Projek Dialog

TITAS dan dialog kemangkatan Jesus

Bible. Saya turut membincangkan topik ini bersama-sama Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil dan isterinya, Anne yang mengandung empat setengah bulan. Kami bertemu untuk makan malam di sebuah restoran makanan laut di Kota Kemuning, Shah Alam pada 12 Ogos 2013. “Kemurkaan Tuhan terhadap manusia bermula dengan peristiwa Adam dan Hawa yang mengingkari perintah-Nya. Akibatnya mereka menerima hukuman, dan kematian adalah salah satu bentuk hukuman yang diwariskan kepada umat manusia,” Perzeus yang menguasai Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris menceritakan. Katanya, kemangkatan Jesus mengubah kedudukan itu kerana Baginda sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan para pengikut. Tiga hari selepas mangkat, Baginda hidup kembali seperti dijelaskan dalam Bible. Saya memang berpengalaman menghadiri Sunday School di Aulong, Taiping pada usia kanak-kanak. Pada usia remaja, saya membaca Bible (selain bahan berkaitan agama-agama lain). Saya suka melakukan perbandingan antara agama – dengan erti kata, melihat “persamaan” antara agama; bukan mencari “perbezaan”. Suatu aspek yang sedikit mengelirukan dan boleh menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang “Bukan Kristian” dan “Bukan Islam” adalah berkaitan peristiwa kemangkatan Jesus (Nabi Isa). Seperti diketahui umum, Bible dan Quran memberikan maklumat yang “bercanggah”. Tentulah topik-topik berkaitan agama amat sensitif untuk dibincangkan di negara Malaysia. Walau bagaimanapun, sebagai seorang individu yang menyokong dialog antara agama, saya tidak merasakan tindakan saya salah apabila memilih untuk meminta penjelasan daripada seorang individu Kristian. “Tidak ada percanggahan pendapat dalam mana-mana mazhab Kristian mengenai perkara ini. Memang Jesus yang dipakukan pada salib sehingga mangkat dan memang Jesus yang muncul semula tiga hari kemudian. Walaupun mungkin ada versi lain diceritakan dalam budaya lain, saya dan isteri saya tetap akan mendidik dan membesarkan anak-anak kami dengan versi sahih sebagaimana terkandung dalam Bible,” Perzeus menegaskan dan dipersetujui oleh isterinya. [caption id="attachment_2368" align="alignleft" width="211"]Debat masih berterusan mengenai kemangkatan Jesus. Debat masih berterusan mengenai kemangkatan Jesus.[/caption] Pensyarah dan aktivis sosial itu tidak menolak kemungkinan anak-anaknya akan pulang dari sekolah pada masa hadapan dan mengadu bahawa guru-guru atau kawan-kawan di sekolah mengatakan Jesus sebenarnya tidak mangkat seperti diceritakan dalam Bible; sebaliknya Tuhan telah menggantikan orang lain di tempat Baginda. “Dalam keadaan seperti itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa Kristian untuk membimbing anak-anak supaya akidah anak-anak itu tidak terpesong daripada ajaran sebenar Kristian. Memang merupakan suatu cabaran besar khususnya apabila kita hidup sebagai kelompok minoriti dalam kalangan masyarakat majmuk. “Sebab itulah saya berpendirian bahawa ibu bapa Kristian mesti memikul tanggungjawab memastikan anak-anak mendapat pengetahuan secukupnya agar tidak mudah dikelirukan oleh pihak lain,” kata Perzeus. Saya bersetuju dengan pandangan dan pendirian beliau. Sebagai seorang individu Kristian, tentulah beliau sewajarnya dan selayaknya melihat peristiwa kemangkatan Jesus dari sudut Kristian. Tentulah tidak adil dan tidak logik untuk mengharapkan sesuatu yang sebaliknya. TITAS dan filem Jesus Seorang individu beragama Islam pula tentu akan memilih untuk melihat peristiwa kemangkatan Nabi Isa dari sudut Islam sebagaimana terkandung dalam Quran. Pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran saya: Sudut mana pula yang perlu digunakan oleh individu “Bukan Islam” dan “Bukan Kristian”? Pada 19 Julai 2013, berikutan kenyataan media saya bahawa satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad, keluar pula kenyataan balas daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA): “Uthaya Sankar SB diseru masuk Islam” (www.ismaweb.net). Di tengah-tengah kewujudan puak “kurang cerdik” seperti itu, mungkin sukar untuk membincangkan secara terbuka topik berkaitan peristiwa sebenar yang berlaku pada hari-hari terakhir kehidupan Jesus di muka bumi. Dialog seumpama itu mungkin dikritik sebagai “memperlekeh dan mempersenda” agama Islam sedangkan tujuan dialog adalah bagi berkongsi maklumat, pandangan, hujah, idea dan sebagainya demi mencari titik persamaan dan kebenaran. Dalam hal ini, mujurlah saya memiliki sekian ramai rakan-rakan pelbagai kaum, agama dan ideologi yang suka terlibat dalam dialog demi kebaikan bersama. Dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia pula, walaupun topik berkaitan Islam dan Kristian mungkin dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka, kemasukan maklumat menerusi pelbagai sumber memang tidak dapat disekat. Saya tidak sekadar merujuk kepada internet yang membuka ruang menimba ilmu seluas-luasnya. Sebaliknya, saya merujuk secara khusus kepada topik kemangkatan Jesus. Maklumat mengenainya pasti akan sampai kepada orang ramai kerana terdapat banyak filem dan dokumentari yang menyentuh peristiwa itu. [caption id="attachment_2367" align="alignleft" width="230"]Kisah Jesus dipaparkan menerusi banyak filem dan dokumentari. Kisah Jesus dipaparkan menerusi banyak filem dan dokumentari.[/caption] Dokumentari dan filem seperti Bible (2013), Jesus (1999), Mankind: The Story of All of Us (2012), Jesus of Nazareth (1977), Son of God (2001), The Miracle Maker (2000), The Day Christ Died (1980) dan Passion of the Christ (2004) – serta sambungannya, The Resurrection of Jesus Christ (2015) – misalnya menampilkan kisah kehidupan dan kemangkatan Jesus seperti yang terkandung dalam Bible. The New Testament menyebut kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus tiga hari kemudian sebagai titik penting dalam Kristian. Orang Islam pula percaya bahawa Nabi Isa tidak mangkat disalib, tidak hidup semula serta tidak menebus dosa manusia. Suatu jalan penyelesaian yang mungkin dicadangkan adalah supaya orang Islam berpegang pada versi dalam Quran dan orang Kristian berpegang pada versi dalam Bible. Akan tetapi, bagaimana pula dengan orang “Bukan Islam” dan “Bukan Kristian”? Versi mana yang perlu diterima sebagai sahih dan diwariskan kepada anak-cucu? Mungkin juga situasi ini mengingatkan kita kepada novel/filem Life of Pi di mana watak Piscine Molitor Patel bertanya, “Which is the better story, the story with animals or the story without animals?” Namun, tentulah tidak semudah itu untuk membuat keputusan muktamad berhubung Jesus (Kristian) dan Nabi Isa (Islam), walaupun merujuk kepada individu yang sama dan serupa. Tidak seperti watak Hanuman dalam epik Ramayana karya Maharishi Valmiki yang kemudian bertukar menjadi watak Sun Wukong dalam hikayat Xi You Ji (Journey to the West) karya Wu Cheng’en. Mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sudah diperkenalkan di Institusi Pengajian Tingga Awam (IPTA) dan akan diwajibkan di IPTS mulai September 2013. Pakar mengakui bahawa TITAS bertujuan “meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013). Akhbar sama melaporkan bahawa “disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda ‘kosong’ tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini.” Mungkin TITAS akan membuka ruang untuk dialog sihat dan waras dalam kalangan masyarakat mengenai peristiwa kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus.

]]>

Share your thoughts!

More Articles