran masyarakat Tamil di Malaysia. unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles